Bersama Prof Dr Sidek Baba
IBU bapa tiada tolok bandingnya bagi hidup anak kerana mereka tidak ada dua dan tidak ada tiga. Ibu bapa itulah satu-satunya insan yang melahir dan membesarkan anak. Allah menyatakan dalam al Quran mengenai tanggungjawab mengasihi ibu bapa. Rasulullah SAW berasakan ibu bapa adalah utama bagi ketaatan dan kasih sayang anak.
Bayangkan susah payah ibu mengandung anak lebih sembilan bulan dan melahirkannya dengan kepedihan. Bayangkan bagaimana ayah keluar mencari rezeki untuk menanggung dan membesarkan anak supaya anak tidak terbiar dan meminta-minta daripada orang lain. Jasa ibu bapa yang amanah tidak boleh dinilai dengan wang ringgit dan harta kekayaan. Kasih sayangnya sejati dan murni.
Dalam dunia yang pantas berubah, ramai anak beranggapan tanggungjawab dan perhatian kepada ibu bapa bukan suatu kewajipan. Ramai ibu bapa terbiar tanpa perhatian dan ramai pula yang menjadikan perhatian kepada ibu bapa perkara sampingan dalam hidupnya.
Ada ibu bapa yang kesunyian di kampung dan terpaksa mencari rezeki walaupun sudah tua. Sering kita mendengar kisah ibu bapa yang ramai anak terabai.
Tradisi berkeluarga dalam Islam menjadikan ibu bapa sebahagian hidup kita. Walaupun kadangkala ada kesukaran mengajak mereka tinggal bersama, perhatian, perhubungan, sara hidup dan kesihatannya mesti diambil tahu. Ketika mereka masih hidup kebajikannya perlu dijaga. Kita perlu yakin doa ibu dan bapa ada kesannya terhadap kebahagiaan dan kesejahteraan hidup anak.
Bayangkan ketika anak masih kecil dan menempuh remaja, ibu bapalah yang bertungkus lumus membesarkan kita, memberi pelajaran dan menyumbang ke arah kejayaan anak. Adalah tidak adil jika anak sudah besar, mempunyai pekerjaan yang baik, mempunyai jawatan tinggi, memiliki harta dan kekayaan membiarkan ibu bapanya hidup susah dan merempat hingga akhirnya ada anak mengambil keputusan menghantar mereka ke rumah orang tua atau kebajikan.
Jika suatu ketika dulu ibu bapa sanggup menjaga, membesarkan anak yang ramai dengan susah payah dan pengorbanan, apakah dengan dua insan berusia itu anak tidak sanggup bersusah payah dan berkorban. Jika keadilan ini tidak kita tunaikan, tunggulah apabila kita tua nanti hal yang sama boleh berlaku lebih teruk lagi terhadap kita.
Perlu ada keinsafan bahawa ibu bapa adalah sumber kekuatan waktu senang dan susah. Hilang ibu bapa daripada kita tiada tukar gantinya. Kasih ibu dan kasih bapa adalah tinggi dan sejati. Ibu bapa perlu ditaati sepanjang hayat.
Walaupun pada ibu bapa ada kelemahan dan kekurangan, ia tidak menjadi sebab anak derhaka kepadanya. Anak perlu menunjukkan contoh yang baik dan panjatkan doa kepada Allah supaya ibu bapa terus menjadi contoh kepada mereka.
Ada anak yang baik pada hari ini sudah kehilangan ibu bapa atau ketiadaan seorang daripadanya. Mereka terasa kekurangan dalam hidup. Kesenangan yang dinikmati tidak dirasakan sama oleh ibu bapa.
Pengorbanan ibu bapa ketika di pondok buruk di kampung tidak dapat dikongsi dengan rumah anak yang selesa dan tersergam indah. Kemurahan rezeki Allah berikan tidak dapat sama dinikmati pada hujung hidupnya walaupun anak hidup selesa.
Alangkah bermaknanya hidup anak jika pada zaman susah ibu bapalah banyak berkorban dan ketika anak senang, ibu bapa dapat menumpang sama kebahagiaan itu.
Hadis Rasulullah SAW memberikan kita pedoman terbaik. Walaupun ibu bapa sudah tiada, doa anak yang salih boleh menghubungkan anak masih hidup terhadap ibu bapa yang sudah pergi. Anak yang salih dan salihah adalah anak yang sentiasa beriman dan mencari reda Allah dalam hidupnya. Reda Allah penting bagi anak supaya ada berkat dalam apa yang dilakukan sebagai hamba-Nya.
Jika anak yang masih hidup terus meningkatkan ilmu yang bermanfaat, melakukan kebajikan dan amal salih, sentiasa memiliki perasaan belas kasihan kepada fakir miskin dan anak yatim, menghormati dan mengasihi orang tua, anak ini akan menikmati kebahagiaan hidup yang tidak ternilai.
Anak jangan menjadi orang lupa diri, sombong dan tidak mengenang budi. Menjadi orang yang berbangga dengan pangkat dan kedudukan. Bermewah dengan harta dan kekayaan. Lupa kepada orang kampung, kelompok miskin dan susah. Atau menjadi oportunis dan melupakan amanah agama dan umat. Ingat selalu pesan ibu bapa yang sentiasa mahukan anaknya menjadi orang berjiwa rukuk dan sujud supaya kekayaan dan kesenangan tidak menjadikannya lupa dan lalai.
Anak yang beriman adalah anak yang mengasihi kedua-dua ibu bapanya baik ketika mereka hidup mahupun apabila mereka sudah pergi. Ketika hidup ibu bapa adalah sumber kekuatan, kasih sayang dan harapan dan semasa mereka tiada, pesan baik menjadi pedoman.
Jika anak berada dalam keadaan sebegini, kehidupannya akan sentiasa dirahmati Allah kerana ibu bapa adalah kekuatan yang menjadikan anak salih dan salihah sentiasa beramal dan berdoa untuk kesejahteraan dirinya dan kedua-dua ibu bapanya.