Wednesday, August 30, 2006

Perang Lubnan 2006: Zionis kalah perang!

"A guerilla army wins if it does not lose. A conventional army loses if it does not win."

-Henry Kissinger, mantan presiden AS.


Ketika Rejim Zionis Israel melancarkan perang ke atas Lubnan, mereka mempunyai dua matlamat utama. Matlamat pertama mereka adalah untuk membebaskan dua orang tentera mereka yang telah ditawan oleh para pejuang Hizbullah pada 12 Julai 2006. Matlamat kedua mereka pula adalah untuk menghapuskan Hizbullah dari muka bumi Lubnan, terutamanya di kawasan Selatan Lubnan yang dianggap mengancam keselamatan negara 'Israel" dan penduduknya.


Walaupun para pejuang Hizbullah menawarkan "Prisoners Swap" di antara para tawanan Lubnan yang berada di penjara-penjara Zionis dengan kedua-dua tentera tersebut, malangnya rejim Zionis menolaknya mentah-mentah. Demi membebaskan kedua-dua tentera mereka, Rejim Zionis telah melancarkan peperangan selama sebulan ke atas Beirut. Kesannya amat dahsyat, dan yang paling ramai terkorban adalah warga awam Lubnan.


Angka rasmi mencatatkan 1,300 orang warga Lubnan telah terkorban. Hampir 400 dari kalangan yang terkorban adalah kanak-kanak. 3,600 pula dilaporkan cedera, manakala sejuta rakyat Lubnan kehilangan tempat tinggal (Berdasarkan laporan Robert Fisk di akhbar Independant News and Media Limited, 17/8/2006). Kesemuanya itu merupakan harga yang terpaksa dibayar oleh rakyat Lubnan di atas usaha rejim Zionis untuk membebaskan dua orang tenteranya yang telah ditawan.

Di pihak Zionis pula, sebanyak 53 telah terkorban, 1350 telah cedera dan setengah juta (500,000) telah kehilangan tempat tinggal. Hal ini telah menyebabkan rakyat Zionis marah terhadap pentadbiran Olmert dan juga sistem keselamatan kerajaan rejim yang rapuh dan lemah. Walaupun mereka sering mendendangkan bahawa sistem pertahanan "Israel" merupakan sistem pertahanan yang tercanggih dan terkuat di dunia, namun perang di Lubnan 2006 ini telah membuktikan sebaliknya. Rakyat Zionis tidak lagi percayakan lagi sistem keselamatan yang disediakan oleh kerajaan mereka.

Keangkuhan rejim Zionis menolak tawaran Hizbullah merupakan satu kerugian kepada mereka. Inisiatif yang ditawarkan oleh Hizbullah itu sebenarnya bertepatan dengan mana-mana undang-undang antarabangsa berkaitan dengan tahanan perang. Malangnya, Rjim Zionis bukanlah satu entiti yang mengenal erti kedamaian dan diplomasi. Cukuplah kedegilan dan keangkuhan menjadi pengajaran kepada mereka.


Hakikatnya rejim Zionis telah klah perang. Kedua-dua matlamat peperangan mereka ke atas Lubnan telah gagal dicapai. Bukan sekadar itu, malah kemusnahan yang mereka tanggung di dalam peperangan selama sebulan ini amat memalukan dan menjadi titik hitam di dalam sejarah rejim Zionis. Seperti kata Kissinger, jika sesebuah negara memasuki peperangan dan gagal mencapai matlamat mereka, maka mereka telah kalah perang. Itulah yang sedang berlaku kini kepada rejim Zionis. Jika tidak kerana resolusi 1701 yang merupakan hadiah dari PBB, nescaya rejim Izonis akan menanggung malu yang lebih besar.

30,000 tentera Zionis yang dilengkapi dengan persenjataan yang canggih dan juga disokong oleh jentera-jentera peperangan yang terkuat dan tercanggih di dunia ini telah kalah hanya kepada lebih kurang 2,000 pejuang Hizbullah.

Hakikat kegagalan Zionis ini diakui oleh semua pihak, termasuk pihak rejim sendiri. Walaupun mereka dengan bongkak mengatakan mereka menang di dalam peperangan tersebut, namun tuntutan agar Olmert meletakkan jawatan, tindakan yang dikenakan ke atas Jeneral Dan Haluzt, komandan perang IDF di dalam peperangan ini cukup membuktikan bahawa rejim Zionis telah kalah perang.

Benjamin Netanyahu, ketua parti Likud, ketika mengkritik Olmert di Knesset Zionis lewat penerimaan Olmert resolusi 1701 telah menyatakan hal ini. Beliau telah mengecam Olmert kerana telah gagal di dalam menguruskan peperangan di Lubnan itu. Beliau juga turut mengecam tindakan bacul Olmert yang menerima gencatan senjata, kerana itu hanya menunjukkan kepada dunia bahawa tentera Zionis yang dinobatkan sebagai tentera kedua terkuat di dunia adalah lemah.

Bagi masyarakat dunia pula, peperangan ini telah mengakhirkan dogeng tentang kehebatan tentera Zionis. Tentera yang kononnya keempat terkuat di dunia dan juga komando Golani yang mereka miliki merupakan yang terhebat di dunia, hanya tinggal illusi sahaja. 30,000 tentera Zionis yang dilengkapi dengan persenjataan yang canggih dan juga disokong oleh jentera-jentera peperangan yang terkuat dan tercanggih di dunia ini telah kalah hanya kepada lebih kurang 2,000 pejuang Hizbullah.

Kekalahan tentera Zionis ini akan tercatat di dalam sejarah, dan akan menjadi bukti bahawa rejim Zionis boleh dikalahkan. Kemusnahan sebuah jet pejuang F-16, empat buah helikopter Apache, tiga buah kapal perang di laut dan juga 180 buah kereta kebal Merkava milik tentera Zionis merupakan angka yang amat besar. Kematian 123 tentera Zionis dan kecederaan 500 yang lain di dalam tempoh sebulan juga merupakan sesuatu yang mengaibkan tentera Zionis di mata dunia. Apa yang lebih mengaibkan lagi, mereka hanya bertempur dengan 2,000 tentera Hizbullah sahaja.

Di pihak Hizbullah pula, mereka hanya kehilangan 85 orang pejuang, dan mereka tidak kehilangan apa-apa jentera peperangan. Apa yang lebih penting, selepas peperangan tersebut, mereka menjadi semakin kuat, dan sokongan kepada mereka semakin bertambah. Hal ini sekali lagi membuktikan bahawa rejim Zionis telah kalah di dalam peperangan yang mereka sendiri mulakan.

Hassan Nasrullah yang cuba mereka bunuh masih lagi hidup dan menjadi ikon atau hero kepada rakyat Lubnan pasca peperangan 12 Julai ini. Majoriti masyarakat dunia mengiktiraf kekalahan Zionis dan kemenangan Hizbullah. Hanya George W Bush sahaja yang tidak malu-malu mengisytiharkan bahawa "Israel" telah menang perang dan Hizbullah telah kalah. Malangnya tuduhan beliau itu tidak berdasarkan fakta dan tidak dapat diterima oleh akal yang logik.

Roket "Patriot" yang amat-amat dibanggakan oleh Zionis untuk menangkis sebarang serangan peluru berpandu dan juga roket, ternyata amat lemah di hadapan roket-roket jarak jauh Hizbullah.


Seperkara yang lebih mengaibkan Zionis juga ialah kegagalan mereka menangkis serangan roket-roket Hizbullah. Kawasan utara "Israel" yang diserang oleh Hizbullah bagaikan tidak berupaya dipertahankan oleh tentera-tentera mereka. Roket "Patriot" yang amat-amat dibanggakan oleh Zionis untuk menangkis sebarang serangan peluru berpandu dan juga roket, ternyata amat lemah di hadapan roket-roket jarak jauh Hizbullah. Penduduk-penduduk Nahariya, Kriyat Shemon, Tibria, Akka dan bandar-bandar Zionis di utara "Israel" terpaksa meninggalkan rumah masing-masing.

Bagi penduduk bandar Haifa yang merupakan bandar ketiga tersebesar di "Israel" pula, mereka terpaksa hidup dalam ketakutan. Ratusan roket yang sampai ke Haifa telah memeranjatkan kerajaan Zionis yang selama ini memandang ringan kemampuan Hizbullah. Penghijrahan 500,000 rakyat Zionis dari rumah-rumah mereka merupakan sesuatu yang tidak pernah diduga dan juga yang pertama kali berlaku di bumi Palestin yang dijajah tersebut.

Mereka tahu, selepas ini kehidupan mereka pasti akan berubah. Mereka tahu juga bahawa mereka tidak lagi selamat hidup sebagai penjajah di bumi Palestin, dan mereka juga tahu tentera mereka bukanlah segagah yang digembar-gemburkan. Angka 1.1 billion Dollar AS merupakan jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung oleh rejim Zionis.


Kini, Ehud Olmert, PM Zionis sedang berhadapan dengan rakyatnya. Sebuah tribunal telah pun ditubuhkan untuk menyiasat punca kekelahan tentera Zionis di dalam peperangan tersebut. Rakyat juga mendesak agar Olmert meletakkan jawatan. Rakyat Zionis juga semakin risau akan nasib mereka di masa hadapan.

Walaupun mereka boleh berasa lega jika pasukan keselamatan PBB akan berkuasa di selatan Lubnan dan mengosongkannya dari para pejuang Hizbullah, namun mereka tidak pasti, apakah Hizbullah tidak akan menyerang mereka lagi. Realiti menunjukkan kemenangan Hizbullah ini telah mencelikkan mata banyak pihak.

Rakyat Palestin yang setiap hari diserang dan dibunuh di Gaza, kini telah mula mendapatkan semangat dan motivasi untuk meneruskan perjuangan. Walaupun puluhan kereta kebal dan juga tentera Zionis telah terkorban di dalam pertempuran dengan para pejuang Palestin, malangnya media langsung tidak melaporkannya.

Seperkara yang pasti, kini para pejuang Palestin pastinya sudah sedar musuh yang mereka hadapi ini bukanlah sukar untuk dikalahkan. Persoalannya, mampukah mereka hendak mengalahkan tentera Rejim Zionis dengan persenjataan yang mereka miliki?, tidakkah negara-negara umat Islam "


Nisfu Sya'ban

Tiada amalan khusus dituntut pada malam Nisfu Syaaban

SYAABAN adalah gerbang menyambut Ramadan yang penuh berkat. Oleh itu, umat Islam digalakkan berpuasa sunat pada bulan ini sebagai latihan dan persediaan sebelum menghadapi kewajipan berpuasa sebulan penuh pada Ramadan kelak.

