Thursday, August 03, 2006

Operasi Wafa al-Ahrar (janji orang yang merdeka) menantikan rejim Zionis

Di kala semua mucung kamera badan-badan berita antarabangsa sedang dihalakan ke arah Lubnan, masyarakat dunia bagaikan terlupa akan nasib rakyat Palestin. Bilangan rakyat Gaza yang dibunuh bagaikan tidak mendapat kepedulian dunia. Sebahagian daripada Gaza masih lagi terputus bekalan eletrik. Lima menteri kabinet kerajaan Palestin masih lagi diculik oleh rejim Zionis.

Empat puluh pegawai kerajaan termasuk 25 orang ahli parlimen dan beberapa orang datuk bandar yang diculik juga tidak diketahui apakah nasib mereka. Universiti Islam Gaza yang telah dibedil dibiarkan begitu sahaja. Pejabat-pejabat kementerian yang diserang dan hancur tiada siapa yang peduli. Para pekerja yang tidak menerima gaji masih tidak tahu apakah penyelesaiannya. Kanak-kanak Gaza masih lagi tidak dapat ke sekolah kerana infrasruktur kebanyakan sekolah telah hancur, dan ada di antara guru-guru mereka telah ditangkap oleh tentera rejim. Jalan-jalan raya masih lagi belum selamat untuk digunakan, bila-bila sahaja kereta kebal-kereta kebal rejim akan muncul dan menembak sesiapa sahaj, malah apa sahaja yang berada di jalan.

10,000 tahanan rakyat Palestin masih lagi disiksa di penjara-penjara Zionis. Ratusan kanak-kanak bawah 18 tahun dan juga wanita adalah di antara yang ditahan. Hari berganti hari, masa depan mereka semakin kabur. Malangnya, apabila terletusnya perang di Lubnan, rakyat Palestin bagaikan dilupakan. Jabaliya, Refah, Khan Yunus, Nablus dan lain-lain nama tempat di Palestin yang dijadikan sasaran kegilaan Zionis amat kurang mendapat perhatian.

Jika TV 3 dan Mercy berupaya membuat tabung untuk rakyat Lubnan, mengapakah tiada tabung buat rakyat Palestin yang telah di"cekik" oleh rejim Zionis dan AS semenjak bulan Februari lagi. Apa yang lebih menyayat hati, Baitul Maqdis kini terus sepi daripada mendapat liputan berita. Umat Islam di Baitul Maqdis sudah tiga minggu (semenjak awal bulan Julai) tidak dapat menunaikan solat Jumaat di dalam Masjid al-Aqsa. Hanya mereka yang berumur 45 tahun sahaja yang dibenarkan untuk memasuki masjid untuk solat-solat fardhu. Lebih mengaibkan lagi, tentera-tentera Zionis bebas berkeliaran dan mengawal masjid. Lebih menyakitkan hati lagi, di bawah Masjid al-Aqsa kini sudah ada kuil sementara Yahudi, di bawah Masjid al-Aqsa juga kini telah dibina satu replika kuil "Haychal" yang ingin mereka bina jika al-Aqsa berjaya mereka runtuhkan nanti. Begitulah nasib Palestin... di manakah umat Islam?



Jika dunia sibuk memandang ke Lubnan, mereka perlu ingat, apa yang berlaku di sana adalah kerana apa yang berlaku di Palestin.



Seperti biasa, apabila muncul sesuatu isu yang lebih besar, isu Palestin akan dipinggirkan. Jika dunia sibuk memandang ke Lubnan, mereka perlu ingat, apa yang berlaku di sana adalah kerana apa yang berlaku di Palestin. Pihak Hizbullah ynag telah menyerang tentera Zionis adalah bertujuan untuk mengalihkan tumpuan tentera Zionis daripada terus membaham rakyat Palestin di Gaza. Di atas kesedaran inilah, para pejuang Palestin daripada pelbagai fraksi terpaksa memperhebatkan perjuangan mereka.

Jika para pejuang Hizbullah di Lubnan telah berjaya memberikan penangan yang hebat kepada tentera Zionis di Bint Jbeil, para pejuang Palestin pun berikrar akan memberikan penangan yang lebih ke atas Zionis. Jikalaulah pejuang Hizbullah telah berjaya membuatkan para penduduk di Haifa, Nahariya, Safad, dan lain-lain bandar Zionis hidup dalam ketakutan dan bersedia untuk berhijrah, para pejuang Palestin juga bersedia melakukan perkara yang sama. Kejayaan mereka menghalau tentera Zionis dan penduduk penempatan haram Yahudi dari bumi Gaza pada tahun 2005, kini mereka akan mengulanginya lagi. Waktu sekarang adalah waktu untuk mengulangi kegemilangan masing-masing. Hizbullah ingin mengulangi kegemilangan mereka menghalau Zionis dari selatan Lubnan pada Mei 2000, dan pejuang Palestin bersedia untuk mengulangi kegemilangan September 2005.



