Perbezaan pendapat dan pecah belah dalam masyarakat orang Islam memang diketahui umum termasuk oleh orang-orang bukan Islam.
Perbezaan pendapat di kalangan umat Islam mempunyai beberapa kategori. Dalam Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa menukilkan pandangan Imam Al-Alusi yang berkata, “Pecah belah dalam masyarakat adalah dilarang terutamanya dalam perkara yang berkaitan dengan prinsip atau usul agama. Perbezaan pendapat dalam perkara-perkara ranting adalah diizinkan dalam batas-batas tertentu. Sebahagian orang Islam menjadikan beberapa hadis nabi sebagai dalil tentang keharusan umat Islam berbeza pendapat dalam perkara cabang.
Antara hadis itu ialah sabda nabi yang bermaksud, ‘Ikhtilaf atau perbezaan pendapat di kalangan umatku adalah rahmat’. Mengikut Imam Subki, hadis ini ditolak oleh ulama hadis justeru penggunaannya sebagai dalil adalah tidak berasas sama sekali.
Sebaliknya terdapat begitu banyak hadis bertaraf sahih yang melarang perpecahan dan perbezaan pendapat dalam masyarakat Islam. Antaranya ialah sabda nabi yang bermaksud, ‘Sesungguhnya telah hancur golongan Bani Israel sebelum ini disebabkan banyak persoalan yang mereka timbulkan serta penentangan ke atas ajaran nabi.’ Nabi juga bersabda, ‘Luruskanlah saf solatmu jika tidak hati-hatimu akan berpecah belah’. Kesemua dalil ini menunjukkan kesepakatan adalah lebih baik dari perbezaan pendapat. Perbezaan pendapat boleh dibahagikan kepada tiga kategori.
- Pertama, perbezaan dalam perkara prinsip atau usul. Ia memang suatu kesesatan yang jika dibiarkan akan menjadi penyebab kepada banyak kerosakan.
- Kedua, perbezaan yang melibatkan pendirian serta strategi peperangan.Berpandukan peringatan nabi kepada sahabat Muaz dan Abu Musa ketika mengutus mereka ke Yaman yang bermaksud, ‘Bersatu dan jangan berpecah,’ ia menunjukkan perbezaan pendapat dalam aspek ini juga diharamkan agama.
- Ketiga, perbezaan pendapat dalam perkara ranting atau cabang, sebagai contoh dalam aspek hukum hakam fikah. Ianya diharuskan kerana nabi mengizinkan umat Islam berijtihad bertujuan untuk menetapkan sesuatu hukum agama berdasarkan sabda nabi yang bermaksud, ‘Sesiapa yang berijtihad dan betul ijtihadnya dia mendapat dua ganjaran dan sesiapa yang berijtihad dan tersalah dia mendapat satu ganjaran’. Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Abu Daud.
Bagi golongan awam, mereka diizinkan mengikut mana-mana imam mujtahid yang muktabar dalam bidang fikah. Walau bagaimanapun, jika kesepakatan boleh dihasilkan dalam aspek ini ia adalah sesuatu yang lebih baik lagi digalakkan..”
Berhubung dengan perbezaan pendapat dalam perkara cabang, Profesor Dr. Yusuf Qardawi dalam Al-Ijtihad fi As-Syariat Al-Islamiyah berkata, “Perbezaan pendapat dalam bidang fikah bukanlah suatu yang keji. Sebenarnya perbezaan pendapat ini melambangkan fleksibiliti syariat, kesuburan sumber hukum Islam, kekayaan
khazanah fikah Islam serta menunjukkan betapa tingginya sikap toleransi di kalangan ulama Islam.. Sebagai contoh, dua orang sahabat dan pengikut Imam Abu Hanifah, iaitu Imam Abu Yusuf dan Muhammad, berbeza pendapat dengan Abu Hanifah dalam beberapa masalah disebabkan suasana yang berubah.”
Perbezaan pendapat dalam perkara cabang hanya akan menjadi keji apabila ia melahirkan fanatik mazhab serta persengketaan. Justeru takwa serta kefahaman yang betul berhubung roh dan ajaran sebenar Al-Quran perlu disemai dan dipupuk dari masa ke semasa agar unsur-unsur negatif ini tidak menular dalam masyarakat Islam.
Jelas sekali, umat Islam haram berpecah belah dalam perkara usul serta prinsip Islam. Umat wajib memahami serta beramal dengan prinsip-prinsip ini tanpa keluh kesah. Meminggirkannya dianggap sesat oleh agama....