“ Janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang, kerana manis itu belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan ” – Lukman nul-Hakim
Selalunya manusia memang begitu. Setiap yang payah tidak ingin dilakukan, hanya perkara yang senang menjadi pilihan. Dari sudut motivasi ia bagus kerana dengan itu terciptalah pelbagai barangan yang memudahkan kehidupan harian manusia. Dengan kereta, perjalanan jadi selesa dan cepat; dengan periuk elektrik memasak nasi menjadi perkara yang mudah; dengan adanya lif tidak perlu lagi memanjat tangga.
Kemahuan untuk senang membuatkan manusia mencipta pelbagai peralatan semasa. Ternyata kehidupan menjadi begitu menarik dan indah sekali.
Sayangnya, seolah-olah telah tertanam satu tabiat pada diri manusia – kesenangan adalah mesti. Maka tidak kurang ramainya manusia mencari kesenangan walau terpaksa menempuh jalan yang silap.
Menipu itu mungkin mudah berbanding bekerja membanting tulang, lalu nisbah si penipu yang mendiami bumi kian bertambah. Merampas harta orang dengan jalan yang tidak dibenarkan itu mungkin lebih mudah berbanding berusaha keras membina harta, lalu perbuatan seperti ini tidak pernah ada kesudahan.
Tabiat mahu yang senang sepanjang masa dan setiap masa telah menimbulkan sikap takut dengan cabaran atau lemah menghadapi cabaran. Sedangkan ayam kampung, dengan dibiarkan hidup mencari makanan sendiri terbukti payah sekali untuk ditangkap untuk disembelih, berbanding ayam sangkar yang terlalu dimanjakan hingga tulang temulangnya lembut dan rapuh.
Untuk tahan sakit seseorang itu perlu disakiti selalu. Maka itu, ahli gusti mampu melakukan pelbagai aksi yang menyakitkan tanpa begitu berasa sakit. Stamina seorang pelari jarak jauh bergantung kepada sekerap mana dan sehebat mana dia berlari setiap hari. Semua ini menyakitkan tetapi itulah yang menjadikan mereka kuat dan luar biasa sekali.
Maka itu, untuk menjadi orang yang kuat dalam mendepani cabaran-cabaran hidup, cabaran itu perlu ditempuh apabila terpaksa ditempuh, biarpun ia amat menyakitkan sebab sudahnya adalah kekuatan. Usah memilih yang manis sahaja sebab gula penyebab diabetes, sedangkan tongkat ali yang pahit itu adalah penguat tenaga.
Suatu hari, sepasang suami isteri sedang mandi di dua bilik air yang berasingan, loceng rumah mereka berbunyi. Setelah dan berdolak-dalik, akhirnya Munah mengalah lalu pergi membuka pintu dengan hanya berkemban dan menutup kepalanya dengan tuala. Di luar rupanya Awang, jiran sebelah. Melihatkan keadaan wanita itu, Awang tersenyum dan dia berkata, “Bukalah tuala tu saya akan hadiahkan RM800.”
Wah, sekadar membuka tuala sudah mendapat RM800. Tentu Ahmad pun gembira mendengar berita ini, fikir Munah. Dia pun membuka tuala yang menutup kepalanya. Sebelum sempat Awang berkata apa-apa Munah sudah menutupnya kembali dan menadahkan tangan. Awang memberinya RM800, sebelum tersenyum lalu pergi.
Munah tergesa-gesa hendak memberitahu Ahmad. Jika begitu mudahnya mendapat wang, hidup sudah menjadi teramat manis.
“Siapa yang datang?” pekik Ahmad dari bilik mandi.
“Awang jiran sebelah.”
“Oooo.” Keadaan senyap seketika. “ Ada tak dia bagi RM800? Dia kata nak bayar hutang dia hari ni.”
Maka itu, usah terlalu terliur dengan perkara yang menyeronokkan sebab boleh jadi ia petaka dan usah terlalu cerewet dengan hal yang tidak menyeronokkan, boleh jadi ia penyebab bahagia.
Sunday, April 22, 2007
Usah Mudah Terliur Dengan Gula
Labels:
Motivasi Diri