Wednesday, May 30, 2007

Ufuk Minda: Bahaya tradisi kekeluargaan diabai anak

Bersama Prof Dr Sidek Baba


IBU bapa tiada tolok bandingnya bagi hidup anak kerana mereka tidak ada dua dan tidak ada tiga. Ibu bapa itulah satu-satunya insan yang melahir dan membesarkan anak. Allah menyatakan dalam al Quran mengenai tanggungjawab mengasihi ibu bapa. Rasulullah SAW berasakan ibu bapa adalah utama bagi ketaatan dan kasih sayang anak.

Bayangkan susah payah ibu mengandung anak lebih sembilan bulan dan melahirkannya dengan kepedihan. Bayangkan bagaimana ayah keluar mencari rezeki untuk menanggung dan membesarkan anak supaya anak tidak terbiar dan meminta-minta daripada orang lain. Jasa ibu bapa yang amanah tidak boleh dinilai dengan wang ringgit dan harta kekayaan. Kasih sayangnya sejati dan murni.

Dalam dunia yang pantas berubah, ramai anak beranggapan tanggungjawab dan perhatian kepada ibu bapa bukan suatu kewajipan. Ramai ibu bapa terbiar tanpa perhatian dan ramai pula yang menjadikan perhatian kepada ibu bapa perkara sampingan dalam hidupnya.

Ada ibu bapa yang kesunyian di kampung dan terpaksa mencari rezeki walaupun sudah tua. Sering kita mendengar kisah ibu bapa yang ramai anak terabai.

Tradisi berkeluarga dalam Islam menjadikan ibu bapa sebahagian hidup kita. Walaupun kadangkala ada kesukaran mengajak mereka tinggal bersama, perhatian, perhubungan, sara hidup dan kesihatannya mesti diambil tahu. Ketika mereka masih hidup kebajikannya perlu dijaga. Kita perlu yakin doa ibu dan bapa ada kesannya terhadap kebahagiaan dan kesejahteraan hidup anak.

Bayangkan ketika anak masih kecil dan menempuh remaja, ibu bapalah yang bertungkus lumus membesarkan kita, memberi pelajaran dan menyumbang ke arah kejayaan anak. Adalah tidak adil jika anak sudah besar, mempunyai pekerjaan yang baik, mempunyai jawatan tinggi, memiliki harta dan kekayaan membiarkan ibu bapanya hidup susah dan merempat hingga akhirnya ada anak mengambil keputusan menghantar mereka ke rumah orang tua atau kebajikan.

Jika suatu ketika dulu ibu bapa sanggup menjaga, membesarkan anak yang ramai dengan susah payah dan pengorbanan, apakah dengan dua insan berusia itu anak tidak sanggup bersusah payah dan berkorban. Jika keadilan ini tidak kita tunaikan, tunggulah apabila kita tua nanti hal yang sama boleh berlaku lebih teruk lagi terhadap kita.

Perlu ada keinsafan bahawa ibu bapa adalah sumber kekuatan waktu senang dan susah. Hilang ibu bapa daripada kita tiada tukar gantinya. Kasih ibu dan kasih bapa adalah tinggi dan sejati. Ibu bapa perlu ditaati sepanjang hayat.

Walaupun pada ibu bapa ada kelemahan dan kekurangan, ia tidak menjadi sebab anak derhaka kepadanya. Anak perlu menunjukkan contoh yang baik dan panjatkan doa kepada Allah supaya ibu bapa terus menjadi contoh kepada mereka.

Ada anak yang baik pada hari ini sudah kehilangan ibu bapa atau ketiadaan seorang daripadanya. Mereka terasa kekurangan dalam hidup. Kesenangan yang dinikmati tidak dirasakan sama oleh ibu bapa.

Pengorbanan ibu bapa ketika di pondok buruk di kampung tidak dapat dikongsi dengan rumah anak yang selesa dan tersergam indah. Kemurahan rezeki Allah berikan tidak dapat sama dinikmati pada hujung hidupnya walaupun anak hidup selesa.

