Monday, March 13, 2006

YAKJUJ DAN MAKJUJ

Pelbagai pendapat telah diutarakan berhubung identiti sebenar Yakjuj dan Makjuj. Sebelum kita meninjau pendapat-pendapat ini, elok rasanya kita meninjau kenyataan-kenyataan dari Allah dan Rasul terlebih dahulu kerana tanpa kedua-dua ini kesemua pendapat tidak boleh dianggap kuat.

Dalam surah Al-Kahfi ayat 94-98, Allah berfirman,

قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا {94
قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا {95
آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انفُخُوا حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا {96

فَمَا اسْطَاعُوا أَن يَظْهَرُوهُ وَمَا اسْتَطَاعُوا لَهُ نَقْبًا {97
قَالَ هَذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّي فَإِذَا جَاء وَعْدُ رَبِّي جَعَلَهُ دَكَّاء وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا {98

“Mereka berkata: ‘Hai Zulqarnain sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj merupakan golongan yang suka membuat kerosakan di muka bumi, maka bolehkah kami memberi suatu pembayaran kepadamu supaya kamu membuat dinding di antara kami dan mereka?’

Zulqarnain berkata: ‘Apa yang telah dikuasakan Tuhanku kepadaku adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat) agar aku membuatkan dinding di antara kamu dan mereka. Berilah aku potongan-potongan besi’. Hingga apabila besi itu telah sama rata dengan kedua puncak gunung itu berkatalah Zulqarnain:
‘Tiuplah api itu’. Hingga apabila besi itu sudah menjadi merah seperti api, dia pun berkata: ‘Berilah aku tembaga yang mendidih agar aku tuangkan ke atas besi panas itu’. Maka mereka tidak boleh mendakinya dan mereka tidak boleh melubanginya. Zulqarnain berkata: ‘Dinding ini adalah rahmat dari Tuhanku. Apabila sudah datang janji Tuhanku Dia akan menjadikannya hancur luluh, dan janji Tuhanku adalah benar’.”

Di dalam surah Al-Anbiya pula Allah berfirman dalam ayat 96,

حَتَّى إِذَا فُتِحَتْ يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ وَهُم مِّن كُلِّ حَدَبٍ يَنسِلُونَ {96


“Hingga apabila dibukakan tembok Yakjuj dan Makjuj dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi.” (Surah Al-Anbiya ayat 96)

Yakjuj dan Makjuj tidak hanya wujud dan mendatangkan kerosakan di zaman Zulqarnain, ia juga akan wujud serta mendatangkan kerosakan di akhir zaman. Di dalam hadis oleh Bukhari dan Muslim diriwayatkan, “
Pada suatu hari Nabi telah bangun dari tidur dalam keadaan merah padam wajah Baginda dan bersabda: ‘Lailahaillallah. Kecelakaan bagi golongan Arab disebabkan kebinasaan yang hampir menimpa. Pada hari ini telah terbuka benteng Yakjuj dan Makjuj sebesar ini (dan Nabi pun membuat bulatan dengan menggunakan ibu jari dan telunjuk Baginda).’ Zainab binti Jahsy ra telah bertanya: ‘Apakah kita akan binasa sedangkan masih ramai di antara kita yang salih?’ Nabi s.a.w bersabda: ‘Ya, apabila kekejian berleluasa’.”

Ayat-ayat Al-Quran menunjukkan Yakjuj dan Makjuj akan menghancurkan kebenaran dan tamadun dan mereka akan datang dari segenap penjuru. Hadis Nabi pula mengaitkan era kemunculan Yakjuj dan Makjuj dengan suasana kucar kacir di kalangan bangsa Arab dan kemunculan pelbagai kemungkaran serta kekejian dalam masyarakat. Pada hari ini kawasan Timur Tengah memang merupakan kawasan ‘panas’ yang sentiasa dipenuhi peperangan, kemusnahan dan kehancuran. Isu rejim Yahudi mengganas ke atas rakyat Arab Palestin dan negara-negara Arab sejak tahun 1948, isu Iraq diserang Amerika dan sekutu-sekutunya, isu pemimpin-pemimpin Arab di kotak-katik oleh pemimpin-pemimpin Barat dan seumpamanya menunjukkan sabda Nabi ini telah menjadi kenyataan. Berhubung dengan kalimat ‘kekejian berleluasa’ di dalam hadis ini, di dalam kitab Tafsir Al-Azhar, Hamka mengetengahkan pendapat Imam Qartubi yang mentafsirkan kekejian ini sebagai
bertebarannya anak luar nikah’.

