Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Manusia yang tenggelam dalam kemewahan dunia, dikuasai oleh hawa nafsu dan hidup dibelenggu dengan perbuatan maksiat amat sikit bahkan mungkin juga sama sekali tidak mengingati bahawa malaikat maut pasti akan datang membawa perintah Allah S.W.T untuk meragut nyawanya.
Sekiranya golongan ini mengingati kematian, pasti mereka bukan ketakutan atau bersedih hati kerana mengingatkan apa yang bakal dihadapinya di alam akhirat kelak, tetapi ia gusar mengenangkan harta-bendanya serta segala kemewahan dunia yang bakal ditinggalkannya.
Firman Allah S.W.T.:
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. – Aali ‘Imraan (3) : 185
Ketahuilah bahawa kematian pasti akan tiba terhadap seluruh umat manusia tanpa mengenal erti bangsa, kedudukan dalam masyarakat, kekayaan harta benda mahupun golongan yang dilihat gagah perkasa. Tiada sesiapa pun yang boleh melarikan diri dari menghadapi maut. Apabila telah ditetapkan waktu kematian bagi seseorang maka ianya tidak akan tertunda atau dipercepatkan walaupun sesaat.
Firman Allah S.W.T.:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya) ". - Al-Jumu’ah (62) : 8
"Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)". – Nuh (71) : 4
Dengan mengingati kematian maka kita akan lebih berwaspada dalam menghadapi liku-liku kehidupan. Kita akan sentiasa berusaha untuk menurut perintah Allah S.W.T dan Rasul-Nya dan meninggalkan segala larangannya kerana kita tidak tahu bila ajal akan menjemput kita. Dengan mengingati kedatangan kematian ianya boleh menyebabkan kita teruja untuk membuat persiapan yang rapi untuk menghadapinya nanti. Oleh itu Islam amat menganjurkan agar kita sentiasa mengingati tentang kematian.
Di antara cara-cara yang terbaik untuk mengingati kematian adalah seperti berikut:
a) Kita menegenangkan ahli keluarga kita, sahabat handai kita mahupun sesiapa sahaja yang boleh mempengaruhi hidup kita yang telah terlebih dahulu meninggal dunia. Kita kenangkan mereka semasa hidup dahulu mungkin memiliki harta kekayaan yang banyak, jawatan yang besar serta disanjung masyarakat tetapi kini dibiarkan keseorangan di dalam kubur. Hartanya, kedudukannya serta sanjungan orang ramai tersebut kini telah terpisah darinya. Rentetan dari itu hendaklah kita serapkan dijiwa kita bahawa kematian juga pasti akan menjemput kita dan kita juga bakal akan keseorangan di alam kubur.
b) Hendaklah kita menziarahi kubur kerana ianya dapat membantu kita untuk mengingati bahawa kita juga akan menghadapi nasib yang serupa dengan ahli kubur tersebut.
…maka berziarah kuburlah kamu, kerana hal itu mengingatkan kita kepada kematian. - Hadis riwayat Imam Muslim, hadis no: 976.
Malah doa yang disunnahkan ketika menziarahi kubur juga mengingatkan yang sedang berdoa bahawa dia juga bakal menyertai ahli kubur tersebut di masa hadapan. Di antara doa-doa tersebut adalah:
Salam sejahtera hai penghuni kubur mukminin dan muslimin dan insya Allah kami akan menyusulmu. Aku mohon keselamatan kepada Allah bagi kami dan kalian. - Hadis riwayat Imam Muslim, no: 975.
Salam sejahtera hai penghuni kubur mukminin dan muslimin, semoga Allah memberi rahmat kepada orang-orang terdahulu dan orang-orang terkemudian dari kami dan insya Allah kami akan menyusul. – Hadis riwayat Imam Muslim, no: 974.
c) Islam juga menganjurkan kita untuk menziarahi orang sakit serta menghadiri majlis pengkebumian seorang Muslim yang lain kerana sedikt-sebanyak perkara-perkara tersebut dapat mengingatkan kita tentang kematian. Al-Barra’ bin ‘Aazib r.a berkata:
Rasulullah s.a.w. menyuruh menjenguk orang sakit, menghantarkan jenazah, menyambut doa pada orang bersin, menepati sumpah, menolong orang yang teraniaya, mendatangi undangan dan menyebarkan salam. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 2445.
Menyedari bahawa mengingati kematian ini dapat membawa nilai-nilai yang positif terhadap setiap insan maka terdapat banyak dalil yang menganjurkan manusia agar selalu ingat bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Perbanyakkanlah mengingat pemutus kenikmatan iaitu kematian – Hadis riwayat Imam Ibnu Majah, no: 4248
Namun begitu mengingati kematian bukan bermaksud kita mendoakan agar dipercepatkan kematian terutamanya ketika kita ditimpa musibah kerana perbuatan tersebut adalah dilarang oleh syarak. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Janganlah seseorang itu menginginkan mati kerana bala yang menimpanya, tetapi jika dia terpaksa menginginkan kematian maka hendaklah membaca (doa):
Ya Allah, lanjutkanlah hidup saya sekiranya hidup itu lebih baik bagiku dan segeralah matikan saya sekiranya mati itu lebih baik bagiku. – Hadis riwayat Imamal-Bukhari, no: 5671.
Mengingati kematian sekadar meyakini bahawa lambat laun ajal kita pasti akan ditamatkan dan kita perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi maut. Rasulullah s.a.w. juga telah mengkategorikan insan yang sentiasa mengingatkan kematian sebagai manusia yang paling bijaksana.
Dari Ibnu ‘Umar dia berkata: Aku bersama Rasulullah s.a.w., lalu seorang lelaki Ansar datang kepada baginda kemudian mengucapkan salam kepada Nabi s.a.w. lalu dia bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah di antara kaum mukminin yang paling utama?
Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya di antara mereka.
Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?
Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian di antara mereka, dan yang paling bagus persiapannya setelah kematian. Mereka itu orang-orang yang cerdik. – Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah, no: 4249.