Alangkah bermaknanya hidup anak jika pada zaman susah ibu bapalah banyak berkorban dan ketika anak senang, ibu bapa dapat menumpang sama kebahagiaan itu.

Hadis Rasulullah SAW memberikan kita pedoman terbaik. Walaupun ibu bapa sudah tiada, doa anak yang salih boleh menghubungkan anak masih hidup terhadap ibu bapa yang sudah pergi. Anak yang salih dan salihah adalah anak yang sentiasa beriman dan mencari reda Allah dalam hidupnya. Reda Allah penting bagi anak supaya ada berkat dalam apa yang dilakukan sebagai hamba-Nya.

Jika anak yang masih hidup terus meningkatkan ilmu yang bermanfaat, melakukan kebajikan dan amal salih, sentiasa memiliki perasaan belas kasihan kepada fakir miskin dan anak yatim, menghormati dan mengasihi orang tua, anak ini akan menikmati kebahagiaan hidup yang tidak ternilai.

Anak jangan menjadi orang lupa diri, sombong dan tidak mengenang budi. Menjadi orang yang berbangga dengan pangkat dan kedudukan. Bermewah dengan harta dan kekayaan. Lupa kepada orang kampung, kelompok miskin dan susah. Atau menjadi oportunis dan melupakan amanah agama dan umat. Ingat selalu pesan ibu bapa yang sentiasa mahukan anaknya menjadi orang berjiwa rukuk dan sujud supaya kekayaan dan kesenangan tidak menjadikannya lupa dan lalai.

Anak yang beriman adalah anak yang mengasihi kedua-dua ibu bapanya baik ketika mereka hidup mahupun apabila mereka sudah pergi. Ketika hidup ibu bapa adalah sumber kekuatan, kasih sayang dan harapan dan semasa mereka tiada, pesan baik menjadi pedoman.

Jika anak berada dalam keadaan sebegini, kehidupannya akan sentiasa dirahmati Allah kerana ibu bapa adalah kekuatan yang menjadikan anak salih dan salihah sentiasa beramal dan berdoa untuk kesejahteraan dirinya dan kedua-dua ibu bapanya.

Monday, May 28, 2007

4 keperluan bentuk Muslim sejati

Oleh Dr Juanda Jaya

Bimbingan agama kuatkan keperibadian bukan dieksploitasi nafsu syaitan

JANGAN salahkan Islam jika anda mengenali seorang Muslim yang jahat perangainya, hidup di kawasan perkampungan Melayu kotor atau anak mereka kaki dadah, merempit dan liar. Karma kemiskinan dan kebodohan membelenggu hidup mereka.

Adakah gambaran seperti ini mewakili nilai Islam? Sama sekali tidak. Agama ini begitu suci, sempurna dan relevan sepanjang zaman. Hanya pengikutnya yang tidak memahami dan tidak mahu mengamalkan ajarannya saja mencemar imej Islam.

Bagaimanakah Islam membentuk keperibadian pengikutnya? Bukankah sudah lahir tamadun Islam yang paling agung pada zamannya selama 800 tahun berkuasa di dunia ini? Bolehkah kegemilangan itu berulang kembali?

Untuk membentuk imej Islam yang cemerlang, gemilang dan terbilang, seorang Muslim perlu memenuhi empat keperluan asasi bagi dirinya iaitu:


Riadah sebagai bekalan jasmani. Rasulullah SAW menggesa umatnya memiliki kekuatan fizikal seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada orang mukmin yang lemah. Bersungguhlah mengerjakan sesuatu yang bermanfaat bagi dirimu serta mohonlah pertolongan Allah dan jangan lemah.” (Hadis riwayat Muslim)

Kekuatan fizikal hanya dapat dimiliki mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat iaitu seperti penjagaan kesihatan badan, gaya pemakanan seimbang dan senaman secara teratur. Bagaimana umat ini boleh berdiri sama tinggi dengan orang Barat atau Eropah yang jauh lebih maju dalam penjagaan kesihatan dan kecergasan mereka, jika kita berdiri sebagai seorang pemuda Islam yang memiliki ciri 3G iaitu gemuk, gebu dan gempal.

