Thursday, June 01, 2006

Kewujudan Hadith-Hadith Dhaif Dan Israiliyyat Dalam Buku-Buku Tafsir

Diantara perkara yang perlu diberikan perhatian ketika membaca buku-buku tafsir ialah kesedaran tentang wujudnya hadis-hadis yang tidak sahih yang wujud di dalamnya. Para ulama, pendakwah atau sesiapa sahaja yang membaca buku-buku tafsir tersebut, perlu tahu bahawa buku-buku tafsir dipenuhi dengan hadis-hadis yang sahih dan juga hadis-hadis yang tidak sahih. Para ulama sejak dahulu lagi telah memberikan nasihat tentang perkata ini agar pembaca buku tafsir tidak tersalah dalam mengambil dan menggunakan hadis-hadis yang tidak sahih.


Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Kaifa Nata’amalu Ma’a al-Quran al-‘Azim (m/s 334-344, cetakan Dar al-Syuruq, Kaherah) telah menghuraikan tentang perkara ini. Beliau memberikan beberapa contoh hadis yang tidah sahih di dalam buku-buku tafsir seperti :

a) Tafsir perkataan ‘wail’ yang bermaksud kecelakaan atau kerugian. Tetapi terdapat hadis yang dha’if menceritakan yang ‘wail’ adalah satu lembah di antara dua bukit di dalam neraka. Hadis tersebut adalah hadis yang dha’if tetapi ia masih digunakan di dalam buku-buku tafsir.

b) Ketika mentafsirkan ayat 17 surah al-Muddathir terdapat perkataan “sa’uda”. Beberapa ulama tafsir menyebut sebuah hadis yang tidak sahih bahawa maksud “sa’uda” ialah satu bukit di dalam neraka.

c) Tafsir perkataan “tuuba” yang bermaksud kehidupan yang baik telah diubah maksudnya kepada sebuah pokok di dalam syurga berpunca daripada sebuah hadis palsu.

Begitu juga di dalam buku-buku tafsir terdapat riwayat-riwayat daripada para sahabat, tabi’in dan sebagainya yang tidak sahih setelah dinilai oleh para pengkaji sanad. Kewujudan kata-kata mereka di dalam buku-buku tafsir tidak menandakan bahawa ia adalah benar-benar diucapkan oleh mereka. Oleh itu terdapat riwayat-riwayat yang memberikan pentafsiran yang pelik lalu disandarkan kepada nama-nama yang terkenal seperti Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, Mujahid dan sebagainya.

Satu lagi sumber tafsir tafsir yang perlu dihindari ialah Israilliyat yang merupakan riwayat-riwayat yang diambil daripada ahli kitab dalam menghuraikan dan memperincikan maksud ayat al-Quran. Dr. Yusuf al-Qaradawi menyifatkan israilliyat ini sebagai satu bentuk pencemaran dan jarum yang beracun yang dibawa masuk ke dalam buku-buku tafsir (Kaifa Nata’amalu Ma’a Al-Quran al Azhim, m/s 345-349). Sedikit demi sedikit israilliyat ini memenuhi buku-buku tafsir, lalu memberikan gambaran yang tidak tepat terhadap maksud sesuatu ayat. Beliau menukilkan kata-kata seorang pengkaji hadis terkemuka iaitu Ahmad Syakir yang menentang keras penggunaan Israilliyat dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran kerana perbuatan itu seolah-olah meletakkan Israilliyat setaraf dengan ayat-ayat al-Quran.

Beliau juga menyebut kata-kata Ibnu Abbas yang diriwayat oleh al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari di mana Ibnu Abbas menegur umat Islam di zamannya keran mereka sering bertanya kepada ahli kitab tentang tafsir al-Quran sedangkan ahli kitab terkenal dengan sikap mereka yang berani mengubah kitab Taurat dan Injil. Ibnu Abbas menekankan bahawa al-Quran telah cukup tanpa perlu ditambah oleh cerita-cerita ahli kitab.