Pentafsiran al-Quran mempunyai metodologinya yang tertentu. Justeru, penggunaan ilmu-ilmu sains semasa untuk mentafsirkan al-Quran tidak boleh dilakukan secara semberono. Hal ini disebabkan pentafsiran berlandaskan pandangan akal semata-mata tanpa merujuk kepada tafsiran yang muktabar adalah dilarang.
Berhubung dengan ini dalam sebuah hadis bertaraf hasan yang diriwayatkan oleh Tirmizi, an-Nasai dan Abu Daud, nabi bersabda, “Sesiapa yang mentafsirkan al-Quran dengan menggunakan akal semata-mata ataupun berdasarkan sesuatu yang tidak difahaminya, sila ambil tempatnya dalam neraka.”
Justeru sikap sesetengah golongan yang terlalu ghairah mentafsirkan al-Quran menggunakan sains perlu ditegur. Mereka menggunakan pendekatan tangkap muat atau ‘cut and paste’ dalam mentafsirkan ayat.
Setiap penemuan sains yang diledakkan terus mereka ambil untuk dikaitkan dengan ayat-ayat tertentu. Mereka seolah-olahnya berkata, “Penemuan serta fenomena sains inilah yang dimaksudkan oleh ayat.” Mereka seolah-olahnya meyakini bahawa maksud sebenar sesuatu ayat Quran ditentukan oleh penemuan sains yang baru diketengahkan, tanpa merujuk kepada tafsiran yang muktabar. Mereka merupakan golongan yang terbabas.
Ulama tafsir bersepakat bahawa tafsiran yang terbaik ialah tafsiran yang diambil daripada al-Quran sendiri. Jika perincian maksud sesuatu ayat tidak diperoleh daripada al-Quran, Sunnah perlu dirujuk.
Jika selepas merujuk kepada al-Quran dan Sunnah maksud sesuatu ayat masih belum jelas, kita perlu merujuk kepada perkataan sahabat-sahabat nabi terutamanya keempat-empat khalifah selepas nabi, sahabat Abdullah ibn Masud dan Abdullah ibn Abbas, kerana mereka lebih mengetahui berhubung al-Quran berbanding orang lain. Jika perincian maksud masih belum diperoleh, kita perlu manfaatkan pendapat ulama tabiin kerana mereka merupakan anak murid kepada sahabat-sahabat nabi.
Antara mereka yang menonjol dalam bidang ilmu tafsir ialah Imam Mujahid, Atha bin Rabah, Ikrimah, Said bin Jubair dan Masruq bin Ajda’. Di samping itu, pandangan daripada ulama selepas tabiin juga boleh dimanfaatkan.
Antara mereka yang menonjol ialah Sufyan bin Uyainah, al-Kalbi, Muqatil bin Sulaiman dan al-Waqidi. Tambahan daripada itu, tafsiran mengikut kaedah bahasa Arab juga adalah diterima. Mengikut sahabat Abdullah ibn Abbas, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Jarir, maksud sesetengah ayat dapat difahami oleh orang-orang Arab (juga oleh mereka yang menguasai bahasa Arab) kerana ia adalah bahasa mereka.
Tafsiran yang merujuk kepada metodologi ini dianggap sebagai tafsiran yang muktabar. Selepas tafsiran muktabar dirujuk, dan maksud serta tujuan ayat jelas berkaitan dengan alam dan manusia, ketika itu penemuan-penemuan sains yang relevan lagi sahih boleh dimanfaatkan bertujuan untuk membantu serta memantapkan kefahaman.
Sebagai contoh, dalam surah az-Zariyat ayat 47 Allah berfirman, “Dan langit Kami bangun dengan kekuasaan Kami dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya.”
Dalam ayat ini Allah menggunakan kalimat muusi’uun. Dalam bahasa Arab kalimat muusi’uun berasal daripada kalimat wasa-’a yang bermaksud “menjadi besar, luas.”
Berdasarkan ini, ayat ini boleh membawa maksud “Allah meluaskan langit” dan pada ketika yang sama ia juga boleh bermaksud “Allah yang meluaskan atau melapangkan rezeki.” Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim menyatakan, ayat ini bermaksud, “Kami (Allah) meluaskan segenap penjuru (langit) dan Kami meninggikannya tanpa tiang.”
Dengan tafsiran ini jelas sekali ayat ini ada perkaitan dengan pengembangan alam, maka tidak ada salahnya jika kita memanfaatkan penemuan semasa yang relevan untuk membantu kefahaman.
Justeru, as-Syeikh Said Hawa, dalam Al-Asas fit Tafsir, berkata, “Maksud ayat ini ialah, langit ini Allah jadikan dalam keadaan mengembang secara berterusan atau Allah jadikan ianya luas. Ayat ini merupakan ayat mukjizat berhubung kejadian alam. Ia juga menunjukkan bahawa ilmu al-Quran amat jauh ke hadapan, melampaui tempat dan zaman.”
