Lewat isu nuklear Iran dan juga peperangan Zionis-Hizbullah, timbul satu fenomena di Malaysia. Terdapat dua golongan yang saling bertentangan di dalam menyikapi isu ini. Di satu pihak, wujud golongan yang mengambil peluang isu ini untuk mempromosikan Syiah dan ideologi revolusi Iran. Di sudut yang bertentangan pula, wujud golongan yang menentang Syiah dan menyatakan kebimbangan mereka mengenai tersebarnya ideologi Syiah kerana isu tersebut.
Pihak yang giat mempromosikan ideologi Syiah telah berhujahkan kehebatan dan ketegasan Iran berhubung isu nuklear. Mereka juga bagaikan mendapat bonus apabila Hizbullah dengan beraninya menyerang konvoi tentera Zionis yang telah menyebabkan peperangan ke atas Lubnan. Menurut mereka, apa yang dilakukan oleh Hizbullah itu menunjukkan betapa hebatnya prinsip dan aqidah Syiah.
Tidak ketinggalan, di mana-mana demo dianjurkan, pastinya ada sahaja gambar-gambar pemimpin Syiah Iran dan Hizbullah akan dijulang. T-shirt Hizbullah juga dipakai dengan bangganya oleh para pemuda dari golongan ini. Di mailing list-mailing list dan blog-blog juga terdapat artikel-artikel yang memuji Syiah, mempromosikan mereka dan cuba untuk menyeru ke arah Syiah dan ideologi revolusi.
Pihak ini juga telah menggunakan peluang yang ada untuk menghentam para pengkritik Syiah, terutamanya golongan Salafi. Pendirian kerajaan Saudi yang pro-AS dan juga fatwa mufti Saudi yang terlalu kontreversi juga telah digunakan sebagai peluang untuk menghentam golongan Salafi. Bagi mereka, bukan hanya kerajaan Saudi, malah seluruh pejuang Islam yang berfahaman Salafi adalah agen Yahudi, agen AS dan juga ada yang terus mengkafirkannya. Mungkin golongan ini terlupakan Usamah Ben Laden dan al-Qaeda serta para mujahidin di Checnya, Kashmir dan di Iraq yang merupakan golongan berfahaman Salafi jalur keras.
Mereka juga mungkin tidak perasankan HAMAS yang merupakan cabang Ikhwan al-Muslimin di Palestin. Ikhwan telah dikenali di seluruh dunia sebagai gerakan yang mengambil aqidah "Salafiyyah" sebagai aqidah mereka. Mungkin juga Dr Yusuf al-Qaradawi tercicir dari senarai mereka. Al-Qaradawi adalah seorang yang beraqidahkan salafiyyah, malah tulisan beliau mengenai Syirik, bid'ah dan juga aqidah jelas menunjukkan pegangannya yang bersumberkan ajaran Ibn Taimiyyah dan Muhammad bin Abdul Wahab.
Di satu sudut pula, ada golongan yang bulat-bulat menerima fatwa mufti Saudi. Berbekalkan kenyataan-kenyataan Abu Mus'ab al-Zarqawi di Iraq, mufti tersebut telah menyama ratakan semua golongan Syiah di muka bumi ini. Jika hukuman yang diberikan ke atas golongan Syiah itu berkaitan dengan aqidah, majoriti akan bersetuju. Malangnya, situasi di Lubnan sekarang adalah isu politik. Isu politik harus ditafsirkan dan ditanggani dengan menggunakan neraca politik.
Di dalam pertimbangan politik, bukannya aqidah dan juga pegangan yang menjadi ukuran, tetapi maslahah (keuntungan) dan mafsadah (kerugian). Umat Islam haruslah mengutamakan maslahah (keuntungan) yang lebih besar kepada umat secara keseluruhan dan mengelakkan mafsadah (mudarat) daripada umat.
Begitu juga di waktu peperangan. Rakan kita, bukanlah hanya mereka yang seaqidah, tetapi siapakah yang dapat memberikan manfaat kepada umat. Rakan kita di waktu peperangan juga, ialah sesiapa yang sedang menentang musuh kita. Bak kata pepatah Inggeris "The enemy of my enemy is my friend". Jikalaulah yang dapat bersama untuk menyelamatkan maslahah umat Islam itu bukan Islam sekalipun, kita wajib bersama mereka. Apatah lagi, jika yang dapat bersama kita untuk menentang musuh bersama itu di kalangan umat Islam sendiri.
Bahasa Politik
Di dalam isu perang Zionis ke atas Lubnan, sewajarnya isu aqidah ini tidak timbul. Isu ini haruslah disikapi dengan penuh kematangan dan dengan penuh strategi. Isu pokoknya adalah isu Palestin. Apa yang dilakukan oleh Hizbullah adalah bertujuan untuk membantu rakyat Palestin yang telah ditekan dan diganasi oleh rejim Zionis semenjak kemenangan HAMAS di dalam pilihanraya Majlis Legaslatif yang lalu. Hizbullah pula, sememangnya telah berjanji dengan HAMAS untuk sama-sama saling membantu di dalam menentang rejim Zionis.
Jasa mereka harus diberikan kredit. Begitu juga dengan Iran yang merupakan bapa kepada Hizbullah. Pendirian-pendirian mereka berhubung isu Palestin tidak boleh dipandang remeh. Jika dibandingkan dengan lain-lain negara anggota OIC, Iran lebih ke hadapan selepas Qatar, Syria dan Yemen. Di dalam isu ini, biarlah bahasa politik yang kita gunakan dan bukannya bahasa "agama" atau "aqidah".
