Friday, June 30, 2006

Hadis Melayu

AL-SUNAH dari segi bahasa bermaksud perjalanan, amalan, metod atau cara hidup. Ia juga bermaksud membuka atau merintis jalan sama ada yang baik atau yang buruk. Al-Sunah dari segi istilah ahli-ahli hadis ialah apa-apa yang terbit daripada Nabi Muhamad s.a.w. daripada perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat, kejadian, akhlak dan sejarah sama ada sebelum diutuskan menjadi Rasul atau selepas diutuskan menjadi Rasul.

Malangnya masyarakat Melayu sering disogokkan dengan perkataan atau ungkapan yang didakwa sebagai hadis sedangkan ia tidak mempunyai hujah yang kukuh. Ini dilabel sebagai ‘hadis Melayu’. Yang membimbangkan, ‘hadis Melayu’ ini seolah-olah diterima pakai dan menjadi pegangan agama oleh sebahagian besar masyarakat Islam di Malaysia.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto IZHAM JAAFAR menginterviu pensyarah Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Roslan Mohamed untuk mengupas persoalan ini.

Apakah maksud ‘hadis Melayu’?


ROSLAN: ‘Hadis Melayu’ adalah perkataan yang bukan bersandar atau disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.. Ia adalah ungkapan mengenai sesuatu perkara yang kebanyakannya diambil daripada kitab-kitab Jawi lama ataupun banyak merujuk kepada buku terjemahan dalam bahasa Melayu tanpa merujuk kepada naskhah asal bahasa Arabnya.

Dalam konteks masyarakat Malaysia, ia memang mempunyai pengikut dan semakin sebati tetapi orang tidak menyedari kesan buruknya. Walhal ia ibarat barah yang jika dibiarkan akan membahayakan umat Islam.

Bolehkah ustaz jelaskan contoh-contoh ‘hadis Melayu’ yang sering dianggap sebagai hadis Rasulullah s.a.w.?

Ada beberapa contoh ‘hadis Melayu’ seperti melarang anak-anak kecil yang belum baligh berada dalam saf yang sama dengan orang dewasa semasa bersolat. Alasannya kerana kanak-kanak itu masih najis kerana masih belum berkhatan. Ini bermakna takrifan najis itu amat berat sedangkan dalam Islam, kanak-kanak walaupun belum berkhatan adalah bersih jika pakaiannya bersih kecualilah jika kanak-kanak itu kencing atau buang air besar. Dari segi bahasa, najis ialah sesuatu yang kotor dan mengikut syarak, najis ialah kekotoran yang menegah daripada sahnya ibadat.

Saya ingin menarik perhatian kepada satu peristiwa di mana Rasulullah mendukung cucunya iaitu Hassan semasa mengimamkan solat. Apabila sujud baginda meletakkan cucunya di tepi dan apabila bangun semula, baginda mendukung semula cucunya. Logiknya, jika kanak-kanak najis dan tidak boleh berada dalam saf dewasa, tentu perbuatan Rasulullah itu tidak boleh dilakukan.

Begitu juga dengan ungkapan ‘tuntutlah ilmu sampai ke negeri China’, ‘cintakan negara adalah sebahagian daripada iman’, ‘kemiskinan itu menghampiri kekufuran’ dan kata-kata sahabat bukan sabda Nabi iaitu ‘bekerjalah kamu seolah-olah seolah-olah kamu hidup seribu tahun lagi dan beribadatlah kamu seolah-olah kamu mati esok hari’.

Semua ungkapan ini tidak ada sandaran sebagai hadis. Persoalannya kenapa kita tidak menggunakan hadis-hadis sahih yang diketahui sanadnya kerana banyak lagi hadis yang turut membicarakan soal-soal yang disebut itu. Perbuatan begini boleh membawa kepada permulaan bidaah atau bidaah saiyiah yang boleh membuat seseorang itu terkeluar akidahnya.

Mengapakah penyebaran ‘hadis Melayu’ ini berlaku sedangkan kita tahu kesan daripada beriman kepada hadis palsu adalah berdosa besar?

Perkara ini berlaku kerana beberapa sebab. Sebab paling utama ialah kurang kefahaman tentang ilmu Islam yang membawa kepada tidak berapa kukuh punca nas dan tidak menapis punca ilmu. Ia juga akibat kesilapan penceramah, ustaz dan ustazah yang kurang cermat apabila membuat rujukan ilmu. Ada juga yang hanya menerima bulat-bulat sesuatu ungkapan yang diwariskan kepada mereka.

Penyebaran ‘hadis Melayu’ ini juga berlaku kerana taklid semberono tanpa dipastikan kesahihan nas hadis tersebut. Masyarakat pula menerimanya kerana orang yang menyampaikan perkara itu adalah ustaz, ustazah dan orang alim. Ia juga berlaku disebabkan kekurangan ilmu dalam bidang hadis kerana hadis juga mempunyai pelbagai martabat ada yang hasan, mutawatir, mauduk dan juga daif.

