Thursday, May 11, 2006

Mimpi Berjumpa Nabi s.a.w

Melihat Nabi didalam tidor merupakan perkara yang sahih kerana ia thabit dari hadith Nabi :saw :-
من رآني في المنام فقد رآني فإن الشيطان لا يتمثل في صورتي
"Barangsiapa yang melihatku didalam tidor, maka memang benarlah dia telah melihatku, kerana sesungguhnya syaitan tidak boleh menyerupai rupaku" [Hadith Muttafaq a'laih]



مَن رآني في المنام فسيراني في اليقظة ، ولا يتمثل الشيطان بي
"Barangsiapa melihatKu didalam tidor, maka dia akan melihatKu semasa dia berjaga (bangun), dan syaitan tidak boleh merupaiKu" [Hadith riwayat al-Bukhari #6592, Muslim #2266]


Ulama' mengatakan bahawa barangsiapa melihat Nabi :saw didalam tidornya dan sifat-sifat Nabi yang dilihatnya sejajar dengan hadith-hadith yang menjelaskan sifatnya, maka dia benar-benar telah melihat Nabi :saw. Sebagaimana yang dinyatakan diatas, sesungguhnya syaitan tidak boleh merupai wajah Nabi :saw.

al-Hafiz Ibn Hajar telah menyebut :-

وقد رويناه موصولاً من طريق إسماعيل بن إسحاق القاضي عن سليمان بن حرب - وهو من شيوخ البخاري - عن حماد بن زيد عن أيوب قال : كان محمَّد - يعني : ابن سيرين - إذا قصَّ عليه رجلٌ أنَّه رأى النَّبيَّ صلى الله عليه وسلم قال : صِف لي الذي رأيتَه ، فإن وَصف له صفةً لا يعرفها قال : لم تره ، وسنده صحيح ، ووجدتُ له ما يؤيِّده فأخرج الحاكم من طريق عاصم بن كليب حدثني أبي قال : قلتُ لابن عباس رأيتُ النَّبي صلى الله عليه وسلم في المنام ، قال : صِفه لي ، قال ذكرتُ الحسن بن علي فشبَّهتُه به ، قال : قد رأيتَه ، وسنده جيد .

"Kami telah meriwayatkan isnad yang sempurna dari Ismail ibn Ishaq al-Qaadi dari Sulaiman bin Harb, dia merupakan salah seorang dari Syeikh al-Bukhari, dari Hammaad ibn Zayd dari Ayub yang berkata : Sifatkan kepadaku siapa yang kamu telah lihat?, jika dia mensifatkannya dengan sifat yang dia tidak kenali, dia akan menyebut : Kamu tidak melihatnya. Sanadnya sahih, dan aku telah menjumpai riwayat lain yang menjelaskan, dikeluarkan oleh al-Hakim riwayat 'Aasim ibn Kulayb, bapaku memberitahuku : Aku berkata kepada Ibn Abbas : Aku telah melihat Nabi :saw didalam mimpi, Dia berkata : Sifatkan kepada ku, Aku menyebut al-Hasan ibn Ali dan mengatakan bahawa dia menyerupainya. Dia berkata : Kamu telah melihatnya. Sanad yang baik" [Fath al-Baari (tahqiqan Ibn Baaz, cet Dar al-Hadith) , Kitab al-Ta'biir, 12/464].


Jelas disini bahawa barangsiapa yang tidak pengenali Nabi :saw, tidak mungkin dapat mengesahkan bahawa dia telah melihat Nabi :saw didalam mimpinya. Kerana wajah sebenar Nabi :saw tidak boleh ditiru oleh syaitan. Akan tetapi, syaitan masih boleh mengakui bahawa wajah inilah Nabi :saw, kerana orang yang bermimpi tersebut tidak pernah mengenali sifat-sifat wajah Nabi :saw melalui hadith-hadith sahih atau pun sebagaimana sahabat-sahabat mengenali wajahnya semasa baginda hidup. Syiekh Abdul Aziz bin Baaz menyatakan bahawa barang siapa yang melihat Nabi :saw didalam tidor sebagaimana sifatnya yang dijelaskan oleh ulama', maka memang pasti dia telah melihat Nabi :saw. [majmu' Fataawa bin Baaz, 1/441].


Menurut Syiekh Ibn Baaz, tidak semua orang mendapat mimpi yang sahih, dan tidak boleh seseorang itu mengambil apa-apa ilmu yang bertentangan dari syariat, malahan hendaklah dia menolak apa-apa yang didengari didalam mimpinya mengenai dakwaan bahawa ia adalah Nabi :saw, seperti perintahnya, larangannya, beritanya, atau lain-lain. Kerana Allah swt telah melengkapkan syariat Islam sebelum baginda di wafatkan. Ini adalah perkara yang disepakati oleh ulama'.[majmu' Fataawa bin Baaz, 1/442]


Begitu juga jika seseorang itu bermimpi berjumpa dengan Nabi dengan gambaran baginda tidak berjanggut, atau warna kulitnya hitam dsb, ini semua bertentangan dengan apa yang diriwayatkan didalam hadith-hadith Nabi mengenai sifat-sifat baginda :saw, dan sudah pasti mimpi tersebut palsu.


Syiekh Ibn Baaz memperingatkan bahawa ramai sekali mereka-mereka yang pernah melihat baginda semasa hayat, akan tetapi tidak tunduk kepada syariat yang dibawanya, mereka tidak memunafaatkan dengan melihat kepadanya, sebagaimana Abu Lahab, Abdullah bin Salul ketua munafiq dan lain-lain mereka.
Fatwa al-Lajnah al-Daa'imah didalam komentar terhadap perkataan yaqazah (melihat Nabi semasa jaga) menyatakan bahawa ia bermaksud : membenarkan mimpi tersebut, sebagaimana sifat baginda semasa hayatnya, dan sebagaimana sahabat melihat baginda didalam jaga semasa baginda masih hidup. [al-Lajnah al-Daa'imah, 1/ 485].


Beberapa pengajaran yang boleh kita ambil dari huraian hadith diatas :-

a. Mimpi melihat Nabi :saw adalah benar, apabila apa yang dilihat sejajar dengan hadith-hadith yang mensifatkan baginda.


b. Hadith melihat Nabi :saw hanya menyebut 'melihat Nabi :saw' dan bukan menyatakan mendapat peraturan-peraturan baru dari Nabi :saw.

c. Syaitan tidak boleh menyerupai Nabi :saw, akan tetapi syaitan boleh mengakui didalam mimpi bahawa inilah rupa Nabi :saw. Bagi mereka yang tidak mengenali Nabi :saw semasa baginda masih hidup ataupun mengenali melalui hadith-hadith sahih, bagaimana mungkin dapat membezakan antara melihat Nabi :saw atau Syaitan?


d. Ramai yang melihat Nabi secara yaqazah semasa baginda masih hidup (seperti Abu Lahab), akan tetapi mereka masih tidak beriman, malah mereka kufur kepada Allah swt.

e. Melihat Nabi :saw bagi yang mengenalinya, sudah tentu merupakan satu nikmat yang dikurniakan oleh Allah swt..