Padahal, Baginda SAW melatih sahabatnya dengan aktiviti lasak seperti berenang, berkuda, memanah, bermain tombak dan pedang. Terbukti kekuatan fizikal mereka mampu mengalahkan tentera kufar dengan perbandingan satu lawan sepuluh.


Ibadat sebagai bekalan rohani. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.” Ketenangan hati dalam sembahyang dan zikrullah, puasa dan sedekah diharapkan mampu melahirkan insan menyeluruh. Kesucian terpancar daripada hati dan kemuliaan tergambar lewat tabiat yang digayakan.

Hanya dengan ibadat kemantapan modal insan terbentuk dalam keperibadian kita. Satu kekuatan yang tidak pernah dimiliki orang kafir adalah kekuatan roh dan jiwa yang diisi dengan ibadat. Tanda orang yang taat beribadat ialah boleh mengawal hawa nafsu, dekat dengan Tuhan dan jelas matlamat hidupnya.

Jika ibadat tidak dapat melahirkan jiwa yang sebegini maknanya ibadatnya itu perlu dipersoalkan, mengapa tidak memberi kesan pada peribadinya? Sesungguhnya tiada jurang pemisah antara ibadat dan perniagaan, ibadat dan belajar, ibadat dan bekerja kerana segala perbuatan baik yang diniatkan untuk reda Allah adalah inti ibadat.

Semestinya yang paling berjaya merebut peluang perniagaan adalah mereka yang kuat beribadat, mereka yang bijak pandai semestinya juga adalah ahli ibadat.


Ilmu bekalan untuk akal. Ilmu duniawi harus seiring sejalan dengan ilmu agama supaya tidak terjadi kepincangan dalam keperibadian kita. Asas ilmu agama seperti aqidah, ibadat, akhlak dan syariah menjadi rujukan utama yang menterjemah nilai al-Quran dan hadis. Tidak cukup belajar membaca al-Quran saja tanpa mendalami tafsir, mengupas bab muamalat Rasul SAW dalam kumpulan hadis Baginda SAW.

Pendekatan yang diguna pakai dalam menghayati ilmu amat pelbagai, ada yang menitikberatkan bacaan tanpa hafalan atau cuba menulis apa yang dituntut. Semuanya bertujuan mendekatkan kita kepada Allah SWT dan meletakkan kita pada barisan orang yang mengikut jalan Rasulullah SAW.

Daripada ilmu berbuahlah amal, jika kita tidak berada pada majlis ilmu dalam jangka masa yang lama, mungkin kita akan berasa semakin jauh daripada hidayah Allah Taala. Petunjuk yang menerangi hati dan mententeramkan adalah ilmu agama. Di sana kita belajar bagaimana menyucikan hati, menguatkan keyakinan dan melakukan amal yang sahih. Dengan ilmu seolah-olah Tuhan membukakan jalan yang luas menuju syurga-Nya.

Ilmu yang bermanfaat perlu diikat dengan bacaan, tulisan dan penyampaian kepada orang lain. Ilmuwan yang tidak mahir menulis, kurang membaca atau tidak gemar memberi tunjuk ajar akan mengalami gejala kekurangan bekalan maklumat dan penurunan tahap intelektual. Jika pepatah menyatakan makin menuntut makin berasa banyak yang kita tak tahu, bagaimana dengan yang tidak menuntut tentu lebih teruk ketinggalan.


Seni sebagai bekalan emosi dan perasaan. Manusia diciptakan selain memiliki jasad dan hati serta akal, ia juga dibekal dengan satu kekuatan yang perlu diurus supaya hidupnya sempurna. Kekuatan itu ialah emosi atau perasaan semula jadi yang Allah ciptakan untuk kita.

