Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Sebelum episod Peperangan Teluk Pertama bermula, saya berada di Jordan. Suasana ketika itu cukup panas. Saddam yang sebelum itu dikenali sebagai seorang yang teramat zalim dalam sekelip mata ditabalkan menjadi wira umat yang akan bertempur dengan syaitan besar iaitu Amerika. Apatah lagi pabila Saddam meletakkan perkataaan ‘Allahu Akhbar’ pada bendera Iraq. Khutbah-khutbah Jumaat begitu menggegarkan di seluruh Timur Tengah dan dunia Islam. Nama Saddam yang merupakan samseng semalam telah dianugerahkan ‘Salahuddin Al-Ayubi Baru’. Bahkan, dia dikatakan insan yang RasululLah s.a.w janjikan dalam hadith-hadith baginda. Sehingga ada yang cuba mengkaitkan keturunannya dengan keturunan RasululLah s.a.w.
Pemimpin-pemimpin gerakan Islam juga menuju ke Iraq. Saddam dipuji dan disanjung. Tiada siapa lagi yang mempertikaikan akidah ba’ath yang dianut oleh Saddam. Tiada siapa lagi yang mempertikaikan sosialisme Saddam. Tiada siapa lagi yang bertanya tentang darah-darah para ulama yang dibunuh zalim oleh Saddam.
Bahkan semua kejahatannya dibela oleh berbagai pihak dengan berbagai ungkapan yang menghiasi kalam. Ketika itu juga sikap dan pendirian al-Ikhwan al-Muslimin berpecah di peringkat antarabangsa. Negara yang terlebih semangat seperti di Jordan, para pemimpin Ikhwan mengangkat nama Saddam. Namun pemimpin mereka di Iraq yang telah lama merasai kejahatan dan kezaliman yang tidak terperi dari Saddam enggan mempercayai penuh watak baru Saddam.
Apa pun yang berlaku, pusingan Perang Teluk Pertama tamat, Saddam tidak tumbang. Saddam juga tidak banyak berubah. Tapi, Perang Teluk Kedua sekali lagi mengangkat namanya. Seperti juga cerita semalam ketika perang Teluk Pertama. Ramai ulama berfatwa. “Dosa dan akidah Saddam jangan ditanya, menentang musuh itulah yang lebih utama”. Kita semua setuju. Berkalungan doa untuk Iraq dan Saddam setiap waktu. Sehinggalah dia dijatuhkan dalam edisi perang tersebut oleh Amerika yang merupakan syaitan lagi dajjal itu.
Hari ini ramai yang sudah melupai Saddam. Namanya sudah tidak kedengaran lagi. Dia disanjung ketika bersenjata dan perwira, dan dilupai ketika dipenjara dan dihina. Begitulah kita dan pendirian kita. Namun satu hakikat yang tidak boleh siapa pun nafikan; Amerikalah yang memberikan kekuatan dan kuasa kepada Saddam dan Amerikalah juga yang menjatuhkannya.
Episod baru di Timur Tengah bermula. Dajjal Amerika mempunyai perancangannya yang sentiasa jahat. Bermula dengan pembunuhan Hariri, presiden Lebanon, dihambat keluar kuasa Syria dari Lebanon sehinggalah dicetuskan peperangan yang akan ditamatkan nanti. Isu nuklear Iran dibangkitkan sebelum itu. Isu itu juga dipadamkan dengan isu baru. Seperti mana perang Lebanon memadamkan tumpuan kepada jihad di Pelestin dan kejahatan Yahudi yang menculik dan menangkap pimpinan kerajaan Hamas. Nama pimpinan Hamas yang tulus berjuang dilupakan.
Kini, Nama Hasan Nasr ALLAH pula kedengaran sebagai wira baru. Dia ditabalkan dengan lebih bersih. Nilai-nilai pengganas atau terorism kurang dilekatkan kepadanya. Tidak seperti Usamah bin Laden yang ditakuti itu, atau Mullah ‘Umar yang berperang mempertahankan Afghanistan. Kedua-duanya dianggap pengganas yang merbahaya tanpa tolok bandingnya.
Watak Hasan Nasr ALLAH lebih indah dan media lebih memberikan nilai-nilai tambah untuknya. Siapa di sebalik drama baru ini kita tidak pasti. Sekalipun kita amat menyokong setiap penentangan terhadap regim zionist Israel, atas apa logo sekalipun. Zionist adalah paksi kejahatan. Sesiapa menentangnya maka layak digelar wira. Namun kita perlu berhati-hati..agar pisang tidak berbuah dua kali..
