Thursday, June 28, 2007

Strategi globalisasi perlu pertahan nilai agama

PENULIS buku Sejarah Tuhan dan Muhammad Sang Nabi, Dr Karen Armstrong, dalam ceramahnya di Kuala Lumpur menyebut Muhammad Abduh pernah berkata dalam lawatannya ke Perancis, “Saya melihat Islam di Perancis walaupun bukan Muslim.”

Kenyataan itu amat menarik dalam dialog Barat dan Islamnya. Dr Karen cuba mengambil perspektif agak jernih mengenai isu Islamiphobia dan menganggap ada salah faham terhadap Islam kerana faktor lain.

Barat harus melakukan apresiasi terhadap Islam, sejarah dan tamadunnya.

Apa yang disebut Dr Karen itu menarik kerana Islam bukan saja suatu sistem kepercayaan yang dilambangkan dengan keyakinan terhadap Allah dan perkara ghaib lain.

Tetapi, Islam adalah cara hidup apabila keindahan Islam itu terlihat pada watak, pemikiran, amalan dan tamadunnya.

Suatu ketika dulu pancaran Islam terlihat dalam peradaban ilmu yang menghasilkan saintis yang tersohor dan mendorong Barat menterjemah ilmu berkenaan dalam bahasa Latin dan Ibrani.

Hubungan Barat dan Timur sudah berlaku sejak lama dalam konteks ilmu dan peradaban.

Jika tidak ada faedah berbanding dalam tradisi keilmuwan Islam, mana mungkin Barat menjadikan Andalusia sebagai pusat ilmu dan rujukan dalam ilmu yang menjana peradaban pada waktu itu.

Mahu tidak mahu, Barat perlu mengakui ilmu Islam itu berguna menjana perubahan dan kemajuan ilmu di Barat.

Kitab Qanun fit Tib Ibn Sina tidak saja diterjemah ke dalam bahasa Latin tetapi digunakan di universiti di Eropah berabad-abad sebagai sumber rujukan ilmu perubatan. Ini bermakna hubungan Barat dan Islam sudah berlaku lama dulu.

Hal yang sama berlaku apabila Andalusia di bawah Islam. Hubungan penganut agama yang dibawa Nabi Allah Ibrahim berlaku dengan baik.

Orang Kristian dan Yahudi bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing. Kecenderungan untuk memahami dan memberikan apresiasi terhadap kesamaan dan perbezaan adalah asas penting dalam hubungan antara agama.

Pada hari ini, tamadun ilmu berkembang di Barat. Banyak faedah berbanding khususnya dalam bidang sains dan teknologi terdapat di Barat.

Ramai generasi muda Islam belajar di Barat mengambil ilmu yang relevan untuk mencetuskan perubahan dalam negara sendiri.

Sudah tentu ilmu itu disesuaikan dengan keperluan negara umat Islam yang berkaitan.

Malaysia umpamanya, menghantar ramai pelajarnya ke seluruh dunia untuk memanfaatkan ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains dan teknologi bagi maksud menjana kemajuan serta perubahan supaya suatu ketika nanti Malaysia mampu memainkan peranan lebih global.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cuba melakukan sintisis ilmu supaya proses integrasi dan Islamisasi berlaku dalam acuan ilmu yang sifatnya menyumbang terhadap agama dan kemajuan.

Apa yang patut Barat fahami ialah kepelbagaian adalah suatu fitrah apa lagi yang berkaitan dengan tradisi beragama. Beragama adalah suatu perkara yang baik.

Memberikan ruang yang kondusif untuk agama berkembang bermakna memberi peluang nilai yang baik subur.

Krisis manusia hari ini ialah krisis kemanusiaan. Dalam usaha memajukan sesuatu pertimbangan, nilai dan etika dilupakan.

Manusia lebih senang memikirkan bagaimana faedah kebendaan dapat digandakan, eksploitasi sumber alam berlaku dan menyuburkan kegiatan hedonistik sebagai jalan keluar. Kecenderungan itu pasti merosakkan nilai kemanusiaan seperti sedang berlaku di Barat sekarang.

Lebih-lebih lagi kuasa besar yang memiliki pertumbuhan ekonomi tinggi, kekuatan senjata canggih mempunyai cita-cita politik dan ketenteraan untuk melakukan dominasi dan hegemoni.

Faktor inilah yang banyak membawa pecah-belah, rasa tidak percaya dan syak wasangka terhadap Barat.

Oleh itu lahirnya kecenderungan terorisme, ektremisme atau pelampau bukanlah kerana faktor agama itu sendiri tetapi banyak berlaku disebabkan adu domba politik dan ekonomi yang sifatnya ideologikal.

Barat perlu belajar melakukan apresiasi dan kefahaman terhadap perbezaan dan kelainan akibat suburnya kecenderungan beragama di kalangan manusia.

Barat yang terkenal dengan julangan terhadap hak asasi manusia dan prinsip demokrasi tidak harus menjadikan isu memakai tudung sebagai isu.

Feminisme yang berkembang di Barat dan falsafah anarki dalam memahami konteks pasca-modernisme Barat tidak perlu dipaksakan berlaku dalam negara Islam.

Barat hari ini menggunakan mekanisme media cetak dan elektronik melakukan penjajahan kebudayaan terhadap manusia termasuk umat Islam. Ia banyak meninggalkan kesan negatif kepada generasi muda.

Jika objektif melakukan semua itu adalah untuk kemakmuran ekonomi dan pulangan kewangan, bayangkan berapa banyak belanja terpaksa disediakan negara sedang membangun untuk merawat kerosakan sosial dan pemikiran di kalangan generasi mudanya.

Justeru, penting bagi Barat merenung kembali strategi globalisasi dan kebaratan yang banyak menimbulkan ketegangan antara yang mahu mempertahankan nilai agama dengan gerakan yang ingin merosakkan kehidupan beragama.

Mereka percaya dengan memaksakan fahaman sekular dan liberal kepada umat manusia, maka manusia akan mencapai tahap kemajuan yang tinggi.