Pada fitrahnya manusia perlukan sentuhan pada perasaannya dengan mendengar syair atau lagu, puisi atau kisah indah yang mempunyai nilai sastera yang tinggi. Hal ini adalah keperluan asasi bagi manusia disamping ilmu, ibadat dan riadah. Nabi SAW mempunyai penyair yang hebat seperti Hasan bin Tsabit. Sahabat juga suka melantunkan syair perjuangan dan persaudaraan. Islam memberi ruang untuk kita menikmati seni dengan syarat ia tidak memuja kekufuran dan mempamerkan unsur-unsur keji.

Diperlukan sentuhan seni untuk menterjemahkan cinta kepada Ilahi, sayang menyayangi dan memuji kesucian perasaan. Doa yang diucapkan penuh penghayatan lebih nikmat dibaca berbanding dengan doa sekadar hafalan. Penghayatan itulah yang dinamakan improvisasi dalam bahasa sastera dan khusyuk dalam bahasa orang sufi.

Akhirnya sembahyang yang didirikan itu bagaikan pementasan sejuta perasaan indah yang dipersembahkan kepada Tuhan. Bacaan al-Quran itu bagaikan karya agung yang dipuisikan sebagai gambaran ideal kesempurnaan nilai suci.

Begitulah apabila seorang hamba berjiwa seni menggerakkan penghayatannya ketika beribadat. Seni dalam Islam menjadikan jiwa kita tenggelam dalam aliran sungai yang bermuara di sisi Allah Taala, seni adalah akidah, ibadat, akhlak dan syariah. Bukan seni untuk seni semata.

Bekalan itu diharapkan menguatkan keperibadian hamba-Nya, kerana hidup ini untuk dinikmati dengan bimbingan agama bukan dieksploitasi oleh nafsu syahwat dan pujuk rayu syaitan.

Penulis bertugas di Pejabat Mufti Sarawak

Thursday, May 17, 2007

Bersatu Padu Janganlah Berpecah belah

Perbezaan pendapat dan pecah belah dalam masyarakat orang Islam memang diketahui umum termasuk oleh orang-orang bukan Islam.

Perbezaan pendapat di kalangan umat Islam mempunyai beberapa kategori. Dalam Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa menukilkan pandangan Imam Al-Alusi yang berkata, “Pecah belah dalam masyarakat adalah dilarang terutamanya dalam perkara yang berkaitan dengan prinsip atau usul agama. Perbezaan pendapat dalam perkara-perkara ranting adalah diizinkan dalam batas-batas tertentu. Sebahagian orang Islam menjadikan beberapa hadis nabi sebagai dalil tentang keharusan umat Islam berbeza pendapat dalam perkara cabang.

Antara hadis itu ialah sabda nabi yang bermaksud, ‘Ikhtilaf atau perbezaan pendapat di kalangan umatku adalah rahmat’. Mengikut Imam Subki, hadis ini ditolak oleh ulama hadis justeru penggunaannya sebagai dalil adalah tidak berasas sama sekali.

Sebaliknya terdapat begitu banyak hadis bertaraf sahih yang melarang perpecahan dan perbezaan pendapat dalam masyarakat Islam. Antaranya ialah sabda nabi yang bermaksud, ‘Sesungguhnya telah hancur golongan Bani Israel sebelum ini disebabkan banyak persoalan yang mereka timbulkan serta penentangan ke atas ajaran nabi.’ Nabi juga bersabda, ‘Luruskanlah saf solatmu jika tidak hati-hatimu akan berpecah belah’. Kesemua dalil ini menunjukkan kesepakatan adalah lebih baik dari perbezaan pendapat. Perbezaan pendapat boleh dibahagikan kepada tiga kategori.