Ia dinamakan Syaaban kerana Allah banyak memberi rahmat kepada hamba-Nya pada bulan ini. Kelebihan Syaaban berbanding bulan lain ialah seperti kelebihan Nabi Muhammad saw terhadap semua nabi. Sementara, keutamaan Ramadan berbanding bulan lain adalah seperti keutamaan Allah kepada hamba-Nya.

Pada Syaaban, ada satu malam yang sangat dinanti-nantikan umat Islam iaitu malam Nisfu Syaaban. Umat Islam akan membanjiri masjid dan surau untuk menghidupkan malam itu dengan bacaan surah Yasin secara beramai-ramai.

Malam itu menyaksikan limpahan manusia hingga masjid dan surau tidak dapat menampung bilangan jemaah yang begitu ramai. Begitulah keistimewaan malam Nisfu Syaaban hingga mampu menarik perhatian umat Islam untuk sama-sama memakmurkan rumah Allah.

Namun, timbul persoalan mengapa umat Islam hanya beramai-ramai melangkah kaki ke masjid dan surau pada malam Nisfu Syaaban, tidak pada hari dan bulan lain.

Perlu ditegaskan bahawa setiap bulan Hijrah memiliki keistimewaan dan kelebihan masing-masing. Bagi Muslim bertakwa akan sentiasa berusaha merebut dan meraih keistimewaan yang Allah sediakan pada bulan berkenaan.

Muslim sejati tidak akan memilih bulan atau hari tertentu untuk beribadat kepada Allah. Dia akan sentiasa beristiqamah dan beriltizam menjunjung segala titah dan perintah Allah pada setiap masa dan keadaan hingga bertemu menghadap Allah nanti.

Di samping itu, ada himpunan hadis yang menerangkan keistimewaan Syaaban, kelebihan malam Nisfu Syaaban dan keutamaan amalann tertentu pada bulan ini. Namun, kebanyakan hadis itu adalah hadis daif menurut pandangan ulama.

Bagaimanapun, ada sebahagian ulama berpendapat bahawa hadis daif boleh dipegang dalam fadhail amal (untuk kelebihan beribadat) secara perseorangan.

Jelas daripada fakta di atas bahawa dalam Syaaban ini umat Islam dianjurkan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah dengan meningkatkan amal soleh dan memperbanyak ibadah.

Tidak ada hadis yang diriwayatkan berkaitan dengan amalan dan bacaan doa tertentu pada pertengahan Syaaban yang mencapai taraf hadis sahih. Menurut mereka, tidak ada satu pun hadis sahih yang membicarakan mengenai malam Nisfu Syaaban dan amalan yang dianjurkan pada malam itu.

Berdasarkan amalan yang biasa dilakukan oleh umat Islam di Malaysia iaitu amalan membaca surah Yasin sebanyak tiga kali dan bacaan doa secara khusus pada malam itu adalah doa yang tidak ada asal usulnya.

Ia juga tidak menepati dalil syarak sama ada dalil manqul (bersumberkan Quran dan hadis) atau ma'qul (bersumberkan pendapat ulama mujtahidin yang muktabar).

Mengikut Prof Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya al-Fatawa bahawa kandungan doa itu secara umumnya adalah permohonan supaya ditetapkan sebagai seorang yang bahagia dan murah rezeki bersesuaian dengan segala kebaikan.

Maksud doa itu berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menghapus dan menetapkan apa yang Dia kehendaki, dan di sisi-Nya ummul kitab (ibu segala suratan).” (Surah al-Ra'd , ayat 39), jika telah ditetapkan dalamnya bahawa pemohon menghadapi kesukaran, kesusahan dan ’pengharaman’ daripada rezeki.

Jelas dari sini percanggahan yang nyata dalam isi kandungan doa ini. Pada permulaannya, pemohon berkata, sekiranya dia telah tertulis di sisi Allah dalam kitabnya sebagai seorang yang susah dalam urusan mencari rezeki, maka pendoa meminta supaya dihapuskan kesusahan itu dan ditetapkan di sisi Allah dalam kitabnya (yang sama) sebagai seorang yang bahagia dan murah rezeki untuk segala kebaikan, berdasarkan maksud ayat yang disebutkan.

Makna ummul kitab ialah tidak ada di dalamnya penghapusan dan tidak ada pengisbatan (penetapan), maka bagaimana dia (orang yang berdoa) pada masa yang sama memohon penghapusan dan pengisbatan dalamnya.

Pada masa sama, ucapan doa ini bertentangan dengan adab berdoa seperti yang digariskan oleh ajaran Islam. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Apabila kamu meminta kepada Allah (berdoa kepada-Nya), janganlah kamu ucapkan : Ya Allah ampunilah daku jika Kamu kehendaki, rahmatilah daku jika Kamu kehendaki, berikanlah rezeki padaku jika Kamu kehendaki, sebaliknya hendaklah kamu menetapkan permasalahannya (apa yang diminta), Allah Maha Berkuasa melakukan berdasarkan ketentuan-Nya dan tidak ada paksaan atas-Nya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Seterusnya, umat Islam dianjurkan melaksanakan amal ibadat sebanyak mungkin menurut kemampuannya pada malam itu . Antaranya bersolat lima waktu secara berjemaah, bersolat sunat dan melakukan solat tahajud, berpuasa sunat, membaca al-Quran, beristighfar kepada Allah, bertasbih, bertahlil, bertakbir dan membaca berbagai doa dan zikir yang ma'thur.

Ada pendapat menyatakan amalan membaca surah Yassin dan sembahyang sunat khas dua rakaat pada malam berkenaan sesudah melakukan sembahyang Maghrib iaitu setelah mendirikan sembahyang sunat ba'diah adalah bidaah semata-mata.

Dikatakan juga bahawa sesetengah umat Islam amat suka menghidupkan malam ini, mungkin kerana terdorong oleh kenyataan yang pernah disebutkan oleh sebahagian ulama dalam kitab tafsir dan hadis yang menunjukkan kelebihan malam Nisfu Syaaban.

Persoalan seperti ini memang sering diperbesar untuk mengeliru dan melemahkan semangat umat Islam untuk beribadah kepada Allah dengan penuh keikhlasan.

Oleh itu, menjadi kewajipan setiap Muslim untuk kembali kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah supaya dapat melaksanakan ajaran Islam yang sebenar. Di samping itu, mengelakkan diri daripada amalan bidaah yang sesat lagi menyesatkan. .

Thursday, August 17, 2006

Kita Sokong Hizbullah Bukan Syiah

Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Sebelum episod Peperangan Teluk Pertama bermula, saya berada di Jordan. Suasana ketika itu cukup panas. Saddam yang sebelum itu dikenali sebagai seorang yang teramat zalim dalam sekelip mata ditabalkan menjadi wira umat yang akan bertempur dengan syaitan besar iaitu Amerika. Apatah lagi pabila Saddam meletakkan perkataaan ‘Allahu Akhbar’ pada bendera Iraq. Khutbah-khutbah Jumaat begitu menggegarkan di seluruh Timur Tengah dan dunia Islam. Nama Saddam yang merupakan samseng semalam telah dianugerahkan ‘Salahuddin Al-Ayubi Baru’. Bahkan, dia dikatakan insan yang RasululLah s.a.w janjikan dalam hadith-hadith baginda. Sehingga ada yang cuba mengkaitkan keturunannya dengan keturunan RasululLah s.a.w.

Pemimpin-pemimpin gerakan Islam juga menuju ke Iraq. Saddam dipuji dan disanjung. Tiada siapa lagi yang mempertikaikan akidah ba’ath yang dianut oleh Saddam. Tiada siapa lagi yang mempertikaikan sosialisme Saddam. Tiada siapa lagi yang bertanya tentang darah-darah para ulama yang dibunuh zalim oleh Saddam.

Bahkan semua kejahatannya dibela oleh berbagai pihak dengan berbagai ungkapan yang menghiasi kalam. Ketika itu juga sikap dan pendirian al-Ikhwan al-Muslimin berpecah di peringkat antarabangsa. Negara yang terlebih semangat seperti di Jordan, para pemimpin Ikhwan mengangkat nama Saddam. Namun pemimpin mereka di Iraq yang telah lama merasai kejahatan dan kezaliman yang tidak terperi dari Saddam enggan mempercayai penuh watak baru Saddam.

Apa pun yang berlaku, pusingan Perang Teluk Pertama tamat, Saddam tidak tumbang. Saddam juga tidak banyak berubah. Tapi, Perang Teluk Kedua sekali lagi mengangkat namanya. Seperti juga cerita semalam ketika perang Teluk Pertama. Ramai ulama berfatwa. “Dosa dan akidah Saddam jangan ditanya, menentang musuh itulah yang lebih utama”. Kita semua setuju. Berkalungan doa untuk Iraq dan Saddam setiap waktu. Sehinggalah dia dijatuhkan dalam edisi perang tersebut oleh Amerika yang merupakan syaitan lagi dajjal itu.

Hari ini ramai yang sudah melupai Saddam. Namanya sudah tidak kedengaran lagi. Dia disanjung ketika bersenjata dan perwira, dan dilupai ketika dipenjara dan dihina. Begitulah kita dan pendirian kita. Namun satu hakikat yang tidak boleh siapa pun nafikan; Amerikalah yang memberikan kekuatan dan kuasa kepada Saddam dan Amerikalah juga yang menjatuhkannya.

Episod baru di Timur Tengah bermula. Dajjal Amerika mempunyai perancangannya yang sentiasa jahat. Bermula dengan pembunuhan Hariri, presiden Lebanon, dihambat keluar kuasa Syria dari Lebanon sehinggalah dicetuskan peperangan yang akan ditamatkan nanti. Isu nuklear Iran dibangkitkan sebelum itu. Isu itu juga dipadamkan dengan isu baru. Seperti mana perang Lebanon memadamkan tumpuan kepada jihad di Pelestin dan kejahatan Yahudi yang menculik dan menangkap pimpinan kerajaan Hamas. Nama pimpinan Hamas yang tulus berjuang dilupakan.

Kini, Nama Hasan Nasr ALLAH pula kedengaran sebagai wira baru. Dia ditabalkan dengan lebih bersih. Nilai-nilai pengganas atau terorism kurang dilekatkan kepadanya. Tidak seperti Usamah bin Laden yang ditakuti itu, atau Mullah ‘Umar yang berperang mempertahankan Afghanistan. Kedua-duanya dianggap pengganas yang merbahaya tanpa tolok bandingnya.

Watak Hasan Nasr ALLAH lebih indah dan media lebih memberikan nilai-nilai tambah untuknya. Siapa di sebalik drama baru ini kita tidak pasti. Sekalipun kita amat menyokong setiap penentangan terhadap regim zionist Israel, atas apa logo sekalipun. Zionist adalah paksi kejahatan. Sesiapa menentangnya maka layak digelar wira. Namun kita perlu berhati-hati..agar pisang tidak berbuah dua kali..