Apa makna keruntuhan sistem keluarga dan masyarakat, sikap tamak dan amalan rasuah berleluasa, pemujaan kepada benda dan hedonisme berlaku, konflik antara negara berterusan bagi mengisi makna maju dan moden.

Agama memandu manusia supaya mempunyai pedoman, arah pembangunan dan kemajuan berlaku dalam keadaan baik dan amanah.

Monday, June 25, 2007

Rahmat mencurah bagi Muslim bertaubat

MINGGU lalu kita membahaskan mengenai sifat takut (khasyah) kepada Allah SWT. Dalam ruangan kali ini kita sempurnakan dengan sifat harap (raja’) kepada Allah SWT. Dua sayap iaitu sayap takut dan harap membolehkan mukmin sampai ke puncak pendakian menuju Allah SWT. Jika salah satu sayapnya patah, dia tidak akan sampai kepada matlamatnya.

Raja’ atau harap kepada Allah SWT membawa maksud perasaan tenang dalam diri ketika menanti sesuatu yang disukai selepas melakukan ikhtiar dengan penuh kesungguhan manakala lawan raja’ ialah berangan menanti sesuatu yang disukai tetapi tidak ada usaha untuk merealisasikannya.

Dalam hal ini, Allah Taala menyindir mereka yang hanya berangan tanpa usaha dengan firman-Nya yang bermaksud: “(Pahala daripada Allah) itu bukanlah menurut angan-anganmu yang kosong dan bukan pula menurut angan-angan Ahli Kitab. Barang siapa yang mengerjakan kejahatan, nescaya akan diberi balasan kejahatan.” (Surah Al-Nisa’, ayat 123)

Harapan kepada Allah SWT adalah ubat penawar bagi orang yang menderita sakit putus asa daripada rahmat-Nya. Sakit ini dialami orang yang terlanjur berbuat dosa. Saat bermaksiat manusia mudah berputus asa, akhirnya ia tenggelam dalam dosa hingga ke hujung nyawanya.

Padahal Allah Maha Pengampun dan Penyayang, iblis sudah menutup jalan menuju harapan kepada Allah SWT di dalam hati orang yang pesimis. Jika manusia memiliki dosa hingga sepenuh langit dan bumi kemudian jatuh setitis harapan ke dalam hatinya kepada Allah Taala, nescaya akan terhapus segala dosa itu atas kehendak–Nya.

Allah Taala berfirman di dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Wahai anak Adam, sesungguhnya jika kamu semua masih berdoa dan berharap kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampuni kamu tanpa Aku peduli atas dosa-dosamu.” (Hadis riwayat Al-Tirmizi)

Sesungguhnya hati boleh rasa berapa jauh jarak antara kita dengan Allah Taala. Apabila iman lemah dan lalai, kemudian cuba melakukan dosa yang ringan hingga akhirnya terjerumus ke dalam dosa besar.

Melawan kesakitan batu tajam yang menghiris tapak kaki seraya merintih kepada Allah SWT, “Masih adakah keampunan-Mu untukku, Wahai Yang Maha Penyayang? Dan jawapannya, Allah SWT berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Aku menurut sangkaan hamba-Ku”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maka berharaplah dengan pengharapan yang baik kepada Allah SWT. Tiada sangka buruk atas segala takdir-Nya dan bersedia memperbaiki keadaan dengan kekuatan iman kepada-Nya.

Rasulullah SAW menghiburkan hati umatnya yang berdosa supaya mereka tidak cepat menyerah dan bersedih dengan dosa yang dilakukan. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Demi yang diriku ada di tangan-Nya, seandainya kalian tidak berdosa, tentu Allah akan mematikan kamu, lalu datang segolongan orang yang berdosa dan mereka memohon ampun dan Allah mengampuni dosa-dosa mereka.” (Hadis riwayat Muslim)

Jenis harapan kepada Allah Taala:

l Harapan taubat. Sentiasa yakin Allah SWT menerima taubat dan amal kita. Sungguh rugi orang yang tidak beristighfar padahal Allah Taala pasti mengampuninya. Ibnu Mas’ud pernah berkata, dulu ada seorang lelaki telah mencium seorang wanita. Lelaki itu datang kepada Rasulullah SAW dengan harapan dosanya dapat diampun. Maka turunlah ayat al-Quran yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat pada kedua tepi siang dan pada bahagian permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan baik itu menghapuskan kejahatan.” (Surah Hud ayat 114). Kemudian lelaki itu bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah ayat ini hanya untuk aku sendiri ya Rasulullah?” Rasulullah SAW bersabda: “Bagi seluruh umatku (yang berdosa)”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jika kita berdosa, tidak kira dosa yang ringan sekalipun, perkara pertama mesti dilakukan ialah jangan putus asa daripada rahmat dan ampunan Allah SWT. Kemudian bertaubatlah dengan cara melakukan ibadat seperti solat, sedekah, puasa dan sebagainya.

Tiada dosa yang tidak diampunkan Allah Taala. Tetapi mengapa lidah terasa berat mengucap lafaz istighfar, pada hal Rasulullah SAW mengajar kita untuk menyebutnya paling sedikit 70 kali sehari.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT mendekatkan seorang mukmin lalu meletakkannya dalam naungan-Nya dan menutupinya. Kemudian Dia berfirman: Tahukah kamu dosa ini dan ini? Orang itu menjawab: “Ya, saya mengetahuinya, wahai Tuhanku.” Hingga ia mengakui semua dosanya dan merasa bahawa dirinya pasti binasa kerana dosanya itu. Allah SWT berfirman: Aku telah menutupinya terhadapmu sewaktu di dunia dan Aku mengampuninya bagimu pada hari ini. Lalu diberikan semua catatan amal kebaikannya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

l Harapan berjumpa. Merindukan perjumpaan dengan Allah Taala, syaratnya termaktub dalam surah Al-Kahfi, ayat 110 yang bermaksud: “Barang siapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal salih dan jangan mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya.”

Orang yang sudah lama pergi meninggalkan keluarga, bermusafir ke negeri yang jauh demi mencari rezeki, pasti berasa rindu dengan kampung halaman sendiri.

