Friday, April 28, 2006

Dakwah Islami Yang Mengkhuatirkan

Tugas melaksanakan dakwah diwajibkan ke atas individu mukalaf yang beriman termasuk wanita, hamba sahaya dan orang-orang yang fasiq. (lihat Ihya Ulumuddin, Imam Ghazali. Jil3. hal 454)

ketetapan ini berdasarkan hadith yang sahih “Barangsiapa antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia cegah dengan tangannya. Jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan lisannya dan jika berdaya hendaklah dicegah dengan hatinya dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman.” Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Dr Abdul Karim Zaidan dalam Usulad-dakwah berkata, “Hukum berdakwah pada jalan Allah adalah wajib ke atas setiap Muslim dan Muslimah. Kadangkala ia dilakukan secara perseorangan dan kadangkala dilaksanakan oleh organisasi tertentu.”

Aktiviti dakwah sebaiknya dengan berjemaah supaya lebih tersusun dan berkesan. Dalam Surah Al-Maidah ayat 2, Allah berfirman yang bermaksud, “Hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan permusuhan.


Dr Abdul Karim Zaidan merumuskan di dalam kitab Usul ad-Dakwah “ Ayat ini adalah dalil berhubung dengan kewajipan mengwujudkan organisasi. Malah wajib dilaksanakan dakwah melalui organisasi apabila hasil tidak tercapai melainkan dengannya.”

Kenyataan ini diperkukuhkan oleh ayat 4 Surah As-Saf yang bermaksud, “sesungguhnya Allah menyukai jika perjuangan dijalannya dilakukan (secara tersusun) seperti satu saf seolah-olahnya mereka merupakan sebuah bangunan yang kukuh.

Keadaan tersusun rapi tidak dapat dilaksanakan melainkan secara berorganisasi sebagaimana yang disebutkan oleh Almarhum Syed Qutub dalam Fi Zilalil Quran, “yang dituntut bukanlah semata-mata berjuang tetapi berjuang di atas landasannya dan berjuang dalam saf bersama-sama dengan jemaah Islam. (ruj :Fi Zilalil Quran , Syed Qutub:Darul Syuruq, Beirut, jil 6 hal. 3552)

Salah sebuah hadith yang menarik yang berhubung kait dengan suasana akhir zaman dan kepentingan berorganisasi pada masa itu adalah hadith sahih yang diriwayatkan oleh sahabat Huzaifah bin Yaman yang bermaksud, “(akan wujud) penyeru-penyeru di pintu neraka jahanam.Barang siapa menyambut seruan mereka akan dilemparkan ke dalam (neraka).’ Huzaifah bertanya,’ Apakah yang patut aku lakukan jika aku berdepan dengan suasana itu? Bersabda Nabi, “Berpeganglah dengan jemaah Islam dan Imam (pemimpin)mereka .”


Sehubungan dengan ini as-Syeikh Said Hawa di dalam Madkhal Ila Dakwah al-Ikhwan al-Muslimin berkata, “zaman kita sekarang adalah zaman lahirnya penyeru-penyeru di pintu neraka. Hadith ini menuntut kita beriltizam dengan jemaah Islam dan pimpinannya. (Pengenalan Dakwah Ikhwan Muslimin,op.cit.hal.24)