Seperti Perang Teluk, Perang Lebanon juga mencetuskan beberapa sikap dan tindak balas. Ada yang enggan menyokong sama sekali kerana Hizbullah itu syiah. Saya katakan ini sikap yang kurang wajar dalam suasana kita kekurangan wira untuk menentang zionist. Kebencian tidak boleh menyebabkan kita melakukan kezaliman. Syiah bagi kita menyeleweng, namun kita tidak kafirnya sekalipun kebanyakan fatwa mereka mengkafirkan kita.

Melainkan sesiapa di kalangan mereka yang terbukti kufur disebabkan tindakan atau kepercayaan tertentu. Sama juga orang sunni jika menyeleweng dari batasan iman. Fekah Islam tidak melarang berperang di belakang pemimpin yang fasik dan zalim selagi yang diperangi itu golongan kuffar yang menentang Islam. Bahkan keadaan sekarang menuntut kesatuan suara dalam menghadapi Yahudi. Hizbullah sedangkan melakukan hal itu. Seperti Hamas yang sekian lama sudah melakukannya. Cuma mereka kurang dipuji kerana kurang senjata. Puncanya pengkhianatan pimpinan Arab yang ada. Adapun Hizbullah, senjata mereka cukup. Walaupun baru bertempur, namanya cukup-cukup disebut.

Ada pula yang terlajak sehingga menganggap segala ajaran Syiah boleh diterima pakai. Ini lebih melampau. Di Malaysia, aktivis Syiah bukan sahaja mengangkat gambar Hasan Nasr ALLAH, gambar pimpinan Syiah yang lain turut diangkat. Bukan itu sahaja, kafir mengkafir sahabat atau penghinaan termasuk terhadap Abu Bakr dan ‘Umar sudah kian berani. Email-email groups kian aktif mengedarkan fikrah ini. Jika sebahagian kepercayaan ini diterima mudah, runtuhlah bentang-bentang Islam yang telah dibina. Mereka ini memang betul-betul mengambil kesempatan. Jika benteng kota Lebanon roboh, apakah kita ingin robohkan juga kota akidah Ahli Sunnah wa al-Jamaah yang ada?!!

Saya seorang yang terbuka dengan kebebasan fikir. Namun kebebasan ini hendaklah tidak membawa kepada keruntuhan prinsip. Ada yang kata kepada saya: “Dr, kita orang sunni tidak melawan dengan Amerika dan kuffar, ahli sunnah sudah tidak relevan lagi..Syiah saje yang berani sekarang”. Saya katakan; kita sanjung penentangan mereka. Apatah lagi rekod Hizbullah juga mendorong ke arah itu. Namun kenyataan yang menyebut orang sunni tidak menentang Amerika dan kuffar sudah melampau.

Siapa yang menghalau Rusia keluar dari Afghanistan? Siapa yang membantu mujahidin ketika itu? Siapa yang berperang di Kasymir? Siapa yang berperang Chechnya? Siapa yang berperang di Iraq sehingga hari ini?. lebih penting, siapa yang sedang berjihad di Palestin yang sedang lupai sekarang akibat isu Lebanon. Begitulah adanya kita, apabila dibuat serangan baru, kita lupa serangan lalu..kita lupa Afghanistan, kita lupa Iraq, kita lupa Chechnya, kita lupa Palestin..kita lupa..kita lupa..

Cumanya pusingan dalam masa sehari dua ini, nama Hizbullah diperkatakan. Walaupun ketika artikel ditulis pemimpin Hizbullah baru sahaja menyebut kesediaan untuk genjatan senjata. Kita tidak tahu apa pula episodnya selepas ini. Namun, kita melihat Hizbullah sebagai Hizbullah. Kita enggan menyalahkannya dalam perkara yang mereka tidak lakukan. Walaupun hati kita amat terluka dengan pembunuhan kaum sunni oleh Syiah Iraq yang saban waktu dan belum lagi tamat hingga hari.

Sekalipun para ulama termasuk al-Qaradawi meminta agar fatwa dikeluarkan oleh ulama Syiah mengharamkan perbuatan itu, namun mereka hanya mendiamkan diri. Tetapi dosa Iraq tidak patut untuk ditanggung oleh Lebanon. Maka seruan membantu perjuangan Hizbullah kita laungkan. Namun kita selalu meminta semua pihak berhati-hati. Banyak sendiwara dunia yang kita belum cukup faham mengenainya. Dan kita pula tidak boleh menghukum apa yang kita tidak tahu.

Kita belum mendengar Hasan Nasr Allah mengutuk dan menghina sahabat seperti yang dilakukan oleh Khomeni dan tokoh-tokoh Syiah yang lain. Kita tidak boleh menuduh sehingga terbukti. Namun kita berhati-hati. Kaum sunni di Lebanon bekerjasama dengan Hizbullah. Namun mereka berhati-hati. Kita juga perlu berhati-hati di samping terus menyokong mereka..

Allah mencerita pendirian orang mukminin dalam Perang Rom-Parsi dalam surah al-Rum (maksudnya):
1. Alif, Laam, Miim.(2). Orang-orang Rom telah dikalahkan –(3). Di bumi yang paling rendah (permukaannya); dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya –(4). Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (Kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira -

Ya! Orang mukmin gembira dengan kemenangan Rom. Rom lebih dekat pegangannya dengan golongan beriman jika dibandingkan dengan Parsi. Namun orang mukmin tidak berkempen menganut agama Rom. Bahkan akhir tentera Islam menguasai Rom. Saya secara peribadi tidak pernah terikat dengan fatwa mana-mana negara atau ulama. Tidak Arab Saudi, tidak juga Iran.

Entah berapa banyak pendapat ulama-ulama dari Arab Saudi yang kita bangkang. Saya baru saje turut membentangkan kertas kerja di UIA, dalam satu seminar antarabangsa yang turut dihadiri oleh tokoh-tokoh ulama Syiah termasuk Ayatullah Taskhiri dari Iran. Saya mendengar pendapat yang baik dan menapis apa yang menyanggahi pegangan generasi awal Islam yang terdiri dari para sahabah dan tabi’in dan atba’ al-Tabi’in. Agama bukan sekadar berpolitik di dunia, tetapi keselamatan diri di akhirat. Penilaian kita hendaklah bersifat penilaian akhirat sebelum penilian dunia.

Malangnya ada yang mengambil kesempatan menuduh al-Syeikh Ibn Jibrin membuat fatwa yang tidak sesuai dengan waktu tentang Hizbullah. Pro-tehran di Malaysia memukul gong Syiah mengambil kesempatan isu tersebut. Fatwa itu sebenarnya fatwa empat tahun lepas. Al-Syeikh Ibn Jibrin berkata : Sesungguhnya fatwa tersebut tidak berkaitan dengan Hizbullah sama sekali. Akan tetapi ia berkaitan Rafidhah yang menganggap Ahl al-Sunnah sebagai kafir. Mereka (Rafidhah) juga mengkafirkan para sahabat Nabi saw –ridwanullah 'alaihim- dan mereka mencela al-Quran dengan mendakwa bahawa al-Quran telah berlaku perubahan dan ada kekurangan. (mereka menganggap) ada yang dibuang daripada al-Quran yang bersangkutan tentang Ali Bait (ahli keluarga Nabi saw).."

Jika dilihat secara keseluruhan, ulasan terbaru beliau senada dengan apa yang saya tulis untuk menyokong Hizbullah dalam peperangan tersebut. Lihat penjelasan ini dalam Islamonline. Namun benar jika ada pendapat beliau tidak serasi dengan nas dan tuntutan politik semasa, kita berhak membangkang dan tidak bersetuju dengannya.

Ahli Sunnah di Iran telah menyokong perjuangan Khomeini menegakkan revolusinya. Kerana ia penilaian wajar ketika itu. Sekalipun selepas itu mereka ditindas dan dibunuh. Namun mereka tidak meratap atas sokongan lepas. Ini kerana pendirian itu dibuat sesuai dengan suasana dan tuntutan masa. Hal yang sama berlaku kepada gerakan Islam di Mesir. Jamal ‘Abd Nasir pernah berperang menentang Israel dan menang. Dia dibantu oleh pejuang-pejuang gerakan Islam. Lebih hebat ada yang menulis sejarahnya dengan menyebut ‘he was strongest enemy to zionism’. Namun beliau jugalah yang selepas itu membunuh para pejuang gerakan Islam termasuk Syed Qutb, ‘Abd al-Qadir ‘Audah dan lain-lain. Namun sokongan yang benar tidak pernah dikesali.

Kita wajar sentiasa berhati-hati dalam sikap dan melihat masa depan. Kita doakan kemenangan Hizbullah jika mereka benar-benar berjuang menentang Yahudi. Kita sokong senjatanya. Namun kita tidak sokong akidah Syiah. Harus dibezakan dua hal tersebut. Dalam musim ramai orang dikatakan ingin murtad, adakah wajar kita juga menuduh para sahabah kesemuanya telah murtad melainkan beberapa orang sahaja?!! Katakan tidak untuk Syiah!!

Apa yang menjadi masalah ialah perang di Lebanon diambil kesempatan oleh pencerca para sahabah di Malaysia…Yang menullis email mengedarkan akidah Syiah. Demikian yang berceramah. Begitu juga seorang penulis sastera mereka. Semakin berani menonjolkan akidah syiahnya.

Beritahu mereka kita ada sempadan yang jelas..kita pernah sokong Saddam bukan ba’athnya, kita pernah sokong Jamal ‘Abd Nasir, bukan sosialisnya, kita sokong Bin Laden bukan keganasannya... Maka kita sokong Hizbullah bukan Syiahnya!!!

Tuesday, August 15, 2006

Benarkah Sheikh Jibrin mengharamkan menyokong Hizbullah?

"fatwa tersebut adalah fatwa lama, pelajar-pelajarnya menyebarkannya tanpa pengetahuannya" (Abdul Rahman - Anak Syeikh Jibrin)

Tentang fatwanya yang melarang membantu Hizbullah al-Faqih al-Syeikh Abdullah bin Jibrin menjelaskan bahawasanya fatwa tersebut tidak dimaksudkan kepada Hizbullah, sebaliknya ia dimaksudkan kepada membantu Rafidah secara am. Dan beliau (al-Syeikh Ibn Jibrin) berpendapat pada waktu sekarang, sepatutnya memberikan penumpuan menghadapi musuh Israil yang memasuki Lubnan dan Palestin.

Ketika menjelaskan penyebaran fatwanya di dalam lamanweb murid-muridnya al-Syeikh Ibn Jibrin berkata : Sesungguhnya fatwa tersebut tidak berkaitan dengan Hizbullah sama sekali. Akan tetapi ia berkaitan Rafidhah yang menganggap Ahl al-Sunnah sebagai kafir. Mereka (Rafidhah) juga mengkafirkan para sahabat Nabi saw -ridwanullah 'alaihim- dan mereka mencela al-Quran dengan mendakwa bahawa al-Quran telah berlaku perubahan dan ada kekurangan. (mereka menganggap) ada yang dibuang daripada al-Quran yang bersangkutan tentang Aalu Bait (ahli keluarga Nabi saw).."

