Semasa mentafsirkan kalimat amanah dalam ayat 72 surah al-Ahzab iaitu,
إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا
"Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung ganang tetapi mereka enggan memikulnya dan berasa berat dengannya, sebaliknya ia dipikul oleh insan. Sesungguhnya mereka amat zalim lagi jahil",
sahabat Abdullah bin Amr bin As berkata, "Amanah ialah alat Kelamin manusia. Apabila manusia mampu menjaga amanah ini Allah memelihara diri Dan keturunannya."
Antara lambang kejayaan seorang mukmin ialah mampu mengawal keinginan nafsu seksnya. Dalam surah al-Mukminun ayat 6 hingga 7, Allah berfirman:
إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ {6
فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاء ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ {7
yang bermaksud, "(Orang mukmin yang berjaya) ialah mereka yang memelihara kemaluan mereka melainkan kepada isteri-isteri dan hamba-hamba perempuan mereka dan yang demikian itu tidaklah dicela. Dan sesiapa yang mencari yang lain daripada ini, mereka adalah golongan yang melampaui batas."
Apabila hubungan seks dilakukan mengikut panduan serta landasan syariat, ganjaran pahala akan dikurniakan Allah. Dalam hadis yang dilaporkan oleh Imam Muslim, sahabat-sahabat nabi bertanya, "Ya Rasulullah, adakah jika salah seorang daripada kami memuaskan nafsu syahwatnya (secara halal) dia akan diganjari pahala?" Bersabda nabi, "Tidakkah jika kamu memuaskan nafsumu secara haram kamu akan berdosa? Justeru, jika kamu melakukannya secara
Halal kamu akan memperoleh pahala."
Islam juga mengizinkan individu melakukan persetubuhan mengikut cara atau kedudukan yang digemarinya. Namun, memuaskan nafsu melalui saluran dubur atau anal sex adalah dilarang.
Dalam surah al-Baqarah ayat 223, Allah berfirman:
نِسَآؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُواْ حَرْثَكُمْ أَنَّى شِئْتُمْ وَقَدِّمُواْ لأَنفُسِكُمْ وَاتَّقُواْ اللّهَ وَاعْلَمُواْ أَنَّكُم مُّلاَقُوهُ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ {223
yang bermaksud, "Isterimu adalah kebun bagimu maka datangilah kebunmu dengan cara mana yang kamu mahu."
Perbuatan homoseksual atau hubungan sejenis juga adalah dilarang oleh agama. Nabi berkata, "Perkara yang paling aku takuti menimpa ke atasmu ialah perbuatan kaum Lut. Dilaknati mereka yang melakukan perbuatan seumpama kaum Lut." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah, Tirmizi dan al-Hakim.
Amanah faraj tidak lagi dipandang mulia oleh masyarakat akhir zaman. Menurut Imam Bukhari dan Muslim, nabi berkata, "(Antara tanda-tanda kiamat ialah) perbuatan zina akan berleluasa."
Berita akhbar bertarikh 8 Jun 1996, menarik perhatian ramai orang di Malaysia. Ia menceritakan tentang seorang gadis remaja bohsia yang baru berumur 15 tahun yang dipercayai sedang menuntut di Pulau Pinang. Beliau memiliki wang simpanan berjumlah RM100,000 hasil daripada aktiviti bohsianya.
Perkara ini terbongkar apabila gadis itu ingin membeli Sebuah kereta mewah untuk dihadiahkan kepada teman lelakinya. Gejala negatif ini menjadi semakin teruk pada hari ini. Laporan Kajian Kesihatan Seksual dan Reproduktif Remaja di Malaysia 2003 oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan, remaja terutama pelajar sekolah di negara ini begitu aktif melakukan kegiatan seksual termasuk hubungan seks luar nikah.
Semua ini menunjukkan amanah faraj sedang dipandang kecil dan remeh oleh remaja-remaja hari ini. Apabila gejala ini dibiarkan, dikhuatiri suatu hari nanti jerebu nilai yang menghancurkan akan menyerang masyarakat Malaysia secara amnya.
