Oleh Mohd Shukri Hanapi
ISLAM menitikberatkan kesejahteraan hidup berkeluarga dengan ikatan pernikahan yang sah. Justeru, Islam melarang keras perbuatan zina kerana zina adalah jenayah dalam Islam yang banyak menimbulkan masalah kepada masyarakat dan negara.
Sesungguhnya zina boleh menyebabkan masyarakat menjadi porak-peranda dan berpecah belah, merosakkan keturunan, membawa bermacam penyakit, merosakkan kesihatan rohani dan jasmani, menghilangkan ketenangan dan mencemarkan kesucian Islam. Bahkan ia salah satu penyebab turunnya bala.
Allah berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Israk, ayat 32)
Ketahuilah, zina adalah perbuatan terkutuk, dosa besar dan haram. Di samping itu, ia kadangkala diiringi perbuatan dosa lain kerana ada antara mereka yang mengandungkan anak hasil perbuatan zina berusaha menggugurkan anak dalam kandungan.
Bagi yang gagal menggugurkan kandungan, bayi yang baru dilahirkan itu akan dibuang merata tempat seperti tempat pembuangan sampah, dalam tandas awam, tepi longkang dan ada kalanya ditinggalkan di kawasan masjid dengan tiada rasa kasih sayang atau belas kasihan.
Melakukan pembuangan bayi yang baru dilahirkan, apatah lagi jika sampai menyebabkan kematian adalah perbuatan kejam dan terkutuk. Ia termasuk kategori dosa besar yang mengakibatkan pelakunya mendapat azab pedih di akhirat kelak.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya: “Nabi SAW pernah menceritakan mengenai dosa-dosa besar. Baginda bersabda: Menyekutukan Allah, menderhaka kepada kedua ibu bapa, membunuh (manusia) dan berkata dengan kata-kata palsu.” (Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Penyaksian, hadis 2459)
Selain itu, diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud katanya: “Aku bertanya Rasulullah SAW: Apakah dosa yang paling besar di sisi Allah? Rasulullah SAW bersabda: Engkau menjadikan iaitu menganggap ada yang sebanding dengan Allah sedangkan Dialah yang menciptakanmu. Aku berkata: Sesungguhnya dosa demikian memang besar. Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Kemudian engkau membunuh anakmu kerana bimbang dia makan bersamamu iaitu makananmu. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Rasulullah SAW bersabda: Jika engkau berzina dengan isteri jiranmu.” (Riwayat Muslim di dalam Kitab Iman, hadis 124)
Sesungguhnya Allah SWT menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Manusia dikurniakan akal dan fikiran supaya dapat menjalani kehidupan di dunia dengan sempurna serta teratur.
Tetapi agak mendukacitakan, apabila terdapat segelintir manusia bertindak di luar batas kemanusiaan sehingga sanggup melakukan perbuatan terkutuk dan berlaku kejam dengan membuang bayi yang dilahirkannya sendiri.
Bayangkanlah, binatang pun tidak melakukan perbuatan sedemikian, inikan pula manusia yang dianugerahkan akal fikiran yang sempurna. Mereka yang melakukan perbuatan itu sebenarnya telah merendahkan dan menjatuhkan martabatnya sebagai manusia yang diberi kelebihan berbanding binatang.
Selain itu, perbuatan membuang bayi juga berlaku disebabkan perlakuan sumbang mahram. Isu sumbang mahram semakin meningkat di kalangan umat Islam di seluruh dunia. Gejala itu tidak terkecuali di negara kita.
Sumbang mahram adalah perhubungan jenis secara haram antara mereka yang mempunyai pertalian darah dan tidak sah nikah (mahram), contohnya antara ayah dengan anak, abang dengan adik dan datuk dengan cucu.
Seseorang ayah atau ahli keluarga yang melakukan sumbang mahram terhadap anak atau keluarga yang tidak dihalalkan nikah itu boleh diumpamakan sebagai perlakuan haiwan. Kenapakah manusia yang dikurniakan akal fikiran sanggup bertindak seperti haiwan?
Ketahuilah bahawa anak adalah anugerah dan amanah daripada Allah SWT. Ibu bapa hanya dipertanggungjawabkan untuk menjaga, mendidik dan menyayangi, bukan untuk diabaikan atau diperlakukan mengikut sesuka hati.
Jika diamati dengan teliti, perbuatan membuang bayi banyak berpunca daripada gejala sosial iaitu pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan tanpa ikatan sah.
Adapun cara untuk mengatasi semua ini ialah dengan kembali kepada ajaran Islam. Jika seseorang itu berpegang teguh kepada ajaran Islam, pasti semua gejala akan dapat diatasi.
Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan besar dalam memberikan didikan agama kepada anak-anak. Ibu bapa perlu menguasai dan mengawasi semua perkara dilakukan anak mereka termasuk pergaulan supaya tidak terjerumus dalam gejala sosial.
Oleh yang demikian, setiap individu dan masyarakat hendaklah sama-sama membanteras perbuatan zina, sumbang mahram, membuang atau membunuh bayi demi mencapai keharmonian dan kesejahteraan hidup supaya terhindar daripada bala bencana.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh diri seorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau-lampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum syarak).” (Surah al-Israk, ayat 33)