Dalam menjelaskan al-Syeikh Abdullah bin Jibrin berlepas diri dari mengulangi penyebaran fatwa tersebut berkata anaknya Abdul Rahman : "Bahawasanya fatwa tersebut adalah fatwa lama, pelajar-pelajarnya menyebarkannya tanpa pengetahuannya."

Fatwa tersebut pertama kali dikeluarkan pada tarikh 7/3/1423 H (2002 M), dan dipaparkan semula di lamanweb Syeikh semenjak 2 minggu yang lalu. Dan fatwa tersebut dijadikan oleh sebahagian lamanweb lain sebagai pendirian al-Syeikh terhadap Hizbullah pada waktu sekarang.

Al-Syeikh Abdullah bin Jibrin berpendapat sepatutnya kita sekarang memberi penumpuan menentang musuh iaitu israil yang memasuki Lubnan dan Palasten. Kita berdiri menentang dengan fitnah syaitan ini yang menghendaki kita terpesong daripada Islam......

Sumber: http://www.islam-online.net/Arabic/shariah_corner/Fatwa/topic_10/2006/08/03.shtml

Monday, August 14, 2006

The Truth About Palestine- Zionis

George Galloway (May Allah guide him) Speaks the Truth on Sky News


Saturday, August 12, 2006

Palestin Jangan Menangis Lagi


Penyembelihan umat Islam di Kem Pelarian Sabra Shatilla, Lubnan, 17 September 1982.

Monday, August 07, 2006

Hizbullah dan HAMAS

Berkaitan isu Palestin pula, pendirian Hizbullah patut diberikan kredit. Bukan kerana mereka Syiah, tetapi kerana komitmen mereka. Jika Iran dikaitkan sebagai penyebab utama munculnya Hizbullah, kita juga tidak boleh melupakan peranan rakyat Palestin sendiri. Sebelum kemunculan Hizbullah, dan sebelum ideologi revolusi Iran diekspot ke Lubnan, kelompok Syiah yang berjuang menentang Zionis kebanyakannya berpayungkan perjuangan PLO dan sosialis.

Di bawah payung PLO jugalah mereka telah dilatih dan dilibatkan untuk menentang penjajahan Zionis di selatan Lubnan. Setelah kemunculan Hizbullah, kebanyakan para komando dan pejuang Syiah ini telah menyertai Hizbullah. Kebanyakan mereka menyertai Hizbullah kerana PLO telah dihalau keluar daripada Lubnan pasca perjanjian Philip Habib dengan para pemimpin Lubnan pada tahun 1982. Di atas dasar inilah, Hizbullah dan perjuangan rakyat Palestin mempunyai hubungan yang sentimental. Mereka tidak akan melupakan rakyat Palestin yang telah memperkenalkan mereka kepada perjuangan dan jihad.

Kemunculan HAMAS yang membawa ideologi Islam juga telah mencorakkan warna yang baru kepada perhubungan Hizbullah-Palestin. HAMAS yang mewakili perjuangan Islam Ahli Sunnah menentang Zionis telah bersetuju dengan Hizbullah yang mewakili perjuangan Islam Syiah di dalam jihad mereka. Musuh mereka yang satu perlu ditentang bersama. Bak kata pepatah Sudan "dua tangan akan melontar lebih jauh daripada satu tangan sahaja". Kewujudan HAMAS di Lubnan sekarang ini pun mempunyai kaitannya dengan Hizbullah.


Keselamatan wakil HAMAS di Lubnan, seperti Usamah Hamdan, Muhammad Nazal dan lain-lain juga berhubung rapat dengan kekuatan Hizbullah. Tanpa kekuatan Hizbullah di Lubnan, kemungkinan besar mereka telah diusir atau telah lama dibunuh oleh golongan Zionis. Hal ini telah diketahui oleh dunia, malah oleh rejim Zionis sendiri. Namun, ini tidak menjadikan pula para anggota HAMAS bersimpati dengan aqidah Syiah dan menjadi Syiah. Di dalam literas-literasi aqidah Ikhwan, tetap menyenaraikan Syiah sebagai golongan yang rosak aqidahnya. Sikap seperti inilah yang sepatutnya kita ambil.

Hanya Syiah boleh mengusir Israel

"Hanya Syiah sahaja yang mampu untuk mengusir Israel!", Slogan inilah yang selalu dicanangkan oleh sesetengah pihak yang mempromosikan ideologi Syiah. Keupayaan Hizbullah menghalau tentera Zionis dari selatan Lubnan pada Mei 2000 telah dijadikan dalil yang paling sahih di dalam membela Syiah. Bagi para pendengar yang mengikut sahaja tanpa berfikir dan mengkaji, fakta ini akan diterimanya bulat-bulat. Akhirnya terdetik di dalam hati, Syiah sahajalah yang betul dan paling layak untuk mengalahkan musuh Islam. Adakah ini benar?

Ya, memang Hizbullah telah berjaya mengusir tentera rejim Zionis dari selatan Lubnan, tetapi mereka bukanlah satu-satunya kuasa yang dapat mengalahkan Zionis. Cukuplah Salahuddin al-Ayubi sebagai bukti. Beliau bukanlah seorang Syiah, tetapi ahli Sunnah. Malah, sebelum beliau melancarkan kempen perang ke atas tentera Salib, beliau terlebih dahulu membersihkan bumi Mesir daripada golongan Syiah Fatimiyin.


Syiah Fatimiyah telah bertindak menikam umat Islam daripada belakang ketika mereka sedang bertempur dengan tentera Salib. Di atas dasar itulah, Salahudin terlebih dahulu menumpukan usaha menghapuskan Syiah Fatimiyah sebelum berjihad menentang tentera Salib. Kesimpulannya, Ahli Sunnah mampu untuk mempertahankan Palestin dan Masjid al-Aqsa.

Adakah kita terlupakan peperangan Arab-Zionis pada tahun-tahun 1947-1948. Lupakah kita terhadap kemenangan tentera-tentera sukarelawan Mesir dan Syria dari kalangan anggota gerakan Ikhwan al-Muslimin? Mereka hampir sahaja berjaya menghapuskan terus kekuatan penganas-penganas Zionis. Jika tidak kerana campurtangan British dan pemimpin-pemimpin Arab yang korup dan pengkhianat, sudah tentu Israel tidak akan wujud. Kesimpulannya, ahli Sunnah juga pernah mengalahkan Zionis.

Lupakah juga kita kepada peperangan 1973?, kehebatan tentera Mesir mengalahkan rejim Zionis sehingga memaksa Zionis menggunakan pengaruh mereka terhadap Anwar Sadat, presiden Mesir pada waktu tersebut. Sadat telah mengkhianati rakyat Mesir melalui Camp David 1978. Walaupun Mesir telah mendapatkan semula Sinai, tetapi mereka terpaksa melupakan isu Palestin. Kesimpulannya, Ahli Sunnah juga pernah mengalahkan tentera Zionis.

Lupakah juga kita kepada peperangan Karamah 1968 di Jordan? Tentera Zionis telah dikalahkan dengan teruk di dalam peperangan di antara mereka dengan tentera Jordan. Sehingga kini, kereta kebal Zionis yang telah berjaya ditawan oleh Jordan lewat peeprangan tersebut masih terdapat di kawasan al-Gahur, Jordan. Sehingga hari ini, pada setiap 21 Ogos setiap tahun, Jordan akan merayakan hari kemenangan tersebut. Sekali lagi, kesimpulannya, Ahli Sunnah juga pernah mengalahkan tentera Zionis.

Akhir sekali yang paling hampir dengan kita adalah pengunduran tentera Zionis beserta penduduk Yahudi dari Gaza secara keseluruhannya pada Ogos 2005. Bukankah itu merupakan satu kemenangan. "Indihar al-Suhyuniah" (Pengunduran Zionis) itu merupakan antara buah kejayaan gerakan Intifadah rakyat Palestin. HAMAS, Jihad Islami, briged Syuhada al-Aqsa milik Fatah dan juga lain-lain fraksi perjuangan berhak menerima kredit untuk tujuan tersebut. Bukankah mereka ahli sunnah?, sekali lagi, ahli sunnah juga mampu untuk mengalahkan Zionis. Bukan sekali, malah banyak kali, jauh lebih banyak daripada golongan Syiah!

Jika itu senario di Palestin, di tempat lain di serata dunia banyak lagi contoh yang boleh dibanggakan oleh Ahli Sunnah. Perang di Afghanistan sebagai contoh. Bukankah para mujahidin telah berjaya mengalahkan Rusia. Mereka bukannya puak Syiah. Syiah hanya datang selepas kemenangan untuk meluaskan pengaruh mereka di sana dan telah menyebabkan perang saudara meletus. Di Bosnia, para mujahidin "Salafi Jihadi" telah berjaya mengalahkan tentera Serbia. Mereka bukan Syiah. Di Checnya, para mujahidin "Salafi Jihadi" di sana juga bukan Syiah. Di Iraq juga, para mujahidin adalah dari kalangan ahli sunnah. Syiah pula telah melakukan pelbagai cara dan makar untuk menguasai Iraq, sehingga sanggup bekerjasama dengan AS.

Kesimpulannya, perjuangan jihad dan juga kemenangan tidak terletak pada Syiah atau tidaknya sesuatu kumpulan. Maka, adalah silap bagi mereka yang mempromosikan Syiah lewat isu Hizbullah ini!

Pendirian yang sepatutnya

Sebagai kesimpulan, bolehlah kita katakan, isu yang wujud sekarang ini wajib disikapi oleh umat Islam dengan bijaksana. Isu ini bukanlah hujah bagi promoter Syiah untuk mempromosikan aqidah dan ideologi mereka. Waktu ini juga bukanlah waktu untuk berbicara mengenai kesesatan aqidah Syiah. Kita berada di dalam suasana peperangan. Pendirian Dr Yusuf al-Qaradawi dan Majlis Ulama Islam Sedunia (International Union for Muslim Scholars) wajar dicontohi, walaupun beliau menyeru umat Islam di Lubnan untuk membantu Hizbullah menentang Zionis, tetapi beliau tetap memberikan amaran kepada Syiah di Iraq agar memberhentikan serangan ke atas Ahli Sunnah.


Pendirian Jammat Islamiyyah di Lubnan pimpinan Ibrahim al-Masri, juga wajar dicontohi. Jamaat yang merupakan cawangan Ikhwan di Lubnan telah bersetuju mengerahkan kader-kader mereka untuk mengangkat senjata bersama Hizbullah menentang Zionis, tetapi di dalam literasi-literasi tarbiyah mereka tetap menyenaraikan aqidah Syiah sebagai aqidah yang batil dan sesat.

