Di dalam Islam adat resam dan budaya bangsa tidak boleh mengatasi landasan syariat. Sebarang adat resam yang bercanggah dengan akidah dan dasar syariat mestilah ditolak dan dibanteras. Mereka yang mempertahankan adat dan budaya yang bercanggah dengan agama sedang melakukan satu kesalahan yang besar. Allah berfirman,
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنزَلَ اللّهُ قَالُواْ بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءنَا أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لاَ يَعْقِلُونَ شَيْئاً وَلاَ يَهْتَدُونَ
“Apabila dikatakan kepada mereka: ‘Ikutlah apa yang telah diturunkan Allah,’ mereka menjawab: ‘(Tidak), tetapi kami akan ikut apa yang telah kami dapati dari perbuatan nenek moyang kami’. Apakah mereka tetap hendak mengikut walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun dan tidak mendapat petunjuk?”
(Surah Al-Baqarah ayat-170)
Sebahagian daripada adat resam dan budaya bangsa yang diamalkan oleh masyarakat pada hari ini mengandungi khurafat dan tahayul. Khurafat dan tahayul ialah kepercayaan yang tidak bersandarkan Al-Quran dan As-Sunnah serta tidak dapat diterima oleh akal yang waras. Ia merupakan sebahagian daripada kepercayaan yang mungkar lagi sesat. Kepercayaan ini menjadi pegangan segelintir umat Islam kesan dari pengaruh budaya yang dibawa oleh penganut ajaran agama lain.
Di antara bentuk khurafat dan tahayul yang dipegang ialah kepercayaan kepada konsep sial majal. Di kalangan bangsa Melayu di antara adat yang lahir dari kepercayaan ini ialah Adat Mandi Membuang Sial. Adat ini bertujuan untuk membuang sial dan nasib malang yang menimpa seseorang. Untuk tujuan ini pawang khas akan dipanggil untuk upacara permandian dan dengan menggunakan buah limau seperti limau nipis dan bunga-bungaan seperti bunga melor dan mawar, pawang akan membaca jampi mantera tertentu untuk membuang sial kadangkala dengan menggunakan pertolongan makhluk ghaib seperti jin.
Contoh adat-adat lain yang sering diamalkan ialah, Adat Melenggang Perut atau Menempah Bidan yang dilakukan ke atas ibu-ibu yang mengandung tujuh bulan, Adat Merenjis Tepung Tawar dan Adat Mandi Safar. Kesemua adat ini ada perkaitan dengan kepercayaan terhadap sial majal. Islam menolak kesemua kepercayaan ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tarmuzi,
“Kepercayaan pada sial majal adalah satu perbuatan syirik (Nabi s.a.w mengulangi sabda ini sebanyak tiga kali). ” (Riwayat Abu Daud dan Tarmuzi)
Mengaitkan kesialan dan keburukan dengan bintang dua belas, burung-burung, nama seseorang dan nombor-nombor tertentu, juga dilarang oleh Islam. Di zaman jahiliah sebelum bermusafir seseorang akan melepaskan beberapa ekor burung terlebih dahulu. Jika burung-burung itu terbang ke sebelah kiri ia dianggap sebagai pertanda buruk justeru musafir dibatalkan. Amalan seperti ini masih wujud hingga ke hari ini dan di sisi Islam ia dianggap sebagai amalan yang sesat. Kadangkala kesialan dikaitkan dengan bunyi binatang atau suara-suara tertentu, contohnya suara burung hantu. Nabi s.a.w menolak kepercayaan ini melalui sabda Baginda yang bermaksud: “(Mempercayai) kesialan pada suara-suara (tertentu)….. ialah dari perbuatan syaitan.” (Riwayat Abu Daud)
Sebahagian daripada masyarakat kita mempercayai bahawa roh orang yang mati secara ngeri akan bertukar menjadi binatang buas atau hantu puntianak. Di zaman jahiliah dahulu, roh orang yang mati dibunuh dipercayai bertukar menjadi burung yang akan menjerit di tanah perkuburan si mati sehinggalah keluarganya menuntut bela di atas kematiannya. Di kalangan bangsa Arab kepercayaan ini dikenali sebagai hamah. Sehubungan dengan ini Nabi s.a.w bersabda, “Tidak ada hamah (di dalam Islam).” (Riwayat Bukhari)
Pada hari ini kepercayaan kepada khurafat dan tahayul ini terus wujud di dalam rupa bentuk yang pelbagai sebagai contoh, pemujaan kepada keramat; amalan memuja kampung dan semangat padi; roh wali boleh mengabulkan cita-cita; bintang dua belas penentu nasib; keserasian jodoh diukur mengikut nilai ‘raksi’; bomoh boleh mengetahui alam ghaib; bulan Safar ialah bulan bala; suara burung hantu di siang hari membawa pertanda seseorang akan mati pada hari itu; cara uri ditanam akan mempengaruhi kehidupan anak yang baru dilahirkan; kucing hitam yang melintas membawa pertanda buruk; nombor 13 akan membawa sial; dan sebagainya. Sebenarnya, kepercayaan kepada khurafat dan tahayul melambangkan kemunduran akal dan kelemahan jiwa seseorang. Umat Islam sewajarnya kembali menghayati ajaran Islam yang suci demi untuk memartabatkan imej agama yang maju lagi saintifik. Nabi s.a.w bersabda, “Mempercayai sial majal membawa kepada syirik (Nabi s.a.w mengulanginya sebanyak tiga kali)......... dan Allah telah menggantikan kesemua itu dengan tawakal.” (Riwayat Tarmuzi dan Abu Daud)
wallahua'lam