"Kecemerlangan tidak akan tercapai tanpa kebersihan hati. Untuk memantapkan hati beberapa ramuan diperlukan antaranya ialah ilmu, mujahadah dan zikrullah.
Ilmu yang berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah akan memastikan landasan yang digunakan untuk membersihkan hati tidak terbabas dari garis panduan syariat.
Untuk membersihkan hati mujahadah diperlukan. Mujahadah mengawal perjalanan hawa nafsu sehingga hati tidak terpengaruh dengannya. Dengan itu, mujahadah menyediakan hati untuk di tingkatkan ke tahap yang lebih tinggi.
Peningkatan itu dicapai melalui zikrullah kerana zikrullah boleh dikiaskan seperti cahaya yang mampu menyinari hati. Cahaya ini akan menyerap masuk ke seluruh jasad dan anggota badan sehingga mempengaruhi setiap tindak tanduk yang dilakukan manusia.
Zikrullah yang paling penting ialah solat. Berhubung dengan ini,
Allah berfirman dalam surah Taha ayat 14,
"Tegakkanlah solat agar kamu dapat mengingatiKu."
Imam Abul Laith As-Samaqandi dalam kitab Tanbihul Ghafilin mengutarakan lima penawar yang dapat membersihkan hati iaitu,
- Bergaul dengan orang-orang yang soleh.
- Sentiasa membaca Al-Quran.
- Memelihara perut dari makanan haram.
- Melakukan solat malam.
- Zikir dan berdoa kepada Allah selalu terutamanya ketika waktu subuh.
Berbekalkan ramuan-ramuan ini potensi dan prestasi hati akan meningkat sehingga akhirnya manusia mencapai makam yang amat mulia, iaitu takwa.
"Dari buku 'bestseller' bertajuk '7 Formula Individu Cemerlang',
Karangan Dr. Danial Zainal Abidin, (M.B.Ch.B. University of Alexandria)