Bukanlah saya bermaksud untuk menjadi sekular, tetapi kebijaksanaan umat Islam untuk berpolitik itu perlu. Umat Islam harus berusaha mengurangkan musuh dan bersikap fokus. Maslahah umat Islam yang lebih besar harus didahulukan. Di dalam politik, usaha membanyakkan rakan dan mengurangkan musuh amat perlu.
Bila rakan kita ramai, risiko ke atas umat akan kurang, berbanding jika kita mempunyai terlalu ramai musuh. Sama juga seperti isu Palestin. Seharusnya umat Islam menjadikan isu Palestin ini sebagai ruang untuk mencari kekuatan. Isu ini sepatutnya dijadikan ruang untuk kita bertemu dan bersatu untuk menentang Zionis.
Bukan hanya sekadar Syiah-Sunnah, malah juga mazhab-mazhab dalam Islam seperti Ibadhiyyah, Zaiidiyyah, malah dengan Kristian yang bersimpati dengan kita sekalipun kita sepatutnya bersatu. Seharusnya kita berusaha meramaikan rakan di dalam kem menentang Zionis dan berusaha megurangkan musuh.
Inilah usaha yang dilakukan oleh al-Quds Institute di dalam mempertahankan Masjid al-Aqsa. Bukan hanya sekadar wakil dari Syiah juga turut menganggotai institut ini, malah wakil-wakil Kristian juga ada di dalamnya. Mungkin pengalaman Salahudin mengambil Kristian-kristian Arab untuk bersama menentang tentera Salib boleh dijadikan contoh.
Walau bagaimanapun ini bukanlah bermaksud kita perlu mengakui kebenaran aqidah Syiah. Mana mungkin kita mengiktiraf kebenaran aqidah mereka yang menuduh Aisyah berzina, mana mungkin kita bersetuju dengan aqidah orang-orang yang mengkafirkan sahabat, menghina isteri-isteri Rasul, menolak hadis-hadis kita dan juga menganggap ahli sunnah sebagai penghuni neraka?
Di dalam persoalan aqidah kita wajib tegas. Kita wajib mempertahankan aqidah kita. Namun, di dalam isu politik dan peperangan, bahasanya lain. Maka kita mempunyai pndirian yang tegas. Apa yang berlaku tidak akan sekali-kali menyebabkan kita terpengaruh dengan aqidah Syiah. Apa yang berlaku juga sekali-kali tidak akan membuatkan kita termakan dengan taqiyah dan juga penyelewengan aqidah mereka. Kita katakan "YES Hizbullah, but NO Syiah!", atau "YES Hizbullah but NO Aqidah Syiah!"
Lubnan bukan Iraq dan Pakistan
Golongan yang tidak dapat menyokong Hizbullah dan bersimpati terhadap mereka kebanyakannya tidak dapat melupakan jenayah-jenayah golongan Syiah di Iraq dan Pakistan. Memang benar, di Pakistan dan Iraq hatta di Iran, hubungan Sunni-Syiah amat tegang. Syiah di Pakistan adalah minoriti yang berusaha memastikan survival mereka dan bersikap agresif untuk memastikan kewujudan mereka di bumi itu.
Pertumpahan darah di dalam pertembungan kedua-dua golongan adalah sesuatu yang biasa di sana. Begitu juga di Iraq. Hubungan Sunni-Syiah, (terutamanya pasca penjajahan AS) semakin tegang. Usaha golongan Syiah untuk menguasai Iraq bukan lagi rahsia. Mereka sanggup membunuh, bersekongkol dengan AS dan juga melakukan tipu daya demi memastikan matlamat mereka dicapai. Keadaan di sana telah berjaya menarik perhatian Dr Yusuf al-Qaradawi untuk masuk campur dan memberikan amaran kepada golongan Syiah di Iraq.
Walau bagaimanapun suasana di Lubnan agak berbeza. Walaupun Hizbullah merupakan wakil Syiah di Lubnan bersama gerakan Amal, namun survival mereka di sana berbeza. Syiah di Lubnan terpaksa bersatu dengan ahli Sunnah demi memastikan survival mereka. Lubnan yang didominasi golongan Kristian telah memaksa komuniti muslim tidak berperang sesama sendiri. Fenomena ini walaupun wujud hanya selepas berakhirnya peperangan saudara (1975-1990), namun ianya dapat bertahan sehingga kini.
Kepahitan peperangan saudara telah menyaksikan bagaimana setiap golongan berjuang untuk mempertahankan kewujudan masing-masing. Perstiwa itu telah menjadi peristiwa hitam yang tidak mahu diingati lagi oleh sesiapa pun di Lubnan. Di atas dasar inilah, Perdana Menteri Lubnan, Fuad Siniora tetap bertegas untuk menyokong Hizbullah di dalam mempertahankan negara mereka dari serangan Zionis. Beliau dan juga pemimpin-pemimpin bukan Syiah di Lubnan tetap bertegas untuk tidak mengikut telunjuk Zionis yang memaksa mereka untuk menentang Hizbullah.
Secara tegas, para pemimpin Lubnan menyatakan bahawa mereka tidak akan mengulangi peperangan saudara seperti yang pernah mereka tempuhi dahulu. Serangan Zionis ke atas Lubnan, adalah serangan ke atas rakyat Lubnan dan bukannya serangan ke atas Hizbullah semata-mata. Mereka bersepakat di dalam hal ini. Sekali lagi, faktor politik membawa sikap yang berbeza di dalam kehidupan. Di Lubnan, aqidah bukan isunya lagi, tetapi survival kelompok dan juga keamanan bersama adalah agenda utama setiap golongan. Hal in berbeza dengan suasana di Iraq dan Pakistan, hatta di Iran sekalipun.