Dajal merupakan makhluk yang akan mendatangkan malapetaka yang dahsyat di akhir zaman. Berhubung dengan ini Nabi bersabda, “Antara kejadian Adam dan kejadian hari kiamat, tidak ada kejadian yang lebih dahsyat daripada Dajal.” (Muslim)
Kalimat Dajal berasal dari kalimat dajala yang bermaksud ‘yang menutup’. Mengikut kamus Lisanul Arab, kalimat ini digunakan kerana Dajal adalah pendusta yang menutup kebenaran dengan kebatilan. Dia juga menutupi dunia dengan kesesatan bersama-sama dengan pengikutnya. Di samping itu Dajal akan mendatangkan huru-hara dan pancaroba yang dahsyat di muka bumi dan Nabi telah menceritakan tentang semua ini melalui hadis-hadis baginda.
Sistem Perisikan Di Era Dajal
Di dalam sebuah riwayat oleh Fatimah binti Qais, pada suatu hari, selepas melaksanakan solat jemaah, nabi telah menaiki mimbar khutbah dan bersabda, “Sahabatmu Tamim Ad-Dari yang dahulunya menganut agama Kristian dan sekarang menganut Islam, menceritakan kepadaku tentang Dajal. Beliau bersama-sama dengan tiga puluh orang rakan-rakannya telah belayar di laut dan kapal mereka telah hanyut selama lebih kurang sebulan sebelum terbabas di sebuah pulau. Di pulau itu mereka menemui makhluk yang amat hodoh, badannya dipenuhi bulu. Mereka bertanya kepada makhluk itu, ‘Siapa kamu?’ Makhluk itu menjawab: ‘Aku adalah pengintip atau spy (ana Jassasah).’ Kemudian makhluk hodoh ini menyuruh mereka pergi bertemu satu makhluk lain yang berbadan besar dan makhluk ini sedang dirantai dengan rantai yang kukuh. Dia mengatakan bahawa dia adalah Dajal.....” (Riwayat Muslim)
Hadis ini mengaitkan era Dajal dengan kewujudan sistem perisikan moden yang hodoh lagi menghancurkan. Di antara jentera perisikan yang banyak memporak-perandakan dunia pada hari ini ialah CIA, Mossad dan KGB. Mengikut satu laporan yang bertajuk The Intelligence Community In The 21st Century, yang dibentangkan pada tahun 1996 oleh sebuah jawatankuasa khas di Amerika yang dikenali sebagai The Permanent Select Committee on Intelligence, Agensi Perisikan Amerika (CIA) sering kali diarahkan untuk melanggar undang-undang sama ada di dalam atau di luar negara. Jawatankuasa ini mendapati CIA telah bertindak di luar batas undang-undang sebanyak 100,000 kali setahun dan mereka sanggup membunuh demi untuk mencapai matlamat mereka.
Mengikut Rodney Stich di dalam bukunya Defrauding America: Encyclopedia of Secret Operations by the CIA, DEA and Other Covert Agencies, pihak CIA telah membunuh Presiden Vietnam Selatan, Ngo Dinh Diem. Pihak CIA juga didapati terlibat dalam rancangan untuk menaikkan pemimpin-pemimpin boneka di negara-negara tertentu dan kemudian jika perlu membunuh mereka selepas itu.
Demikian juga dengan agensi perisikan Israel, Mossad. Pada 10 September 2001, akhbar The Washington Times memuatkan satu laporan khas berhubung agensi perisikan ini, berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh Army School for Advanced Military Studies (SAMS) di Amerika. Kajian ini merumuskan, Mossad ialah sebuah agensi yang “liar, kejam serta pintar. Ia mampu menyerang sasaran-sasaran tertentu di Amerika dan menampakkan seolah-olahnya ia adalah perbuatan orang-orang Palestin atau Arab.” Anehnya sehari selepas laporan ini diterbitkan, berlakulah tragedi 11 September, 2001, di New York. Pada tahun 1990, seorang bekas pegawai Mossad, Victor Ostrovsky bersama-sama dengan Claire Hoy, menulis sebuah buku bertajuk By Way of Deception terbitan St Martin's Press, New York. Buku ini menceritakan tentang aktiviti jahat Mossad termasuk perancangannya untuk memburukkan nama Libya dan Saddam Hussein.
Rusia juga mempunyai agensi perisikannya yang dikenali sebagai KGB dan GRU. KGB yang bermaksud Komitet Gosudarstvennoy Bezopasnosti memfokuskan aktivitinya kepada golongan awam dan GRU yang bermaksud Glavnoye Razvedyvatelnoye Upravleniye terlibat di dalam perisikan ketenteraan.