Akhir sekali, perbincangan yang tidak membuahkan amal bukanlah sesuatu yang menguntungkan. Di waktu kita sibuk di dalam mempromosikan Syiah, ataupun menghentam Syiah, ratusan kanak-kanak dan wanita terus menjadi mangsa kegilaan rejim Zionis. Tidak kiralah, anda pro-Hizbullah ataupun pro-HAMAS, yang penting apakah sumbangan anda di dalam isu ini?

Bukan hanya di Lubnan, malah di Gaza, di Tebing Barat, dan di Baitul Maqdis... kesemuanya memerlukan sokongan anda. Rakyat Palestin terus dilupakan walaupun sekatan ekonomi masih lagi dikenakan ke atas mereka. Rakyat Palestin di Gaza terus bergelapan, sekolah-sekolah telah hancur, kerajaan di bawah pimpinan HAMAS tetap ditekan, rakyat masih kelaparan.


Sehingga kini, lima menteri kabinet Palestin masih lagi ditahan, 25 ahli parlimen masih lagi dikurung oleh Zionis, dan lebih 10,000 tahanan Palestin masih lagi terseksa di dalam tahanan Zionis. Masjid al-Aqsa masih lagi diancam. Sehingga kini, sudah sebulan umat Islam tidak dapat menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Aqsa kerana dikepong oleh pegawai polis Zionis. Pada 3 Ogos 2006, sekumpulan ekstrimis Zionis telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Zionis untuk memasuki kawasan Masjid al-Aqsa untuk melakukan upacara perayaan mereka.

Lakukan sesuatu. Hulurkan sumbangan anda. Bangunlah pada sepertiga malam terakhir untuk bermunajat kepada Allah agar memberikan kemenangan kepada umat Islam. Lakukanlah juga Qunut Nazilah menurut Sunnah Rasulullah SAW, boikot barangan Zionis, dan bantulah mereka sekadar yang anda mampu.

Jika anda masih lagi hendak membicarakan persoalan Sunnah-Syiah di dalam keadaan seperti ini, di manakah Fiqh Awlawiyat anda?

Hizbullah : Apakah sikap kita?

Lewat isu nuklear Iran dan juga peperangan Zionis-Hizbullah, timbul satu fenomena di Malaysia. Terdapat dua golongan yang saling bertentangan di dalam menyikapi isu ini. Di satu pihak, wujud golongan yang mengambil peluang isu ini untuk mempromosikan Syiah dan ideologi revolusi Iran. Di sudut yang bertentangan pula, wujud golongan yang menentang Syiah dan menyatakan kebimbangan mereka mengenai tersebarnya ideologi Syiah kerana isu tersebut.

Pihak yang giat mempromosikan ideologi Syiah telah berhujahkan kehebatan dan ketegasan Iran berhubung isu nuklear. Mereka juga bagaikan mendapat bonus apabila Hizbullah dengan beraninya menyerang konvoi tentera Zionis yang telah menyebabkan peperangan ke atas Lubnan. Menurut mereka, apa yang dilakukan oleh Hizbullah itu menunjukkan betapa hebatnya prinsip dan aqidah Syiah.

Tidak ketinggalan, di mana-mana demo dianjurkan, pastinya ada sahaja gambar-gambar pemimpin Syiah Iran dan Hizbullah akan dijulang. T-shirt Hizbullah juga dipakai dengan bangganya oleh para pemuda dari golongan ini. Di mailing list-mailing list dan blog-blog juga terdapat artikel-artikel yang memuji Syiah, mempromosikan mereka dan cuba untuk menyeru ke arah Syiah dan ideologi revolusi.

Pihak ini juga telah menggunakan peluang yang ada untuk menghentam para pengkritik Syiah, terutamanya golongan Salafi. Pendirian kerajaan Saudi yang pro-AS dan juga fatwa mufti Saudi yang terlalu kontreversi juga telah digunakan sebagai peluang untuk menghentam golongan Salafi. Bagi mereka, bukan hanya kerajaan Saudi, malah seluruh pejuang Islam yang berfahaman Salafi adalah agen Yahudi, agen AS dan juga ada yang terus mengkafirkannya. Mungkin golongan ini terlupakan Usamah Ben Laden dan al-Qaeda serta para mujahidin di Checnya, Kashmir dan di Iraq yang merupakan golongan berfahaman Salafi jalur keras.

Mereka juga mungkin tidak perasankan HAMAS yang merupakan cabang Ikhwan al-Muslimin di Palestin. Ikhwan telah dikenali di seluruh dunia sebagai gerakan yang mengambil aqidah "Salafiyyah" sebagai aqidah mereka. Mungkin juga Dr Yusuf al-Qaradawi tercicir dari senarai mereka. Al-Qaradawi adalah seorang yang beraqidahkan salafiyyah, malah tulisan beliau mengenai Syirik, bid'ah dan juga aqidah jelas menunjukkan pegangannya yang bersumberkan ajaran Ibn Taimiyyah dan Muhammad bin Abdul Wahab.

Di satu sudut pula, ada golongan yang bulat-bulat menerima fatwa mufti Saudi. Berbekalkan kenyataan-kenyataan Abu Mus'ab al-Zarqawi di Iraq, mufti tersebut telah menyama ratakan semua golongan Syiah di muka bumi ini. Jika hukuman yang diberikan ke atas golongan Syiah itu berkaitan dengan aqidah, majoriti akan bersetuju. Malangnya, situasi di Lubnan sekarang adalah isu politik. Isu politik harus ditafsirkan dan ditanggani dengan menggunakan neraca politik.


Di dalam pertimbangan politik, bukannya aqidah dan juga pegangan yang menjadi ukuran, tetapi maslahah (keuntungan) dan mafsadah (kerugian). Umat Islam haruslah mengutamakan maslahah (keuntungan) yang lebih besar kepada umat secara keseluruhan dan mengelakkan mafsadah (mudarat) daripada umat.

Begitu juga di waktu peperangan. Rakan kita, bukanlah hanya mereka yang seaqidah, tetapi siapakah yang dapat memberikan manfaat kepada umat. Rakan kita di waktu peperangan juga, ialah sesiapa yang sedang menentang musuh kita. Bak kata pepatah Inggeris "The enemy of my enemy is my friend". Jikalaulah yang dapat bersama untuk menyelamatkan maslahah umat Islam itu bukan Islam sekalipun, kita wajib bersama mereka. Apatah lagi, jika yang dapat bersama kita untuk menentang musuh bersama itu di kalangan umat Islam sendiri.


Bahasa Politik

Di dalam isu perang Zionis ke atas Lubnan, sewajarnya isu aqidah ini tidak timbul. Isu ini haruslah disikapi dengan penuh kematangan dan dengan penuh strategi. Isu pokoknya adalah isu Palestin. Apa yang dilakukan oleh Hizbullah adalah bertujuan untuk membantu rakyat Palestin yang telah ditekan dan diganasi oleh rejim Zionis semenjak kemenangan HAMAS di dalam pilihanraya Majlis Legaslatif yang lalu. Hizbullah pula, sememangnya telah berjanji dengan HAMAS untuk sama-sama saling membantu di dalam menentang rejim Zionis.

Jasa mereka harus diberikan kredit. Begitu juga dengan Iran yang merupakan bapa kepada Hizbullah. Pendirian-pendirian mereka berhubung isu Palestin tidak boleh dipandang remeh. Jika dibandingkan dengan lain-lain negara anggota OIC, Iran lebih ke hadapan selepas Qatar, Syria dan Yemen. Di dalam isu ini, biarlah bahasa politik yang kita gunakan dan bukannya bahasa "agama" atau "aqidah".

Bukanlah saya bermaksud untuk menjadi sekular, tetapi kebijaksanaan umat Islam untuk berpolitik itu perlu. Umat Islam harus berusaha mengurangkan musuh dan bersikap fokus. Maslahah umat Islam yang lebih besar harus didahulukan. Di dalam politik, usaha membanyakkan rakan dan mengurangkan musuh amat perlu.


Bila rakan kita ramai, risiko ke atas umat akan kurang, berbanding jika kita mempunyai terlalu ramai musuh. Sama juga seperti isu Palestin. Seharusnya umat Islam menjadikan isu Palestin ini sebagai ruang untuk mencari kekuatan. Isu ini sepatutnya dijadikan ruang untuk kita bertemu dan bersatu untuk menentang Zionis.

Bukan hanya sekadar Syiah-Sunnah, malah juga mazhab-mazhab dalam Islam seperti Ibadhiyyah, Zaiidiyyah, malah dengan Kristian yang bersimpati dengan kita sekalipun kita sepatutnya bersatu. Seharusnya kita berusaha meramaikan rakan di dalam kem menentang Zionis dan berusaha megurangkan musuh.


Inilah usaha yang dilakukan oleh al-Quds Institute di dalam mempertahankan Masjid al-Aqsa. Bukan hanya sekadar wakil dari Syiah juga turut menganggotai institut ini, malah wakil-wakil Kristian juga ada di dalamnya. Mungkin pengalaman Salahudin mengambil Kristian-kristian Arab untuk bersama menentang tentera Salib boleh dijadikan contoh.

Walau bagaimanapun ini bukanlah bermaksud kita perlu mengakui kebenaran aqidah Syiah. Mana mungkin kita mengiktiraf kebenaran aqidah mereka yang menuduh Aisyah berzina, mana mungkin kita bersetuju dengan aqidah orang-orang yang mengkafirkan sahabat, menghina isteri-isteri Rasul, menolak hadis-hadis kita dan juga menganggap ahli sunnah sebagai penghuni neraka?

Di dalam persoalan aqidah kita wajib tegas. Kita wajib mempertahankan aqidah kita. Namun, di dalam isu politik dan peperangan, bahasanya lain. Maka kita mempunyai pndirian yang tegas. Apa yang berlaku tidak akan sekali-kali menyebabkan kita terpengaruh dengan aqidah Syiah. Apa yang berlaku juga sekali-kali tidak akan membuatkan kita termakan dengan taqiyah dan juga penyelewengan aqidah mereka. Kita katakan "YES Hizbullah, but NO Syiah!", atau "YES Hizbullah but NO Aqidah Syiah!"

Lubnan bukan Iraq dan Pakistan

Golongan yang tidak dapat menyokong Hizbullah dan bersimpati terhadap mereka kebanyakannya tidak dapat melupakan jenayah-jenayah golongan Syiah di Iraq dan Pakistan. Memang benar, di Pakistan dan Iraq hatta di Iran, hubungan Sunni-Syiah amat tegang. Syiah di Pakistan adalah minoriti yang berusaha memastikan survival mereka dan bersikap agresif untuk memastikan kewujudan mereka di bumi itu.