Apabila tiba masanya pulang ke pangkuan ayah bonda, tidak sabar hendak berjumpa hingga tidak lena tidur malam menunggu datangnya pagi.

Begitu pula keadaannya bila orang beriman sudah sampai pada tahap bergantung hati kepada Allah Taala.

Wednesday, June 20, 2007

Bapa mengimbangi didikan anak lelaki

STATISTIK menunjukkan peratusan pelajar lelaki semakin berkurangan memasuki institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta di Malaysia. Statistik juga menyatakan anak lelaki ramai terbabit masalah salah guna dadah, berada di pusat serenti, terbabit dengan ‘mat rempit’, terjebak bencana Aids/HIV dan jenayah juvana.

Tentu ada sebab yang melatari perkara ini. Antara dikenal pasti ialah cara keluarga mengasuh dan membesarkan anak lelaki serta persekitaran yang banyak mempengaruhi mereka. Anak lelaki daripada sudut bawaan psikologi dan jasmani tidak sama dengan anak perempuan.

Umumnya, anak perempuan lebih patuh dan taat kepada ibu bapa. Anak perempuan lebih tekun mempelajari ilmu dan berjaya dalam pelajaran.

Anak lelaki dari sudut psikologi lebih suka menarik perhatian, aktivitinya perlu diraikan, kelasakan terlihat, jiwa memberontak tinggi, tidak mudah mendengar tunjuk ajar ibu bapa, lebih santai dan bersahaja, suka meniru dan mencontohi, selain kuat terpaut dengan rakan sebaya.

Fokus atau tumpuan kepada anak lelaki amat dituntut sama ada dalam keluarga mahupun di bangku persekolahan. Ia penting daripada sudut keluarga, masyarakat dan negara. Pembinaan keluarga yang ceria dan bahagia bergantung kuat kepada jenis lelaki yang bakal menjadi suami. Jika suami orang berilmu, amanah, penyayang, penyabar dan sentiasa menjadi contoh kepada isteri dan anak, rumah tangga akan bahagia.

Rumah tangga yang lelakinya lepasan pusat serenti, terbabit dengan penagihan dadah, terjebak dalam kenakalan muda dan remaja, ilmu pengetahuan dan kelulusan yang rendah, rumah tangga cenderung menghadapi masalah dan musibah.

Inilah dilema wanita dalam mencari pasangan hidup. Setiap wanita memerlukan pasangan lelaki yang amanah, bertanggungjawab, mempunyai jiwa pengasih dan penyayang tinggi dan selalu memberi tunjuk ajar kepada isteri dan anak. Banyak kes perceraian, penderaan, sifat bengis dan garang suami yang tidak bertempat menyebabkan ruamh tangga gagal dan anak kehilangan contoh yang baik di rumah.

Tumpuan perlu diberi pada setiap tahap dan peringkat pendidikan anak lelaki dengan didikan dan asuhan terbaik. Ia tidak bermakna pendidikan anak perempuan diabaikan. Fokus terhadap pendidikan anak lelaki bermakna komunikasi lebih tinggi antara ibu bapa dengan mereka.

Ibu memiliki sifat kasih sayang yang tinggi. Sejak awal kelahiran lagi perhatian kepada anak lelaki harus dititikberatkan. Bapa pula adalah pemimpin dalam keluarga. Bapa harus ada wibawa mendidik dan membentuk watak anak kerana pada bapalah contoh terbaik bagi anak lelaki yang suatu ketika nanti bakal menjadi bapa.

Bapa dicontohi kerana kewibawaannya sebagai suami dan pelindung ibu dan anak. Ibu dicontohi kerana kualiti kasih sayang , kelembutan dan kesantunan yang perlu bagi mengimbangkan disiplin, ketangkasan serta aktiviti pada anak lelaki. Bapa lazimnya mempunyai kualiti yang bakal diteladani anak kerana bapa adalah pemimpin keluarga.

Menjadi bapa tidak semudah menjadi suami. Bapa mempunyai tanggungjawab besar menentukan ibu mendapat keadilan dan kasih sayang. Bapa perlu berilmu dan ketrampilan mendidik supaya anak lelaki dibesarkan dalam keperluan bakat, naluri yang ada, begitu juga anak perempuan.

Bayangkan gambaran bapa yang bengis, hilang daya komunikasi dengan anak lelaki, tidak cuba memahami gelojak jiwa mereka, kurang arif menyatakan salah benar, boleh dan tidak boleh akan sesuatu menyebabkan anak lelaki hilang tempat rujukan serta putus tempat mengadu. Anak lelaki ini tidak berasakan rumah tempat selamat baginya dan bapa adalah pengimbang didikan serta asuhan terbaik.

Anak lelaki jangan dibiarkan berwatak lasak tanpa ditanamkan perasaan malu bertempat, pedomankan aktiviti jasmaninya supaya sentiasa dalam adab dan kesantunan. Kelasakan fizikal perlu diimbangi dengan ketangkasan minda dan keteguhan rohaniah.

Peribadi anak lelaki yang baik ialah cerdas akal fikirnya, hebat daya juangnya dan murni jalan hatinya.

Anak lelaki yang mempunyai peribadi seimbang bakal menjadi suami baik yang sifatnya menjadi teladan. Gadis kurang masalah mencari pasangan yang baik dan dipercayai. Keluarga akan ceria dan bahagia kerana bapa adalah seorang yang amanah.

Bapa yang berkualiti menjadikan pendidikan anak suatu keutamaan. Jika setiap keluarga memberikan fokus seimbang dalam melakukan pendidikan khususnya anak lelaki, jumlah generasi lelaki bermasalah akan dapat dikurangkan.

Bapa perlu mempunyai ilmu kebapaan. Ketrampilan mendekati anak lelaki dengan adab, disiplin, kesantunan menerusi daya komunikasi yang tinggi supaya bapa menjadi sumber rujuk dan teladan bagi anak lelaki sehinggalah anak lelaki boleh mandiri dengan bakat dan kebolehannya.