Satu lagi sebab ialah ketiadaan pengawalan dan tapisan dari segi penerbitan buku-buku agama dalam bahasa Melayu. Ini menyebabkan banyak buku hanya merujuk kepada tulisan kitab-kitab rumi semata-mata sehingga tidak membuat semakan kepada kitab yang asal dalam bahasa Arab.

Rasulullah pernah memberi amaran dengan sabdanya, Barang siapa yang berkata sesuatu yang aku tidak kata, bersedialah tempatnya di neraka. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ini adalah natijah kepada mereka yang mengada-ada atau mereka sesuatu dan mendakwanya sebagai hadis Rasulullah. Lebih buruk lagi, ada sebilangan masyarakat yang memperjuangkan falsafah biar mati anak jangan mati adat walaupun adat itu ada yang melanggar syariat.

Apakah kesan hadis Melayu terutama yang melarang kanak-kanak berada dalam saf dengan orang dewasa dalam konteks mendidik anak-anak bersolat?

Kepentingan solat telah ditegaskan oleh Rasulullah dalam sabdanya, “Suruhlah anak-anak lelaki (dan perempuan) sembahyang apabila mereka berumur tujuh tahun dan apabila berumur 10 tahun pukullah mereka jika tidak bersembahyang.” (Riwayat Abu Daud)

Namun, ‘hadis Melayu’ ini membantutkan usaha mendidik anak-anak dalam bersolat. Membiarkan anak-anak dalam saf dengan rakan sebayanya tidak akan membetulkan solatnya. Kerap kali kita melihat kanak-kanak yang berada dalam kumpulannya bukan bersolat sebaliknya lebih kepada bermain-main, menyiku rakan dan sebagainya. Sebaliknya, jika mereka diletakkan di sebelah bapa mereka akan dapat belajar cara sembahyang yang betul dari segi perbuatan rukuk, sujud dan sebagainya. Solat bersama bapa atau dalam saf dewasa lebih mudah mendisiplinkan anak-anak supaya mereka mencontohi kaifiat solat yang betul. Malah di negara-negara Arab, kanak-kanak ini dapat dilihat bersolat dalam saf dewasa.

Mula-mula mungkin kanak-kanak ini bermain tetapi lama-kelamaan apabila sudah terdidik mereka akan bersolat dengan betul. Apabila hal ini sudah tertanam dalam diri, sudah pasti mereka akan menjadi generasi yang mengimarahkan rumah-rumah Allah apabila dewasa kelak.

Barangkali ‘hadis Melayu’ itu timbul akibat sikap ibu bapa yang tidak mengawal anak-anak semasa membawa mereka ke masjid dan surau?

Ada kemungkinan juga tetapi pokoknya jangan berpegang atau beriman dengannya kerana ia bukan hadis. Ibu bapa yang hendak membawa anak ke masjid dan surau pun kenalah bijak. Kalau anak masih kecil pakaikan lampin pakai buang supaya tidak menjejaskan kesucian rumah Allah. Kalau anak masih terlalu kecil dan nakal serta tidak dapat dikawal janganlah bawa kerana ia boleh memudaratkan jemaah yang lain. Tetapi yang jelas, Islam tidak pernah melarang meletak anak dalam saf dewasa.

Bagaimanakah kita hendak membetulkan persepsi masyarakat tentang ‘hadis Melayu’ ini?

Pertamanya ia memerlukan kerjasama semua pihak terutama pihak berwajib dalam membezakan antara adat dengan ibadat. Penjelasan ini perlu disusun rapi untuk memudahkan masyarakat Islam. Semua pihak kena berlapang dada dan hikmah kerana perselisihan memang dibenarkan dalam agama tetapi ia hanya terhad kepada hal-hal yang furuk (cabang) bukan perkara qat’ie atau pokok. Ini dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud, Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunah) Rasulnya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. (An-Nisaa’: 59)

Pendakwah juga mesti amanah kepada ilmu. Sesuatu yang diterima itu perlu ada kajian dan jangan diterima secara semberono. Ini menunjukkan kepentingan berfikir. Imam Ghazali pernah berkata, sesaat orang alim berfikir adalah lebih baik daripada bercakap beberapa patah perkataan. Dengan kata lain, kita perlu kembali kepada rujukan asal yang muktabar iaitu al-Quran dan hadis.

Khalayak atau para hadirin juga mesti berperanan sebagai check and balance dengan bertanyakan soalan semasa mencari ilmu. Dalam kitab Tanbihulghafilin karangan Abu Lais Samarqandi ada disebutkan adab menuntut ilmu iaitu orang belajar mesti mendapat sesuatu yang betul daripada orang yang mengajar kerana adab belajar jangan menerima sahaja.

Kita juga perlu menerima hakikat yang kebenaran itu hanya satu dan tidak berbilang-bilang sebagaimana yang dinyatakan oleh Saidina Ali r.a.. Kalau ulama bertelingkah, masyarakat akan menjadi mangsa.

--------

sumber : utusan.com.my