Monday, April 17, 2006

BINATANG LIAR, KENAPA HARAM DI MAKAN

Islam mengharamkan umatnya memakan daging binatang liar (bushmeat). Berhubung dengan ini, Bukhari meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud,

"Rasulullah melarang (umat Islam) memakan semua binatang buas yang bertaring dan burung yang memiliki kuku yang mencengkam.”

Yang dimaksudkan dengan binatang buas yang bertaring ialah binatang-binatang yang menangkap binatang lain dan memakan bangkainya seperti singa, serigala, buaya dan seumpamanya.

Yang dimaksudkan dengan burung yang memiliki kuku yang mencengkam ialah jenis-jenis burung yang mampu melukai haiwan lain dan memakan bangkai-bangkainya seperti burung helang dan rajawali.

Daging haiwan liar mengandungi virus yang amat berbahaya bagi manusia. Baru-baru ini satu kajian mendapati sejenis virus berbahaya dari binatang liar jenis primates (seperti monyet, gorila, orang utan, chimpanzi dan seumpamanya), menyerang penduduk-penduduk di Afrika.

Hal ini disebabkan mereka ghairah memburu dan memakan daging binatang-binatang liar ini justeru memudahkan pembiakan dan penyebaran kuman ini. Hal ini dilaporkan dalam Science News (Volume 165, Number 14) bertarikh 3 April 2004; di www.sciencenews.org di bawah tajuk 'A Virus Crosses Over to Wild-Animal Hunters.'Pada tahun 2002, jurnal perubatan terkenal iaitu Journal of the American Medical Association (JAMA) memberi amaran bahawa monyat-monyet yang hidup di kawasan Cameroon mengandungi virus yang menyerupai virus penyakit AIDS.

Virus ini boleh menjangkiti manusia yang memakan monyet-monyet ini.Kajian-kajian terkini menunjukkan besar kemungkinan wabak AIDS yang menyerang dunia hari ini berpunca dari amalan memakan daging haiwan liar. Inilah yang dinyatakan oleh pakar-pakar dari Universiti Nottingham di UK, Universiti Alabama di Birmingham, Universiti Duke di Durham, Universiti Tulane di New Orleans dan Universiti Montpelier di Perancis. Mereka melaporkan, kuman virus HIV pada asalnya menjangkiti haiwan liar dari jenis monyet.

Virus ini kemudiannya menjangkiti chimpanzi selepas ia memakan daging monyet ini. Manusia yang ghairah memburu dan memakan daging binatang liar menerima padahnya apabila akhirnya mereka pula dijangkiti virus ini selepas memakan daging chimpanzi.

Penemuan ini dilaporkan dalam majalah Science dan rumusan tentangnya dimuatkan dalam New York Times bertarikh 12 Jun 2003, di bawah tajuk 'Origin of AIDS Traced Back Another Step.'Haiwan-haiwan liar mengandungi pelbagai jenis kuman yang berbahaya.

Pemakanan daging-dagingnya oleh manusia menyebabkan kuman-kuman itu membiak dan akhirnya menyerang manusia dengan pelbagai jenis penyakit baru. Hal ini dinyatakan oleh Bushmeat Crisis Task Force (BCTF) yang berpusat di Washington D.C., Amerika. Bagi mereka bahaya ini bukan lagi suatu andaian sebaliknya telah menjadi suatu kenyataan yang menggerunkan.

Justeru pengharaman daging haiwan liar oleh Islam memang saintifik dan amat relevan dengan kesejahteraan manusia sejagat pada hari ini.Hukum Allah pasti ada hikmatnya. Kadangkala hikmat itu tersembunyi daripada kita dan kadangkala kita mampu memahaminya. Yang paling penting ialah kita terus mematuhi perintah Allah walaupun di peringkat awal kita tidak memahami hikmatnya. Semoga bermanfaat.

Rujukan: 'Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden' oleh Dr. Danial