Jika isu anak lelaki dapat dijadikan agenda keluarga, sekolah, masyarakat dan negara, masalah ketirisan anak lelaki di tempat strategik dalam keluarga, masyarakat, kepakaran, kepemimpinan, sektor profesional boleh diatasi dengan berkesan. Keluarga adalah ejen perubah dan pembentuk yang paling utama kepada anak, khususnya anak lelaki.

Monday, June 18, 2007

Tajdid Iman: Ilmu dapat jauhi maksiat, dosa

Tarbiyah diri bimbing umat Islam sentiasa harap, takutkan balasan Allah

ALI bin Abu Talib berkata: “Seorang alim dan bijaksana adalah orang yang tidak membuat muridnya berputus asa daripada rahmat Allah dan tidak pula membuat mereka merasa aman daripada pembalasan Allah.”

Kita semua adalah guru yang menonton dan membimbing hati kita sendiri supaya ia menjadi hidup dan selamat. Istilah dalam al-Quran menyebut hati sebagai ‘qalbun salim’. Untuk itu, kita memerlukan dua tonggak keimanan bagi mendapat keseimbangan dalam kehidupan.

Umpama seekor burung dengan dua sayapnya, jika satu patah, maka ia tidak boleh terbang dengan sempurna. Sifat takut dan harap kepada Allah menjadi suatu kemestian wajib dimiliki orang yang beriman.

Jika jalan menuju Allah itu jauh terbentang di hadapan, maka di sisi jalan itu ada terminal untuk mengambil bekalan. Di antara terminal itu ada dua terminal mesti disinggahi dan tanpanya kita tidak akan sampai kepada Allah Taala. Ia adalah sifat takut (khawf) dan harap (raja’) kepada Allah.

Manusia memerlukan ilmu untuk menimbulkan rasa takut kepada Allah Taala. Proses belajar dan mengkaji tidak boleh berhenti, demi mendapatkan keyakinan dalam hati hanya Allah berhak ditakuti.

Rasulullah SAW pada suatu pagi selepas menunaikan sembahyang Subuh bersama sahabat, Baginda SAW memulakan proses mengajar dan mentarbiyah mereka dengan nasihat yang menyentuh jiwa.

Sehingga seorang sahabat berkata: “Ya Rasulullah seakan-akan ini adalah wasiat terakhir darimu.” Maka Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Seandainya kamu semua memahami seperti aku memahami, sudah tentu kamu lebih banyak menangis dan sedikit tertawa dan kalian akan keluar menuju ke padang pasir sambil berseru meminta tolong kepada Allah. Mintalah kepada-Ku, mintalah kepada-Ku!” (Hadis riwayat al-Tirmizi). Mereka menutupi wajah seraya menangis mendengar sabda Rasulullah SAW itu.

Mungkin kita sudah memiliki rasa takut kepada Allah hari ini tetapi bolehkah kita menjamin ia berkekalan hingga kita mengadap-Nya? Jiwa manusia sentiasa berubah mengikut arus menyebabkan ia hilang rasa sensitiviti ketakutan sebenar.

Antara punca manusia hilang rasa takut kepada Allah ialah menganggap remeh terhadap dosa dan maksiat, lalai dengan dunia akibat terpengaruh oleh pergaulan bebas dan hatinya sememangnya bebal.

Manakala, tanda bagi mereka yang takut kepada Allah menurut Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah ialah: “Orang yang takut pasti segera mengerjakan kebaikan sebelum maut menjemput dan sentiasa mengisi waktunya dengan kebaikan dan ketaatan.”

Bagaimana menimbulkan rasa takut kepada Allah?


Menguasai dengan sepenuh jiwa kalam Allah dan sabda Rasul-Nya. Proses mentarbiyah diri sendiri harus berjalan sepanjang masa hingga ajal menjemput kita. Hanya ilmu yang hidup di dada membuahkan rasa takut kepada Allah.

Sumber segala ilmu adalah al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Membaca dan merenungi keduanya membuat hati menjadi lembut dan rela ditunduk. Ibnu al-Jauzi pernah berkata: “Demi Allah, seandainya seorang mukmin yang berakal membaca surah al-Hadid, penghujung surah al-Hasyr, ayatul Kursi dan surah al-Ikhlas nescaya kalbunya terpecah kerana takut kepada Allah dan tersentak kerana kebesaran dan kekuasaan Tuhannya.”

Bagaimana mungkin orang yang menghindari nasihat ulama dan benci kepada majlis ilmu memiliki rasa takut (khasyah). Jiwa tanpa agama adalah umpama seorang sudah tercabut roh daripada jasadnya. Dia hidup tetapi mati.

Maha Benar Allah dengan firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya ialah mereka yang berilmu (ulama).” (Surah Al-Fathir, ayat 28)

Dalam hal kecintaan, ketundukan dan ketakutan kepada Allah, kita disuruh menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan. Baginda bersabda yang bermaksud: “Aku adalah orang yang paling mengetahui di antara kamu mengenai Allah dan aku adalah orang yang paling takut kepada-Nya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Membandingkan diri kita dengan orang yang sudah diselamatkan oleh Allah. Apakah amal salih kita sama banyak dengan mereka? Atau jauh ketinggalan berbanding mereka? Tetapi sayang, bukan semua orang boleh selamat. Tidak semua orang menjadi pilihan Allah. Adakah kita layak menjadi salah seorang daripada mereka?

Berapa ramai orang yang beramal tertolak segala amalnya dan orang yang berilmu tertipu oleh kedudukan dan ilmunya? Hanya yang Allah kehendaki terselamat daripada seksaan. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan jika Kami menghendaki, nescaya kami beri tiap-tiap jiwa petunjuk (baginya). Akan tetapi telah benar ketetapan dari-Ku: Sesungguhnya akan Aku penuhi neraka jahanam itu dengan jin dan manusia.” (Surah Al-Sajadah, ayat 13)


Memikirkan nasib diri ketika mati, hari kebangkitan dan hari penghisaban. Orang yang sebati jiwa dan raganya dengan kehidupan dan kenikmatan dunia mudah terlupa bahawa satu masa nanti semua itu akan dipisahkan daripadanya. Kenikmatan itu lenyap sekelip mata dan menjelmalah ruang dan waktu asing dan menyeksakan.

