Wednesday, March 01, 2006

CEMERLANG DENGAN SOLAT

Apabila Allah menyuruh umat Islam melaksanakan solat Allah tidak berkata "bersolatlah kamu." Sebaliknya Allah berfirman, "Tegakkanlah solat (aqiimussolah)." Justeru umat Islam di suruh "menegakkan solat" dan bukan hanya "bersolat." Apakah maksud menegakkan solat? Dalam surah Al-Mukminun ayat 1-2 dan 9 Allah menjelaskan,

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ


“Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman.”


الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ


“(Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solat mereka....


وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ



“Dan mereka yang memelihara solat-solat mereka.”


Ayat-ayat ini menjelaskan bahawa untuk berjaya umat Islam tidak boleh mengabaikan solat sama sekali terutamanya solat-solat fardu. Dalam konteks menegakkan solat dua perkara wajib dijaga, pertamanya khusyuk dan keduanya memastikan agar solat dilaksanakan dalam setiap keadaan mengikut cara dan jadual waktu yang telah ditetapkan. Apabila kedua-dua ini dijaga solat telah ditegakkan.


Solat merupakan satu ibadah yang amat penting sehinggakan ketika sedang berperang sekalipun ia tidak boleh ditinggalkan. Solat juga merupakan tiang agama. Imam Al-Baihaqi meriwayatkan, nabi bersabda, “Solat itu tiang agama sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama.” Malah batas antara iman dan kufur ialah solat.

Kesesatan Kerana Memperkecilkan Solat

Golongan yang memperkecilkan solat merupakan golongan yang sesat. Dalam surah Maryam ayat 59 Allah berfirman,

فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا


“Maka datanglah selepas mereka pengganti (yang keji) yang mensia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka akan menemui kesesatan..”

Berhubung dengan ayat ini, sahabat Abdullah ibn Abbas berkata, “Maksud ‘mensia-siakan solat’ bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkannya dari waktunya”. Imam Said ibn Al-Musayyab mempunyai pendapat yang sama dengan sahabat Abdullah ibn Abbas. Beliau berkata: “Mereka melaksanakan solat zuhur di dalam waktu asar, solat asar di dalam waktu maghrib, solat maghrib di dalam waktu isyak, solat isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu subuh dan solat subuh dilaksanakan selepas matahari terbit. Sesiapa yang mati di dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumban masuk ke dalam sebuah lembah yang bernama ghay di dalam neraka dan diberikan makanan yang teramat jijik..” Hal ini disebutkan di dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa. Pada hari ini ramai orang Islam suka mengqada solat di luar waktu tanpa alasan yang diizinkan syariat. Mereka termasuk dalam golongan yang sesat ini!


Justeru melaksanakan solat fardu dalam waktu yang ditetapkan merupakan sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan. Mengikut Imam Bukhari dan Muslim, sahabat Abdullah ibn Masud pernah bertanya kepada nabi, “Apakah amalan yang paling Allah sukai?” Baginda menjawab, “Solat tepat pada waktunya.” Abdullah ibn Masud bertanya lagi, “Kemudian apa?” Baginda menjawab, “Melakukan kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa.” Abdullah bertanya lagi, “Kemudian apa?” Nabi menjawab, “Jihad kerana agama Allah".

wallahua'lam