Al-Imam Al-Hafiz Ibnul-Jauzi mengatakan bahawa pembuat-pembuat Hadith palsu itu ramai jumlahnya, di antara tokoh-tokohnya yang utama ialah:
(1) Wahab bin Wahab, Al-Qadhi, Abu Al-Bakhtari Al-Qurasyi.
(2) Muhammad bin As-Saaib Al-Kalbi.
(3) Muhammad bin Sa’id Asy-Syami Al-Mashlub
(4) Aba Daud An-Nakha’iy
(5) Ishaq bin Najih Al-Malathi
(6) Giath bin Ibrahim An-Nakha’iy
(7) Al-Mughirah bin Sa’id Al-Kufi
(8 ) Ahmad bin Abdullah Al-Jawaibari
(9) Ma’mun bin Ahmad Al-Harawi
(10) Muhammad bin ‘Ukkasyah Al-Karmani
(11) Muhammad bin Al-Qasim Ath-Thaikani
(12) Muhammad bin Ziad Al-Yaskari
(13) Aaban bin Ja’far An-Numaiqi yang telah membuat ribuan Hadith untuk kepentingan golongan Karamiah
(14) Ibrahim bin Zaid Al-Aslami
(15) Jabir bin Zaid Al-Ju’fi. Ia membuat kira-kira tiga puluh ribu Hadith.
(16) Nuh bin Abi Maryam yang telah membuat Hadith-hadith palsu mengenai keutamaan-keutamaan Al-Quran dan surah-surah Al-Quran.
(17) Abdul-Karim bin Abi Al-Auja’ yang membuat empat ribu Hadith mengenai halal dan haram.
(18 ) Maisarah bin Abdu Rabbih yang telah membuat beberapa Hadith mengenai keutamaan-keutamaan Al-Quran dan tujuh puluh Hadith mengenai keutamaan Ali bin Abu Thalib
(19) Al-Harith bin Abdallah Al-A’war
(20) Muqatil bin Salaiman Al-Balkhi
(21) Ibnu Abi Yahya
(22) Abdul-Quddus bin Habib Al-Kalai’y
(23) Sulaiman bin ‘Isa bin Najih
(24) Muhammad bin Harun bin ‘Isa Al-Hasyimi yang dipanggil dengan nama Ibnu Buryah
(25) Muhammad bin Ibrahim Asy-Syami
(26) Yahya bin Al-’Ala’
(27) Abdal-Ghafur bin Sa’id Al-Wasithi
(28 ) ‘Ishmah bin Muhammad Al-Anshari
(29) Muhammad bin Yunus Al-Kadaimi
(30) Yahya bin ‘Anbasah Dan ramai lagi yang lain-lainnya.
Al-Imam An-Nasai berkata: “Para pembohong yang masyhur membuat Hadith ialah empat orang: Ibnu Abi Yahya di Madinah, Al-Waqidi di Baghdad, Muqatil bin Sulaiman di Khurasan dan Muhammad bin Sa’id Al-Mashlub di Syam!”
Para ahli mengatakan, bahawa Al-Juwaibari, Ibnu ‘Ukkasyah dan Muhammad bin Tamim Al-Faryabi masing-masing telah membuat sepuluh ribu Hadith Maudhu’.
Para zindiq dikatakan telah membuat Hadith-hadith yang banyak. Sebahagian dari firqah mereka sahaja telah membuat lebih kurang empat belas ribu Hadith.
Tatkala Ibnu Abi Al-Auja’ ditangkap dan hendak dipenggal lehernya ia telah berkata: Aku telah membuat di antara kamu empat ribu Hadith yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.
CIRI-CIRI HADITH MAUDHU:
Hadith-hadith Maudhu’ itu dapat dikenali pada sanadnya dan juga pada matannya. Di antara ciri-cirinya yang utama ialah:
1. Pengakuan yang dibuat oleh pembuat Hadith itu sendiri. Umpamanya seperti yang diakui sendiri oleh Abdul-Karim bin Abu Al-Auja’, Maisarah bin Abdu Rabbih dan Nuh bin Abi Maryam.
2. Perawinya terkenal pembohong, sedangkan Hadith yang diriwayatkan tidak diriwayatkan oleh perawi lain yang kepercayaan.
