Dalam Sahih Muslim yang dijelaskan dalam kitab al-Salam, ada bab yang dipanggil Istihbab Ruqyah al-Maridh (Bab digalakkan menjampi orang yang sakit).
Imam Muslim meriwayatkan Rasulullah berjampi dan menyuruh isteri Baginda, Aisyah r.a serta sahabat lain melakukan jampi.
Dalam riwayat daripada Jabir bin Abdullah,
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: ;Sesiapa yang dapat memanfaatkan saudaranya, maka lakukanlah (jampi) berkata Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menerangkan bahawa jampi yang menggunakan ayat al-Quran dan zikir sahih tidak sesekali dilarang oleh Islam.
Bahkan, katanya, ia adalah satu sunnah yakni perbuatan yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah. Sehubungan itu, bentuk jampi itu perlu menepati syarat tertentu agar ia tidak bercanggah dengan syariat.
Pertama,
Akidah atau kepercayaan hendaklah bebas daripada unsur syirik dan khurafat. Dalam hal ini, seseorang hendaklah yakin bahawa Allah saja yang akan menyembuh dan menentukan nasib hamba.
Kedua,
Makna bacaan jampi hendaklah difahami agar tidak ada unsur songsang yang tidak di-ketahui pengamal.
Ketiga,
Jampi tidak boleh mengandungi unsur syirik dan sesat.
Perkara ini bertepatan dengan hadis daripada Auf bin Malik al-'Asyja'i, katanya:
Kami dulu berjampi ketika jahiliah lalu kami bertanya kepada Rasulullah. Katanya : Wahai Rasulullah! Apa pendapat kamu mengenai hal itu? Jawab Baginda: Bentangkan kepadaku jampi kamu. Tidak mengapa dengan jampi jika tidak ada kesyirikan.
(Hadis riwayat Imam Muslim dan Abu Daud).
Meskipun jampi dibenarkan dalam Islam, , umat Islam jangan sesekali menumpukan jampi semata-mata untuk melunaskan segala hajat.
Perubatan moden dan ilmu mengenainya juga disuruh agama, bahkan menuntutnya adalah fardu kifayah. Pada zaman ini, tuntutan perubatan moden lebih utama daripada jampi, jika kita mengamati sighah (bentuk ungkapan) hadis Baginda berhubung perkara ini.
Maknanya, tuntutan mempelajari ilmu perubatan moden lagi utama dan wajar diberi tumpuan yang lebih. Malah, pada zaman Rasulullah, perubatan zahir lebih diutamakan. Buktinya, tentera Islam yang tercedera dalam peperangan dirawat secara fizikal terlebih dulu.
Diriwayatkan,
Nabi Muhammad s.a.w mendapatkan khidmat Al-Harith Bin Kaldah, pakar perubatan Arab untuk merawat tentera Islam walaupun Al-Harith tidak menganut Islam.
Ibn Hajar al-Al Asqalani menyebut dalam Kitab Al-Isabah, bahawa kisah itu turut memperlihatkan keharusan menggunakan khidmat orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam.
Hingga kini, ramai berjampi dan beramal dengan perubatan batin dan mereka juga menepati segala syarat ditetapkan ajaran Islam. Bagaimanapun, ada juga yang berjampi, tetapi pada hakikatnya, pengamal terbabit tidak mempunyai kelayakan dan bersikap melampaui batas. Ada pengamal yang menjampi dalam sesuatu perkara yang langsung tidak dilakukan Rasulullah.
Umpamanya, menjampi agar seseorang menjadi baik dan mendapat petunjuk, menjampi anak yang nakal agar menjadi baik atau menjampi suami yang tidak baik agar menjadi baik. Sesudah dijampi, pesakit pula diminta meminum segelas air atau beberapa biji kismis dengan harapan mereka sembuh atau diberi petunjuk.
Sebenarnya, tidak ada nas kukuh bagi mempercayai bentuk jampi yang boleh menyebabkan seseorang mendapat petunjuk.
Jika benar, mengapa Nabi Muhammad tidak menjampi Abu Jahal, Abu Lahab dan Abu Talib agar mereka masuk Islam?.
Jika benar pun juga, sudah tentu Rasulullah akan menjampi telaga Zam-Zam pada malam hari dengan harapan pada siangnya, puak Quraisy akan meminum air agar mereka mematuhi nasihat Baginda.
Amalan sedemikian adalah karut dan tidak disandarkan nas agama.
Mengimbau catatan sejarah, bapa saudara Rasulullah, Abu Talib meninggal dunia dalam keadaan kufur dan Baginda sendiri tidak mampu menjampinya agar Abu Talib mendapat petunjuk.
Allah berfirman dalam surah al-Qasas, ayat 56
إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاء وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang di-kehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), dan Dia yang lebih mengetahui akan orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).
Dalam persoalan ramalan, jika sesuatu ramalan bertepatan dengan tanda zahir yang dapat dijadikan sandaran, maka ia tidak bertentangan dengan Islam. Contoh, jika langit mendung, maka diramal hujan. Tetapi, meramalkan dengan pasti sesuatu perkara ghaib yang langsung tidak ada tanda zahir adalah salah yang boleh mengakibatkan syirik.
Rasulullah walaupun maksum (tidak ada sebarang dosa), Baginda tetap tidak mengetahui perkara ghaib kecuali apabila diwahyukan kepada Baginda. Justeru itu, sesiapa yang terlalu mempercayai ramalan bomoh adalah berdosa.
Dalam hadis ditegaskan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:
Sesiapa mendatangi tukang tilik dan tukang ramal lalu dia mempercayai apa dikatakannya, sesungguhnya dia kufur dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad
(Hadis riwayat al-Hakim dan al-Tabarani).
Pastinya, bomoh sendiri tidak mampu meramalkan nasibnya dan kebanyakan ramalan mereka pula hanya mengakibatkan unsur permusuhan dan perbalahan.
wallahua'lam