Tuesday, April 11, 2006

KEWAJIPAN MENCINTAI NABI S.A.W

Seseorang itu tidak dianggap beriman sehingga di benar-benar mencintai Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam lebih dari dirinya sendiri serta kaum kerabatnya dan harta-bendanya.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:


Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (al-Tawbah (9) : 24)

Rasulllah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Aku lebih utama bagi setiap mukmin daripada dirinya sendiri. (Hadis riwayat Imam Muslim)

Sabdanya lagi:

Tidaklah beriman salah seorang dari kalian sehingga aku lebih dicintainya daripada ibubapanya, anaknya dan manusia seluruhnya. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Masih terdapat banyak lagi dalil sedemikian rupa yang tidak lain hanya menunjukkan kewajipan mencintai baginda shallallahu 'alaihi wasallam yang merupakan di antara ciri-ciri golongan yang beriman. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berhak meraih cinta tersebut kerana baginda adalah makhluk yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala, memiliki akhlak yang luhur dan jalan yang lurus, mengasihi umatnya, memberi petunjuk kepada umatnya, menyelamatkan umatnya dari neraka jahanam dan menjadi rahmat kepada seluruh alam.


Mencintai Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam adalah merupakan antara kesan kesaksian kita bahawa Muhammad itu utusan (rasul) Allah yang merupakan sebahagian dari kalimah syahadah.