Seks pada hari ini telah bertukar menjadi satu industri yang besar. Aktiviti pelacuran adalah salah satu sumber kemasukan yang penting bagi kebanyakan negara termasuk di Asia Tenggara. Kesan daripada aktiviti yang mungkar ini, penyakit-penyakit jangkitan seksual termasuk AIDS merebak dengan cepat dan berjaya membunuh jutaan manusia. Sempena dengan sambutan Hari Aids Sedunia pada 1 Disember 2003, statistik menunjukkan lebih kurang 42 juta lelaki, wanita dan kanak-kanak telah dijangkiti kuman HIV pada hari ini. Ia menyebabkan lima kematian berlaku setiap minit setiap hari.
Benarlah nabi ketika beliau berkata: "Wahai (sahabat) Muhajirin, lima bala akan ditimpakan ke atasmu dan aku berdoa supaya kamu tidak ada semasa bala ini
menimpa..... (satu antaranya ialah), apabila zina zahir dalam masyarakat secara terang-terangan, wabak yang dahsyat dan penyakit-penyakit yang belum pernah menjangkitimu akan menyerangmu pada masa itu." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah, al-Baihaqi dan al-Bazzar.
Dalam riwayat lain oleh Imam al-Hakim, nabi berkata, "Apabila zina dan riba berleluasa dalam sesebuah negeri, mereka telah menghalalkan azab Allah ke atas diri mereka."
Kanak-kanak juga turut terheret ke dalam lembah industri seks ini. Di Asia, Jepun mempunyai rekod yang buruk berhubung dengan isu ini. The Washington Post bertarikh 11 Februari, 2000 melaporkan, 80% daripada bahan-bahan lucah yang melibatkan kanak-kanak datang dari Jepun. Kuasa besar, Amerika, pastinya tidak terkecuali daripada masalah ini. BBC News 10 September 2000 melaporkan, kajian yang dilakukan oleh Universiti Pennsylvania menunjukkan, terdapat lebih kurang 400,000 remaja di bawah umur di Amerika yang bekerja sebagai pelacur dan yang seumpamanya pada hari ini.
Golongan Agama Dan Skandal Seks
Pada hari ini, skandal seks tidak hanya menyerang orang-orang biasa, sebaliknya ia juga menyerang golongan agama terutamanya di kalangan tokoh-tokoh Kristian. Di dalam majalah Time bertarikh 1 April 2002, antara tajuk yang difokuskan ialah Can The Church Be Saved? Di dalamnya dimuatkan kisah-kisah salah laku seks yang melibatkan paderi-paderi Katolik Roman
dengan kanak-kanak lelaki serta remaja. Laporan itu mengatakan, skandal ini mungkin melibatkan lebih kurang 2,000 orang paderi di seluruh Amerika. Skandal seumpama ini juga telah menyerang paderi-paderi Katolik Roman di England dan Wales berpandukan Nolan Report yang dikeluarkan pada tahun 2001. BBC News bertarikh 9 April 2002, melalui artikel yang bertajuk Catholic Church Shaken By Sex Scandals melaporkan, "Di Ireland, skandal ini melibatkan paderi-paderi kanan seperti Cardinal Desmond Connell."
Tokoh-tokoh Protestan juga tidak terlepas daripada skandal ini. Hal ini dijelaskan oleh Philip Jenkins di dalam bukunya Pedophiles and Priests yang diterbitkan pada tahun 1996. Mengikut artikel yang bertajuk Protestants See Sex Scandals, Too yang dimuatkan di dalam The Salt Lake Tribune bertarikh 5 April 2002, "Tokoh-tokoh Protestan sering mengambil kesempatan ke atas
wanita dan remaja bermasalah yang meminta khidmat nasihat kaunseling daripada mereka."
