Monday, April 17, 2006

TIDUR YANG BERMANFAAT

Berapa jam kah yang diperlukan untuk tidur pada setiap malam? Nabi Muhammad tidak menyebutkan tentangnya secara khusus namun baginda berpesan,

“Hendaklah salah seorang di antara kamu bersolat ketika dirinya cergas.”
(Riwayat Bukhari-Muslim)


Di dalam riwayat yang lain, baginda bersabda,
“Hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuk mu.” (Riwayat Bukhari-Muslim)

Keperluan tidur seseorang berbeza dengan seorang yang lain. Mengikut satu kajian yang dilakukan oleh Persatuan Barah Amerika, mereka yang tidur kurang dari lapan jam setiap malam adalah lebih sihat daripada mereka yang tidur melebihi lapan jam. Hasil kajian selama enam tahun yang melibatkan sejuta orang dewasa berumur antara 30 hingga 102 tahun ini menunjukkan, mereka yang tidur 6-7 jam secara purata setiap malam hidup lebih lama dari mereka yang tidur lebih dari 8 jam atau kurang dari 4 jam setiap malam. Malah kajian ini juga mendapati, mereka yang tidur 5 jam setiap malam hidup lebih lama daripada mereka yang tidur lebih daripada 8 jam. Penemuan ini disokong oleh Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika dan ia telah dimuatkan di dalam Archives of General Psychiatry bertarikh 15 Februari, 2002.

Justeru, keperluan tidur berbeza bagi setiap individu. Tidur malam yang optimum ialah kadar yang mampu menghilangkan rasa mengantuk ketika anda memberikan tumpuan kepada ibadah dan aktiviti di waktu siang. Bagi sesetengah orang kadar optimumnya ialah 5-6 jam setiap malam, namun secara puratanya ialah 6-7 jam. Tidak perlu menghabiskan masa sehingga lebih daripada 8 jam untuk tidur. Masa adalah kehidupan. Semoga bermanfaat.
_________________
Dr. Danial bin Zainal Abidin
(M.B.Ch.B. Universiti Alexandria)