3. Bertentangan dengan kenyataan (fakta) sejarah. Umpamanya seorang perawi meriwayatkan sebuah Hadith dari seorang guru yang menurut kenyataan ia tidak pernah menemui guru itu atau ia dilahirkan sesudah guru yang dikatakan itu meninggal dunia ataupun ia tidak pernah datang berguru dengan guru tensebut. Ma’mun bin Ahmad Al-Harawi mendakwa ada mendengar Hadith dari Hisyam bin ‘Amman kekanda kepada Ibnu Hibban, maka Ibnu Hibbah bertanya: Bilakah engkau ke kota Syam? Ma’mun menjawab: Pada tahun 250H. Mendengar itu Ibnu Hibban berkata: Hisyam meninggal dunia pada tahun 245H. Termasuk dalam golongan ini ialah orang-orang yang mengaku sebagai sahabat Nabi dan mendengar Hadith-hadith Nabi dari Nabi saw. atau dari sahabat-sahabat Nabi s.a.w. padahal mereka hidup ratusan tahun setelah Nabi s.a.w. dan para sahabat meninggal dunia.
4. Motif Apakah Yang Mendorong Membuat Hadith Palsu Itu: Sebenarnya ada motif dan tujuan yang tertentu yang mendorong orang membuat
Hadith-hadith palsu itu, seperti politik, fanatik golongan, fanatik mazhab, kerana membodek raja, kerana mencari rezeki atau sebagainya.
Contoh-contohnya:
a) Bubur Harisah itu akan menguatkan belakang Hadith ini dibuat oleh Muhammad bin al-Hajjah Al-Lakhmi, seorang penjual bubur Harisah untuk melariskan buburnya itu.
b) Aku beriman kepada Jibril di sisi Ka ‘bah, maka Ia mengeraskan bacaan.
Hadith ini dibuat untuk mempertahankan pendapat dalam mazhab asySyafi’e yang mengatakan Bismillah adalah salah satu ayat dari surah al-Fatihah yang wajib dibaca dengan suara keras dalam solat Jahriah. Apa yang telah lalu disebutkan ialah mengenai ciri-ciri Hadith Maudhu’ pada sanadnya.
Selain itu Hadith Maudhu’ dapat diketahui melalui matannya, iaitu:
1. Perkataan dan ayat-ayatnya sangat jelek dan janggal
2. Kerosakan maknanya:
(a) Berlawanan dengan perkara yang mudah diketahui oleh akal dan tak dapat pula dita’wil seperti Hadith: Bahawasanya bahtera Nuh bertawaf di Baitullah selama tujuh hari dan bersolat dua rakaat di Maqam Ibrahim.
(b) Berlawanan dengan hukum akal mengenai Allah subhanahu wa ta'aala. Akal menetapkan bahawa Allah subhanahu wa ta'aala suci dari menyerupai makhluk, seperti Hadith: Bahawasanya Allah subhanahu wa ta'aala menciptakan kuda lalu dipacunya kuda itu hingga berpeluh, maka Ia menciptakan dirinya dari kuda itu. Dan seperti Hadith: Allah subhanahu wa ta'aala mengadu sakit mata, maka para Malaikat datang melawatnya.
(c) Berlawanan dengan ilmu kedoktoran. Seperti Hadith: Buah terung itu adalah penawar bagi segala penyakit.
(d) Mengandungi dongeng yang tidak diterima akal. Seperti Hadith: Ayam putih itu adalahku dan kekasih bagi kekasihku Jibril.
(e) Bertentangan dengan kenyataan dan ilmu. Seperti: Bahawasanya Qaf itu adalah sebuah bukit dari permata zamrud hijau yang mengelilingi dunia bagaikan tembok mengelilingi kebun dan bahu-bahu langit terletak di atasnya. Dan seperti: Bahawasanya bumi ini di atas batu hampar dan batu hampar di atas tanduk lembu, maka apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya bergeraklah batu hampar itu. Al-Imam Ar-Razi berkata: Semua Hadith yang kau dapatinya bertentangan dengan akal, berlawanan dengan dasar-dasar agama dan berlainan dengan yang dinukilkan dari Nabi, maka ketahuilah bahawa itu adalah Hadith Maudhu’.
