Salah seorang ahli tafsir terkemuka daripada kalangan tabiin (Mujahid Ibn Jabr) pernah berkata: aku telah mengkhatam Al Quran di sisi Ibn Abbas sebanyak 3 kali, aku berhenti pada setiap ayat untuk aku bertanya kepadanya. Kata-kata ini diambil daripada nota kaki SYeikh Abd. Qadir al Arnaouth dalam semakannya terhadap buku `At Tawwabin' karya al Maqdisi.
1-Tahap interaksi kita dengan Al Quran sentiasa berbeza mengikut keadaan dan kesesuaian masa. Ada sesetengah dari kita yang hanya menumpukan bacaan tanpa memahami terjemahan maksud. Ada juga yang membaca maksudnya tetapi tidak konsisten dan tidak berterusan. Ada ramai di kalangan kita yang merujuk kepada Al Quran apabila kita memerlukan maklumat daripadanya atau ketika mencari bahan untuk
penulisan. Semuanya ini bagi saya adalah belum mencukupi.
2- Al Quran mesti dijadikan bahan bacaan secara berterusan oleh kita semua terutama yang ingin membina manhaj dalam mengamalkan Islam. Bacaan pula mestilah berserta terjemahan maksud. Bagi yang lebih maju, amat perlu utk kita meneliti pula kata-kata ulama tafsir dalam buku-buku tafsir berkaitan ayat yang kita sedang baca. Pembacaan
berterusan ini akan memungkin kita mengkhatam maksud ayat-ayat Al Quran (walaupun secara ringkas) dan ini jauh lebih baik daripada sekadar mengkhatam bacaan Al Quran terutama pada bulan Ramadhan.
3- digalakkan bermula dengan 5 ayat sehari atau mungkin kurang daripada itu. Ini untuk mengelakkan kita daripada berhenti separuh jalan .
4- disarankan supaya apabila kita menemui ayat-ayat yang menimbulkan persoalan atau tidak jelas maksudnya, maka kita catat ayat itu dan kita tanyakan kepada yang tahu. Atau kita sendiri mencari maksud sebenarnya daripada buku-buku tafsir dan buku-buku lain. Ini penting kerana kita ingin memahami Al Quran dengan kefahaman yang jelas.
5- apa yang penting daripada cadangan ini ialah, kita akan mendapat gambaran bahawa ayat-ayat Al Quran perlu difahami secara keseluruhan kerana ia saling berkaitan. Membaca ayat Al Quran berserta maksudnya akan memberikan kita gambaran tentang perkara ini.