Saban tahun 12 Rabiulawal muncul, maka saban tahun juga polemik tentang sunnah atau bidaahnya menyambut Maulidur Rasul akan muncul. Pihak yang menentang sambutan Maulidur Rasul menyatakan sambutan tersebut adalah bidaah kerana ianya tidak pernah dilaksanakan pada zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan sahabatnya radhiallahu 'anhum serta zaman para salafussoleh. Malah imam-imam mazhab yang empat seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi'i dan Imam Ahmad rahimahumullah juga tidak pernah menganjurkan sambutan Maulidur Rasul ini.
Timbul persoalan adakah mereka semua ini tidak mencintai Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana generasi sesudah mereka yang menganjurkan sambutan Maulidur Rasul? Bagi pihak yang menyokong sambutan ini mereka beranggapan ianya adalah bidaah yang baik (hasanah) dan hanya bertujuan untuk mengagungkan baginda shallallahu 'alaihi wasallam dan mencerminkan kasih sayang kita kepada baginda. Apatah lagi tidak terdapat larangan yang khusus dari Allah Subhanahu wa Ta'ala serta Rasul-Nya terhadap sambutan Maulidur Rasul ini.
Sebagaimana yang kita maklum bahawa golongan yang pertama kali mengadakan upacara sambutan Maulidur Rasul ini adalah Bani Ubaid al-Qadah dari kelompok Fathimiyah yang memerintah Mesir bermula dari 362 sehingga 567 Hijrah.
Mereka ini berfahaman syi'ah rafidhah dan juga terpengaruh dengan aliran Qaramithah al-Bathiniyah iaitu kelompok yang terkeluar dari Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Kerajaan Fathimiyah ini menganjurkan upacara peringatan Maulidur Rasul ini bukan di atas dasar cinta kepada Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam tetapi tujuan utama mereka adalah berunsur politik yakni untuk mencari pengaruh serta sokongan dari rakyat untuk menutupi kesesatan mereka. Jika mereka inilah pelopor sambutan Maulidur Rasul, jadi bagaimanakah caranya para salafussoleh mempamerkan kecintaaan mereka kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam? Tentu sekali kita telah fahami bahawa golongan yang paling mencintai Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam adalah para sahabatnya dan generasi yang terbaik menurut menurut baginda shallallahu 'alaihi wasallam adalah para sahabat, tabi'in dan tabi'ut tabi'in.
Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi'in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi'ut tabi'in). (Hadis riwayat Imam al Bukhari)