Perbezaan pendapat ulama'
Di dalam Majalah al Islam, Astora Jabat dengan lantangnya menghamburkan beberapa macam tuduhan dan hukuman terhadap Imam Ghazali, hingga mengatakan Imam Ghazali berdosa besar kerana mengkafirkan al-Farabi dan Ibn Sina! Mengkritik sedemikian tanpa hujah-hujah yang kukuh dan adab-adab sebagai seorang mukmin merupakan satu jenayah ilmiah yang seringkali dilakukan oleh penulis-penulis dewasa ini, tanpa sebarang hormat pada ketinggian ilmu dan taqwa ulama' tersebut.
Dalam kes yang lain pula, kita seharusnya berlapang dada dalam masalah hadith-hadith dhaif dan maudhu' yang terkandung di dalam kita Ihya' Ulumuddin tulisan Imam Ghazali. Ini dinyatakan oleh Ibn Kathir, Ibnul Jauzi, Az-Zahabi dan juga ulama' lain dalam penulisan mereka antaranya al Bidayah wa al-Nihayah, Talbis Iblis dan Siyar 'Alam an-Nubala'. Kita menerimanya dan berbaik sangka dengan Imam Ghazali bahawa dia tidak meletakkan hadith-hadith tersebut dan menyebarkannya dalam keadaan dia tahu bahawa hadith-hadith tersebut adalah dhaif. Mereka bukan maksum . Kesilapan ini kita akui dan terima, tanpa sedikit pun rasa taksub terhadap Imam Ghazali dan tanpa kurang sedikit pun rasa hormat terhadap ketinggian ilmu dan jasa-jasa Imam Ghazali. Namun kesilapan harus diperbetulkan, kena dengan caranya, bukan dengan menghukum dan mengkritik tanpa asas.
Di akhir-akhir hayat Imam Ghazali sendiri pun, beliau mendalami ilmu hadith dan menuntut ilmu Sahih al-Bukhari dan Muslim melalui Hafiz 'Amr ibn Abi al-Hasan al-Rawasi, cuba untuk mengatasi kelemahannya dalam bidang tersebut. Maka seharusnya kita letakkan keadilan apabila kita membaca kitab Ihya' Ulumuddin, bukan dihapuskan terus! Malahan terdapat versi tahqiq (correction) yang telah dibuat oleh al-Hafidz al-Iraqi terhadap kitab Ihya' ini. Sebenarnya bukan kitab Ihya' sahaja, malahan banyak lagi tulisan-tulisan ulama' yang mungkin secara tak sengaja, memasukkan hadith-hadith dhaif.
Tulisan ulama' Ikhwan seperti Fathi Yakan dan Mustafa Masyhur yang juga ada satu dua hadith dhaif di dalamnya. Tapi itu tidak sepatutnya kita jadikan untuk merendah-rendahkan ulama' yang muktabar dan banyak jasa mereka kepada ummah seluruhnya, apatah lagi mencampakkan tulisan mereka jauh dari rujukan. Jangan kerana silap yang sedikit, menyebabkan kita mengambil kesempatan untuk merendah-rendahkannya hingga melibatkan keperibadian beliau sendiri.
Dan dalam masa yang sama, jangan pula kerana kebaikan-kebaikan yang asing, kita mengangkat martabat musuh-musuh Islam dan pembenci ulama' seolah-olah mereka telah melakukan jasa sebesar gunung dan terhapusnya segala kejahatan mereka pada ummah. Kadang-kadang kita mengiktiraf seseorang itu tidak kena pada tempatnya. Ini yang selalu terjadi sekarang. Ulama' dikutuk, pengutuk ulama' disanjung.
Mungkin ini sifir di akhir zaman.Begitu juga dalam kes ulama' berselisih pendapat.
contoh bagaimana Sheikh Nasiruddin al-Albani berlainan pendapat dengan Dr Yusuf al-Qaradawi berkenaan hadith-hadith yang digunapakai oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya al Halal wal Haram fil Islam (Halal dan Haram dalam Islam), hinggakan membawa kepada penulisan buku Ghayatul Maram fi Takhrij Hadith Halal wal Haram oleh al-Albani. Kita lihat dalam kes ulama' tidak sepakat tentang darjat sesuatu hadith itu, mereka tidak berbalah apatah lagi mengkritik individu tersebut. Al-Albani seorang 'alim menegur akan hadith-hadith yang digunakan oleh Dr alQaradawi dan al-Qaradawi juga menjawab dengan penuh adab sebagai seorang 'alim juga, tanpa sedikit pun terkurang rasa hormat terhadap kedua-duanya.
Penjelasan al Qaradawi boleh dibaca dalam buku Fatawa Mu'asirah (Fatwa Kontemporeri) Jilid Ketiga. Ini akhlak yang sepatutnya diamalkan oleh semua orang Islam yang mengaku mukmin dalam kes berbeza pendapat dan dalam tegur menegur antara satu sama lain.Disiplin dan kaedah dalam menegur perlu adil berdasarkan Al-Quran dan As-sunnah, di himpunkan kritkkan dan pujian supaya adil itu perlu pada keseluruhannya.
Tidak adil di sini boleh mengandungi pelbagai maksud :
1) Tidak membawakan dalil-dalil yang sahih (alQuran dan hadith-hadith maqbul) dalam mengkritik ulama' tersebut
2) Tidak ada asas dalam tuduhan mereka
3) Tidak berpandukan pendapat ulama' yang muktabar bahkan berpandukan pendapat2 yang sangat asing
4) Mengkritik peribadi dan bukan penulisan (seandainya kesilapan dalam penulisan)
5) Hanya mengambil pakai pendapat mereka yang menghentamnya sahaja TANPA menyenaraikan pendapat mereka yang menyokongnya
6) Memfitnah dan mengemukakan hujah-hujahyang tidak benar (i.e point 1) Ini bukanlah adab dan kaedah dalam mengkritik ulama', jauh sekali menegur dan menegakkan kebenaran.
Tindakan yang sebegini akan menghilangkan kredibiliti ulama' di mata orang awam. Adakah disebabkan kesilapan mereka yang sedikit, mereka diperlakukan sebegitu rupa hinggakan orang akan merasa sangsi untuk membaca SEMUA penulisan mereka dan sangsi untuk menerima SEMUA pendapat mereka lantaran daripada kritikan kita tadi. Ini sangat tidak adil!
Mereka telah menggunakan setiap detik dalam hayat mereka untuk memperjuangkan Islam dan memartabatkan ilmu, tapi kita dengan sewenang-wenangnya menguburkan segala jasa-jasa mereka. Inilah jenayah ilmiah abad 21.
lantaran ramai yang telah wafat, kita pula dengan sesuka hati kita, memburuk-burukkan mereka. Adilkah ini namanya? Mungkin sebab itu 'penjenayah-penjenayah' ini bebas mengkritik kerana tahu ulama' yang dikritiknya tidak boleh menjawab balik. Tapi jangan kita lupa, akan ada orang yang akan membela maruah mereka dan ketinggian ilmu yang mereka perjuangkan. Jangan kita syok sendiri mengkritik tak terkata bila dijawab balik oleh pembela kebenaran. Ingatlah kebenaran pasti akan timbul dan kebatilan pasti akan lenyap. Berlaku adillah dalam menilai ulama', jangan sampai menjadi 'penjenayah'!