Pertumpahan darah di dalam pertembungan kedua-dua golongan adalah sesuatu yang biasa di sana. Begitu juga di Iraq. Hubungan Sunni-Syiah, (terutamanya pasca penjajahan AS) semakin tegang. Usaha golongan Syiah untuk menguasai Iraq bukan lagi rahsia. Mereka sanggup membunuh, bersekongkol dengan AS dan juga melakukan tipu daya demi memastikan matlamat mereka dicapai. Keadaan di sana telah berjaya menarik perhatian Dr Yusuf al-Qaradawi untuk masuk campur dan memberikan amaran kepada golongan Syiah di Iraq.

Walau bagaimanapun suasana di Lubnan agak berbeza. Walaupun Hizbullah merupakan wakil Syiah di Lubnan bersama gerakan Amal, namun survival mereka di sana berbeza. Syiah di Lubnan terpaksa bersatu dengan ahli Sunnah demi memastikan survival mereka. Lubnan yang didominasi golongan Kristian telah memaksa komuniti muslim tidak berperang sesama sendiri. Fenomena ini walaupun wujud hanya selepas berakhirnya peperangan saudara (1975-1990), namun ianya dapat bertahan sehingga kini.

Kepahitan peperangan saudara telah menyaksikan bagaimana setiap golongan berjuang untuk mempertahankan kewujudan masing-masing. Perstiwa itu telah menjadi peristiwa hitam yang tidak mahu diingati lagi oleh sesiapa pun di Lubnan. Di atas dasar inilah, Perdana Menteri Lubnan, Fuad Siniora tetap bertegas untuk menyokong Hizbullah di dalam mempertahankan negara mereka dari serangan Zionis. Beliau dan juga pemimpin-pemimpin bukan Syiah di Lubnan tetap bertegas untuk tidak mengikut telunjuk Zionis yang memaksa mereka untuk menentang Hizbullah.

Secara tegas, para pemimpin Lubnan menyatakan bahawa mereka tidak akan mengulangi peperangan saudara seperti yang pernah mereka tempuhi dahulu. Serangan Zionis ke atas Lubnan, adalah serangan ke atas rakyat Lubnan dan bukannya serangan ke atas Hizbullah semata-mata. Mereka bersepakat di dalam hal ini. Sekali lagi, faktor politik membawa sikap yang berbeza di dalam kehidupan. Di Lubnan, aqidah bukan isunya lagi, tetapi survival kelompok dan juga keamanan bersama adalah agenda utama setiap golongan. Hal in berbeza dengan suasana di Iraq dan Pakistan, hatta di Iran sekalipun.

Thursday, August 03, 2006

Operasi Wafa al-Ahrar (janji orang yang merdeka) menantikan rejim Zionis

Di kala semua mucung kamera badan-badan berita antarabangsa sedang dihalakan ke arah Lubnan, masyarakat dunia bagaikan terlupa akan nasib rakyat Palestin. Bilangan rakyat Gaza yang dibunuh bagaikan tidak mendapat kepedulian dunia. Sebahagian daripada Gaza masih lagi terputus bekalan eletrik. Lima menteri kabinet kerajaan Palestin masih lagi diculik oleh rejim Zionis.

Empat puluh pegawai kerajaan termasuk 25 orang ahli parlimen dan beberapa orang datuk bandar yang diculik juga tidak diketahui apakah nasib mereka. Universiti Islam Gaza yang telah dibedil dibiarkan begitu sahaja. Pejabat-pejabat kementerian yang diserang dan hancur tiada siapa yang peduli. Para pekerja yang tidak menerima gaji masih tidak tahu apakah penyelesaiannya. Kanak-kanak Gaza masih lagi tidak dapat ke sekolah kerana infrasruktur kebanyakan sekolah telah hancur, dan ada di antara guru-guru mereka telah ditangkap oleh tentera rejim. Jalan-jalan raya masih lagi belum selamat untuk digunakan, bila-bila sahaja kereta kebal-kereta kebal rejim akan muncul dan menembak sesiapa sahaj, malah apa sahaja yang berada di jalan.

10,000 tahanan rakyat Palestin masih lagi disiksa di penjara-penjara Zionis. Ratusan kanak-kanak bawah 18 tahun dan juga wanita adalah di antara yang ditahan. Hari berganti hari, masa depan mereka semakin kabur. Malangnya, apabila terletusnya perang di Lubnan, rakyat Palestin bagaikan dilupakan. Jabaliya, Refah, Khan Yunus, Nablus dan lain-lain nama tempat di Palestin yang dijadikan sasaran kegilaan Zionis amat kurang mendapat perhatian.

Jika TV 3 dan Mercy berupaya membuat tabung untuk rakyat Lubnan, mengapakah tiada tabung buat rakyat Palestin yang telah di"cekik" oleh rejim Zionis dan AS semenjak bulan Februari lagi. Apa yang lebih menyayat hati, Baitul Maqdis kini terus sepi daripada mendapat liputan berita. Umat Islam di Baitul Maqdis sudah tiga minggu (semenjak awal bulan Julai) tidak dapat menunaikan solat Jumaat di dalam Masjid al-Aqsa. Hanya mereka yang berumur 45 tahun sahaja yang dibenarkan untuk memasuki masjid untuk solat-solat fardhu. Lebih mengaibkan lagi, tentera-tentera Zionis bebas berkeliaran dan mengawal masjid. Lebih menyakitkan hati lagi, di bawah Masjid al-Aqsa kini sudah ada kuil sementara Yahudi, di bawah Masjid al-Aqsa juga kini telah dibina satu replika kuil "Haychal" yang ingin mereka bina jika al-Aqsa berjaya mereka runtuhkan nanti. Begitulah nasib Palestin... di manakah umat Islam?



Jika dunia sibuk memandang ke Lubnan, mereka perlu ingat, apa yang berlaku di sana adalah kerana apa yang berlaku di Palestin.



Seperti biasa, apabila muncul sesuatu isu yang lebih besar, isu Palestin akan dipinggirkan. Jika dunia sibuk memandang ke Lubnan, mereka perlu ingat, apa yang berlaku di sana adalah kerana apa yang berlaku di Palestin. Pihak Hizbullah ynag telah menyerang tentera Zionis adalah bertujuan untuk mengalihkan tumpuan tentera Zionis daripada terus membaham rakyat Palestin di Gaza. Di atas kesedaran inilah, para pejuang Palestin daripada pelbagai fraksi terpaksa memperhebatkan perjuangan mereka.

Jika para pejuang Hizbullah di Lubnan telah berjaya memberikan penangan yang hebat kepada tentera Zionis di Bint Jbeil, para pejuang Palestin pun berikrar akan memberikan penangan yang lebih ke atas Zionis. Jikalaulah pejuang Hizbullah telah berjaya membuatkan para penduduk di Haifa, Nahariya, Safad, dan lain-lain bandar Zionis hidup dalam ketakutan dan bersedia untuk berhijrah, para pejuang Palestin juga bersedia melakukan perkara yang sama. Kejayaan mereka menghalau tentera Zionis dan penduduk penempatan haram Yahudi dari bumi Gaza pada tahun 2005, kini mereka akan mengulanginya lagi. Waktu sekarang adalah waktu untuk mengulangi kegemilangan masing-masing. Hizbullah ingin mengulangi kegemilangan mereka menghalau Zionis dari selatan Lubnan pada Mei 2000, dan pejuang Palestin bersedia untuk mengulangi kegemilangan September 2005.



Pihak Hizbullah menyerang tentera Zionis adalah bertujuan untuk mengalihkan tumpuan tentera Zionis daripada terus membaham rakyat Palestin di Gaza.





Di atas kesedaran inilah briged al-Qassam milik HAMAS telah mengisytiharkan operasi jangka panjang mereka yang bernama "Wafa al-Ahrar" (janji orang yang merdeka). Sejurus Syeikh Hassan Nasrullah mewakili Hizbullah mengisytiharkan peperangan untuk jangka masa yang lama ke atas rejim Zionis, briged al-Qassam pun mengeluarkan kenyataan yang hampir sama. Hasilnya menampakkan natijah yang positif.

Bagi Hizbullah, kejayaan mereka melancarkan roket-roket ke arah bandar-bandar di kawasan utara "Israel" telah menimbulkan kegerunan di dalam jiwa-jiwa para pengganas Zionis. Selama lebih 50 tahun mereka hidup dengan tidak pernah diganggu walaupun setelah merampas dan merompak tanah air orang lain, kini mereka mula merasakan ketakutan. Serangan roket ke arah Haifa, bandar ketga terbesar di "Israel" telah cukup membuatkan rakyat Zionis hidup di dalam ketakutan. Kini, lebih 20,000 rakyat Zionis telah meninggalkan bandar-bandar utara dan berfikir untuk kembali ke negara asal mereka. Tempat perlindungan di bawah tanah di setiap rumah penduduk Zionis kini juga dirasakan tidak selamat lagi.

Di selatan Lubnan pula, tentera Zionis terpaksa menghadapi serangan balas daripada Hizbullah yang mereka pandang rendah. Kematian lebih 25 tentera Zionis kini di Bint Jbeil di kawasan selatan tersebut bagaikan satu amaran kepada Zionis bahawa pihak Hizbullah bukanlah lemah sepertimana yang mereka sangkakan. Sehingga artikel ini ditulis, puluhan tentera Zionis telah cedera, lebih lima kereta kebal mereka telah berjaya dimusnahkan, meriam-meriam mereka banyak yang telah berjaya diletupkan, dan sebuah helikopter Apache telah berjaya ditembak jatuh.

Mutakhir juga, pada 29 Jun 2006, tentera-tentera Zionis telah mula berundur daripada kawasan tersebut. Apa yang menarik lagi, tentera-tentera yang ditempatkan di selatan adalah para komando terbaik rejim Zionis daripada briged "Golani". Hal ini telah disifatkan oleh rakyat Lubnan sebagai petanda awal kemenangan pejuang mereka untuk menentang penjajahan Zionis. Hassan Nasrullah telah berjanji akan memberikan Zionis pelajaran yang mereka tidak akan dapat lupakan. Beliau telah memberikan tempoh dua tahun sebagai tempoh kemampuan para tentera Hizbullah untuk terus berjuang. Tidakkah rejim Zionis belajar daripada kekalahan mereka pada tahun 2000 yang lalu?



Briged Syuhada al-Aqsa milik Fatah telah bergabung dengan al-Qassam dan fraksi-fraksi yang lain untuk menentang Zionis.