Pada hari ini para saintis mengesahkan bahawa alam ini sebenarnya sedang mengembang. Fenomena ini pada asalnya diutarakan pada tahun 1929 oleh tokoh astronomi daripada Amerika, iaitu Edwin Hubble. Pada tanggal 16 Mac 2006, di bawah tajuk Astronomers Detect First Split-Second of the Universe, Space.com melaporkan bahawa pakar-pakar astronomi NASA menemui bukti-bukti baru yang mengukuhkan lagi teori ini.
Ia adalah berdasarkan data yang disalurkan oleh satelit NASA yang dilancarkan pada tahun 2001. Satelit ini dikenali sebagai Wilkinson Microwave Anisotropy Probe atau WMAP. Ia mengukuhkan teori alam mengembang sekali gus menampakkan kebenaran al-Quran.
Pentafsiran al-Quran menggunakan pendekatan sebegini disetujui dan disokong oleh Hamka. Beliau berkata, “(Mukjizat) yang lebih mengagumkan ialah terdapat beberapa pokok ilmiah yang tinggi dalam al-Quran mengenai alam. Dibicarakan dalamnya soal kejadian langit dan bumi, bintang-bintang, bulan dan matahari. (Juga dibincangkan tentang) turunnya hujan dan hubungannya dengan kesuburan dan kehidupan. Beberapa kali dibicarakan (tentang) lautan, pelayaran dan perkapalan.
Pernah juga (difirmankan) bahawa pada mulanya langit dan bumi itu adalah satu, kemudian dipecahkan (al-Anbiya ayat 30) dan beratus-ratus tahun kemudian penyelidikan ilmu pengetahuan alam menjelaskan bahawasanya bumi ini adalah pecahan daripada matahari. Dibicarakan juga soal asal-usul kejadian manusia, (bermula) daripada tanah lalu menjadi mani, nutfah, alaqah dan mudghah, lalu mudghah itu menjadi tulang, lalu tulang itu diselimuti oleh daging, kemudian menjadi manusia yang bernyawa (al-Mukminun, ayat 12-14).
Dibicarakan juga dari hal kayu-kayuan, kebun-kebun yang indah, pengaruh angin berhembus untuk mempertemukan ‘jantan dan betina’ pada tumbuh-tumbuhan. (Persoalan tentang alam) yang dibicarakan sangatlah mengagumkan, kerana (semakin bertambah) penyelidikan manusia dalam pelbagai (bidang) ilmu pengetahuan tentang alam, semakin bertambah jelas maksud ayat-ayat itu. Sedangkan Nabi Muhammad bukanlah seorang ahli ilmu alam.....
(Al-Quran) membicarakan beberapa kali tentang lautan, ombak bergulung dan kapal belayar, dan ia sangat menarik perhatian pelaut-pelaut. Sehinggakan seorang nakhoda kapal berbangsa Inggeris bernama Mr. Brown, yang dalam pelayarannya antara tanah Inggeris dan India selalu membaca terjemahan al-Quran, sangat kagum apabila membaca ayat-ayat mengenai laut dan bahtera.
Beliau bertanya kepada orang-orang Islam di India, pernahkah Nabi Muhammad belayar. Maka diterangkan kepadanya bahawa Nabi Muhammad tidak pernah melayari lautan seumur hidupnya. Mendengar keterangan itu ditambah lagi dengan penyelidikannya tentang sejarah hidup Rasulullah, memang (jelas sekali) beliau tidak pernah belayar. (Maka) timbullah iman (di hati) nakhoda Inggeris itu bahawa al-Quran sememangnya wahyu Ilahi, dan dia pun langsung memeluk agama Islam.......................
Tambahan daripada itu, terdapat banyak ayat al-Quran yang menyuruh manusia memperhatikan alam kelilingnya, merenung dan memikirkannya. Ditekankan seruan agar (manusia) menggunakan akal.
Dan setelah ilmu pengetahuan moden (menjadi maju), bertambah jelas pulalah erti yang terkandung dalam ayat-ayat itu. Semuanya ini menjadi bukti bahawa al-Quran bukanlah karangan Nabi Muhammad sebaliknya diturunkan secara langsung daripada Allah... Jika terdapat pentafsir-pentafsir memberikan tafsiran yang tidak tepat, ia bukanlah bererti bahawa ayat itu yang tidak sesuai dengan ilmu pengetahuan, melainkan pentafsir itulah yang tidak ada ilmu pengetahuan.” Kenyataan-kenyataan ini disebutkan Hamka dalam Tafsir al-Azhar.
Wednesday, April 25, 2007
Pentafsiran Quran Menggunakan Sains
Labels:
Menerokai Islam