Bersama Dr Juanda Jaya
Ramai terpedaya boleh terlepas azab kerana amalan dibuat sudah banyak
ORANG yang banyak beramal sering dijangkiti penyakit ujub, rasa hebat, aman dan selamat kerana bergantung harap kepada amalannya semata-mata, seolah-olah syurga berada di hadapannya dan neraka jauh di belakangnya.
Padahal, tidak siapapun tahu di mana akhir destinasi seseorang akan berlabuh. Mengapa berasa selesa di dalam zon iman dan amal yang terbatas itu? Sementara syaitan dan tenteranya setiap saat menabuh genderang perang mengalir bersama darah manusia.
Hitungan syaitan bukan jam atau minit, tetapi setiap satu saat dipertaruhkan untuk mengajak manusia kepada kekufuran. Satu saat itu akan menentukan apakah nilainya pahala atau dosa?
Tentu ramai manusia yang tercampak ke jurang neraka disebabkan kurang satu saat hitungan pahalanya. Ramai juga yang terselamat kerana satu saat yang dilakukan adalah untuk amal salih. Bukankah Allah SWT itu amat halus hisab-Nya?
Rasulullah SAW bersabda, bermaksud: “Sekiranya orang kafir mengetahui mengenai rahmat Allah, nescaya dia tidak pernah berputus asa untuk memperoleh syurga. Dan sekiranya orang mukmin mengetahui segala yang menjadi milik Allah berupa siksa-Nya, nescaya dia tidak akan berasa aman dari neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Begitulah dua penyakit yang berbahaya iaitu berputus asa daripada rahmat Allah SWT dan tertipu dengan perasaan aman serta selesa daripada azab-Nya. Jalan selamat di antara keduanya adalah yakin dengan rahmat Allah dan tetap waspada dengan ancaman-Nya.
Ketaatan tidak dapat dilakukan tanpa kita mengetahui yang manakah jalan maksiat atau sebaliknya. Ia penting untuk memastikan kita tidak menganggap baik perkara yang buruk dan sebaliknya.
Bahkan ada yang mencampurkan perbuatan yang hak dengan yang batil seperti ditegaskan di dalam al-Quran.
Allah SWT berfirman, bermaksud: “Dan berimanlah kamu kepada apa yang telah Aku turunkan (al-Quran) yang membenarkan apa yang ada padamu (Taurat) dan janganlah kamu menjadi orang yang pertama kafir kepadanya dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang murah dan hanya kepada-Ku kamu bertakwa. Janganlah kamu campurkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedang kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 41-42)
Ayat itu menjelaskan syarat ketaatan dan kebaktian kepada Allah SWT dengan mengikuti al-Haq (nilai kebenaran) yang tersusun dalam al-Quran sekali gus mengetahui jalan yang batil dan sekali-kali tidak mencampurkan keduanya demi memuaskan hawa nafsu.
Ramai hamba Allah SWT melakukan ketaatan, tetapi apakah kita sudah memastikan ketaatan itu sekali gus adalah penolakan terhadap kebatilan? Berapa ramai yang masih rela tunduk kepada unsur maksiat walaupun dia kuat beribadat?
Rasulullah SAW pernah menyatakan mengenai sifat manusia yang ‘hidup di dalam dua alam’ antara taat dan maksiat, menerusi sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sungguh aku akan menemui orang dari kalangan umatku, mereka datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan pahala seberat gunung Tihamah berwarna putih.
“Kemudian Allah menjadikannya debu berterbangan (sia-sia). Mereka adalah saudara-saudaramu, dan keluargamu sendiri. Mereka beribadah pada malam hari seperti kamu beribadah, tetapi apabila bersendirian mereka suka mengerjakan perbuatan yang diharamkan oleh Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).
Taat dan maksiat tidak mungkin dikembarkan. Kedua-duanya saling bertentangan dan tak akan pernah bersatu. Kadang kala manusia berfikir tidak mengapa melakukan maksiat asalkan buat amal yang banyak.
Dirinya terlalu harapkan rahmat Allah, tetapi lupakan seksa-Nya. Apakah mungkin pahala yang dikumpulnya itu cukup untuk menebus dosanya? Al-Quran menyindir perbuatan orang yang berasa yakin dengan rahmat Allah SWT walaupun berbuat jahat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka datanglah sesudah mereka generasi yang jahat yang mewarisi al-Kitab, yang mengambil harta benda dunia yang murah ini seraya berkata: “Kami akan diberi ampunan.” (Surah Al-A'raf, ayat 169)
Sesungguhnya mereka tertipu oleh hasutan syaitan dengan fahaman sesat iaitu berasa aman ketika melakukan dosa kerana sudah beramal salih. Hamba yang tunduk dengan sebenarnya kepada Allah SWT tidak akan rela unsur maksiat menyerang hatinya.
Dia akan berusaha menolak setiap sengatan berbisa itu demi memastikan hatinya hidup dengan iman dan amal yang disemai. Untuk apa bersungguh-sungguh menjaga iman dan amal, tetapi merosakkannya dengan satu sengatan bisa kejahatan yang dilakukan dengan sengaja.
Sesungguhnya sengatan beberapa ekor kala ke atas tubuh yang luka adalah lebih ringan daripada sengatan syahwat ke atas hati yang mentaati Allah.
Begitulah perasaan orang yang beriman ketika melakukan dosa, ia akan berasa sakit, sedih dan malu di hadapan Allah walaupun tiada orang yang melihatnya.