Monday, August 07, 2006

Hizbullah dan HAMAS

Berkaitan isu Palestin pula, pendirian Hizbullah patut diberikan kredit. Bukan kerana mereka Syiah, tetapi kerana komitmen mereka. Jika Iran dikaitkan sebagai penyebab utama munculnya Hizbullah, kita juga tidak boleh melupakan peranan rakyat Palestin sendiri. Sebelum kemunculan Hizbullah, dan sebelum ideologi revolusi Iran diekspot ke Lubnan, kelompok Syiah yang berjuang menentang Zionis kebanyakannya berpayungkan perjuangan PLO dan sosialis.

Di bawah payung PLO jugalah mereka telah dilatih dan dilibatkan untuk menentang penjajahan Zionis di selatan Lubnan. Setelah kemunculan Hizbullah, kebanyakan para komando dan pejuang Syiah ini telah menyertai Hizbullah. Kebanyakan mereka menyertai Hizbullah kerana PLO telah dihalau keluar daripada Lubnan pasca perjanjian Philip Habib dengan para pemimpin Lubnan pada tahun 1982. Di atas dasar inilah, Hizbullah dan perjuangan rakyat Palestin mempunyai hubungan yang sentimental. Mereka tidak akan melupakan rakyat Palestin yang telah memperkenalkan mereka kepada perjuangan dan jihad.

Kemunculan HAMAS yang membawa ideologi Islam juga telah mencorakkan warna yang baru kepada perhubungan Hizbullah-Palestin. HAMAS yang mewakili perjuangan Islam Ahli Sunnah menentang Zionis telah bersetuju dengan Hizbullah yang mewakili perjuangan Islam Syiah di dalam jihad mereka. Musuh mereka yang satu perlu ditentang bersama. Bak kata pepatah Sudan "dua tangan akan melontar lebih jauh daripada satu tangan sahaja". Kewujudan HAMAS di Lubnan sekarang ini pun mempunyai kaitannya dengan Hizbullah.


Keselamatan wakil HAMAS di Lubnan, seperti Usamah Hamdan, Muhammad Nazal dan lain-lain juga berhubung rapat dengan kekuatan Hizbullah. Tanpa kekuatan Hizbullah di Lubnan, kemungkinan besar mereka telah diusir atau telah lama dibunuh oleh golongan Zionis. Hal ini telah diketahui oleh dunia, malah oleh rejim Zionis sendiri. Namun, ini tidak menjadikan pula para anggota HAMAS bersimpati dengan aqidah Syiah dan menjadi Syiah. Di dalam literas-literasi aqidah Ikhwan, tetap menyenaraikan Syiah sebagai golongan yang rosak aqidahnya. Sikap seperti inilah yang sepatutnya kita ambil.

Hanya Syiah boleh mengusir Israel

"Hanya Syiah sahaja yang mampu untuk mengusir Israel!", Slogan inilah yang selalu dicanangkan oleh sesetengah pihak yang mempromosikan ideologi Syiah. Keupayaan Hizbullah menghalau tentera Zionis dari selatan Lubnan pada Mei 2000 telah dijadikan dalil yang paling sahih di dalam membela Syiah. Bagi para pendengar yang mengikut sahaja tanpa berfikir dan mengkaji, fakta ini akan diterimanya bulat-bulat. Akhirnya terdetik di dalam hati, Syiah sahajalah yang betul dan paling layak untuk mengalahkan musuh Islam. Adakah ini benar?

Ya, memang Hizbullah telah berjaya mengusir tentera rejim Zionis dari selatan Lubnan, tetapi mereka bukanlah satu-satunya kuasa yang dapat mengalahkan Zionis. Cukuplah Salahuddin al-Ayubi sebagai bukti. Beliau bukanlah seorang Syiah, tetapi ahli Sunnah. Malah, sebelum beliau melancarkan kempen perang ke atas tentera Salib, beliau terlebih dahulu membersihkan bumi Mesir daripada golongan Syiah Fatimiyin.


Syiah Fatimiyah telah bertindak menikam umat Islam daripada belakang ketika mereka sedang bertempur dengan tentera Salib. Di atas dasar itulah, Salahudin terlebih dahulu menumpukan usaha menghapuskan Syiah Fatimiyah sebelum berjihad menentang tentera Salib. Kesimpulannya, Ahli Sunnah mampu untuk mempertahankan Palestin dan Masjid al-Aqsa.

Adakah kita terlupakan peperangan Arab-Zionis pada tahun-tahun 1947-1948. Lupakah kita terhadap kemenangan tentera-tentera sukarelawan Mesir dan Syria dari kalangan anggota gerakan Ikhwan al-Muslimin? Mereka hampir sahaja berjaya menghapuskan terus kekuatan penganas-penganas Zionis. Jika tidak kerana campurtangan British dan pemimpin-pemimpin Arab yang korup dan pengkhianat, sudah tentu Israel tidak akan wujud. Kesimpulannya, ahli Sunnah juga pernah mengalahkan Zionis.

Lupakah juga kita kepada peperangan 1973?, kehebatan tentera Mesir mengalahkan rejim Zionis sehingga memaksa Zionis menggunakan pengaruh mereka terhadap Anwar Sadat, presiden Mesir pada waktu tersebut. Sadat telah mengkhianati rakyat Mesir melalui Camp David 1978. Walaupun Mesir telah mendapatkan semula Sinai, tetapi mereka terpaksa melupakan isu Palestin. Kesimpulannya, Ahli Sunnah juga pernah mengalahkan tentera Zionis.