(f) Menyalahi keterangan Al-Quran yang qathi’i dan tidak pula dapat dita’wilkan. Umpamanya Hadith: Anak Zina tidak akan memasukki Syurga sampai tujuh keturunan. Hadith ini bertentangan dengan Al-Quran: Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. (Al-An'am: 64)
(g) Menyalahi Hadith Mutawatir. Seperti Hadith: Apabila diriwayatkan kepada kamu sebuah Hadith yang sesuai dengan kebenaran, maka ambillah dia sama ada aku mengkhabarkannya ataupun tidak. Hadith ini bertentangan dengan Hadith Mutawatir: Barangsiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja maka bersedialah mengambil tempatnya dari Neraka. (Hadith Muttafaq ‘Alaih dan Hadith ini adalah Mutawatir)
(h) Menyalahi qaedah umum yang diambil dari al-Quran dan Sunnah. Umpamanya Hadith: Barangsiapa yang dilahirkan untuknya seorang bayi laki-laki lalu diberi nama Muhammad, maka dia dan anaknya di dalam Syurga. Ini bertentangan dengan kaedah umum, iaitu masuk Syurga mesti melalui amal soleh, bukan semata-mata kerana nama atau gelaran belaka.
(i) Menyalahi kenyataan sejarah yang memang sudah terkenal pada zaman Nabi s.a.w. Umpama Hadith yang menerangkan bahawa Nabi s.a.w. memberatkan jizyah atas penduduk-penduduk Khaibar dengan disaksikan oleh Sa’ad dan dituliskan oleh Abu Sufian, pada hal menurut riwayat yang benar bahawa jizyah itu belum lagi dikenakan pada waktu itu. Ia baru dikenakan sesudah peperangan Tabuk. Sa’ad meninggal sebelum itu pada tahun peperangan Khandak dan Abu Sufian memeluk Islam setelah pembukaan kota Mekah.
(j) Hadith yang sesuai benar dengan mazhab yang dipegang oleh perawinya dan ia pula terlalu sangat fanatik kepada mazhabnya. Misalnya Hadith. Kata Ali: Aku menyembah Allah subhanahu wa ta'aala bersama-sama Rasul-Nya sebelum lagi Dia disembah oleh seseorang dari umat ini lima tahun atau tujuh tahun. Hadith ini diriwayatkan oleh Habbah bin Juwain yang terlalu fanatik kepada mazhab Syi’ah.
(k) Hadith yang menerangkan pahala yang sangat besar terhadap sesuatu kebajikan yang sangat kecil. Misalnya: Sesuap makanan yang diberikan kepada orang lapar lebih utama daripada membina seribu jami’ (masjid). Contoh lain: Barangsiapa mengucapkan Laa iaha Illallah, maka Allah subhanahu wa ta'aala menjadikan untuknya seekor burung yang mempunyai tujuh puluh ribu lidah dan bagi tiap-tiap lidah tujuh puluh ribu bahasa yang mereka beristighfar dengannya untuknya. Dan pula seperti Hadith: Barangsiapa bersolat Dhuha sekian rakaat, maka akan diberikan kepadanya pahala tujuh puluh orang Nabi.
(l) Hadith yang menerangkan dosa dan siksa yang sangat besar atas kesalahan yang kecil. Umpamanya: Barangsiapa memakan bawang putih pada malam Jumaat, mala hendaklah Ia masuk Neraka selama tujuh puluh tahun.
(m) Hadith yang menerangkan sesuatu urusan agama yang kalau ada semestinya diriwayatkan oleh orang ramai. Demikianlah ciri-ciri Hadith Maudhu’ itu, dan dengan memerhatikan ciri-ciri itu, maka Hadith Maudhu’ dapat dikenal dengan mudah.
Ar-Rabi’ mengatakan: Bahasawanya di antara Hadith-hadith itu ada Hadith yang bersinar seperti sinaran waktu siang dan bahawasanya di antara Hadith-hadith itu ada Hadith yang gelap seperti malam, kita mengetahuinya dengan gelap itu.
Perkataan ar-Rabi’ ita menunjukkan, bahawa perbezaan antara Hadith Nabi dengan Hadith Palsu itu terlalu sangat jelas dan terang, dan tanda-tandanya sangat mudah diketahui, ia bagaikan malam dengan siang.
Dan al-Imam Ibnul-Jauzi pula berkata: Hadith Mungkar, yakni Hadith Maudhu’ itu menggementarkan kulit (badan) penuntut ilmu dan kebiasaannya tidak diterima oleh hati.