Monday, March 13, 2006

MENGAPA MENANGIS APABILA MAMPUIHNYA JAWI?

Lagi-lagi salahkan Melayu. Lagi-lagi salahkan Melayu. Pasal politik, orang Melayu yang kena. Pasal ekonomi, orang Melayu juga tempat handas. Pasal keruntuhan sosial anak muda, kemunduran anak-anak dalam pelajaran, Melayu juga dipersalahkan. Mudah lupaq pun, orang Melayu.

Apa ni? Tak ada lainkah dari hentam orang Melayu?

Kenapa tak alih pandang kepada pemimpina Melayu: Pemimpin Melayu yang berpolitik, pemimpin Melayu yang pegang kuasa, pemimpin Melayu yang tak pernah beliak mata kepada bangsanya sendiri? Pemimpin Melayu yang pejam mata kepada kelemahan bangsa Melayu sendiri.

Lagi-lagi salah kepada bangsa. Kenapa tak salah kepada mereka yang berkuasa, yang berkemampuan, yang bertanggung jawab terhadap Melayu?

Tulisan Datuk Johan Jaaffar dalam Berita Minggu keluaran 19 Feb 2006 melalui kolum khasnya, adalah di antara orang Melayu yang hala tujunya tak lain menyalahkan orang Melayu. Tulisan itu seolah-olah kerana orang Melayulah maka tulisan jawi ‘mampuih’ dan kojol tanpa kubur. Tulisan itu seolah-olah orang Melayu tak perihatin, tak mau bertanggung jawab terhadap tulisan yang mempunyai roh al-Qur`an itu.

Kita nak tanya, apa kaitannya dengan orang Melayu kalau tulisan jawi itu ‘mampuih’ begitu saja?

Tulisan jawi yang mampuih bukan kerana bangsa Melayu, tetapi kerana ‘pemimpin Melayu’ yang tidak ada jiwa Melayu, kerana pemimpin Melayu tidak ada roh Melayu melalui tulisan jawi. Jawi dimampuihkan oleh mereka yang biadap dan kurang ajar terhadap budaya dan maruah bangsanya sendiri kerana mereka tidak ada jatidiri Melayu, kerana mereka anggap bahasa jawi bukan bahasa maju dan mereka seboleh-bolehnya tidak mahu jadi Melayu. Dalam jiwa mereka menjerit loya; apa itu jawi? Nak buat apa dengan jawi?

Lalu dengan kuasa mereka, mereka terajang kepentingan tulisan jawi dan akhirnya generasi Melayu baru tak tahu lagi apa itu jawi, Maka wujudlah generasi yang semakin berkembang tetapi tidak ada lagi pendidikan jawi. Generasi ini pasti merasa susah hendak baca. Apabila susah hendak baca, buat apa susah-susah. Lagi pun kalau pandai jawi, nak buat apa?
Sampai begitu mereka tanam dan semai terhadap generasi bangsanya akibat mereka;lah yang jahil dan tidak ada jatidiri.

Kita tak pandai menulis secara tertip, berkronologi dan berdisiplin. Tapi kita telah melalui sejarahnya betapa tulisan jawi melalui zaman subur, gemilang kemudian dimatikan oleh pemimpin Melayu serndiri, bukan bangsa Melayu. Tapi sayangnya penulis, cerdik pandai yang berkebolehan menulis, tidak pernah menuding jari kepada si anu, si anu bahawa; hanglah yang menyebabkan jawi mampuih! Tidak ada dalam seminar, kertas kerja, kajian menamakan ‘youlah sebenarnya yang memampuihkan jawi!’. Yang ada hanya sebutan bangsa Melayu.

Datuk Johan mesti kena tanya diri sendiri, kenapa sebelum merdeka, di zaman penjajah, tulisan jawi mendapat tempat? Kenapa? Setidak-tidaknya pada masa itu pihak berkuasa (walaupun penjajah) memberi ruang tulisan jawi diguna pakai. Di sekolah ada buku-buku bacaan dalam tulisan jawi. Buku cerita, termasuk cerita Sang Lamri tulisan jawi.

Maka budak-budak berhingus pun, mau tidak mau kena baca jawi. Tak boleh baca, sanggup kena rotan; soalnya jawi kena baca.

Waktu itu pegawai di Jabatan Pelajaran, pegawai di kementerian, orang yang ada kuku dalam Kementerian Pelajaran suka, malah berjiwa kejawian walaupun mereka mampu bercakap soh-seh, soh-seh.

Maka muncullah Utusan Melayu. Sebab apa? Sebab pihak syarikat tahu apa yang akan diberikan, akan diterima pula oleh bangsa Melayu.

Tiba-tiba sedang jawi diguna pakai tanpa sakit dan cedera, datang seorang Menteri Pelajaran lalu mengumumkan supaya tulisan jawi di ‘mampuihkan’ dalam sukatan pelajaran.
Nasib baik ketika itu ramai bangsa Melayu boleh mengusai jawi. Tapi oleh kerana menteri itu mabuk kuasa, entah apa yang ada dalam kepala otaknya, hasrat memampuihkan jawi diteruskan.

Ketika itu, mampuih atau dikambus jawi, orang Melayu masih mampu membaca, membeli akhbar jawi kerana mereka masih berjatidiri dengan jawi.

Tetapi bolehkah hal itu berlarutan sekiranya generasi itu sedikit demi sedikit mampuih dan yang hidup adalah generasi yang belajar di sekolah tanpa lagi tulisan jawi. Kalau pun diajar hanya 30 minit seminggu.

Generasi ini semakin besar, beranak pinak dan anak pinak ini apabila celik ke dunia Malaysia, jawi sudah tidak ada lagi.

