Ada beberapa ulama menyangka bahawa pernah diriwayatkan dari Ibn 'Umar radhiallahu 'anhuma bahawasanya beliau berwasiat apabila beliau wafat (meninggal dunia) supaya dibacakan di atas kuburnya surah al-Fatihah dan beberapa ayat terakhir dari surah al-Baqarah.
Athar dari Ibn 'Umar inilah antara yang dijadikan hujjah oleh mereka yang menghalalkan perbuatan menghadiahkan pahala bacaan al-Fatihah (al-Quran) atau bacaan bertahlil untuk arwah orang-orang yang telah mati.
Menurut penelitian para ulama hadis dan kalangan ulama Ahli sunnah wal Jamaah, ternyata athar dari Ibn ‘Umar ini adalah batil kerana bertentangan dengan amalan para sahabat radiallahu 'anhum. Athar ini juga didapati terlalu lemah dan syaaz (bertentangan dengan hadis sahih), maka athar ini tidak dapat diterima untuk dijadikan hujjah, menghalalkan amalan menghadiahkan pahala bacaan al-Quran untuk arwah dan bertahlil beramai-ramai untuk orang mati sebagaimana yang diamalkan oleh sebahagian besar masyarakat Islam sejak sekian lama.
Riwayat ini juga tidak pernah diterima walaupun oleh seorang sahabat dan para ulama Ahli Sunnah wal Jamaah sebagaimana keterangan di bawah ini:
وَاَمَّا مَا يَرْوِيْ عَنِ بْنِ عُمَرَ اَنَّهُ اُوْصِيَ بِقِرَاءَ ةِ الْفَاتِحَةِ وَخَوَاتِمَ الْبَقَرَةِ عَلَى قَبْرِهِ فَهُوَ اَثَرٌ شَاذٌ لَمْ يَصِحْ سَنَدُهُ وَلَمْ يُوَافِقهُ عَلَيْهِ اَحَدٌ مِنَ الصَّحَابَةِ.
"Dan apa yang telah diriwayatkan dari Ibn 'Umar bahawasanya beliau mewasiatkan agar dibacakan al-Fatihah dan ayat-ayat terakhir dari surah al-Baqarah di atas kuburnya, maka itu adalah athar yang syaaz (tidak sahih) dan tidak sahih pula sanadnya. Dan tidak pernah dipersetujui (diterima) walaupun oleh seorang sahabat."[1]
Begitu juga tidak ada suruhan membacakan al-Quran kepada orang mati atau yang sedang nazak. Adapun hadis yang menyuruh agar dibacakan ayat al-Quran kepada orang yang sedang nazak atau orang yang telah mati terutamanya surah Yasin adalah merupakan hadis lemah. Di dalam sanad hadis ini terdapat seorang yang bernama Saad yang dikenali oleh ulama hadis sebagai Abu 'Uthman. Dia telah dipastikan oleh ulama hadis sebagai orang yang tidak diketahui keadaannya (مجهول الحال). Hadis yang dimaksudkan ialah:
اِقْرَؤُوْهَا عَلَى مَوْتَاكُمْ.
"Bacakanlah oleh kamu (surah Yasin) ke atas orang yang hampir mati dari kalangan kamu". Hadith lemah.[2]
Menurut hadis yang sahih, perkara yang sunnah dilakukan kepada orang nazak (bukan orang mati) ialah mengajarkan kalimah tauhid sebagaimana yang dijelaskan oleh hadis di bawah ini:
لَقِّنُوْا عَلَى مَوْتَاكُمْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ
"Ajarkanlah oleh kamu orang-orang yang nazak di kalangan kamu dengan kalimah: La ilaha illallah".[3]
Adapun membacakan al-Quran ke atas orang mati telah diketahui ia perbuatan yang diharamkan oleh Imam Syafie dan sama sekali tidak ada nas yang mengizinkan untuk melakukan perbuatan tersebut malah bertentangan dengan nas al-Quran sebagaimana di bawah ini:
اِنَّكَ لاَ تُسْمِعُ الْمَوْتَى.
"Sesungguhnya engkau tidak boleh menjadikan orang-orang yang telah mati itu mendengar".
AN NAML, 27:80.
Melalui hujah-hujah di atas adalah jelas bahawa kenduri tahlilan hanyalah merupakan amalan tradisi sesuatu bangsa. Ia kemudian dianggap sebagai amalan agama kerana ramai yang mengamalkannya. Tetapi pada hakikatnya ia bukanlah suruhan atau amalan sunnah sebagaimana yang disangka oleh sebahagian masyarakat yang tidak mengkaji asal usul kenduri tahlilan tersebut.
Ada juga beberapa riwayat mengenai suruhan bacaan surah al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas kemudian pahalanya dihadiahkan kepada arwah orang yang telah mati. Riwayat-riwayat tentang perkara ini juga tidak sah (batil) kerana ianya juga bertentangan dengan al-Quran, hadis yang sahih dan perbuatan (amalan) para sahabat, tabi'in dan tabi'ut at-tabi'in (para salaf asSoleh) dikurun al-mufadalah (kurun terbaik). Antara hujjah untuk menguat dan menghalalkan perbuatan mereka ialah hadis berikut:
مَنْ قَرَاَ قُلْ هُوَ اللهُ اَحَدٌ اَلْفَ مَرَّةٍ فَقَدْ اشْتَرَى نَفْسَهُ مِنَ النَّاسِ (حديث موضوع)
"Barangsiapa yang membaca Qulhuwallahu Ahad sebanyak seribu kali, maka sesungguhnya ia telah membebaskan dirinya dari api neraka". (Hadis Palsu).
[1]. Lihat: شرح المهذب Jld. 10. Hlm. 429. Ali as-Subki.
[2]. H/R Abu Daud (2714). Al-Janaiz. Ibn Majah (1438).Hadis Lemah.
[3]. H/R Muslim (1527), al-Janaiz. Turmizi (18980). al-Janaiz. Abu Daud (2710) al-Janaiz. Nasaii (1803). al-Janaiz, Ibn Majah (1430). Ahmad (10570P)