20hb Mac 2003, Tarikh penaklukkan Amerika ke atas Bumi Iraq .Tindakkan yang di ambil oleh Amerika berserta sekutunya Britian beralasan untuk memusnahkan senjata Kimia Iraq. Pada hari ini setelah 3 tahun penjajahan tersebut. Amerika masih belum memberikan bukti kepada dunia tentang pembinaan senjata kimia Iraq.
Pemerhati perang menyebut keadaan semakin tidak terkawal di Iraq dan negara tersebut berdepan dengan perang saudara. Janji Amerika untuk membebaskan Rakyat Iraq dari kezaliman pemerintahan saddam Husain tidak lain hanya sekadar cakap kosong. Dunia memerhatikan dengan penuh minta penindasan dan kezaliman tentera Amerika ke atas penduduk Iraq. Benarlah OIC memang minat memerhati. Beralasan kejadian 11 September Barat dan Amerika mengambil 'pukulan Maut' ke atas Islam dan kita hanya memerhatikannya.
Saya tidak menyokong Usamah jika benar dia yang mencetuskan 11 September, Madrid dan letupan di London . Namun saya kadang-kala terfikir, ada benarnya ucapan beliau dalam salah satu rakaman yang disiarkan oleh Siaran al-Jazerah; “Wahai orang Barat! Atas apa pegangan yang menyebabkan kamu menganggap darah kamu bernilai darah, sedangkan darah kami bernilai air?!!”.
Wajah-wajah dukacita yang kita paparkan untuk merenung keinsafan kita kerana antara kita dan mereka adalah seagama.
Islam telah di lebel dengan pengganas dan berbagai tuduhan sedangkan telah terbukti di mata masyarakat antarabangsa 'siapakah pengganas sebenarnya'.
Islam telah menetap disiplin di medan perang adalah tanggungjawab para pejuang Islam.
Peperangan bukan untuk membanyakkan penumpahan darah, sebaliknya untuk membela kebenaran.
Dalam hadith yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim baginda Nabi s.a.w menyebut: “Wahai manusia! Jangan kamu bercita-cita bertembung dengan musuh, mintalah daripada Allah keselamatan. Namun jika kamu bertembung dengan mereka juga, kamu hendaklah sabar (tetap jangan berganjak)”.
Untuk itu Islam menetapkan agar pembunuhan hanyalah di medan perang dan tidak boleh direbakkan ke luar medan. Hanya dibunuh mereka yang terlibat dengan peperangan. Adapun golongan musuh yang tidak menyertai peperangan, mereka tidak dibunuh selagi mereka tidak menzahirkan permusuhan dan penentangan bersenjata.
Secara terperincinya, mereka ialah:
Pertama: Wanita dan kanak-kanak.
Antara dalilnya, hadith daripada Ibn Umar r.a., katanya: “Sesungguhnya seorang wanita di dapati terbunuh dalam satu peperangan (yang disertai Nabi s.a.w) maka baginda pun melarang membunuh wanita dan kanak-kanak”. (Riwayat al-Bukhariy dan Muslim).
Kata al-Imam al-Syafi`iy (wafat 204H): “Tidak diharuskan sesiapapun di kalangan muslimin untuk sengaja membunuh wanita dan kanak-kanak (dalam peperangan), kerana Rasulullah s.a.w. melarang membunuh mereka”. (rujukan: al-Umm, jilid 4, m.s. 239, cetakan: Dar al-Ma’rifah, Beirut).
Kata Ibn Rusyd (wafat 595H): “Demikian juga tiada khilaf di kalangan ulama mengenai tidak harus membunuh kanak-kanak dan wanita selagi mereka tidak terlibat berperang. Apabila wanita turut berperang, maka dia boleh dibunuh. Ini semua berdasarkan apa yang pasti daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda melarang wanita dan kanak-kanak dibunuh” (rujukan: Ibn Rusyd, Bidayah al-Mujtahid, jilid 1, m.s. 280, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).
Kedua: Orang tua dan orang yang uzur.
Mereka ini tidak dibunuh, melainkan jika dikhuatiri tindakan dan perancangan mereka dalam peperangan. Dalilnya firman Allah di atas: “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas” (Surah al-Baqarah: ayat 190).
Begitu juga hadith daripada Anas bin Malik, sabda Nabi s.a.w.: “Pergilah kamu (ke medan perang) dengan nama Allah, dengan Allah dan di atas agama Rasullulah!. Jangan kamu membunuh orang tua yang lemah, kanak-kanak, wanita. Jangan kamu mengkhianati harta rampasan, himpunkan harta peperangan kamu, buatlah yang elok dan baik, sesungguhnya Allah sukakan mereka yang berbuat baik” (Riwayat Abu Daud, sanadnya dhaif).