Skandal seks yang melibatkan pihak gereja telah menjadi epidemik pada hari ini. Mengikut Cap Cod Times bertarikh 20 April 2002 melalui artikelnya yang bertajuk Church Sex Scandals Span Globe, "Skandal seks telah menyerang gereja-gereja di Kanada, Australia, Ireland, Britain, France, Germany, Mexico dan Poland. Secara purata, lebih kurang 3,000 orang telah menjadi
mangsa paderi-paderi di seluruh dunia dan jumlah wang ganti rugi yang perlu dibayar kepada mangsa-mangsa berjumlah lebih kurang $110 juta dolar Amerika."
Malaysia juga tidak terkecuali daripada masalah seks bebas ini. Pada 1 November 1995, Menteri Kesihatan Malaysia melaporkan, mengikut kajian yang dibuat ke atas sekumpulan remaja berumur 16 hingga 18 tahun di Wilayah Persekutuan, didapati 50% daripada mereka pernah mengadakan hubungan seks, termasuk dengan cara melanggan pelacur-pelacur.
Maksiat dan kemungkaran akan menutup pintu rezeki manusia. Sebagai contoh, seks bebas yang telah menyemarakkan penyakit AIDS telah memiskinkan banyak negara di dunia hari ini. Mengikut African Newsletter 1996, wang yang terpaksa dibelanjakan bagi mengawal penyakit AIDS di seluruh dunia berjumlah $250 juta setiap hari sejak tahun 1981 hingga 1996. Ini bermakna, dalam masa setahun, wang yang dibelanjakan adalah $90 bilion dan pada hari ini Kosnya telah meningkat ke ratusan bilion. Negara-negara miskin di benua Afrika telah menjadi bertambah miskin ketika berdepan dengan masalah ini.
Dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Imam Ahmad, Ibn Hibban dan al-Hakim, nabi berkata, "Wahai Muslimin, jauhilah zina kerana perlakuannya mendatangkan enam keburukan, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Adapun tiga yang diperolehi di dunia ialah hilangnya seri wajah, memendekkan umur dan mendatangkan kefakiran. Tiga yang diperolehi di akhirat ialah kemurkaan Allah, hisab yang buruk dan azab neraka."
Justeru, amanah faraj amat ditekankan oleh Islam dan Islam mengutuk segala bentuk perzinaan. Segala perkara yang membawa kepada zina dianggap buruk dan diharamkan oleh Islam. Dalam surah al-Israk ayat 32, Allah berfirman:
وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلاً {32
yang bermaksud, "Dan janganlah kamu dekati zina. Sesungguhnya zina ialah satu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk."
Jenayah seks seperti kes-kes rogol yang melibatkan kanak-kanak juga sedang menjadi semakin teruk pada hari ini. Mingguan Malaysia bertarikh 25 Januari 2004 melaporkan, Afrika Selatan mencatatkan kes rogol tertinggi di dunia iaitu pada kadar 58 kanak-kanak sehari dan setiap 26 saat bagi wanita dewasa. Tidak dapat dibayangkan betapa sadis dan dahsyatnya dunia hari ini
apabila enam orang lelaki yang berumur antara 24 hingga 66 tahun sanggup merogol bayi perempuan yang baru berumur sembilan bulan secara berkumpulan. Kejadian ini berlaku di Cape Town, Afrika Selatan dua tahun dahulu.
Pada bulan Januari tahun 2004, Malaysia dikejutkan dengan dua kes rogol dan bunuh ke atas dua orang pelajar iaitu adik Nurul Huda yang baru berumur 10 tahun dan adik Harerawati yang berumur 9 tahun. Pada pertengahan tahun 1996, Polis Johor telah membuat analisis yang agak menarik berkaitan dengan kes-kes rogol di negeri itu. Laporan yang dibuat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Johor, Senior Asisten Komisioner 11, Ali Hanafiah Hashim, menunjukkan sebanyak 38 kes rogol telah berlaku di seluruh negeri Johor dalam tempoh tiga bulan pertama tahun 1996. 26 atau 81% daripadanya berlaku ke atas golongan yang mengamalkan pergaulan bebas. 70% daripadanya tidak menerima pendidikan agama dan 93% tidak mengetahui bahawa melakukan zina adalah salah. Beliau merumuskan, punca berlakunya rogol adalah pergaulan bebas, tiada kawalan keluarga serta kurang didikan agama.