Di kalangan manusia ada yang menunggu hari perjumpaan dengan Allah Taala dan berharap diterima dengan reda. Dalam pada itu, ramai juga yang benci mengingati mati. Jangankan hendak bersedia menghadapi detik sakaratul maut, saat Allah Taala menyembuhkan dirinya daripada sakit suatu masa dulu pun sudah tidak sudi diingat lagi. Ketika susah Allah tempatnya mengadu, ketika senang lupa akan pertolongan-Nya. Begitu hebatnya ujian dunia mengaburi mata hati manusia.

Dalam hadis kudsi, Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Demi keagungan dan kebesaran-Ku, Aku tidak akan menghimpun dalam diri seorang hamba dua rasa takut dan dua rasa aman. Apabila dia takut kepada-Ku di dunia nescaya Aku akan memberikan keamanan kepadanya pada hari kiamat, dan apabila dia merasa aman (daripada Seksa-Mu) di dunia, nescaya Aku akan membuatnya takut pada Hari Kiamat.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Friday, June 15, 2007

Terbabas Lidah

“Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain”(Al-Hujurat ayat 12)

Lidah mempunyai banyak selekoh-selekoh bahaya. Imam Ghazali membahagikannya kepada 20 bahagian.


SELEKOH KELIMABELAS : Mengumpat

Umpatan ialah mengatakan sesuatu tentang seseorang di belakangnya yang andaikata diketahuinya pasti tidak akan disenangi olehnya. Perkara yang dikatakan itu mungkin berkaitan dengan keaiban dan kekurangan yang ada pada fizikal, keturunan, kelakuan, perbuatan, perkataan, dunia atau agama seseorang. Malah jika ianya berkaitan dengan pakaian, rumah serta kenderaannya sekalipun, ia tetap dihukum sebagai mengumpat. (Ihya Ulumuddin bab ‘Bahaya Lidah’)

Di zaman Rasulullah telah berlaku insiden di mana Maiz bin Malik Al-Aslami telah berzina, maka diapun dihukum oleh Rasulullah. Seorang lelaki, ketika melihat Maiz sedang dihukum, telah berkata kepada rakannya: ‘Orang ini mati di tempatnya seperti matinya anjing di tempatnya.’ Ketika mereka beredar, mereka telah bertemu dengan seketul daging bangkai di tepi jalan. Ketika itu Nabi terus bersabda kepada mereka:
“Apa yang kamu perolehi dari (umpatan ke atas saudaramu) adalah lebih busuk dari bangkai ini.” (Abu Daud & An-Nasai – Isnad Baik)

Imam al-Ghazali telah membahagikan umpatan kepada beberapa bahagian, di antaranya ialah:

Mengumpat Tubuh Badan

Contohnya, kita mengatakan bahawa seseorang itu juling, botak, hitam, pendek, kurus dan yang seumpamanya yang pasti kurang disenangi oleh tuan tubuhnya walaupun ia adalah benar.

Mengumpat Keturunan

Termasuk di dalam bahagian ini kita mengatakan bahawa seseorang itu berasal dari keturunan lanun, pencuri, perompak, penipu, penyokong kezaliman dan yang seumpamanya.

Mengumpat Kelakuan

Contohnya kita berkata: “Dia itu kedekut, panas baran, pemalas, penakut,” dan yang seumpamanya.

Mengumpat Tentang Agama Seseorang

Contoh yang jelas ialah bila kita mengatakan bahawa seseorang itu malas bersolat, atau solatnya seperti lipas kudung atau dia tidak menjaga puasanya atau tidak pandai membaca Al-Quran dan yang seumpamanya.

Mengumpat Tentang Aspek Duniawi

Contohnya kita berkata, “Dia itu banyak tidur, banyak makan, banyak cakap, ramai isteri” dan yang seumpamanya.

Mengumpat Tentang Pakaian

Contoh yang boleh kita berikan ialah kita mengatakan bahawa pakaian seseorang itu kotor dan berdaki atau jahitan bajunya tidak halus atau dari jenis kain yang tidak berjenama, dan yang seumpamanya.

Semua ini telah diharamkan oleh Allah.

Imam Hasan al-Basri telah berkata: “Sebutan tentang orang lain (yang diharamkan agama) mempunyai 3 bahagian, iaitu, al-ghibah (mengumpat), al-buhtan (berdusta) dan al-ifk (memfitnah). Al-ghibah ialah mengatakan tentang keaiban yang sebenarnya ada pada seseorang. Al-buhtan pula ialah mengatakan tentang sesuatu yang tidak ada padanya manakala al-ifk ialah menghebahkan cerita tentang orang lain (tanpa usul periksa.)” (Ihya ‘Bahaya Lidah’)

Umpatan dengan lidah adalah diharamkan termasuk yang berbentuk sindiran, perlian dan yang seumpamanya. Namun mengumpat juga boleh berlaku di dalam bentuk yang lain, seperti menggunakan bahasa isyarat, memberi isyarat dengan mata, menulis, melakar, menggunakan animasi atau kartun. Bila kesemuanya bertujuan untuk menceritakan tentang keaiban dan kekurangan orang lain, ia adalah haram dan akan mendatangkan dosa besar kepada kita.

Aisyah r.a pernah menceritakan tentang seorang wanita yang telah bertandang ke rumahnya. Ketika wanita itu berpaling untuk balik Aisyah telah mengisyaratkan dengan tangannya bahawa wanita itu pendek. Ktika itu Nabi terus bersabda: “Engkau telah mengumpatnya.” (Ibn Abi Dunya)

Hukum Mendengar Umpatan

Mereka yang mendengar sesuatu umpatan dengan penuh minat sebenarnya telah bersekongkol dengan si pengumpat dalam melakukan dosa besar, apatah lagi jika dia berperanan mendorong dan merangsang si pengumpat untuk meneruskan umpatannya. Imam Al-Ghazali telah berkata:

“Orang yang membenarkan sesuatu umpatan sebenarnya telah mengumpat. Malah mereka yang diam juga telah bersekutu dengan si pengumpat.” (Ihya bab ‘Bahya Lidah’)

Nabi telah bersabda: “Yang mendengar adalah salah seorang dari mereka yang telah mengumpat.” (Thabrani)

Imam Al-Ghazali telah mencadangkan beberapa tindakan untuk dilakukan oleh mereka yang telah mendengar kalimat-kalimat umpatan di ucapkan di dalam sesuatu majlis.