Seperti Perang Teluk, Perang Lebanon juga mencetuskan beberapa sikap dan tindak balas. Ada yang enggan menyokong sama sekali kerana Hizbullah itu syiah. Saya katakan ini sikap yang kurang wajar dalam suasana kita kekurangan wira untuk menentang zionist. Kebencian tidak boleh menyebabkan kita melakukan kezaliman. Syiah bagi kita menyeleweng, namun kita tidak kafirnya sekalipun kebanyakan fatwa mereka mengkafirkan kita.
Melainkan sesiapa di kalangan mereka yang terbukti kufur disebabkan tindakan atau kepercayaan tertentu. Sama juga orang sunni jika menyeleweng dari batasan iman. Fekah Islam tidak melarang berperang di belakang pemimpin yang fasik dan zalim selagi yang diperangi itu golongan kuffar yang menentang Islam. Bahkan keadaan sekarang menuntut kesatuan suara dalam menghadapi Yahudi. Hizbullah sedangkan melakukan hal itu. Seperti Hamas yang sekian lama sudah melakukannya. Cuma mereka kurang dipuji kerana kurang senjata. Puncanya pengkhianatan pimpinan Arab yang ada. Adapun Hizbullah, senjata mereka cukup. Walaupun baru bertempur, namanya cukup-cukup disebut.
Ada pula yang terlajak sehingga menganggap segala ajaran Syiah boleh diterima pakai. Ini lebih melampau. Di Malaysia, aktivis Syiah bukan sahaja mengangkat gambar Hasan Nasr ALLAH, gambar pimpinan Syiah yang lain turut diangkat. Bukan itu sahaja, kafir mengkafir sahabat atau penghinaan termasuk terhadap Abu Bakr dan ‘Umar sudah kian berani. Email-email groups kian aktif mengedarkan fikrah ini. Jika sebahagian kepercayaan ini diterima mudah, runtuhlah bentang-bentang Islam yang telah dibina. Mereka ini memang betul-betul mengambil kesempatan. Jika benteng kota Lebanon roboh, apakah kita ingin robohkan juga kota akidah Ahli Sunnah wa al-Jamaah yang ada?!!
Saya seorang yang terbuka dengan kebebasan fikir. Namun kebebasan ini hendaklah tidak membawa kepada keruntuhan prinsip. Ada yang kata kepada saya: “Dr, kita orang sunni tidak melawan dengan Amerika dan kuffar, ahli sunnah sudah tidak relevan lagi..Syiah saje yang berani sekarang”. Saya katakan; kita sanjung penentangan mereka. Apatah lagi rekod Hizbullah juga mendorong ke arah itu. Namun kenyataan yang menyebut orang sunni tidak menentang Amerika dan kuffar sudah melampau.
Siapa yang menghalau Rusia keluar dari Afghanistan? Siapa yang membantu mujahidin ketika itu? Siapa yang berperang di Kasymir? Siapa yang berperang Chechnya? Siapa yang berperang di Iraq sehingga hari ini?. lebih penting, siapa yang sedang berjihad di Palestin yang sedang lupai sekarang akibat isu Lebanon. Begitulah adanya kita, apabila dibuat serangan baru, kita lupa serangan lalu..kita lupa Afghanistan, kita lupa Iraq, kita lupa Chechnya, kita lupa Palestin..kita lupa..kita lupa..
Cumanya pusingan dalam masa sehari dua ini, nama Hizbullah diperkatakan. Walaupun ketika artikel ditulis pemimpin Hizbullah baru sahaja menyebut kesediaan untuk genjatan senjata. Kita tidak tahu apa pula episodnya selepas ini. Namun, kita melihat Hizbullah sebagai Hizbullah. Kita enggan menyalahkannya dalam perkara yang mereka tidak lakukan. Walaupun hati kita amat terluka dengan pembunuhan kaum sunni oleh Syiah Iraq yang saban waktu dan belum lagi tamat hingga hari.
Sekalipun para ulama termasuk al-Qaradawi meminta agar fatwa dikeluarkan oleh ulama Syiah mengharamkan perbuatan itu, namun mereka hanya mendiamkan diri. Tetapi dosa Iraq tidak patut untuk ditanggung oleh Lebanon. Maka seruan membantu perjuangan Hizbullah kita laungkan. Namun kita selalu meminta semua pihak berhati-hati. Banyak sendiwara dunia yang kita belum cukup faham mengenainya. Dan kita pula tidak boleh menghukum apa yang kita tidak tahu.
Kita belum mendengar Hasan Nasr Allah mengutuk dan menghina sahabat seperti yang dilakukan oleh Khomeni dan tokoh-tokoh Syiah yang lain. Kita tidak boleh menuduh sehingga terbukti. Namun kita berhati-hati. Kaum sunni di Lebanon bekerjasama dengan Hizbullah. Namun mereka berhati-hati. Kita juga perlu berhati-hati di samping terus menyokong mereka..