Di pihak Palestin pula, walaupun serangan-serangan Zionis dilakukan setiap hari, namun serangan balas para pejuang juga tidak kurang hebatnya. Jika pihak rejim pernah hampir berjaya melaga-lagakan HAMAS dan Fatah lewat kemenangan HAMAS di dalam pilihanraya majlis legaslatif yang lalu, kin semuanya telah berubah. Briged Syuhada al-Aqsa milik Fatah telah bergabung dengan al-Qassam dan fraksi-fraksi yang lain untuk menentang Zionis. Pihak tentera Zionis tidak pernah membezakan puak mana, dan juga orang mana ketika melancarkan roket. Kereta kebal-kereta kebal mereka juga tidak mengenali yang mana Fatah dan yang mana HAMAS. Jentolak-jentolak mereka juga tidak mengenal mana rumah Fatah dan mana rumah HAMAS.

Hanya Mahmoud Abbas sahaja yang tidak tahu malu terhegeh-hegeh menawarkan seribu satu usaha untuk menyerah kalah dan memberikan malu kepada rakyat Palestin. Sehingga kini, beberapa kereta kebal milik tentera Zionis, meriam-meriam dan juga dua buah jentolak milik tentera rejim telah berjaya diletupkan. Hal ini tidak pernah diduga oleh tentera Zionis. Di dalam kenyataan media al-Qassam, jurucakap mereka telah mengatakan, apa yang berlaku hanyalah permulaan, banyak lagi yang akan menyusul dan akan memberikan mimpi buruk kepada golongan Zionis

Wednesday, August 02, 2006

Perang di Lubnan: Impian Zionis Kristian

Stephen Sizer, Elizabeth Barlow, Micheal Prior dan lain-lain pengkritik Zionis Kristian tidak silap di dalam analisis-analisis mereka. Bukan lagi sesuatu yang rahsia mengenai lobi Zionis Kristian ke atas rumah putih dan juga pentadbiran Bush. Polisi-polisi luar AS berkaitan rejim Zionis Israel sering bersikap lunak dan menyokong apa sahaja tindakan rejim tersebut. Maka tidak hairanlah lebih 90 veto telah digunakan oleh AS untuk membatalkan apa sahaja keputusan Majlis Keselamatan PBB berkaitan Zionis, terasuklah yang mutakhir ini berkaitan perang ke atas Palestin.

Siapakah Zionis Kristian?, bukankah Zionis itu sinonim kepada Yahudi di dalam mentaliti majoriti masyarakat dunia?, jika anda semua berpendapat sedemikian, maka anda masih belum lagi memahami "big picture" mengenai isu Palestin.

Zionis Kristian merupakan golongan yang bertanggungjawab menyebabkan kemunculan gerakan Zionis dan juga negara haram Israel. Zionis Kristian merupakan nama kepada sekumpulan Kristian Protestant yang mempunyai misi mereka yang tersendiri. Di AS, golongan Avengalist merupakan tonggak kepada golongan Zionis Kristian ini. Golongan ini mempunyai satu pegangan yang mereka berusaha sedaya upaya untuk menjayakannya. Pegangan ataupun aqidah tersebut ialah mengenai "Kedatangan semula Jesus (Nabi Isa A.S.)" ke muka bumi ini untuk membawa "The Happy Milleneum" (Seribu tahun yang gembira).

Golongan Zionis Kristian percaya, kedatangan semula Jesus memerlukan beberapa syarat. Tanpa syarat-syarat tersebut, Jesus tidak mungkin muncul untuk membawa seribu tahun gembira yang dinanti-nantikan. Syarat yang pertama yang perlu ada ialah "kepulangan kaum Yahudi" ke bumi Palestin. Bagi golongan ini, Jesus hanya akan muncul di Palestin jika kaum Yahudi menetap di sana seperti kemunculannya buat kali pertama dahulu. Kaum Yahudi yang menetap di sana juga perlulah menyediakan suasana Palestin sepertimana sewaktu awal kemunculan Jesus dahulu. Mereka perlulah berkuasa di bumi tersebut, membina "Haychal" (kuil) di tapak di mana hari ini terdapat Masjid al-Aqsa. Setelah itu sesuatu peperangan besar akan berlaku di antara kaum Yahudi tersebut dengan bangsa Arab. Peperangan ini merupakan peperangan besar yang melibatkan banyak nyawa yang terkorban. Peperangan ini dinamakan sebagai peperangan "Armagedon". Selepas peperangan yang besar ini, maka pada saat itulah Jesus akan muncul untuk membawa "The Happy Milleneum".



Tidak syak lagi, peperangan dengan rejim Zionis pasti menjadikan rakyat awam terutama kanak2 dan wanita sebagai sasaran utama.





Penghijrahan Yahudi ke bumi Palestin melalui usaha gerakan Zionis Yahudi dan juga kerajaan Great Britain di awal kurun ke-20 merupakan hasil usaha Zionis Kristian. Sir Arthur Belfour dan juga pegawai-pegawai kerajaan British pada waktu itu kebanyakannya merupakan penganut fahaman Zioniz Kristian. Selepas kekuasaan dunia beralih ke AS, golongan Zionis Kristian juga telah beralih ke sana untuk menjayakan agenda mereka. Hasilnya, tertubuhnya negara haram "Israel". Dengan tertubuhnya "Israel", kegilaan Zionis Kristian semakin menjadi-jadi dan semakin diikuti oleh kebanyakan penganut Avangelist. Kepercayaan mereka bahawa kedatangan Jesus semakin hampir juga turut bertambah kuat. Peperangan 1967 yang menyaksikan kemenangan rejim Zionis juga menjadikan sokongan dan pengaruh golongan ini semakin kuat di AS. Hasilnya, bantuan kepada projek rejim Zionis, samada dari segi dana, politik, media, moral dan juga kemanusiaan juga turut bertambah.

Berdasarkan latar belakang inilah kita tidak akan berasa pelik dengan polisi AS terhadap peperangan yang dilancarkan oleh rejim Zionis ke atas rakyat Palestin dan juga rakyat Lubnan. Berhujahkan alasan "Israeli Right of Self Defence", mereka memberikan justifikasi kepada semua tindakan kejam dan ganas rejim Zionis ke atas rakyat Palestin dan Lubnan. Bagi mereka, kewujudan "Israel" amat penting kepada aqidah golongan yang telah menaja kebanyakan anggota kongres AS untuk berada di atas kerusi empuk mereka.



Bagi Amerika, kewujudan "Israel" amat penting kepada aqidah golongan yang telah menaja kebanyakan anggota kongres AS untuk berada di atas kerusi empuk mereka.





Demonstrasi 17 Julai di New York untuk menyokong tindakan ganas rejim Zionis ke atas Lubnan merupakan satu lagi manifestasi perjuangan golongan Zionis Kristian. Melalui usaha mereka dengan bantuan agensi-agensi dan juga pertubuhan-pertubuhan Yahudi pro-Zionis, mereka telah cuba mewujudkan "public opinion" untuk menyokong tindakan rejim Zionis. Pada minggu lepas sahaja, United Jewish Communities telah berjaya mengutip USD satu juta dari kalangan golongan Yahudi dan juga pro-Zionis untuk diserahkan kepada rejim Zionis sebagai tanda solidariti. American Jewish Joint Distribution Committee, salah sebuah pertubuhan berpengaruh di AS juga turut menyediakan program-program untuk menyelamatkan kanak-kanak Yahudi di "Israel" untuk menghadapi situasi peperangan. Di Texas, golongan Zionis Kristian telah menganjurkan demonstrasi yang serupa untuk menunjukkan sokongan terhadap keganasan rejim Zionis.

Judeo-Christian Alliance (JCA) di Washington juga sedang merancang satu demonstrasi besar-besaran untuk menggesa Bush agar terus menyokong tindakan ganas rejim Zionis. Rev, John C Hagee, salah seorang pemimpin Zionis Kristian, ketika diwawancara oleh islamonline.net mengatakan, peperangan tersebut adalah peperangan suci dan telah dijanjikan oleh Tuhan. Sebarang sokongan terhadap keganasan Zionis menurutnya adalah akhlak yang murni dan juga "kerja kebajikan" yang dipuji oleh Bible. Beliau juga turut menggesa rejim Zionis agar melancarkan peperangan ke atas Iran yang dianggap sebagai musuh mereka yang sebenar. "American Israel Public Affairs Committee" yang merupakan lobi terkuat Zionis di Kongres AS turut berterima kasih kepada Hagee di atas sokongan beliau. Mereka juga telah menyokong veto AS di Majlis Keselamatan membantah usaha sesetengah pihak untuk menggesa rejim Zionis daripada mengenakan tekanan dan kekejaman ke atas rakyat Palestin baru-baru ini. Kini, mereka di dalam usaha memastikan agar Bush dan juga kerajaannya akan berterusan menyokong segala tindakan ganas rejim Zionis.

Apa yang menimbulkan tanda tanya ialah sikap AS. AS bukan hanya sekadar menyokong tindakan ganas rejim Zionis, malah mereka dilihat begitu bernafsu untuk melibatkan Syria dan Iran agar turut dihukum. Bukankah dengan penglibatan kedua-dua buah negara tersebut akan menyebabkan peperangan yang amat besar dan akan melibatkan banyak lagi pihak?, atau itu merupakan salah satu usaha AS untuk mengheret rantau tersebut ke dalam peperangan yang lebih besar?

Mungkin persoalan yang timbul, apakah keuntungannya?, sudah tentu jawapannya...Armagedon yang mereka nanti-nantikan yang akan menyaksikan kemunculan Jesus setelah peperangan tersebut selesai! Adakah golongan Zionis Kristian akan berjaya mewujudkan peperangan yang lebih besar di rantau tersebut?...bersama kita tunggu dan lihat.

Tuesday, August 01, 2006

Belajar Dari Kematian

Pernahkah kita bayangkan diri kita berada di atas ranjang kematian, apakah yang dapat kita lakukan waktu itu ? Suatu pertanyaan yang mesti dijawab oleh semua manusia yang masih hidup. Bagaimanakah keadaan detik-detik terakhir dari nafas kita yang akan berlalu itu? Apakah kita termasuk orang yang suka untuk bertemu Allah, ataukah sebaliknya seperti hamba yang melarikan diri dan takut bertemu tuannya kerana kesalahan yang dilakukannya?

Belajar dari akhir kehidupan para salaf adalah amat penting bagi kita, kerana mereka adalah orang-orang terkemuka dari umat ini, para pemimpin dan ulama kaum muslimin. Sungguh mereka sangat takut kalau kembali kepada Allah dalam keadaan membawa dosa dan kemaksiatan.

Marilah kita ambil beberapa pengajaran berharga dari mereka:

Aisyah r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. tatkala menjelang wafat disediakan untuk beliau satu bekas air, beliau memasukkan tangannya ke dalam air lalu mengusapkan ke wajahnya seraya bersabda, "La ilaha illallah, sesungguhnya di dalam kematian ada sakaratul maut." Kemudian beliau menengadahkan kedua tangannya lalu mengatakan, "Fir Rafiqil A'la" lalu beliau wafat dan tangannya tergeletak lemas.

