Monday, April 23, 2007

Al-quran Melahirkan Minda Progresif

Al-Quran merupakan sumber rujukan nombor satu bagi umat Islam. Ia dipenuhi dalil serta bukti yang pelbagai berkaitan dengan alam, manusia serta sistem hidup. Al-Quran berjaya membentuk umat Islam menjadi golongan yang progresif mindanya. Daripada al-Quran, umat Islam memiliki kefahaman yang betul tentang alam dan kehidupan.



Sebagai contoh, umat Islam, lama sebelum lahirnya teori Big Bang, sudah mengetahui bahawa langit dan bumi pada asalnya bercantum padu sebelum bermula proses kejadian alam. Pengetahuan ini adalah berdasarkan firman Allah dalam surah al-Anbiya ayat 30 yang bermaksud, “Apakah orang-orang kafir itu tidak mengetahui bahawa langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu (ratqa) kemudian Kami pisahkan antara keduanya (fataq).” Kesan daripada ayat ini lahirlah pandangan sebagaimana yang diutarakan oleh ulama tabiin iaitu Imam Said bin Jubair yang telah meninggal lebih daripada seribu tahun dahulu. Beliau berkata, “Langit dan bumi sebelum ini melekat antara satu sama lain. Apabila langit ditinggikan dan dengan itu zahirlah bumi maka berlakulah pemisahan dan itulah yang dimaksudkan Allah dalam ayat ini.”



Tambahan daripada itu, ulama Islam dari kalangan sahabat-sahabat nabi dan generasi selepas mereka juga telah mengetahui, berpandukan ayat-ayat al-Quran, bahawa proses kejadian bayi melalui pelbagai tahap, bermula dengan percantuman antara benih lelaki dengan benih perempuan. Mereka tidak pernah mengatakan bahawa kejadian bayi bermula dengan percantuman antara air mani lelaki dengan darah haid wanita seperti yang dinyatakan oleh Aristotle. Sebagai contoh sahabat nabi Abdullah ibn Abbas berkata, “Air lelaki telah bertemu dengan air perempuan kemudian ia bergabung dan bercantum dan selepas itu ia berubah daripada satu tahap ke satu tahap yang lain dan daripada satu keadaan ke satu keadaan yang lain dan daripada satu warna ke satu warna yang lain.” Pandangan yang sama juga telah dinyatakan oleh Imam Ikrimah, Mujahid, al-Hasan, dan Rabie’ bin Anas, seperti yang disebutkan oleh Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim.



Di barat pula keadaannya adalah berbeza. Pakar-pakar biologi di sana, pada abad ke-17 dan 18 Masihi, masih lagi terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama mengatakan bayi telah sedia wujud dalam sperma lelaki dalam bentuk yang kecil sebelum persetubuhan berlaku. Golongan ini dikenali sebagai homunculists. Golongan kedua pula yang dikenali sebagai golongan ovists, mempercayai bayi telah sedia wujud dalam ovari wanita. Apabila persetubuhan berlaku embrio-embrio kecil ini seolah-olahnya mendapat lampu hijau untuk terus hidup dan membesar. Hal ini dilaporkan di Human Developmental Anatomy Center (Research Collections, National Museum of Health and Medicine, Washington).



Lebih menakjubkan, para sahabat juga telah mengetahui bahawa kadar hujan yang turun di muka bumi adalah sama pada setiap tahun. Hal ini adalah berdasarkan beberapa firman Allah, antaranya ayat 11 dalam surah az-Zukhruf yang bermaksud, “Dialah yang menurunkan air dari langit mengikut kadar lalu Kami hidupkan dengan air itu bumi yang mati....”



Berhubung dengan ini, Ibn Kathir meriwayatkan kenyataan Abdullah ibn Abbas dan Abdullah ibn Masud yang berkata, “Tidaklah hujan yang turun pada suatu tahun melebihi kadar hujan yang turun pada tahun-tahun yang lain.”



Kenyataan mereka memang selari dengan penemuan sains moden kerana pusingan hidrologi dunia (hydrologic or water cycle) menunjukkan kadar hujan yang turun adalah sama pada setiap tahun. Hal ini disebutkan dalam Wikipedia Encyclopedia bersumberkan daripada NASA dan United States Geological Survey. Pakar-pakar menganggarkan air hujan yang turun dari langit ke bumi mencecah 513 trilion ton setiap setahun tanpa sebarang perubahan.



Justeru, ajaran Islam berjaya membentuk minda saintifik lagi progresif di kalangan umat. Kesan daripada itu maka lahirlah saintis-saintis Muslim yang agung lagi mengagumkan. Kekaguman ini pernah disuarakan oleh seorang tokoh sains dari barat, George Sarton (1884-1956), dalam buku beliau yang bertajuk Introduction to the History of Science. Beliau berkata, "Memadai rasanya jika kita sekadar menyebutkan beberapa nama tokoh Islam yang tidak ada tandingannya di barat ketika itu. Antaranya ialah Jabir ibn Haiyan, al-Kindi, al-Khwarizmi, al-Fargani, al-Razi, Thabit ibn Qurra, al-Battani, Hunain ibn Ishaq, al-Farabi, Ibrahim ibn Sinan, al-Masudi, al-Tabari, Abul Wafa, Ali ibn Abbas, Abul Qasim, Ibn al-Jazzar, al-Biruni, Ibn Sina, Ibn Yunus, al-Kashi, Ibn al-Haitham, Ali Ibn Isa al-Ghazali, al-Zarqab dan Omar Khayyam. Inilah nama-nama yang mengagumkan dan lis ini adalah lebih panjang daripada ini. Jika ada seseorang memberitahu anda bahawa bumi Timur Tengah sebelum ini ketandusan sains, sebutkan nama-nama ini kepadanya. Kesemua mereka ini berkembang antara tahun 750 hingga 1100 Masihi.”