Allah mencerita pendirian orang mukminin dalam Perang Rom-Parsi dalam surah al-Rum (maksudnya):1. Alif, Laam, Miim.(2). Orang-orang Rom telah dikalahkan –(3). Di bumi yang paling rendah (permukaannya); dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya –(4). Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (Kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira -
Ya! Orang mukmin gembira dengan kemenangan Rom. Rom lebih dekat pegangannya dengan golongan beriman jika dibandingkan dengan Parsi. Namun orang mukmin tidak berkempen menganut agama Rom. Bahkan akhir tentera Islam menguasai Rom. Saya secara peribadi tidak pernah terikat dengan fatwa mana-mana negara atau ulama. Tidak Arab Saudi, tidak juga Iran.
Entah berapa banyak pendapat ulama-ulama dari Arab Saudi yang kita bangkang. Saya baru saje turut membentangkan kertas kerja di UIA, dalam satu seminar antarabangsa yang turut dihadiri oleh tokoh-tokoh ulama Syiah termasuk Ayatullah Taskhiri dari Iran. Saya mendengar pendapat yang baik dan menapis apa yang menyanggahi pegangan generasi awal Islam yang terdiri dari para sahabah dan tabi’in dan atba’ al-Tabi’in. Agama bukan sekadar berpolitik di dunia, tetapi keselamatan diri di akhirat. Penilaian kita hendaklah bersifat penilaian akhirat sebelum penilian dunia.
Malangnya ada yang mengambil kesempatan menuduh al-Syeikh Ibn Jibrin membuat fatwa yang tidak sesuai dengan waktu tentang Hizbullah. Pro-tehran di Malaysia memukul gong Syiah mengambil kesempatan isu tersebut. Fatwa itu sebenarnya fatwa empat tahun lepas. Al-Syeikh Ibn Jibrin berkata : Sesungguhnya fatwa tersebut tidak berkaitan dengan Hizbullah sama sekali. Akan tetapi ia berkaitan Rafidhah yang menganggap Ahl al-Sunnah sebagai kafir. Mereka (Rafidhah) juga mengkafirkan para sahabat Nabi saw –ridwanullah 'alaihim- dan mereka mencela al-Quran dengan mendakwa bahawa al-Quran telah berlaku perubahan dan ada kekurangan. (mereka menganggap) ada yang dibuang daripada al-Quran yang bersangkutan tentang Ali Bait (ahli keluarga Nabi saw).."
Jika dilihat secara keseluruhan, ulasan terbaru beliau senada dengan apa yang saya tulis untuk menyokong Hizbullah dalam peperangan tersebut. Lihat penjelasan ini dalam Islamonline. Namun benar jika ada pendapat beliau tidak serasi dengan nas dan tuntutan politik semasa, kita berhak membangkang dan tidak bersetuju dengannya.
Ahli Sunnah di Iran telah menyokong perjuangan Khomeini menegakkan revolusinya. Kerana ia penilaian wajar ketika itu. Sekalipun selepas itu mereka ditindas dan dibunuh. Namun mereka tidak meratap atas sokongan lepas. Ini kerana pendirian itu dibuat sesuai dengan suasana dan tuntutan masa. Hal yang sama berlaku kepada gerakan Islam di Mesir. Jamal ‘Abd Nasir pernah berperang menentang Israel dan menang. Dia dibantu oleh pejuang-pejuang gerakan Islam. Lebih hebat ada yang menulis sejarahnya dengan menyebut ‘he was strongest enemy to zionism’. Namun beliau jugalah yang selepas itu membunuh para pejuang gerakan Islam termasuk Syed Qutb, ‘Abd al-Qadir ‘Audah dan lain-lain. Namun sokongan yang benar tidak pernah dikesali.
Kita wajar sentiasa berhati-hati dalam sikap dan melihat masa depan. Kita doakan kemenangan Hizbullah jika mereka benar-benar berjuang menentang Yahudi. Kita sokong senjatanya. Namun kita tidak sokong akidah Syiah. Harus dibezakan dua hal tersebut. Dalam musim ramai orang dikatakan ingin murtad, adakah wajar kita juga menuduh para sahabah kesemuanya telah murtad melainkan beberapa orang sahaja?!! Katakan tidak untuk Syiah!!
Apa yang menjadi masalah ialah perang di Lebanon diambil kesempatan oleh pencerca para sahabah di Malaysia…Yang menullis email mengedarkan akidah Syiah. Demikian yang berceramah. Begitu juga seorang penulis sastera mereka. Semakin berani menonjolkan akidah syiahnya.
Beritahu mereka kita ada sempadan yang jelas..kita pernah sokong Saddam bukan ba’athnya, kita pernah sokong Jamal ‘Abd Nasir, bukan sosialisnya, kita sokong Bin Laden bukan keganasannya... Maka kita sokong Hizbullah bukan Syiahnya!!!