Monday, April 17, 2006

HAKIKAT MENCINTAI RASULULLAH S.A.W

1) Mentawhidkan Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Hikmah utama diutusnya para Rasul termasuk Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam adalah untuk menyerukan fahaman tauhid dan menentang syirik.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:


Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". (al-Nahl (16) : 36)

Al-Hafidz Ibnu Kathir berkata:

Semua mereka (para rasul) mengajak beribadah kepada Allah dan melarang beribadah kepada selain-Nya, dan Allah Ta'ala senantiasa mengutus para rasul dengan tugas tersebut semenjak terjadinya kesyirikan yang dilakukan oleh kaum Nabi Nuh `alahissalam. Dialah rasul pertama diutus oleh Allah kepada penghuni bumi hingga penutup para rasul Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam yang menyampaikan dakwahnya kepada bangsa jin dan manusia di belahan timur dan barat.

Keadaan mereka semua ini adalah sebagaimana firman Allah Ta'ala :

Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu". (al-Anbiyak (21) : 25)

Maksud mengtauhidkan Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah beribadah hanyalah kepada Allah sahaja dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu apa jua pun.

Inilah pengertian sebenar kalimah tauhid iaitu La Ilahaa IllaAllah (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah) iaitu dengan memurnikan ibadah hanya kepada-Nya dan berlepas diri dari segala sesuatu selainnya. Inilah misi utama Nabi Muhhamad shallallahu 'alaihi wasallam terhadap umatnya.

Oleh itu untuk membuktikan kasih sayang kita kepada Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam maka hendaklah kita menghindari amalan amalan syirik seperti menyembah berhala, berdoa hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala tanpa perataraan (wasilah) yang tidak di izinkan-Nya seperti bertawassul di kuburan para wali, mentaati hukum-hukum Allah serta berlepas diri daripada hukum buatan manusia yang tidak selari dengan syarak, tidak memakai tangkal, tidak bertilik nasib, tidak berjumpa bomoh, mengingkari Nama-nama dan Sifat-sifat Allah dan lain-lain lagi. Mengtauhidkan Allah Subhanahu wa Ta'ala merupakan bukti yang paling kukuh menujukkan kita mencintai Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam.

2) Menghargai al-Qur'an serta mengamalkan isu kandungannya.
Di antara tanda kecintaan kita kepada Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam adalah dengan berpegang teguh kepada segala firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang terkandung di dalam al-Qur'an. Al-Qur'an yang merupakan wahyu Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada baginda adalah merupakan petunjuk yang jelas bagi sekalian umat manusia dan juga merupakan pembeza di antara perkara yang benar dan perkara yang menyalahi syarak. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Bulan Ramadan, bulan yang padanya diturunkan al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). (al-Baqarah (2) : 185)

Antara misi utama Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam adalah untuk mengajar umat manusia tentang al-Qur'an serta mempraktikkannya supaya boleh dijadikan contoh teladan bagi umat pada masa hadapan.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

… dan al-Qur'an ini diwahyukan kepadaku (iaitu Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam) supaya aku memberi peringatan kepadamu dan kepada orang yang sampai al Qur'an kepadanya. (al-An'aam (6) : 19)

Dan al-Qur'an itu telah kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu (iaitu Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam) membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian. ( al-Israa' (17) : 106)

Oleh itu sekiranya al-Qur'an ini tidak dihargai dengan mempelajarinya dan mempraktikkannya ia sebenarnya menggambarkan sikap kita yang memperlekehkan tugas utama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam diutuskan kepada umatnya yakni menyampaikan al-Qur'an. Mereka yang memperlekehkan baginda tidak selayaknya dikategorikan di dalam golongan yang mencintainya.

3) Mentaati Sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

Di antara tanda-tanda yang jelas menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam adalah dengan mengerjakan sunnahnya, mengikuti perkataan dan perbuatannya, menjalankan perintahnya dan menghindari larangannya. Pada dasarnya semua perbuatan dan ucapan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam wajib dikuti dan diteladani.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzaab (33) : 21)

Menurut al-Hafidz Ibnu Kathir:

Ayat ini merupakan dasar utama untuk mencontohi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam baik dalam ucapan, perbuatan mahupun hal ehwal baginda.

Mentaati Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga adalah bukti yang menujukkan kita mencintai Allah 'Azza wa Jalla.