Habis, kita nak tempek kepada mereka, hoi, bacalah jawi, cintailah tulisan jawi? Poorrahhh! Bangsa mana pun tidak akan cinta terhadap sesuatu jika tidak dibibit cinta sejak awal.

Cuba tanya anak muda sekarang, apa perlukah surat khabar jawi itu dihidupkan atau di matikan? Jawapan tentunya mereka tidak peduli apa-apa. Yang asyik berkokok ialah generasi yang masih ada saki baki zaman dahulu. Masakan mereka dapat menongkat langit dengan jawi?
Jadi adilkah apabila kita menyalahkan orang Melayu tak mahu pelihara, menjada maruah jawi kalau mereka sendiri tidak tahu apa itu jawi?

Kenapa tidak hala saja muncung pena kepada pemimpin yang berkuasa tentang jawi ini atau pemimpin yang bertanggung jawab. Caranya mudah. Hidupkan semula tulisan jawi, pelajaran jawi di sekolah-sekolah. Bila mereka celik mata kena belajar jawi, merekalah yang akan membaca jawi apa bila besar.

Kenapa tidak ditojah dahi menteri itu kerana kesalahan mampuihnya jawi ini? Bukankah kerana dia yang mencadangkan? Adakah memampuihkan jawi ini kehendak bangsa Melayu?
Menteri Pelajaran sekarang pula, perlu fikir lama-lama bagaimana untuk menyibar luas, menghidupkan semula jawi yang ‘nazak’ ini. Kalau boleh ketepikan ‘dosa’ menteri lama terhadap jawi.

Dalam hal memampuihkan sesuatu perkara, bukan saja jawi. Bahasa Malaysia sendiri akan mengalami perkara yang sama jika orang yang bertanggung jawab tidak suka kepada Bahasa Malaysia.

Ini bukan soal nak maju atau nilai ekonomi. Ini soal maruah bangsa dan martabat bahasa. Apa jenis bangsa di dunia ini kalau bahasanya sendiri hendak dihapus?

Zaman 60 dan 70-an dulu, Bahasa Malaysia telah diguna pakai dengan baik apabila ia dijadikan bahasa rasmi. Waktu itu buku-buku berbahasa Malaysia jenuh diterbitkan sebab pembaca ramai. Tapi kini, apabila mereka yang berkuasa tidak berapa peduli dengan bahasa Malaysia, tenguklah taraf dan nilainya. Maruah bahasa itu sendiri dipermain.

Bukan apa, sebabnya banyak pula jongos, bajak wangkang, hipokrit, tukang ampu, wahhal dia tahu program itu program menjahnamkan bangsanya sendiri.

Pemimpin-pemimpin bangsa lain cerdik tetapi kita bodoh. Mereka mempertahankan penggunaan bahasa mereka dengan apa cara pun, maka surat khabar dalam bahasa mereka pun mendapat tempat. Tapi kita, lorong dan jalan meluaskan penyibaran dimampuihkan, tiba-tiba nak suruh orang Melayu baca. Mana ada jalan?

Saya secara peribadi, sedikit pun tidak dukacita atas mampuihnya’ surat khabar jawi. Buat apa hendak diterbitkan kalau tak ada orang baca. Nak salahkan orang Melayu tak mahu baca?

Mengapa nak salahkan mereka kalau mereka sendiri tak tahu baca!

Barangkali dari segi hendak memanjangkan hayat penerbitan akhbar jawi ini satu saja caranya. Akhbar jawi Utusan Melayu kepunyaan Umno. Ahli Umno sekarang lebih dari 2 juta. Mengapa ahli Umno sendiri, sekurang-kurangnya 300,000 tak mahu beli Utusan Melayu jawi kalau mereka sayangkan kepada saham, syer dan jawi mereka. Sepatutnya merekalah yang memertabatkan jawi.

Tapi apa yang hendak dikata, mereka juga (ahli Umno kini, termasuk Putri dan Putra) adalah generasi baru yang buta jawi disebabkan menteri Umno juga yang memampuihkan jawi sebelum mereka lahir. Kemudian setelah mereka lahir, jawi sudah tidak ada. Yang ada hanya spesis lemah dan tidak berguna. Jadi nak salah siapa?

Sayang, orang seperti Datuk Johan selalu melihat sisi lain terhadap sesuatu isu. Ia seolah-olah fenomena alam yang perlu dipertahankan oleh semua orang, sedangkan puncanya dilakukan oleh seorang sahaja kemudian diskokong oleh mereka yang ada kepentingan tidak diambil kira.
Jahatnya orang politiklah. Dari kuasa politik mereka menggunakan semau-mau tanpa memikirkan masa depan bangsanya.

Bukan saja jawi wahai Datuk Johan, yang lain lagi pun berlambak-lambak yang hanya menunggu masa saja. Matematik dan Sains yang diwajibkan mengguna bahasa Inggeris, apa pun alasan, ia tidak melambangkan satu keputusan yang baik. Tetapi kerana kuasa politik, banyak tukang angguk maka ia solah-olah sangat tinggi martabat disebalik penurunan nilai dan peratus markahnya.

Apa ertinya Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dukacita apabila surat khabar itu ditutup? Ini bukan masalah tutup, ini masalah ketelanjuran menteri dulu dan tidak diperbaiki oleh menteri sekarang dalam bidang pelajaran dan pendidikan. Sistem yang sangat tidak betul politik pemimpin Melayu kita ialah tidak berani mengubah sistem lama yang diputuskan dalam bentuk politik. Mengapa? Kerana ramai yang mahu hidup dengan kuasa poiltik walaupun terpaksa berpura-pura atau memamah maruah bangsanya sendiri.

- Azizi Haji Abdullah