Bersama Dr Juanda Jaya
SEANDAINYA kita berada di syurga, di manakah tempat yang layak kita duduki? Untuk menjawab soalan itu elok kita teliti dengan cermat, cukupkah kiranya amal salih yang kita lakukan sepanjang hidup ini? Pernahkah anda berasa iri hati melihat orang lain lebih banyak beramal ibadat berbanding diri anda?
Umpama menikmati cahaya bulan pada malam yang cerah, ia sungguh indah, namun tidak boleh dicapai. Begitulah kiranya kedudukan orang yang berada di syurga tertinggi.
Mereka yang berada di bawah tentu menyesal, mengapa di dunia dulu dia tidak beramal seperti amalan sahabatnya yang berada di atas sana. Dengan iman manusia mencapai puncak ketinggian. Iman itu menentukan status dan gelaran di syurga.
Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya penghuni syurga melihat penghuni yang berada di atas tingkat mereka bagaikan melihat bulan di langit.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sememangnya kedudukan Mukmin itu bertingkat-tingkat mengikut keadaan amalan masing-masing. Hal ini dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: “Kemudian kitab itu kami wariskan kepada orang yang kami pilih di antara hamba kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan di antara mereka ada yang mendahului dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurniaan amat besar.” (Surah Faathir, ayat 32)
Al-Sabiquna bil khairat (mereka yang mendahului dalam berbuat kebaikan) kedudukan mereka dekat dengan Nabi SAW kerana iman mendalam dan amal salih yang dilakukan.
Mereka adalah VVIP di sisi Allah dan Rasul-Nya, yang berjuang bersama-sama Nabi dan paling cepat menyahut seruan iman kemudian beramal dengannya.
Dr Aid al-Qarniy menyatakan di dalam kitabnya Ihfazillah Yahfazukallah bahawa golongan Assabiqun memiliki sifat melakukan ibadat wajib dan berasa tidak cukup dengannya sehingga menambah dengan ibadat sunat. Sehingga kedudukan mereka jauh lebih tinggi daripada hamba Allah yang lain.
Al-Muqtashid (golongan pertengahan). Dr Aid juga mengulas mengenai golongan ini, beliau berkata: “Mereka ini ialah golongan yang berasa cukup melakukan kewajipan saja. Hal ini sudah melayakkan mereka mendapat kecintaan Allah SWT.”
Seperti hadis Baginda SAW yang bermaksud: “Tidaklah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai melainkan dia melakukan sesuatu yang Aku wajibkan ke atasnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah). Namun demikian keadaan mereka di syurga berada di bawah golongan Assabiqun.
Zalimun linafsihi. (Yang menzalimi dirinya sendiri). Saidatina Aisyah pernah ditanya oleh seorang sahabat, Masruk: “Wahai bonda, siapakah orang yang masuk dalam kumpulan Assabiqunabil khairat? Aisyah menjawab: “Iaitu orang yang hidup bersama Rasulullah, sementara al-Muqtashid ialah mereka yang hidup selepas baginda wafat. Dan yang menganiaya diri sendiri (zalimun linafsihi) adalah aku dan kamu.”
Perkataan Ummul Mukminin Aisyah yang merendah diri menunjukkan kepentingan meletakkan diri dalam keadaan waspada dan takut kepada Allah. Namun begitu tidak mustahil kita boleh mendapatkan kedudukan Assabiqun, walaupun amal dan perbuatan jauh ketinggalan dibandingkan dengan sahabat Rasulullah SAW.
Satu syarat mutlak bagi kita mencapai kedudukan ini ialah apabila kita mencintai golongan Assabiqun dengan menyertai mereka dalam setiap amal perbuatan, walaupun kita tidak berada pada zaman mereka.
Mencintai bermaksud menjadikan mereka sebagai inspirasi dan teladan di dalam kehidupan. Rasulullah SAW menjanjikan sesiapa yang mencintai suatu kaum maka dia akan bersama mereka di syurga nanti.
Sabda baginda SAW yang bermaksud: “Seseorang akan bersama dengan yang dikasihinya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat lain Nabi SAW ditanya: “Bagaimanakah jika seseorang kasih kepada satu kaum tetapi tidak berkumpul bersama mereka? Nabi SAW bersabda: Seseorang akan berkumpul dengan kekasihnya (di akhirat).”
Mencintai membawa maksud mengikuti amalan mereka dengan mengambil acuan yang ditinggalkan Rasulullah SAW kepada mereka. Amalan mereka mengikut sunnah dan tidak tercemar oleh unsur bidaah.
Mereka memastikan amalan dibuat adalah berdasarkan ilmu dan dalil yang kukuh.
Jauh sekali daripada sikap mengikut sesuatu amalan yang tiada asas.
Allah berfirman bermaksud: “Dan di antara orang mukmin itu ada golongan yang menepati apa yang dijanjikannya kepada Allah, di antara mereka ada yang menemui ajalnya (mati syahid) dan di antara mereka ada yang menanti-nantikannya (untuk memperoleh syahid) dan tiadalah mereka ingin menukar janji itu dengan yang lain. (Surah Al-Ahzab, ayat 23)
Mereka mendahului kita dalam perjuangan dan pengorbanannya kepada Allah. Kini kita berada pada kedudukan menunggu panggilan. Allah tidak akan memungkiri janji-Nya. Walaupun kita sering terlupa, perkataan Ummul Mukminin Aisyah: Zalimun linafsihi itu aku dan kamu.
Monday, April 02, 2007
Tajdid Iman: Ibadat Di Dunia Penentu Tingkat Darjat Di Syurga
Labels:
Tajdid Iman