Firman-Nya

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Ali `Imraan (3) : 31)

Memperjuangkan sunnah juga bermaksud menghindari amalan bidaah. Bidaah seperti yang didefinisikan oleh Imam al-Syathibi rahimahullah adalah:

Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah, tujuan mengamalnya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. (Dinukil daripada kitab Meluruskan Tafsir Bidaah karya Syaikh Alwi bin Abdul Qadir al-Seqaf yang merupakan ringkasan kepada kitab al-I'tishom karya Imam Abu Ishaq Al-Syathibi (edisi terjemahan oleh Farid Qurusy, Pustaka As-Sunnah, Surabaya, 2003), ms. 2)

Dari definisi ini dapat kita fahami bahawa medan operasi bidaah adalah dalam hal-hal yang bersangkutan dengan agama sahaja. Oleh itu apa jua bentuk rekaan terkini di dalam hal kehidupan duniawi maka ianya tidak termasuk di dalam ruang lingkup perbahasan bidaah secara syariah.

Ini adalah kerana terdapat dalil-dalil yang menggalakkan umat Islam untuk terlibat di dalam usaha untuk mencipta rekaan-rekaan yang terkini demi kemajuan umat Islam. Di dalam hal ehwal dunia, manusia memiliki kebebasan untuk melakukan inovasi yang termoden asalkan sahaja tidak mendatangkan keburukan kepada orang ramai serta tidak bertentangan dengan syariah. Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

Kamu lebih tahu hal ehwal dunia kamu. (Hadis Riawayat Imam Muslim)

Jika sekiranya sesuatu itu urusan dunia kamu, maka uruskanlah dengannya, dan kalau sekiranya urusan agama kamu maka kembalikanlah kepada aku. (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)

Bidaah yang kita maksudkan di sini adalah mengada-adakan ritual-ritual agama baru yang tidak pernah diajar atau diamalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Seluruh bidaah yang bersangkutan dengan agama ini adalah sesat dan pengamalannya adalah sia-sia kerana ianya tidak diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Qur'an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (al-Sunnah), serta seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (bidaah) dan setiap yang diada-adakan (bidaah) adalah sesat. (HadisRiawayat Imam Muslim)

Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia. (Hadis Riawayat Imam al-Bukhari)

Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Oleh itu memerangi amalan bidaah merupakan satu bukti yang menunjukkan kecintaan kita kepada sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan mengamalkan amalan bidaah menggambarkan pengkhianatan kita kepada dakwah baginda. Imam Malik rahimahullah berkata:

Sesiapa yang membuat bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman:

Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu. (al-Maaidah (5) : 3)
Apa yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia tidak menjadi sebahagian dari agama pada hari ini. (Penulis nukil dari kitab Meluruskan Tafsir Bid'ah karya Alwi bin Abdul Qadir al-Seqaf, ms. 14)

Oleh itu berhati-hatilah dengan amalan-amalan bidaah walaupun ianya nampak seperti amalan yang baik baik dan memiliki tujuan yang mulia. Ingat pesanan `Abdullah bin Umar radhiallahu 'anhuma:

"Setiap bidaah itu sesat, walaupun manusia memandangnya (perbuatan
bidaah tersebut) hasanah (baik)."
(Diriwayatkan oleh Imam al-Lalaka'i)

4) Menyebarkan Sunnah Nabi

Mencintai Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bukan sekadar hanya taat kepada sunnah baginda malah di antara tanda kesempurnaan perasaan cinta kepada baginda adalah dengan menyebarkan sunnah-sunnah tersebut kepada seluruh umat manusia. Sabda baginda shallallahu 'alaihi wasallam:

Hendaklah yang yang hadir menyampaikan (ajaran baginda) kepada yang
tidak hadir. (
Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Sampaikan dariku walaupun satu ayat. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Keinginan untuk menyebarkan sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, menyampaikannya serta mengajarkannya adalah satu usaha untuk menyambung tugasan baginda setelah baginda wafat. Sekiranya kerja-kerja dakwah baginda tidak ada kesinambungan pasti sunnahnya akan mati dan digantikan dengan amalan-amalan bidaah.

5) Sentiasa memujinya dan mengingatinya
Sekiranya kita mencintai Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam maka seharusnya baginda senantiasa berada di hati kita. Kita sepatutnya senantiasa mengingati pengorbanan yang telah baginda lakukan demi untuk menyelamat umatnya dari lembah kesesatan. Oleh itu hendaklah kita memperbanyakkan membaca serta mempelajari sejarah hidup baginda serta berusaha untuk menjadikan perjalanan hidup baginda sebagai cahaya yang menyuluh perjalanan kita.