Di dalam konteks ini Hamka berpendapat, apabila kekejian dan keruntuhan akhlak melanda manusia, ‘benteng Yakjuj dan Makjuj’ akan runtuh dan ketika itu mereka akan keluar untuk membinasakan manusia sejagat. Jelas sekali kesemua perkara yang dinyatakan ini sebenarnya sedang berlaku di depan mata kita pada hari ini, negara-negara Arab sedang menghadapi pancaroba dan dunia sedang menghadapi krisis moral yang dahsyat. Kesemua ini adalah pertanda bahawa kita sedang berada di era Yakjuj dan Makjuj.
Siapakah sebenarnya Yakjuj dan Makjuj?

Ada segolongan umat Islam berpendapat Yakjuj dan Makjuj ialah golongan Tartar yang telah menyerang dan meruntuhkan kota Baghdad pada abad ketiga belas Masihi. Hamka kurang bersetuju dengan pendapat ini kerana mengikut sejarah, belum pun sampai setengah abad selepas keruntuhan Baghdad, pemimpin-pemimpin Tartar seperti Aurangzib telah memeluk Islam serta menyebarkan kebenaran Islam di negara mereka.

Segolongan yang lain berpendapat, Yakjuj dan Makjuj ialah keturunan Khazar yang pada asalnya tinggal menetap di kawasan yang pada hari ini dikenali sebagai Turki dan Rusia Selatan. Raja mereka yang bernama Joseph terpaksa memeluk agama Yahudi pada abad kelapan Masihi untuk menyelamatkan diri dan negaranya dari serangan musuh ketika itu, justeru mereka boleh dianggap sebagai ‘golongan Yahudi yang bukan Yahudi’. Mengikut Ahmad Thomson di dalam bukunya yang bertajuk Dajjal the Anti Christ terbitan Ta-Ha Publishers Limited, London pada tahun 1997, keturunan Khazar amat mahir di dalam hal ehwal perniagaan dan kewangan dan mereka berada di tempat-tempat strategik di dunia pada hari ini. Dengan kedudukan dan kemahiran ini, mereka mampu mendatangkan kekucar-kaciran kepada manusia di akhir zaman.

Berdepan dengan tafsiran yang pelbagai tentang Yakjuj dan Makjuj, Hamka telah merumuskan di dalam Tafsir Al-Azhar seperti berikut, “Dapatlah disimpulkan, Yakjuj dan Makjuj ialah dua nama yang bersatu padu untuk melaksanakan aktiviti kerosakan di muka bumi. Ia boleh diertikan sebagai isme dan ideologi sesat yang boleh membawa manusia kepada kebinasaan.

Yakjuj dan Makjuj bergerak laksana air, ia akan terus mencari ruang untuk masuk walaupun ruang itu sebesar lubang jarum. Justeru benteng di dalam bentuk pemikiran yang baik, cita-cita yang mulia serta ideologi yang sihat bertunjangkan akidah mesti sentiasa teguh di dalam diri seseorang.... Orang-orang Islam zaman sekarang terus berfikir dan pada hari ini terdapat satu tafsiran baru tentang Yakjuj dan Makjuj. Kalimat Yakjuj dan Makjuj berasal dari kalimat Arab ajja dan taajjaja yang bermaksud ‘menyala, membakar dan menggelegak’.

Zaman sekarang, mengikut pendapat ini, adalah zaman Yakjuj dan Makjuj kerana kehidupan kita memerlukan api dan cahaya apatah lagi selepas meledaknya zaman industri. Akhirnya manusia berjaya mencipta senjata nuklear serta sinar radioaktif dan kesemua ini dapat membinasakan manusia dalam sekelip mata... Manusia akan terus berfikir dan mentafsirkan ayat mengikut suasana zaman mereka. Tafsiran-tafsiran ini dapat diterima dengan syarat ia tidak terbabas dari maksud asal ayat Al-Quran. Namun kesemua tafsiran ini adalah tafsiran manusia yang cuba memahami maksud ayat-ayat Allah.”