Sekalipun hadith ini sanadnya dhaif, namun golongan tua yang tidak membantu peperangan sama ada dari segi tenaga atau buah fikiran, tetap tidak wajar dibunuh. Ini dapat diqiaskan dengan wanita yang tidak membantu peperangan. Kata Ibn Daqiq al-`Id (wafat 702H): “Hukum asalnya ialah tidak boleh membunuh. Hanya dibolehkan membunuh demi mengelakkan kemerbahayaan. Sesiapa yang pada kebiasaan tidak berperang (menentang tentera Islam) dan tidak berkemampuan untuk berperang maka dia tidak mendatang mudarat seperti mana mereka yang berperang. Maka hukumnya kembali kepada asal iaitu mereka itu tidak boleh dibunuh”. (Ibn Daqiq al-`Id, Ihkam al-Ahkam, juz. 4, m.s. 184, cetakan:Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut)
Ketiga: Mereka yang beribadat di rumah-rumah ibadat.
Dalilnya ialah riwayat Ibn `Abbas, katanya: "Apabila Rasulullah s.a.w. mengirimkan pasukan tentera maka baginda bersabda: “Keluarlah kamu (medan jihad) dengan nama Allah, perangilah di jalan Allah sesiapa yang kafir dengan Allah. Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat”. (Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir ketika mentahqiqkan musnad Ahmad, hadith ke-2728: “Sanad hadith ini hasan”) Kata al-Syaukaniy (wafat 1250H): “Pada hadith ini dalil bahawa tidak boleh membunuh sesiapa daripada golongan kuffar yang hanya beribadat seperti paderi kerana mereka tidak memudaratkan kaum muslimin”. (rujukan: Al-Syaukaniy, Nail al-Autar, jld 8, m.s. 74, cetakan: Dar al-Jil, Beirut)
Keempat: Para pekerja dan petani.
Jumhur ulama menyatakan mereka tidak dibunuh. Dalilnya hadith Hanzalah al-Katib r.a., katanya: “Kami berperang bersama dengan Rasulullah s.a.w. , lalu kami melintasi seorang wanita yang dibunuh. Ketika itu orang ramai berkumpul padanya, lantas mereka memberi ruang kepada baginda (untuk melihatnya). Baginda bersabda: “Dia ini (wanita tersebut) tidak turut berperang”. Kemudian baginda mengarahkan seorang lelaki sambil bersabda: “Pergilah kepada Khalid ibn al-Walid, katakan kepadanya: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memerintahkannya dengan sabdanya: Jangan kamu bunuh kanak-kanak (dalam sebahagian riwayat: wanita) dan `asif (pengambil upah)”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad. Sanad Ibn Majah adalah sanad yang sahih. Al-Albaniy juga di dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (hadith ke-701) menyatakan sahih (lihat: jld 2, m.s. 314, cetakan: Maktabah al-Ma`arf li al-Nasyr, Riyadh) Kata al-Sindiy (wafat 1138H): “Maksud pengambil upah di sini ialah yang mengambil upah menjaga tunggangan atau seumpamanya, bukan pengambil upah berperang”. (rujukan: al-Sindiy, Syarah Sunan Ibn Majah, jld. 3, m.s. 380, cetakan: Dar al-Ma’rifah, Beirut). Antara tanda pengambil upah ialah mereka tidak bersenjata (lihat: `Aun al-Ma’bud, jld 7,m.s 236) Mungkin termasuk juga di dalam pengambil upah ini ialah mereka yang hanya bertugas menyediakan makanan, atau yang membersihkan kem tentera dan seumpamanya. Selagi mereka tidak bertindak membantu peperangan, maka mereka tidak dibunuh.
Kelima: Para perwakilan dan diplomat.
Ini berdasarkan hadith Abdullah bin Mas`ud, katanya: "Ibn al-Nawahah dan Ibn Uthal datang kepada Nabi s.a.w sebagai perwakilan Musailamah (al-Khazzab). Baginda bertanya: “Apakah kamu berdua mengakui bahawa aku ini Rasulullah”. Kata mereka berdua: “Kami menyaksikan bahawa Musailamah rasulullah”. Sabda Nabi s.a.w: “Aku beriman dengan Allah dan para RasulNya. Kalaulah aku ini boleh membunuh para perwakilan, nescaya aku bunuh kamu berdua”. Kata ‘Abdullah bin Mas`ud: “Telah menjadi suatu sunnah bahawa para perwakilan tidak dibunuh”. (Riwayat Abu Daud, Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya’la kata al-Haithamiy (wafat 807H):Sanad-sanad mereka adalah hasan (rujukan: al-Hathaimiy, Majma’ al-Zawaid, jld 5, m.s. 314, cetakan: Dar al-Rayyan, Beirut) Kata Syams al-Haq al-Abadi: “Pada hadith ini dalil yang menunjukkan haramnya membunuh para perwakilan”. (rujukan: `Aun al-Ma’bud, jld. 7, m.s. 314)