Hendaklah kita hanya menyibukkan diri dengan sejarah baginda yang sahih dan menghindari cerita-cerita palsu dan lemah yang banyak tersebar dalam masyarakat. Penulis juga menganjurkan para ulamak untuk mengkaji semula kandungan kitab Barzanji ataupun Burdah al-Bushairi yang sering dibacakan dalam majlis-majlis maulid kerana di dalamnya terdapat banyak kisah-kisah palsu serta lemah yang tidak mempunyai sandaran malah boleh membawa kepada kesyirikan dan khurafat.

Disarankan juga bagi umat Islam di Malaysia untuk mendapatkan kitab-kitab Sirah Nabi yang muktabar untuk dijadikan rujukan. Hendaklah juga sirah-sirah Nabi ini diajarkan sepanjang tahun dan bukan hanya menunggu tarikh 12 Rabiulawal.

Kita juga sepatutnya sering melafazkan kata-kata pujian kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dengan pujian yang selayak baginya. Pujian yang paling utama adalah dengan berselawat kepadanya.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (al-Ahzaab (33) : 56)

Selawat-selawat yang kita ucapkan mestilah bersumber dari hadis-hadis yang sahih dan bukan selawat-selawat ciptaan manusia yang adakalanya terkandung kata-kata pujian yang berlebihan. Antara kalimah selawat yang baginda telah ajarkan adalah seperti berikut:

Sahabat bertanya kepada Rasulullah: "Ya Rasulullah sesungguhnya kami telah mengetahui bagaimana (caranya) kami mengucapkan salam kepada
mu, maka bagaimanakah cara kami berselawat kepada mu?"


Baginda menjawab : "Ucapkanlah oleh kalian : Allahumma shalli `ala Muhammad wa `ala ali Muhammad kama shallaita `ala Ibrahim wa `ala ali Ibrahim innaka hamidun majid. Allahumma barik `ala Muhammad wa `ala ali Muhammad, kama barakta `ala Ibrahim wa `ala ali Ibrahim, innaka hamidun majid. (Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia."

Dewasa ini ramai orang yang tidak ambil peduli lagi untuk benar-benar mencontohi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dalam tatacara berselawat. Malah mereka bukan sekadar menambah lafaz sayyidina atau lafaz-lafaz lain dalam selawat, tetapi ada yang sampai ke tahap menggubah tatacara atau lafaz-lafaz baru secara total tanpa ada contohnya dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam, para sahabat, generasi tabi'in, tabi'ut tabi'in mahupun imam-imam mazhab yang empat.

Pada tanggapan mereka ini adalah satu perbuatan yang lebih bermanfaat dari lafaz aslinya yang datang dari baginda shalallahu 'alaihi wasallam. Tindakan sebegini sepatutnya dihindari secara total oleh umat Islam dan kembali kepada ajaran Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang terdapat di dalam hadis-hadis baginda yang sahih. Ini adalah kerana Nabi Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam adalah makhluk yang paling sempurna ibadahnya dan yang paling mulia di sisi Allah `Azza Wa Jalla. Maka sewajarnya untuk kita tidak mencontohi ikutan yang lain selain dari baginda shalallahu 'alaihi wasallam.

Menurut Syaikh Abu Ubaidah:
Setelah kita ketahui bahawa bacaan selawat kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam merupakan sebuah ibadah dan sesuatu bersifat tauqify (terhenti sebagaimana ajaran Nabi shalallahu 'alaihi wasallam) maka kita semua wajib membaca selawat kepada beliau dengan lafaz yang telah ditetapkan...Kita tidak boleh menambah mahupun menggubah lafaz yang telah ditetapkan dengan bentuk formula selawat yang baru. Kerana tindakan itu merupakan salah satu bentuk pembangkangan terhadap pemilik syari'at (iaitu Allah Ta'ala) yang sebenarnya harus kita patuhi dan kita cintai dengan sepenuh hati. (Abu Ubaidah Mashur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Shalat, (edisi terjemahan oleh W. Djunaeidi S, Pustaka Azzam, Jakarta 2001) ms. 162)

Berselawat kepada baginda disyari'atkan dalam pelbagai ibadah seperti tasyahhud dalam solat, khutbah, solat jenazah, sesudah azan, saat berdoa, saat namanya disebut dan pelbagai kesempatan yang lain.