“Mereka yang mendengar sesuatu umpatan tidak terlepas dari dosa mengumpat kecuali jika dia menentang dengan lidahnya ataupun mengengkari dengan hatinya jika dia berasa takut. Jika dia mampu bangun dan meninggalkan majlis itu atau memotong percakapan orang itu dan mengubah topiknya kepada topik yang lain, tetapi dia tidak melakukannya, maka dia tetap berdosa.” (Ihya; Ibid)

Berkaitan dengan ini, Nabi telah bersabda:

“Sesiapa yang tidak menolong seseorang mukmin yang telah dihina disisinya, sedangkan dia mampu untuk menolongnya, Allah akan hinakannya di hadapan orang ramai pada hari kiamat.” (Ahmad & Thabrani – Hadis Hasan)

Mengumpat Adalah Lebih Dahsyat Daripada Zina?

Jabir bin Abi Said telah meriwayatkan sabda Rasulullah: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu adalah lebih teruk daripada zina. Sesungguhnya seseorang yang berzina itu mungkin akan bertaubat dan Allah menerima taubatnya sedangkan seseorang yang mengumpat tidak akan Allah ampunkan dosanya sehingga di maafkan oleh saudaranya.” (Ibn Abi Dunya & Ibn Hibban)

Justeru itu marilah sama-sama kita memelihara lidah kita agar ia tidak menambahkan dosa di atas dosa-dosa yang telah sedia pada kita.

Monday, June 11, 2007

Tajdid Iman: Didik anak hargai nikmat kehidupan

Persekitaran bebas gejala negatif unsur utama kekuatan akidah, akhlak.

SEORANG kanak-kanak Palestin pergi ke sekolah sambil menangis kerana terlambat masuk ke kelas akibat angkara tentera Yahudi yang menahannya di tengah jalan. Sepanjang hari dia menangis pada hal gurunya tidak memarahinya. Selepas puas dipujuk, dia menyatakan rasa kecewanya: "Saya tidak mahu kerana saya datang lambat, rakyat Palestin akan terus merana dan dibunuh Yahudi."

Kanak-kanak itu teringat pesan cikgunya kelmarin: "Jika kamu sengaja lambat hadir ke sekolah bermakna kamu melambatkan usaha kemerdekaan negara kita."

Anak kita pada musim cuti yang berlalu, kita hargai mereka dengan pelbagai macam hadiah istimewa, mungkin pakej percutian yang menggembirakan sebagai rangsangan supaya mereka lebih berusaha dalam bidang pelajaran.

Limpahan rasa syukur atas segala nikmat Allah Taala di bumi Malaysia bertuah ini. Begitu jauh perbezaan di antara anak di Palestin dibandingkan dengan anak kita. Bukan bermaksud untuk merendahkan usaha ibu bapa di Malaysia yang sememangnya patut dibanggakan dan juga bukan bermotifkan fahaman yang terlalu idealis, jika kita cuba menyelami dasar hati dan bertafakur. Adakah usaha kita sebagai ibu bapa yang soleh sudah cukup sempurna?

Lihatlah wajah tak berdosa anak Palestin, dari manakah sumber kekuatan yang mereka dapat untuk menghadapi hari-hari yang menyeksakan. Anak kita juga memiliki hati dan perasaan seperti mereka.

Namun, hati jenis apakah yang mampu menguasai zahir dan batin sambil menelan segala kepedihan, melihat ayah dan ibu dibantai di depan mata. Dari manakah mereka memperoleh segenap kekuatan tidak makan dan minum selama beberapa hari kerana sekatan Yahudi?

Setebal manakah kesabaran anak-anak itu menggendong mayat adik bayi yang ditembak tepat ke arah jantungnya. Padahal baru saja adik bermain, ketawa dan bermanja di pangkuan abangnya itu.

Lalu kita memandang wajah anak kita di dalam bilik tidur yang selesa, tiada nyamuk boleh menggigit, bilik yang aman daripada sebarang bentuk kejahatan.

Anak kita yang dijaga dengan baik dan kalau boleh jangan disuruh merasai susah, mereka dewasa bersama segala kemudahan dan kesenangan.

Jika bukan dengan didikan ibu dan bapa yang beriman kepada Allah Taala, hampir-hampir mereka menjadi manusia yang tak mengerti bagaimana menghargai hidup ini.

Saidina Umar bin al-Khattab RA pernah menasihati seorang bapa yang datang mengadu perihal anaknya yang derhaka. Umar berkata: "Sesungguhnya kamu lebih dulu menderhakai anakmu." Kerana bapa tidak memberi nama yang baik dan tidak pula mendidik anaknya dengan ajaran agama.

Sebagai ibu bapa zaman moden, di samping membekalkan anak dengan pelbagai ilmu dan teknologi serba hebat, kita pula dituntut untuk kembali kepada ajaran agama yang kukuh dan relevan sepanjang zaman.

Bentuk kesedaran kepada agama dalam masyarakat moden boleh kita lihat di mana-mana. Apabila ibu bapa memberi peluang anak mereka mengikuti kelas agama di samping kelas tuisyen, kelas piano, kelas komputer dan kelas drama.

Mereka melihat keperluan yang amat penting untuk mendapatkan siraman rohani pada diri anak zaman canggih ini.

Dari manakah datangnya kekuatan rohani pada diri anak kita? Jika boleh, kelebihan ilmu dan kebendaan yang mereka dapat, disempurnakan lagi dengan kekuatan mental dan rohani seperti anak Palestin.

Antara sumber kekuatan yang semestinya dibekalkan kepada seorang anak ialah:


Kekuatan akidah

Kewujudan Allah Taala sepatutnya terang dan nyata dalam kehidupan anak. Wujud rasa dilihat, didengar dan diperhati oleh Allah Taala. Ia harus mula ditanamkan dalam diri anak sejak kecil. Mengenal Allah sebagai Penguasa yang memiliki nama yang indah dan sifat yang hebat akan mempengaruhi jiwa sebagai hamba, bukan sebagai tuan dan bukan pula penderhaka.

