Tuesday, May 02, 2006

Fitnah Dan Suara Wanita

Islam memuliakan wanita sebagai manusia yang diberi tugas dan tanggungjawab yang kukuh seperti lelaki yang kelak akan mendapat pahala atau siksa sebagai balasan. Tugas yang mula- mula diberikan Allah kepada manusia tidak dikhususkan untuk lelaki tetapi juga wanita. (lihat surah Al- Baqarah: 35)

Namun dewasa ini masih banyak umat Islam yang merendahkan kaum wanita dengan cara mengurangi hak- haknya serta mengharamkan apa yang telah ditetapkan oleh syara’. Di samping itu mereka kerap menisbahkan pendapat dengan hadis Nabi s.a.w yang berbunyi: “Bermusyawarahlah dengan kaum wanita kemudian langgarlah (selisihlah)”.

Hadis ini sebenarnya palsu (maudhu’).

Mereka juga sering menisbahkan kepada perkataan Ali bin Abi Talib bahawa” wanita itu keji segalanya dan segala kekejian itu bermula dari wanita”. Perkataan ini tidak dapat diterima sama sekali kerana ia bukan dari logik Islam dan tidak ada dalam nash. Mereka juga mengatakan bahawa suara wanita itu aurat, tetapi ketika ditanyakan dalilnya yang dapat dijadikan sandaran mereka tidak dapat menunjukkannya.

Apakah mereka tidak tahu bahawa Al- Quran memperbolehkan lelaki bertanya kepada isteri- isteri Nabi s.a.w dari sebalik tabir? Bukankah isteri- isteri Nabi itu mendapat tugas dan tanggungjawab yang lebih berat, sehingga ada perkara yang diharamkan kepada mereka yang tidak diharamkan kepada selain mereka? Namun demikian Allah berfirman:

“..Apabila kamu meminta sesuatu keperluan kepada mereka (isteri- isteri nabi) maka mintalah dari belakang tabir..” (Al- Ahzab: 53)

Yang dilarang bagi wanita ialah melunakkan pembicaraan untuk menarik lelaki yang boleh diistilahkan dengan al- khudhu bil-qaul (tunduk/lunak/memikat dalam berbicara), sebagaimana firman Allah Taala:”Hai isteri- isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita lain jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucaplah perkataan yang baik”.(Al- Ahzab: 32). Namun begitu bukan bererti Allah melarang semua pembicaraan wanita dengan lelaki lain.

Orang- orang yang merendahkan wanita itu sering memahami hadis dengan salah,mereka menyampaikan hadis sahih bukhari seperti: “Tidaklah aku tinggalkan sesudahku suatu fitnah yang lebih membahayakan bagi lelaki daripada wanita”. Mereka telah salah faham. Kata fitnah dalam hadis di atas mereka ertikan dengan “wanita itu keji dan merupakan azab, ancaman, atau musibah yang ditimpakan manusia seperti ditimpa kemiskinan, penyakit dan kelaparan.” Mereka lupa suatu masalah yang penting yaitu manusia juga difitnah dan diuji dengan kenikmatan lebih banyak daripada diuji dengan musibah. Allah berfirman:

“Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan yang sebenarnya..(Al- Anbiya: 35)

Al-quran juga ada menyebut harta dan anak- anak yang merupakan kenikmatan hidup dunia sebagai fitnah yang harus berwaspada, sebagaimana firman Allah:

“Sesungguhnya hartamu dan anak- anakmu hanyalah cubaan bagimu..”

(At- Taghabun: 15)

Sebagaimana dikhuwatirkan manusia akan terfitnah oleh harta dan anak- anak, begitu juga dengan wanita. Firman Allah: “Hai orang- orang beriman, sesungguhnya di antara isteri- isterimu dan anak- anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati- hatilah kamu terhadap mereka..”(At- Taghabun: 14). Wanita menjadi fitnah apabila mereka menjadi alat untuk membangkitkan nafsu dan keinginan dalam hati lelaki. Ini merupakan bahaya yang sangat besar.



Note: Ringkasan dari Syeikh Yusof Al- Qaradhawi di dalam bukunya fatwa Mua’asharah vol.2.