Apabila engkau mengembara seorang diri lalu engkau berada di antara dua jalan. Salah satunya sukar dilalui, mendaki gunung yang tinggi. Manakala jalan yang lain pula mudah dan menuju ke lembah. Jalan yang pertama penuh dengan halangan, batu yang merintang, duri dan lubang. Agak susah menempuhnya dan perjalanan melaluinya amat payah.
Tetapi di hadapannya ada papan tanda yang dibina, padanya tertulis bahawa jalan ini walaupun susah di awalnya dan payah melaluinya, ia adalah jalan yang benar. Jalan yang akan menuju ke bandar impian dan tujuan yang dicitakan.Jalan kedua pula mudah dilalui, dinaungi pohon-pohon rendang yang penuh dengan buah dan bunga indah berseri.
Di kiri dan kanan jalan terdapat pula tempat menjamu selera dan tempat bersuka ria. Semuanya dipenuhi perkara yang melazatkan hati, menggembirakan mata dan menghiasi telinga. Namun di hadapannya ada papan tanda, padanya tertulis bahawa ia adalah jalan yang merbahaya dan membinasa, di akhirnya ada jurang yang padanya ada kematian yang pasti, dan kebinasaan yang terbukti.
Maka jalan manakah yang akan engkau ikut? Tidak syak lagi bahawa jiwa manusia cenderung ke arah yang mudah, bukan yang payah. Cenderung ke arah yang lazat dan bukannya yang menyakitkan. Jiwa manusia cintakan kebebasan dan bencikan ikatan. Sekiranya dibiarkan insan itu bersama kehendak jiwanya dan dia mengikutnya, pastilah dia akan memilih jalan yang kedua.
Tetapi akal manusia mula campur tangan. Ia membandingkan antara kelazatan sementara yang ada di hadapan tetapi di hujungnya pula sengsara yang berpanjangan. Akal akan membandingkannya dengan kesakitan sementara yang ada tetapi di hujunganya kelazatan selama-lamanya.
Maka akal pasti akan memilih jalan pertama.Inilah perbandingan jalan syurga dan jalan neraka. Jalan neraka penuh dengan segala yang lazat dan memberi nikmat. Jiwa manusia cenderung ke arahnya dan ia disokong oleh nafsu.
Pada jalan ini adanya pemandangan terhadap kecantikan yang haram. Pada jalan ini ada perkara yang membangkitkan nafsu syahwat. Padanya dibolehkan mengambil harta daripada setiap jalan dan harta itu sememangnya dicintai dan diingini. Pada jalan ini ada kebebasan dan tiada ikatan.
Sememangnya jiwa manusia sukakan kebebasan dan membenci ikatan. Jalan syurga penuh dengan kepayahan dan kesusahan. Padanya ada ikatan dan sempadan. Padanya perkara yang menyalahi kehendak jiwa. Tetapi penghujung kesusahan yang sementara ini ialah kelazatan abadi di akhirat nanti. Manakala hasil kelazatan yang ada pada jalan neraka ialah kesakitan yang berpanjangan di neraka jahannam.
Hal ini seumpama seorang pelajar pada waktu peperiksaan. Dia merasa payah ketika semua ahli keluarganya meninggalkannya untuk menonton televisyen. Mereka menonton rancangan yang menarik dan menggembirakan, sedangkan dirinya bersendirian dengan buku-buku nota dan latihan. Kelak, pelajar ini akan menemui kejayaan setelah melalui kepayahan dan kesusahan. Hal ini juga seperti seorang yang demam terpaksa bersabar berhari-hari dari makanan yang lazat.
Kelak, dia akan menikmati kebahagiaan kerana dirinya kembali sihat………Dan Allah telah menetapkan di atas jalan syurga ini orang-orang yang mengajak orang lain kepada jalan itu iaitu para nabi. Begitu juga wujud pada jalan neraka itu orang-orang yang mengajak orang lain menuju kepadanya iaitu para syaitan.
Dan dakwah ini penuh kepayahan, kerana jiwa manusia telah dicipta sukakan kebebasan sedangkan agama mengikatnya, ia sukakan kebebasan dan kelazatan sedangkan agama menahannya. Sesiapa yang menyeru ke arah dosa maka dia telah menepati kecenderungan jiwa manusia dan dia akan berjalan bersama-sama dengan mudahnya semudah air yang mengalir menuju ke lembah di bawahnya.
Pergilah kepada tangki air yang berada di atas bukit lalu pukullah ia dengan pemukul, maka turunlah air sedangkan engkau hanya berdiri sehingga penuh lembah di bawah. Apabila engkau ingin mengembalikan air itu semula ke tangki di atas bukit, usaha itu akan penuh dengan kesusahan, kepayahan dan memerlukan kos yang banyak. Begitu juga dengan batu besar di atas puncak, engkau hanya perlu menggoyangkannya dan menolaknya sehingga apabila ia bergolek ke bawah, tidak perlu lagi bersusah payah.
Tetapi apabila engkau ingin menaikkannya kembali ke atas, di situ engkau akan dihalangi penat dan susah.
(Tulisan ini diterjemahkan dengan sedikit pengubahsuaian daripada buku `Ta'rif `Am Bi Din al Islam' (Pengenalan Am Tentang Agama Islam) karya Syeikh Ali al Tantawi / m.surat 15-17 / cetakan 1989 / Dar al Wafa', Mesir.
Semoga Allah memberikan kekuatan dan keteguhan kepada semua pejuang kebenaran dan kita semua. Jadikan dirimu sebagai penyeru kepada jalan syurga.