Dalam surah Yusof ayat 47-49 Allah berfirman, “Yusof berkata, ‘Hendaklah kamu bertanam selama tujuh tahun sebagaimana biasa dan apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di bulirnya kecuali sedikit yang kamu ambil untuk dimakan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit yang memerlukan kamu memakan apa yang kamu simpan kecuali sedikit yang kamu biarkan dalam simpanan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia dikurniakan hujan dan ketika itu mereka memerah anggur’.” Ayat ini menceritakan tentang perancangan yang dicadangkan oleh nabi Yusuf kepada raja Mesir untuk menghadapi saat kegawatan ekonomi di Mesir.
NABI MEMENTINGKAN PERANCANGAN STRATEGIK
Nabi sentiasa mementingkan perancangan yang rapi sebelum melaksanakan tugas-tugas penting. Sebagai contoh, sebelum berlakunya Hijrah dan penegakan negara Islam di Madinah, perancangan yang mantap telah dilakukan oleh nabi di Mekah. Ketika itu, baginda mengubah strategi dakwah dengan menyampaikan risalah Islam kepada orang-orang yang datang dari luar kota Mekah.
Golongan Aus dan Khazraj dari Yathrib (Madinah) terkesan dengan dakwah nabi dan dengan itu pada tahun ke-12 sebelum hijrah berlakulah Perjanjian Aqabah Pertama antara nabi dengan 12 orang wakil dari Madinah. Ketika mereka kembali ke Madinah nabi mengutus sahabat yang bernama Mus’ab bin Umair bersama-sama mereka bertujuan untuk mendidik masyarakat di Madinah tentang Islam.
Strategi ini berjaya mengislamkan ramai tokoh-tokoh Arab di Madinah. Ini memungkinkan berlakunya Perjanjian Aqabah Kedua di Mekah pada tahun ke-13 sebelum hijrah. Dalam perjanjian ini mereka berjanji untuk membela nabi sebagaimana mereka membela keluarga mereka sendiri hingga ke titisan darah yang terakhir. Selepas perjanjian ini nabi melantik 12 orang dari kalangan mereka untuk menjadi nuqabak atau penggerak utama dakwah di Madinah. Perancangan yang strategik ini menjadi titik tolak kepada Hijrah dan penegakan negara Islam di Madinah.
Ketika berlaku Perang Khandak golongan Quraisy keluar dengan kekuatan tentera berjumlah empat ribu orang dan Bani Ghatfan dengan jumlah enam ribu orang menuju ke Madinah. Oleh kerana umat Islam mempunyai kekuatan tentera berjumlah hanya tiga ribu orang, umat Islam memutuskan untuk mengadakan pertahanan dalam kota Madinah.
Taktik yang digunakan ketika itu ialah mengorek parit di sekeliling kota Madinah. Untuk memastikan taktik ini berkesan perancangan telah dilakukan dengan rapi. Mereka memutuskan untuk menggali parit sepanjang 5,000 hasta, ukuran dalamnya 7-10 hasta dan lebarnya lebih kurang 9 hasta. Untuk melaksanakan tugas ini nabi membahagikan para sahabat kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai sepuluh orang dan setiap kumpulan diarahkan untuk menggali parit sepanjang 40 hasta. Kesan dari perancangan yang rapi ini pihak musuh tidak dapat memasuki kota Madinah dan dengan bantuan Allah umat Islam terselamat dari pancaroba peperangan.
Monday, April 09, 2007
Cemerlang Dengan Mementingkan Perancangan
Labels:
Motivasi Al-Quran