“Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain”(Al-Hujurat ayat 12)
Lidah mempunyai banyak selekoh-selekoh bahaya. Imam Ghazali membahagikannya kepada 20 bahagian.
SELEKOH KELIMABELAS : Mengumpat
Umpatan ialah mengatakan sesuatu tentang seseorang di belakangnya yang andaikata diketahuinya pasti tidak akan disenangi olehnya. Perkara yang dikatakan itu mungkin berkaitan dengan keaiban dan kekurangan yang ada pada fizikal, keturunan, kelakuan, perbuatan, perkataan, dunia atau agama seseorang. Malah jika ianya berkaitan dengan pakaian, rumah serta kenderaannya sekalipun, ia tetap dihukum sebagai mengumpat. (Ihya Ulumuddin bab ‘Bahaya Lidah’)
Di zaman Rasulullah telah berlaku insiden di mana Maiz bin Malik Al-Aslami telah berzina, maka diapun dihukum oleh Rasulullah. Seorang lelaki, ketika melihat Maiz sedang dihukum, telah berkata kepada rakannya: ‘Orang ini mati di tempatnya seperti matinya anjing di tempatnya.’ Ketika mereka beredar, mereka telah bertemu dengan seketul daging bangkai di tepi jalan. Ketika itu Nabi terus bersabda kepada mereka:
“Apa yang kamu perolehi dari (umpatan ke atas saudaramu) adalah lebih busuk dari bangkai ini.” (Abu Daud & An-Nasai – Isnad Baik)
Imam al-Ghazali telah membahagikan umpatan kepada beberapa bahagian, di antaranya ialah:
Mengumpat Tubuh Badan
Contohnya, kita mengatakan bahawa seseorang itu juling, botak, hitam, pendek, kurus dan yang seumpamanya yang pasti kurang disenangi oleh tuan tubuhnya walaupun ia adalah benar.
Mengumpat Keturunan
Termasuk di dalam bahagian ini kita mengatakan bahawa seseorang itu berasal dari keturunan lanun, pencuri, perompak, penipu, penyokong kezaliman dan yang seumpamanya.
Mengumpat Kelakuan
Contohnya kita berkata: “Dia itu kedekut, panas baran, pemalas, penakut,” dan yang seumpamanya.
Mengumpat Tentang Agama Seseorang
Contoh yang jelas ialah bila kita mengatakan bahawa seseorang itu malas bersolat, atau solatnya seperti lipas kudung atau dia tidak menjaga puasanya atau tidak pandai membaca Al-Quran dan yang seumpamanya.
Mengumpat Tentang Aspek Duniawi
Contohnya kita berkata, “Dia itu banyak tidur, banyak makan, banyak cakap, ramai isteri” dan yang seumpamanya.
Mengumpat Tentang Pakaian
Contoh yang boleh kita berikan ialah kita mengatakan bahawa pakaian seseorang itu kotor dan berdaki atau jahitan bajunya tidak halus atau dari jenis kain yang tidak berjenama, dan yang seumpamanya.
Semua ini telah diharamkan oleh Allah.
Imam Hasan al-Basri telah berkata: “Sebutan tentang orang lain (yang diharamkan agama) mempunyai 3 bahagian, iaitu, al-ghibah (mengumpat), al-buhtan (berdusta) dan al-ifk (memfitnah). Al-ghibah ialah mengatakan tentang keaiban yang sebenarnya ada pada seseorang. Al-buhtan pula ialah mengatakan tentang sesuatu yang tidak ada padanya manakala al-ifk ialah menghebahkan cerita tentang orang lain (tanpa usul periksa.)” (Ihya ‘Bahaya Lidah’)
Umpatan dengan lidah adalah diharamkan termasuk yang berbentuk sindiran, perlian dan yang seumpamanya. Namun mengumpat juga boleh berlaku di dalam bentuk yang lain, seperti menggunakan bahasa isyarat, memberi isyarat dengan mata, menulis, melakar, menggunakan animasi atau kartun. Bila kesemuanya bertujuan untuk menceritakan tentang keaiban dan kekurangan orang lain, ia adalah haram dan akan mendatangkan dosa besar kepada kita.
Aisyah r.a pernah menceritakan tentang seorang wanita yang telah bertandang ke rumahnya. Ketika wanita itu berpaling untuk balik Aisyah telah mengisyaratkan dengan tangannya bahawa wanita itu pendek. Ktika itu Nabi terus bersabda: “Engkau telah mengumpatnya.” (Ibn Abi Dunya)
Hukum Mendengar Umpatan
Mereka yang mendengar sesuatu umpatan dengan penuh minat sebenarnya telah bersekongkol dengan si pengumpat dalam melakukan dosa besar, apatah lagi jika dia berperanan mendorong dan merangsang si pengumpat untuk meneruskan umpatannya. Imam Al-Ghazali telah berkata:
“Orang yang membenarkan sesuatu umpatan sebenarnya telah mengumpat. Malah mereka yang diam juga telah bersekutu dengan si pengumpat.” (Ihya bab ‘Bahya Lidah’)
Nabi telah bersabda: “Yang mendengar adalah salah seorang dari mereka yang telah mengumpat.” (Thabrani)
Imam Al-Ghazali telah mencadangkan beberapa tindakan untuk dilakukan oleh mereka yang telah mendengar kalimat-kalimat umpatan di ucapkan di dalam sesuatu majlis.
“Mereka yang mendengar sesuatu umpatan tidak terlepas dari dosa mengumpat kecuali jika dia menentang dengan lidahnya ataupun mengengkari dengan hatinya jika dia berasa takut. Jika dia mampu bangun dan meninggalkan majlis itu atau memotong percakapan orang itu dan mengubah topiknya kepada topik yang lain, tetapi dia tidak melakukannya, maka dia tetap berdosa.” (Ihya; Ibid)
Berkaitan dengan ini, Nabi telah bersabda:
“Sesiapa yang tidak menolong seseorang mukmin yang telah dihina disisinya, sedangkan dia mampu untuk menolongnya, Allah akan hinakannya di hadapan orang ramai pada hari kiamat.” (Ahmad & Thabrani – Hadis Hasan)
Mengumpat Adalah Lebih Dahsyat Daripada Zina?
Jabir bin Abi Said telah meriwayatkan sabda Rasulullah: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu adalah lebih teruk daripada zina. Sesungguhnya seseorang yang berzina itu mungkin akan bertaubat dan Allah menerima taubatnya sedangkan seseorang yang mengumpat tidak akan Allah ampunkan dosanya sehingga di maafkan oleh saudaranya.” (Ibn Abi Dunya & Ibn Hibban)
Justeru itu marilah sama-sama kita memelihara lidah kita agar ia tidak menambahkan dosa di atas dosa-dosa yang telah sedia pada kita.