Satu kisah diceritakan dalam sebuah masjid yang sunyi. Datang seorang lelaki yang mahu bermunajat kepada Allah SWT. Dia melihat seorang kanak-kanak berumur kira-kira 10 tahun duduk di sebelah tiang masjid sedang berdoa sambil mengalir air matanya.

Lelaki itu menghampiri dan bertanya: "Wahai budak kecil, siapakah kamu?" Dia menjawab: "Saya yatim piatu." Lelaki itu bertanya lagi: "Mahukah kamu menjadi anakku?" Dia menjawab: "Jika aku lapar mahukah kamu memberiku makan? Dan jika aku tidak memiliki baju bolehkah pula kamu membelikannya untukku?

Lelaki itu tersenyum menandakan setuju. Tetapi ada lagi satu permintaan budak kecil itu: "Jika aku sakit dapatkah kamu sembuhkan diriku?" Lelaki itu berkata: "Tidak wahai anakku, aku tidak sanggup." Budak kecil itu bertanya lagi: "Apakah kamu dapat menghidupkanku apabila aku mati? Tentu saja lelaki itu menggelengkan kepalanya.

Anak itu menyambung kata-katanya: "Kalau demikian, biarlah aku bergantung kepada Zat Yang Menciptakan aku. Dialah Allah yang memberiku petunjuk, memberi makan dan minumku. Jika aku sakit Dialah yang menyembuhkanku, Yang Mengampuni segala kesalahanku pada hari penghisaban nanti."


Kekuatan akhlak

Manusia dilahirkan dengan potensi hebat yang menyerlahkan keperibadiannya. Allah Taala membekalkan manusia dengan akal dan hati. Kedua-duanya adalah tenaga dalaman diperlukan untuk memproses perbuatan, tingkah laku dan gerak geri manusia.

Akhlak kita memang berkait rapat dengan hati dan akal. Jika sihat akal dan hati, maka sihat pula perangainya. Seorang anak manusia memproses segala rangsangan yang dilihat, didengar dan dirasa dari sekelilingnya.

Dia mempunyai kemampuan untuk meniru apa-apa yang disukai. Sudah menjadi tugas dan tanggungjawab ibu bapa menyediakan persekitaran yang bebas daripada unsur negatif.

Kita bertanggungjawab memberi asuhan dan tuntutan akhlak mahmudah kepada anak. Hal ini bukan perkara yang mudah kerana tak kurang ibu bapa yang berpura-pura baik di hadapan anak sekadar memberi teladan.

Ada juga yang tak peduli dengan nilai yang dibawa masuk ke rumah sehingga anak mencontohi perkara negatif itu. Nasihat memang ada manfaatnya tetapi yang paling berkesan dalam mengajar anak berakhlak adalah dengan menunjukkan bagaimana cara melakukannya, beri teladan yang baik dan bersama-sama melakukannya.

Tidak timbul persoalan munafik dan percanggahan dalam mendidik anak kerana ia akan menyebabkan hilang kepercayaan anak kepada ibu bapa.

Hadis al-Bukhari dan Muslim menyebutkan, antara tanda-tanda hari kiamat adalah ramai anak menderhaka? Apakah ia terjadi kerana ramai pula ibu bapa yang tidak mengerti mendidik anak? Tiada manusia yang sempurna, tetapi kena berusaha untuk menjadi sempurna.

Daripada Penerokaan Alam Kepada Penagungan Terhadap Allah

Penguasaan ilmu-ilmu tentang alam dan kosmos menyedarkan kita tentang keagungan Allah. Bayangkan satu kosmos yang mempunyai 70 sextilion (iaitu 7 diikuti dengan 22 kosong) bintang-bintang. 70 sextillion menyamai 10 kali ganda jumlah pasir yang terdapat di semua pantai dan gurun di dunia ini.

Sebahagian daripada bintang-bintang adalah lebih besar daripada matahari. Malah bintang-bintang yang bernama KW Sagitarii, V354 Cephei dan KY Cygni adalah 1,500 kali lebih besar daripada matahari, seperti yang dinyatakan dalam Universe Today pada tanggal 11 Januari 2005.

Namun 12-14 bilion tahun dahulu kosmos berukuran beberapa milimeter sahaja, sebelum ia mengembang ke tahap yang boleh dilihat pada hari ini. Cuba bayangkan keadaan pada hari ini, bintang yang terdekat dengan matahari, iaitu Proxima Centauri, berada 25 trilion batu (40 trilion kilometer) daripada matahari. Cahaya yang datang daripada bintang ini akan mengambil masa 4.2 tahun cahaya (light years) untuk sampai ke matahari, dan satu tahun cahaya menyamai 5.88 trilion batu atau 9.46 trilion kilometer.

Alangkah luasnya kosmos ini. Keluasannya tidak mampu dijangkau oleh minda. Ia menginsafkan kita tentang kekerdilan diri kita sebagai insan. Agak-agaknya dalam peta kosmos ini, secara relatifnya, besar manakah kita sebagai seorang insan? Sebesar satu titik pena, sebesar debu atau hanya sebesar atom? Alangkah kerdilnya insan. Benarlah Allah yang berfirman dalam surah al-Mukmin ayat 57 yang bermaksud, “Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi adalah lebih besar daripada penciptaan manusia akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Bintang-bintang yang wujud di kosmos pula tidak pegun. Ia bergerak, ia berputar, ia berpusing dan di saat kehancurannya ia meletup dengan satu letupan yang amat dahsyat. Namun alam terus wujud dalam keadaan harmoni, suasana kosmos tetap stabil dan bumi tidak terkesan dengan semua itu.

Siapakah yang menentukan kesemua ini? Perancangan siapakah yang menyebabkan bintang-bintang ini tidak berlanggaran antara satu dengan lain? Siapakah yang menentukan kestabilan kosmos selepas letupan bintang yang dahsyat yang dikenali sebagai supernova berlaku? Sudah pasti perancang dan pencipta ini maha hebat, dan sudah pasti dia mencipta segala ini dengan penuh kehalusan dan kasih sayang.