Lupakah juga kita kepada peperangan Karamah 1968 di Jordan? Tentera Zionis telah dikalahkan dengan teruk di dalam peperangan di antara mereka dengan tentera Jordan. Sehingga kini, kereta kebal Zionis yang telah berjaya ditawan oleh Jordan lewat peeprangan tersebut masih terdapat di kawasan al-Gahur, Jordan. Sehingga hari ini, pada setiap 21 Ogos setiap tahun, Jordan akan merayakan hari kemenangan tersebut. Sekali lagi, kesimpulannya, Ahli Sunnah juga pernah mengalahkan tentera Zionis.

Akhir sekali yang paling hampir dengan kita adalah pengunduran tentera Zionis beserta penduduk Yahudi dari Gaza secara keseluruhannya pada Ogos 2005. Bukankah itu merupakan satu kemenangan. "Indihar al-Suhyuniah" (Pengunduran Zionis) itu merupakan antara buah kejayaan gerakan Intifadah rakyat Palestin. HAMAS, Jihad Islami, briged Syuhada al-Aqsa milik Fatah dan juga lain-lain fraksi perjuangan berhak menerima kredit untuk tujuan tersebut. Bukankah mereka ahli sunnah?, sekali lagi, ahli sunnah juga mampu untuk mengalahkan Zionis. Bukan sekali, malah banyak kali, jauh lebih banyak daripada golongan Syiah!

Jika itu senario di Palestin, di tempat lain di serata dunia banyak lagi contoh yang boleh dibanggakan oleh Ahli Sunnah. Perang di Afghanistan sebagai contoh. Bukankah para mujahidin telah berjaya mengalahkan Rusia. Mereka bukannya puak Syiah. Syiah hanya datang selepas kemenangan untuk meluaskan pengaruh mereka di sana dan telah menyebabkan perang saudara meletus. Di Bosnia, para mujahidin "Salafi Jihadi" telah berjaya mengalahkan tentera Serbia. Mereka bukan Syiah. Di Checnya, para mujahidin "Salafi Jihadi" di sana juga bukan Syiah. Di Iraq juga, para mujahidin adalah dari kalangan ahli sunnah. Syiah pula telah melakukan pelbagai cara dan makar untuk menguasai Iraq, sehingga sanggup bekerjasama dengan AS.

Kesimpulannya, perjuangan jihad dan juga kemenangan tidak terletak pada Syiah atau tidaknya sesuatu kumpulan. Maka, adalah silap bagi mereka yang mempromosikan Syiah lewat isu Hizbullah ini!

Pendirian yang sepatutnya

Sebagai kesimpulan, bolehlah kita katakan, isu yang wujud sekarang ini wajib disikapi oleh umat Islam dengan bijaksana. Isu ini bukanlah hujah bagi promoter Syiah untuk mempromosikan aqidah dan ideologi mereka. Waktu ini juga bukanlah waktu untuk berbicara mengenai kesesatan aqidah Syiah. Kita berada di dalam suasana peperangan. Pendirian Dr Yusuf al-Qaradawi dan Majlis Ulama Islam Sedunia (International Union for Muslim Scholars) wajar dicontohi, walaupun beliau menyeru umat Islam di Lubnan untuk membantu Hizbullah menentang Zionis, tetapi beliau tetap memberikan amaran kepada Syiah di Iraq agar memberhentikan serangan ke atas Ahli Sunnah.


Pendirian Jammat Islamiyyah di Lubnan pimpinan Ibrahim al-Masri, juga wajar dicontohi. Jamaat yang merupakan cawangan Ikhwan di Lubnan telah bersetuju mengerahkan kader-kader mereka untuk mengangkat senjata bersama Hizbullah menentang Zionis, tetapi di dalam literasi-literasi tarbiyah mereka tetap menyenaraikan aqidah Syiah sebagai aqidah yang batil dan sesat.

Akhir sekali, perbincangan yang tidak membuahkan amal bukanlah sesuatu yang menguntungkan. Di waktu kita sibuk di dalam mempromosikan Syiah, ataupun menghentam Syiah, ratusan kanak-kanak dan wanita terus menjadi mangsa kegilaan rejim Zionis. Tidak kiralah, anda pro-Hizbullah ataupun pro-HAMAS, yang penting apakah sumbangan anda di dalam isu ini?

Bukan hanya di Lubnan, malah di Gaza, di Tebing Barat, dan di Baitul Maqdis... kesemuanya memerlukan sokongan anda. Rakyat Palestin terus dilupakan walaupun sekatan ekonomi masih lagi dikenakan ke atas mereka. Rakyat Palestin di Gaza terus bergelapan, sekolah-sekolah telah hancur, kerajaan di bawah pimpinan HAMAS tetap ditekan, rakyat masih kelaparan.


Sehingga kini, lima menteri kabinet Palestin masih lagi ditahan, 25 ahli parlimen masih lagi dikurung oleh Zionis, dan lebih 10,000 tahanan Palestin masih lagi terseksa di dalam tahanan Zionis. Masjid al-Aqsa masih lagi diancam. Sehingga kini, sudah sebulan umat Islam tidak dapat menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Aqsa kerana dikepong oleh pegawai polis Zionis. Pada 3 Ogos 2006, sekumpulan ekstrimis Zionis telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Zionis untuk memasuki kawasan Masjid al-Aqsa untuk melakukan upacara perayaan mereka.

Lakukan sesuatu. Hulurkan sumbangan anda. Bangunlah pada sepertiga malam terakhir untuk bermunajat kepada Allah agar memberikan kemenangan kepada umat Islam. Lakukanlah juga Qunut Nazilah menurut Sunnah Rasulullah SAW, boikot barangan Zionis, dan bantulah mereka sekadar yang anda mampu.

Jika anda masih lagi hendak membicarakan persoalan Sunnah-Syiah di dalam keadaan seperti ini, di manakah Fiqh Awlawiyat anda?