Ketika Umar al Faruq menjelang ajal, beliau berkata kepada puteranya Abdullah, "Letakkan pipiku di atas tanah", namun Abdullah enggan untuk melakukan demikian. Beliau berkata sehingga tiga kali, "Letakkan pipiku di atas tanah, semoga Allah melihatku dalam keadaan demikian, kemudian Dia merahmatiku. " Diriwayatkan, bahawa beliau terus menangis sehingga pasir-pasir menempel di kedua mata beliau seraya mengatakan, "Celakalah Umar, celaka juga ibunya, jika Allah tidak memaafkannya."

Ketika Abu Hurairah sakit tenat beliau menangis, lalu ditanya, "Apa yang membuat anda menangis?". Beliau menjawab, "Saya menangis bukan kerana dunia ini, tetapi saya menangisi perjalanan selepas ini (dunia), bekalku yang sedikit, lalu saya akan berada di suatu tempat yang menanjak lagi amat luas, sedangkan saya tidak tahu akan dimasukkan ke neraka atau ke syurga."

Usman r.a. berkata di akhir hayatnya, "Tidak ada ilah selain Engkau, Maha Suci Engkau ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang berbuat aniaya. Ya Allah aku mohon pertolongan dalam semua urusanku, dan aku memohon kesabaran dalam menghadapi ujian yang menimpaku."

Wahai manusia! Kini saatnya orang-orang yang tertidur untuk bangun dari tidurnya, sudah sampai masanya orang yang lalai sedar dari lenanya, sebelum datang maut dengan membawa kepayahan dan kepahitan, sebelum tubuh berhenti bergerak dan sebelum nafas terputus. Sementara belum memasuki perjalanan menuju alam kubur dan kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Abu Darda' ketika menjelang wafat berkata, "Apakah seseorang tidak mahu beramal untuk mempersiapkan pentas perjuangan ini? Mengapa orang tidak beramal untuk menghadapi waktu ini? Mengapa orang tidak beramal untuk menyongsong hariku ini? Kemudian beliau menangis, maka isteri beliau bertanya,"Mengapa engkau menangis, bukankah engkau telah menemani Rasulullah s.a.w.? Beliau menjawab, "Bagaimana aku tidak menangis sedangkan aku tidak mengetahui bagaimana dosa-dosa telah menyerangku."

Dan berkata Abu Sulaiman ad-Darani, "Aku berkata kepada Ummu Harun seorang wanita yang rajin beribadah, "Apakah anda senang dengan kematian? Maka dia menjawab, "Tidak! Aku bertanya, "Mengapa? Maka dia mejawab, "Demi Allah, andaikan aku berbuat kesalahan kepada makhluk saja, maka aku takut untuk bertemu dengannya, apatah lagi jika aku berbuat maksiat kepada Khaliq Yang Maha Agung?

Atha' as Sulami ditanya tatkala sakit yang menyebabkan kematiannya , "Bagaimanakah keadaan anda? Beliau menjawab," Kematian berada di leherku, kuburan ada di hadapanku, kiamat adalah akhir perjalananku, jambatan Jahannam adalah jalanku, dan aku tidak tahu apa yang akan terjadi pada diriku". Kemudian beliau menangis dan terus menangis sehingga pengsan. Ketika sedar kembali beliau mengucapkan, "Ya Allah kasihanilah aku, hilangkanlah kesedihan di dalam kuburku, mudahkan kesulitanku ketika menjelang kematian, rahmatilah kedudukanku di hadapan-Mu wahai Zat Yang Paling Pengasih di antara para pengasih."

Sementara itu ketika Sulaiman at Taimi telah dekat dengan kematiannya , dikatakan kepada beliau, "Khabar gembira buat anda, kerana anda adalah orang yang sangat bersungguh-sungguh di dalam ketaatan kepada Allah." Maka beliau menjawab, "Janganlah kalian mengatakan demikian, sesungguhnya aku tidak mengetahui apa yang zahir di hadapan Allah Azza wa Jalla, kerana Dia telah berfirman, "Dan jelaslah bagi mereka azab dari Allah yang belum pernah mereka perkirakan." (QS. 39:47)

Disebutkan bahawa Abu Darda' apabila ada seseorang yang meninggal dalam keadaan yang baik, maka beliau berkata, "Berbahagialah engkau, andaikan aku dapat menggantikan dirimu". Maka Ummu Darda' bertanya kepadanya tentang hal itu, lalu beliau menjawab, "…. bukankah engkau tahu, bahawa ada seseorang yang pagi-pagi dia beriman, namun di petang hari telah menjadi munafik, ia lepaskan keimanannya tanpa dia menyedarinya "

Muhammad al Munkadir menangis tatkala menjelang wafatnya, lalu ia ditanya, "Apa yang membuat anda menangis? Beliau menjawab, "Demi Allah aku menangis bukan kerana dosa yang aku ketahui telah aku lakukan, namun aku takut jika telah melakukan sesuatu yang aku anggap remeh namun di hadapan Allah ternyata itu adalah sesuatu yang amat besar."

Sufyan ats Tsauri berkata, "Tidak ada tempat yang lebih dahsyat bagiku daripada (tempat) terjadinya sakaratul maut, aku sangat takut kalau dia (sakarat) terus menerus menekanku, aku telah meminta keringanan, namun dia tidak menghiraukan, sehingga aku terkena fitnahnya." Kemudian beliau menangis semalaman hingga menjelang pagi, ketika beliau ditanya, "Apakah tangisan tersebut kerana dosa? Maka beliau mengambil segenggam tanah dan berkata, "Dosa lebih ringan dari pada ini (tanah, maksudnya adalah maut- pen), aku menangis kerana takut terhadap su'ul khatimah (akhir hidup yang buruk).

Shofwan bin Sulaim berkata , "Di dalam kematian ada rahah (istirahat) bagi seorang mukmin dari huru hara dan hiruk pikuk dunia, walaupun mesti merasakan putusnya nafas dan kepedihan. Kemudian beliau mengalirkan air mata.

Wahai saudaraku! Marilah kita anggap diri kita masing masing sebagai seorang yang sedang berbaring menunggu ajal. Saudara dan tetangga sedang mengerumuni kita, lalu di antara mereka ada yang berkata, "Si Fulan telah berwasiat, sedangkan hartanya telah dihitung." Ada lagi yang berkata, "Si fulan sudah tidak dapat berbicara, sudah tidak mengenali para tetangganya dan mulutnya tertutup rapat. Mereka melihat kita, kita mendengar apa yang mereka bincangkan, namun tidak kuasa untuk menjawabnya. Lalu kita lihat anak kita yang masih kecil menangis terisak-isak di sisi kita seraya berkata , "Wahai ayah tercinta siapakah yang akan mengasuhku nanti setelah ayah pergi? Siapakah yang akan memenuhi keperluanku nanti? Kita mendengar semua itu, namun demi Allah kita sudah tidak mampu manjawab lagi.

Syafiq bin Ibrahim berkata, "Bersiap-siaplah anda semua di dalam menghadapi kematian, jangan sampai ketika ia datang lalu anda minta dikembalikan lagi ke dunia (kerana belum beramal)."

Al 'Alla' bin Ziyad mengatakan juga, "Hendaknya setiap orang dari kalian merasakan, bahwa dirinya telah meninggal, lalu memohon kepada Allah untuk dikembalikan ke dunia, kemudian Allah memenuhinya, maka hendaklah kalian beramal ketaatan kepada Allah."

Syamith bin 'Ajlan berkata , "Manusia itu ada dua golongan, pertama orang yang terus mencari bekal di dunia, dan ke dua orang yang terus bersenang-senang di dunia. Maka perhatikanlah, dari golongan manakah dirimu?"

Diceritakan bahawa suatu hari al Hasan al Bashri melewati sekelompok pemuda yang sedang tertawa terbahak-bahak, maka beliau bertanya, "Wahai anak saudaraku, apakah kalian pernah menyeberangi ash Shirath (jambatan Jahannam)? Para pemuda itu menjawab, "Belum." Beliau bertanya lagi, "Apakah kalian tahu ke syurga ataukah ke neraka kalian akan dimasukkan?" Mereka menjawab, "Tidak." Kemudian beliau berkata, "Lalu mengapa engkau ketawa sedemikian ?" Semoga Allah memberi maaf kepada kalian semua. Dan ketika beliau menjelang wafat beliau menangis seraya mengatakan, "Jiwa yang lemah, sedang urusan sangat dahsyat dan besar, sesungguhnya kita adalah milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya kita akan kembali."

Wahai saudaraku! Kita semua tidak dapat membayangkan bagaimanakah keadaan malam pertama di alam kubur itu. Anas r.a. pernah berkata, "Mahukah kalian aku beritahu tentang dua hari dan dua malam yang belum pernah diketahui dan didengar oleh manusia (yang masih hidup)? Hari yang pertama adalah hari di mana datang kepadamu pembawa berita dari Allah, baik dengan membawa keredhaan-Nya ataupun murka-Nya (waktu meninggal-pent), dan kedua iaitu hari di mana kalian dihadapkan kepada Allah untuk mengambil buku catatan amal, dengan tangan kiri atau dengan tangan kanan. Sedangkan dua malam, adalah malam pertama kali di dalam kubur dan malam di mana pagi harinya dilenyapkan tatkala terjadinya Hari Kiamat.

Kematian adalah perkara yang mengerikan, urusan yang sangat dahsyat, suguhan yang rasanya paling pahit dan tidak disukai. Dia adalah peristiwa yang menghancurkan seluruh kelazatan dunia, memutuskan ketenangan, serta pembawa duka dan kesedihan. Dia memutuskan segala yang telah tersambung, memisahkan anggota badan dan menghancurkan seluruh tubuh, sungguh dia adalah perkara yang sangat besar dan mengerikan.

Kita bayangkan bagaimana keadaan kita tatkala kita diangkat dari tempat tidur kita, dibawa ke suatu tempat untuk dimandikan, lalu kita dibungkus dengan kain kafan, keluarga dan tetangga bersedih, saudara dan teman menangis. Orang yang memandikan kita berkata, "Dimanakah isteri si fulan, dia akan melepaskan suaminya pergi, dan dimanakah anak-anak yatim si fulan, "Kalian semua akan ditinggalkan oleh ayah, kalian tidak akan bertemu lagi dengannya setelah ini."

Jika para Nabi dan Rasul, shalihin dan muttaqin semuanya mengalami hal itu, maka apakah kita akan terlena dari mengingatnya? Wallahu a'lam bish shawab.

Di saring dari artikel dari www.alsofwah.or.id yang memetiknya dari Buletin Dar Ibnu Khuzaimah, judul " 'Ala Firasyil Maut."