Allah berfirman dalam surah al-An’am ayat 12 yang bermaksud, “Katakanlah, ‘Kepunyaan siapakah apa yang ada di langit dan di bumi?’ Katakanlah, ‘Ia kepunyaan Allah.’ Dia telah menetapkan ke atas dirinya kasih sayang.”

Memang benar, kosmos dan apa yang terdapat dalamnya amat mengagumkan kita. Namun apabila fenomena-fenomena yang berlaku ini (yang rata-ratanya hanya baru difahami pada abad ke-20), dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran, kekaguman kita meningkat. Al-Quran menyatakan bahawa langit dan bumi pada asalnya bercantum padu sebelum kedua-duanya dipisahkan (al-Anbiya ayat 30). Al-Quran juga menyatakan bahawa langit dan bumi dicipta daripada asap (Fussilat ayat 11).

Tambahan daripada itu, daripada al-Quran kita mengetahui bahawa kosmos sebenarnya sedang mengembang (az-Zariyat ayat 47), dan begitulah seterusnya. Kekaguman ini akhirnya melahirkan iman dan keyakinan seperti yang telah berlaku kepada profesor Tejatat Tejasen, pakar anatomi daripada Universiti Chiang Mai.

Justeru benarlah firman Allah dalam surah Fussilat ayat 53 yang bermaksud, “Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di segenap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu benar.”......

Kecemerlangan Islam

Dalam Palm Beach Post bertarikh 6 November, 2002, di bawah tajuk Convert Finds Women's Rights in Islam, Elizabeth Clarke melaporkan, "Empat belas tahun dahulu Mimi Ma bekas pelajar sekolah berasrama penuh di Indiana memeluk Islam semasa berumur 18 tahun.

Beliau dilahirkan di Vietnam dan dibesarkan sebagai seorang penganut agama Budha. Kemudian beliau berpindah ke Afrika dan di sana beliau menganut agama Kristian sebelum berpindah ke Amerika. Mengikut Altaf Ali, pengarah Majlis Hubungan Amerika-Islam yang berpusat di Florida, 'sebelum ini mereka yang memeluk Islam kebanyakannya adalah dari golongan Afrika yang menetap di Amerika tetapi pada hari ini semakin ramai dari kalangan kulit putih yang memeluk Islam. Ini adalah suatu perkembangan yang pelik'."

Kepelikan ini akan terus berlaku kerana Islam adalah agama kebenaran yang mempunyai keunikannya yang tersendiri. Ia adalah agama yang saintifik, mudah, komprehensif, fleksibel serta sesuai bagi seluruh umat manusia. Apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam pada hari ini adalah memantapkan ilmu pengetahuan, melaksanakan amal salih, menunjukkan contoh yang baik serta berperanan pada penjuru masing-masing bagi menyebarkan risalah Islam. Umat Islam tidak boleh mengutamakan aspek ranting seperti pemakaian serban dan janggut, tidak boleh bergelumang dalam debat membuang masa membincangkan perkara ranting dan khilafiah, juga tidak boleh mengikut emosi sehingga bertindak melampaui batas ke atas musuh-musuh Islam. Orang-orang Islam perlu matang dalam segala tindak tanduk mereka kerana setiap perlakuan mereka memberi kesan pada agama Islam. Golongan muda adalah asset yang amat penting pada akhir zaman ini. Apabila mereka berjaya dididik dengan baik, masa depan Islam menjadi cerah.

Walau bagaimanapun, berdepan dengan sistem nilai buih yang sedang melanda dunia hari ini, terpaksa diakui, tugas pendidikan adalah amat mencabar. Propaganda media massa akhir zaman berjaya mengubah nilai hidup manusia seperti zina dianggap halal, artis-artis yang rendah moral menjadi ikutan, pergaulan bebas dianggap lambang kemajuan, pendedahan tubuh badan menjadi simbol kebebasan dan amanah menjadi bahan permainan.

Rata-ratanya nilai hidup yang ditekankan pada hari ini adalah berasaskan 'formula rugi' tetapi pakar-pakar menegaskan ia adalah 'formula untung'. Inilah yang sedang berlaku pada hari ini dan dalam surah al-Kahfi ayat 104 Allah berfirman, "(Orang-orang yang paling rugi adalah) mereka yang sia-sia perbuatannya di dunia sedangkan mereka menyangka perbuatan mereka adalah yang terbaik." Jiwa dan minda golongan muda perlu dihidupkan supaya mereka dapat membezakan antara permata dan kaca. Apabila ini berjaya dilakukan, perubahan ke arah kebaikan akan terlaksana.

Kemuncak kehidupan ini adalah memiliki iman yang sejahtera serta amal yang berkualiti yang diredai Allah. Apabila kedua-duanya dapat dipelihara dengan baik, manusia terselamat daripada pancaroba akhir zaman. Dalam surah al-Kahfi ayat 107, Allah menegaskan, "Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal salih, bagi mereka syurga Firdaus sebagai tempat tinggal." Dalam surah al-Kahfi ayat 110 pula, Allah berfirman, "Sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia melakukan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Allah."

Islam akan bersinar semula di atas muka bumi walaupun cuba dihalangi oleh musuh-musuhnya. Dalam surah as-Saff ayat 8, Allah berfirman yang bermaksud, "Mereka berkehendak memadam cahaya agama Allah dengan mulut (ucapan) mereka. Allah tetap akan menyempurnakan cahaya agamanya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir."

Justeru, dalam menggerakkan dakwah, perasaan kecewa dan putus asa perlu dipinggirkan apatah lagi semasa berdepan dengan musuh yang mempunyai kekuatan yang hebat. Keyakinan pada bantuan Ilahi perlu sentiasa tersemai di hati kerana Allah tidak pernah memungkiri janji. Antara janji-janjinya adalah seperti yang terdapat surah al-Haj ayat 38 yang bermaksud, "Allah pasti menolong mereka membantu agamaNya."