Pihak Hizbullah menyerang tentera Zionis adalah bertujuan untuk mengalihkan tumpuan tentera Zionis daripada terus membaham rakyat Palestin di Gaza.





Di atas kesedaran inilah briged al-Qassam milik HAMAS telah mengisytiharkan operasi jangka panjang mereka yang bernama "Wafa al-Ahrar" (janji orang yang merdeka). Sejurus Syeikh Hassan Nasrullah mewakili Hizbullah mengisytiharkan peperangan untuk jangka masa yang lama ke atas rejim Zionis, briged al-Qassam pun mengeluarkan kenyataan yang hampir sama. Hasilnya menampakkan natijah yang positif.

Bagi Hizbullah, kejayaan mereka melancarkan roket-roket ke arah bandar-bandar di kawasan utara "Israel" telah menimbulkan kegerunan di dalam jiwa-jiwa para pengganas Zionis. Selama lebih 50 tahun mereka hidup dengan tidak pernah diganggu walaupun setelah merampas dan merompak tanah air orang lain, kini mereka mula merasakan ketakutan. Serangan roket ke arah Haifa, bandar ketga terbesar di "Israel" telah cukup membuatkan rakyat Zionis hidup di dalam ketakutan. Kini, lebih 20,000 rakyat Zionis telah meninggalkan bandar-bandar utara dan berfikir untuk kembali ke negara asal mereka. Tempat perlindungan di bawah tanah di setiap rumah penduduk Zionis kini juga dirasakan tidak selamat lagi.

Di selatan Lubnan pula, tentera Zionis terpaksa menghadapi serangan balas daripada Hizbullah yang mereka pandang rendah. Kematian lebih 25 tentera Zionis kini di Bint Jbeil di kawasan selatan tersebut bagaikan satu amaran kepada Zionis bahawa pihak Hizbullah bukanlah lemah sepertimana yang mereka sangkakan. Sehingga artikel ini ditulis, puluhan tentera Zionis telah cedera, lebih lima kereta kebal mereka telah berjaya dimusnahkan, meriam-meriam mereka banyak yang telah berjaya diletupkan, dan sebuah helikopter Apache telah berjaya ditembak jatuh.

Mutakhir juga, pada 29 Jun 2006, tentera-tentera Zionis telah mula berundur daripada kawasan tersebut. Apa yang menarik lagi, tentera-tentera yang ditempatkan di selatan adalah para komando terbaik rejim Zionis daripada briged "Golani". Hal ini telah disifatkan oleh rakyat Lubnan sebagai petanda awal kemenangan pejuang mereka untuk menentang penjajahan Zionis. Hassan Nasrullah telah berjanji akan memberikan Zionis pelajaran yang mereka tidak akan dapat lupakan. Beliau telah memberikan tempoh dua tahun sebagai tempoh kemampuan para tentera Hizbullah untuk terus berjuang. Tidakkah rejim Zionis belajar daripada kekalahan mereka pada tahun 2000 yang lalu?



Briged Syuhada al-Aqsa milik Fatah telah bergabung dengan al-Qassam dan fraksi-fraksi yang lain untuk menentang Zionis.



Di pihak Palestin pula, walaupun serangan-serangan Zionis dilakukan setiap hari, namun serangan balas para pejuang juga tidak kurang hebatnya. Jika pihak rejim pernah hampir berjaya melaga-lagakan HAMAS dan Fatah lewat kemenangan HAMAS di dalam pilihanraya majlis legaslatif yang lalu, kin semuanya telah berubah. Briged Syuhada al-Aqsa milik Fatah telah bergabung dengan al-Qassam dan fraksi-fraksi yang lain untuk menentang Zionis. Pihak tentera Zionis tidak pernah membezakan puak mana, dan juga orang mana ketika melancarkan roket. Kereta kebal-kereta kebal mereka juga tidak mengenali yang mana Fatah dan yang mana HAMAS. Jentolak-jentolak mereka juga tidak mengenal mana rumah Fatah dan mana rumah HAMAS.

Hanya Mahmoud Abbas sahaja yang tidak tahu malu terhegeh-hegeh menawarkan seribu satu usaha untuk menyerah kalah dan memberikan malu kepada rakyat Palestin. Sehingga kini, beberapa kereta kebal milik tentera Zionis, meriam-meriam dan juga dua buah jentolak milik tentera rejim telah berjaya diletupkan. Hal ini tidak pernah diduga oleh tentera Zionis. Di dalam kenyataan media al-Qassam, jurucakap mereka telah mengatakan, apa yang berlaku hanyalah permulaan, banyak lagi yang akan menyusul dan akan memberikan mimpi buruk kepada golongan Zionis