Monday, March 27, 2006

PENGERTIAN BULAN SAFAR

Pengertian Bulan Safar

Dari segi bahasanya Safar membawa erti kosong dan dari segi istilahnya bulan Safar membawa erti bulan di mana orang-orang arab di zaman Jahiliah keluar rumah untuk berperang setelah bebas dari bulan-bulan haram yang diharamkan berperang.
Setelah kedatangan Islam, Rasullullah mengekalkan nama bulan ini dengan nama bulan Safar sehinggalah ke hari ini.

Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Safar

Ada berbagai peristiwa yang berlaku di dalam bulan Safar.

Diantara peristiwa penting yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w dan wajar dikenang oleh kita ialah;


1)Persidangan Darul-Nadwah Persidangan Darul-Nadwah adalah persidangan yang dianjurkan oleh pihak Musyrikin Jahiliah yang terdiri dari berbagai-bagai kabilah di Mekah. Persidangan ini dianjurkan khas untuk menyekat, menekan dan melumpuhkan terus pengaruh dan dakwah Rasullullah saw.

Persidangan ini dipengerusikan oleh Abu Jahal dan dihadiri juga oleh Iblis yang menyamar sebagai seorang tua dari Najad. Keputusan dari persidangan ini ialah Rasulullah saw dijatuhi hukum bunuh dan setiap kabilah hendaklah menghantar seorang wakil yang terdiri dari pemuda yang paling gagah untuk sama-sama membunuh Rasulullah saw.

Oleh itu keluarga Rasullullah saw dari kabilah Bani Abdul Manaf tidak akan mampu untuk membalas dendam terhadap semua kabilah-kabilah yang terlibat dalam pakatan pembunuhan itu. Maka Allah ta'ala telah memerintahkan Rasullullah saw keluar berhijrah dari Mekah ke Madinah.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah mula keluar dari rumahnya di akhir bulan Safar dan pendapat yang lebih masyhur mengatakan bahawa Rasulullah mula keluar dari rumahnya pada bulan Rabi'ul Awwal setelah 13 tahun berdakwah di Mekah.


2)Rasullullah Mula Sakit Satu lagi peristiwa penting yang berlaku di bulan Safar ini ialah pada akhir bulan ini setelah kembalinya Rasullullah dari mengerjakan Haji Wida' (haji terakhir Rasullullah saw) beliau mula ditimpa sakit. Beliau wafat pada 12 Rabi'ul Awwal tahun 11 Hijriah. Rasullullah mula merasai sakit yang berat sewaktu beliau di rumah isterinya Saidatina Maimunah r.a.

Beliau telah memanggil kesemua isteri-isterinya yang lain untuk meminta izin agar beliau dibenarkan diam di rumah Saidatina Aisyah r.a dan beliau telah wafat di rumah Saidatina Aisyah r.a.


Rujukan;

Khurafat Antara Adat dan Agama, koleksi Khutbah, Jab. Mufti Selangor

Hari Nahas; Pandangan Islam Mengenainya, Pej. Mufti Brunei Darussalam

Peristiwa-peristiwa Yang Bersejarah, MUIS

Sejarah Hidup Muhammad saw, Muhammad Husain Haekal