6) Mencintai mereka yang dicintai Nabi
Di antara tanda kecintaan seseorang kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam adalah mencintai mereka yang dicintai baginda seperti Ahlulbaitnya serta para sahabatnya serta membenci mereka yang memusuhi, membenci serta menentang dakwah baginda. Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda:


Jangan kalian mencela sahabat-sahabatku (setelah akau meninggal) dengan perkataan yang jelek seperti sasaran yang ditembak dengan anak panah. Siapa yang mencintai mereka maka aku mencintainya dan siapa yang membenci mereka maka aku aku akan membencinya. Siapa yang mencelakai mereka bererti dia telah mencelakaiku dan siapa yang telah mencelakaiku maka dia telah mencelakai Allah dan sesiapa yang mencelakai Allah maka Dia akan mengsegerakan mengazabnya. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)

Nabi shalallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Wahai manusia, sesungguhnya aku hanyalah manusia biasa yang hampir sahaja utusan Tuhanku (malaikat maut) dating menjemputku lalu aku memenuhinya. Aku akan meninggalkan kepadamu Tsaqalain (dua perkara yang berat): Yang pertama, Kitabullah yang berisi petunjuk dan cahaya. Berpegang teguhlah kepada Kitabullah. Baginda menganjurkan atas Kitabullah dan motivasi untuk itu, kemudian baginda bersabda: "Dan Ahlulbaitku, aku mengingatkan kalian kepada Allah tentang Ahlulbaitku, aku mengingatkan kalian kepada Allah tentang Ahlulbaitku. (Hadis riwayat Imam Muslim)

Secara logiknya sesiapa yang mencintai seseorang maka dia juga akan mencintai apa yang orang tersebut cintai. Hal ini dikuatkan dengan dalil dari sebuah hadis:

Bahawa sesiapa yang mencintai seseuatu maka dia mencintai segala yang disukainya, yang serupa dengannya, dan segala yang bertalian dengannya. (Diriwayatkan oleh al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam Fathul Baari)

7) Membela Nabi dari serangan golongan munafik
Dewasa ini kita melihat institusi kenabian, hukum-hukum Allah serta sunnah-sunnah baginda shallallahu 'alaihi wasallam sedang hebat diperlekehkan oleh kelompok-kelompok munafik seperti gerakan Islam Liberal, Golongan Anti Hadis, para orientalist dan lain-lain kelompok yang sesat. Oleh itu di antara tanda kecintaan kita kepada Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam adalah dengan membantah hujah-hujah golongan tersebut dan membela baginda dengan memberikan penjelasan kepada seluruh umat Islam terhadap isu-isu batil yang dibangkitkan oleh musuh-musuh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

Sesiapa yang membela kami dari gangguan orang-orang musyrik maka dia
akan mendapatkan balasan syurga.
(Hadis riwayat Imam Muslim)


Allah Subhanahu wa Ta'ala akan sentiasa menghargai mereka yang membela agama-Nya dengan memberi pertolongan kepada mereka. Firman-Nya:

Sesungguhnya Allah pasti menolong mereka yang menolong (agama)Nya.
Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.
(al-Hajj
(22) ; 40)

Demikianlah beberapa tanda-tanda yang menggambarkan hakikat sebenar mencintai Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Jelas di sini apa yang dapat kita lihat bahawa hakikat mencintai Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bukanlah satu perkara yang datang hanya setahun sekali iaitu pada tarikh 12 Rabiulawal sahaja ataupun dengan hanya menganjurkan upacara-upacara tertentu sempena Maulidur Rasul.

Mencintai Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam adalah satu proses yang berterusan dan senantiasa perlu diperhatikan setiap waktu dan ketika. Jelas juga bagi kita bahawa di antara ciri-ciri utama bagi golongan yang benar-benar mencintai baginda adalah mereka yang senantiasa berusaha untuk menegakkan sunnah serta menentang bidaah.

Semoga sambutan Maulidur Rasul di Malaysia pada tahun ini benar-benar akan menggambarkan hakikat sebenar kecintaan umat Islam di Negara ini terhadap Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam dengan menyisihkan segala amalan-amalan bidaah yang dikhususkan sempena sambutan hari yang penuh bermakna bagi seluruh umat Islam iaitu hari kelahiran junjungan kita Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.

Cinta kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dapat dibuktikan dengan ittiba' (mengikuti sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) dan bukan ibtida' (dengan mengamalkan amalan bidaah).