Tuesday, February 27, 2007

Bergurau jangan sampai menghina agama

Oleh Mohd Shukri Hanapi


DALAM pergaulan sehari-hari, kita tidak boleh terlepas daripada bergurau. Malah bergurau itu hampir disenangi oleh setiap orang. Bergurau diibaratkan bunga dalam pergaulan dan pengubat ketika duka.

Ada orang beranggapan dengan suka bergurau wajah seseorang itu kelihatan ceria, muda dan tenang. Berbeza pula dengan orang serius dan pendiam, mereka kelihatan murung dan agak tua walaupun umur masih muda.

Tanggapan itu hanya sepintas gambaran mengenai perbezaan antara orang suka bergurau dengan orang tidak suka bergurau.

Gambaran seperti itu tidak dapat dijadikan suatu panduan kekal. Ramai juga yang tidak suka bergurau, namun masih juga kelihatan muda, ceria dan tenang.

Dalam Islam, bergurau tidak dilarang asalkan ia gurauan yang haq (benar).

Sebaliknya jika gurau itu sengaja dimaksudkan untuk membuat orang lain tertawa atau supaya ditertawakan, maka sudah tentu ia dilarang.

Rasulullah bersabda bermaksud, "Sesiapa berbicara dengan sesuatu perkataan sehingga perkataan itu menjadikan sahabatnya tertawa, nescaya Allah akan menyeksa kelak di neraka." (Tanqih al-Qaul, halaman 54).

Sebenarnya Rasulullah pernah bergurau dengan keluarga atau sahabatnya. Mengikut hadis yang bersumberkan daripada Hassan, ada seorang nenek datang menghadap Rasulullah. Di hadapan Rasulullah nenek itu berkata, "Wahai Rasulullah, doakanlah agar saya dapat masuk syurga.". Kemudian baginda berkata, "Wahai nenek, ketahuilah bahawa di syurga tidak ada orang tua seperti kamu."

Sebaik saja mendengar jawapan Rasulullah, nenek itu terus menangis. Tetapi kemudian sambil tersenyum baginda bersabda lagi yang bermaksud, "Bukankah aku katakan bahawa tidak ada orang tua masuk syurga. Semuanya berubah menjadi gadis perawan."

Selepas mendengar penjelasan Rasulullah, nenek itu terus berhenti menangis. Kemudian dia tertawa kerana mengerti bahawa dirinya kelak akan kembali menjadi gadis di syurga.

Berdasarkan peristiwa itu, Rasulullah dalam pergaulan sehari-hari tidak terlepas daripada bergurau.

Mungkin kerana sifat baginda yang suka bergurau, menyebabkan Baginda mudah didekati oleh pengikutnya.

Malah mereka juga tidak berasa bosan walaupun berada dalam suasana menderita akibat tekanan dan gangguan daripada orang kafir Quraisy. Mereka menghadapi semua penderitaan itu dengan penuh ketenangan dan kegembiraan.

Itulah keperibadian Rasulullah suka bergurau dalam pergaulannya. Dengan demikian, suasana kehidupan menjadi lebih ceria dan semakin kukuh ikatan perpaduan.

Sebenarnya bukan Rasulullah saja yang suka bergurau, malah sahabat dan khalifah Islam selepas Rasulullah juga suka bergurau.

Khalifah Harun al-Rasyid (salah seorang Raja amat terkenal pada masa kerajaan Abbasiah) juga bersifat sedemikian. Pada masa pemerintahannya, dia tidak pula mengabaikan sifat bergurau dalam pergaulan sehari-hari.

Oleh itu, sekalipun Khalifah Harun al-Rasyid sudah berkali-kali disakitkan hatinya oleh Abu Nawas, salah seorang rakyatnya yang sangat terkenal kerana gurau tetapi ia menyukainya. Bahkan ia selalu berasa rindu apabila lama tidak bertemu dengan Abu Nawas. Kadangkala Abu Nawas sengaja dijemput ke istana semata-mata untuk menghiburnya.

Meskipun Islam tidak menghalang daripada bergurau, namun kita tidak boleh sembarangan bergurau. Ini kerana terlalu banyak bergurau boleh mendatangkan kesan yang tidak baik. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, "Sesiapa banyak ketawa, nescaya orang bakal meremehkannya." (Tanqih al-Qaul hal. 54).

Menurut al-Ahnaf pula, "Banyak ketawa boleh menghilangkan kewibawaan, sedang banyak bergurau boleh menghilangkan harga diri".

Oleh itu, jelaslah bahawa bergurau adalah diharuskan dalam pergaulan. Tetapi janganlah pula bergurau sehingga melampaui batas dan melanggari tatacara dalam pergaulan. Dalam erti kata lain, bergurau dengan sopan sehingga jangan sampai menyinggung perasaan seseorang dan menghinakan agama.

Selang-selikan kehidupan dengan bergurau yang sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW. Bergurau dibenarkan dalam Islam tetapi perlu ada batasannya. Jangan sampai bergurau melukakan perasaan orang lain.

Mudah-mudahan kehidupan kita ini selalu ceria, tenang, penuh semangat untuk beribadah dan bekerja tanpa ada rasa kebosanan.