Teknologi Di Era Dajal
Mengikut hadis-hadis nabi, era Dajal ialah suatu era yang kaya dengan teknologi canggih. Antara teknologi itu berkaitan dengan kemampuan untuk mengubah cuaca, seperti menurunkan hujan. Berhubung dengan ini nabi bersabda, “Dajal akan mengarahkan langit dan langit akan menurunkan hujan dan dia akan mengarahkan bumi dan bumi akan mengeluarkan tumbuh-tumbuhan.” (Riwayat Muslim dan Tarmuzi)
Teknologi yang wujud pada hari ini mampu ‘mencipta’ hujan. Teknologi ini mula diperkenalkan pada tahun 1946 dan menjadi semakin popular pada hari ini, terutamanya ketika menghadapi musim kemarau. Daily Telegraph, London, bertarikh 20 Ogos, 1969, melaporkan, kristal silver iodine telah digunakan di padang pasir untuk menurunkan hujan. Kristal yang sama juga pernah digunakan untuk meredakan kekuatan ribut taufan, seperti yang telah dilakukan ke atas taufan Hurricane Debris dan Hurricane Esther. Mengikut kajian terkini, pendekatan yang digunakan untuk menurunkan hujan ialah melalui ‘pembenihan awan’ atau cloud seeding. Antara konsep yang popular digunakan pada hari ini untuk menurunkan hujan ialah ‘pembenihan statik’ (static mode of cloud seeding) dengan menggunakan bahan seperti garam dan urea, serta ‘pembenihan higroskopik’ (hygroscopic seeding) dengan menggunakan ais dan silver iodine.
Teknologi juga mampu mengubah tanah yang tidak subur menjadi subur lagi produktif. Hal ini tercapai, antaranya, melalui sistem pengairan yang canggih, penciptaan pelbagai jenis baja dan pengubahan bahan mineral dan organik yang terdapat di dalam tanah. Di Amerika, sebagai contoh, pada tahun 1902, melalui Bureau of Reclamation, banyak kawasan tanah yang tidak subur telah berjaya disuburkan melalui pendekatan ini.
Berhubung dengan sistem pengangkutan di era Dajal, Nabi bersabda, “(Kelajuan perjalanan Dajal) ialah seperti awan yang dipukul angin..” (Riwayat Muslim dan Tarmuzi) Dalam riwayat yang lain, baginda bersabda, “Dajal akan mengenderai keldai. Jarak di antara kedua telinganya ialah tujuh puluh ela.” (Riwayat Baihaqi) Nabi juga bersabda, “Dajal akan melompat di antara langit dan bumi.” (Riwayat Abu Daud)
Sistem pengangkutan yang wujud pada hari ini, dengan kapal terbang dan jetnya, menepati sabda Nabi yang terdapat dalam hadis-hadis ini. Kelajuan kapal terbang dan jet adalah ‘seperti awan yang dipukul angin.’ Jarak antara kedua belah sayapnya berukuran lebih kurang ‘tujuh puluh ela.’ Kapal terbang dan jet ‘melompat di antara langit dan bumi.’ Jet-jet pejuang Amerika dan sekutu-sekutunya di Barat telah mendatangkan malapetaka yang dahsyat kepada Iraq, Afghanistan dan negara-negara lain. Teknologi dalam bidang ini dikuasai oleh Barat.
Jet-jet pejuang yang dicipta untuk tujuan berperang menjadi semakin canggih pada hari ini. Antara tahun 1930 – 1940, antara jenis pesawat yang digunakan untuk berperang ialah BF-109 Messerschmitt, Hawker Hurricane, A6M Zero, Fokker G.I, JU87 Stuka, Fokker D21. Antara tahun 1940 – 1950, Supermarine Spitfire, P47 Thunderbolt, P51 Mustang, Mosquito, F4U Corsair, P38J Lightning, F86 Sabre, P40 WarHawk, FW190 Focke Wulf, Messerschmitt ME262, F6F Hellcat, P80 Shooting Star, B25 Mitchell, F8F Bearcat, Mig15 Fagot, A1 Skyraider, Macchi M.C.205 Veltro, Gloster Meteor F Mk.8, B-17 Flying Fortress, de Havilland Vampire digunakan. Antara tahun 1950 - 1960 MiG21 Fishbed, F104 Starfighter, F8 Crusader, B52G Stratofortress, CF-105 Avro Arrow, F106 Delta Dart, F-84F Thunderstreak, MiG17 Fresco, F105 ThunderChief, F100 Super Sabre, J32 Lansen, F101 VooDoo, B58 Hustler, MiG-19 Farmer, J29 Tunnan, Super Mystere B2, Hawker Hunter digunakan. Bermula tahun 2000, jet-jet pejuang dari jenis F/A-22 Raptor, LCA, EuroFighter 2000 Typhoon, SU47 (S37 Berkut), SU37 Terminator, MiG/MAPO 1.42 MFI, Aurora, FA-18E Super Hornet, X35 Joint Strike Fighter (JSF F-35) dan Chengdu J-10 pula digunakan.
Di era Dajal nilai-nilai kerohanian tidak lagi dipandang penting. Justeru teknologi canggih yang wujud di era itu seringkali di salahgunakan. Nabi bersabda, “Apabila Dajal datang, mata kanannya adalah buta dan mata kirinya akan bersinar seperti bintang.” (Riwayat Bukhari dan Ahmad) Memandangkan Nabi sering mengaitkan bahagian kanan dengan kebaikan, keadaan mata Dajal yang buta di sebelah kanan menunjukkan dia tidak mementingkan aspek kerohanian sama sekali. Segala tindakannya adalah untuk kepentingan duniawi semata-mata.
Berpandukan hadis-hadis yang telah dipaparkan, tanpa kita sedari, kita sebenarnya sedang berada di era Dajal. Justeru, umat Islam pada hari ini perlu memahami ajaran Islam yang sebenarnya berlandaskan al-Quran dan as-Sunah. Ajaran itu hendaklah dihayati dan ‘digigit dengan gusi-gusi kita.’ Jika tidak, kita akan hanyut seperti buih di atas permukaan air.