  • Pertama, perbezaan dalam perkara prinsip atau usul. Ia memang suatu kesesatan yang jika dibiarkan akan menjadi penyebab kepada banyak kerosakan.
  • Kedua, perbezaan yang melibatkan pendirian serta strategi peperangan.Berpandukan peringatan nabi kepada sahabat Muaz dan Abu Musa ketika mengutus mereka ke Yaman yang bermaksud, ‘Bersatu dan jangan berpecah,’ ia menunjukkan perbezaan pendapat dalam aspek ini juga diharamkan agama.
  • Ketiga, perbezaan pendapat dalam perkara ranting atau cabang, sebagai contoh dalam aspek hukum hakam fikah. Ianya diharuskan kerana nabi mengizinkan umat Islam berijtihad bertujuan untuk menetapkan sesuatu hukum agama berdasarkan sabda nabi yang bermaksud, ‘Sesiapa yang berijtihad dan betul ijtihadnya dia mendapat dua ganjaran dan sesiapa yang berijtihad dan tersalah dia mendapat satu ganjaran’. Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Abu Daud.

Bagi golongan awam, mereka diizinkan mengikut mana-mana imam mujtahid yang muktabar dalam bidang fikah. Walau bagaimanapun, jika kesepakatan boleh dihasilkan dalam aspek ini ia adalah sesuatu yang lebih baik lagi digalakkan..”

Berhubung dengan perbezaan pendapat dalam perkara cabang, Profesor Dr. Yusuf Qardawi dalam Al-Ijtihad fi As-Syariat Al-Islamiyah berkata, “Perbezaan pendapat dalam bidang fikah bukanlah suatu yang keji. Sebenarnya perbezaan pendapat ini melambangkan fleksibiliti syariat, kesuburan sumber hukum Islam, kekayaan
khazanah fikah Islam serta menunjukkan betapa tingginya sikap toleransi di kalangan ulama Islam.. Sebagai contoh, dua orang sahabat dan pengikut Imam Abu Hanifah, iaitu Imam Abu Yusuf dan Muhammad, berbeza pendapat dengan Abu Hanifah dalam beberapa masalah disebabkan suasana yang berubah.”

Perbezaan pendapat dalam perkara cabang hanya akan menjadi keji apabila ia melahirkan fanatik mazhab serta persengketaan. Justeru takwa serta kefahaman yang betul berhubung roh dan ajaran sebenar Al-Quran perlu disemai dan dipupuk dari masa ke semasa agar unsur-unsur negatif ini tidak menular dalam masyarakat Islam.

Jelas sekali, umat Islam haram berpecah belah dalam perkara usul serta prinsip Islam. Umat wajib memahami serta beramal dengan prinsip-prinsip ini tanpa keluh kesah. Meminggirkannya dianggap sesat oleh agama....

Tuesday, May 08, 2007

Zina punca masyarakat berpecah, rosak keturunan

Oleh Mohd Shukri Hanapi


ISLAM menitikberatkan kesejahteraan hidup berkeluarga dengan ikatan pernikahan yang sah. Justeru, Islam melarang keras perbuatan zina kerana zina adalah jenayah dalam Islam yang banyak menimbulkan masalah kepada masyarakat dan negara.

Sesungguhnya zina boleh menyebabkan masyarakat menjadi porak-peranda dan berpecah belah, merosakkan keturunan, membawa bermacam penyakit, merosakkan kesihatan rohani dan jasmani, menghilangkan ketenangan dan mencemarkan kesucian Islam. Bahkan ia salah satu penyebab turunnya bala.

Allah berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Israk, ayat 32)

Ketahuilah, zina adalah perbuatan terkutuk, dosa besar dan haram. Di samping itu, ia kadangkala diiringi perbuatan dosa lain kerana ada antara mereka yang mengandungkan anak hasil perbuatan zina berusaha menggugurkan anak dalam kandungan.

Bagi yang gagal menggugurkan kandungan, bayi yang baru dilahirkan itu akan dibuang merata tempat seperti tempat pembuangan sampah, dalam tandas awam, tepi longkang dan ada kalanya ditinggalkan di kawasan masjid dengan tiada rasa kasih sayang atau belas kasihan.

Melakukan pembuangan bayi yang baru dilahirkan, apatah lagi jika sampai menyebabkan kematian adalah perbuatan kejam dan terkutuk. Ia termasuk kategori dosa besar yang mengakibatkan pelakunya mendapat azab pedih di akhirat kelak.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya: “Nabi SAW pernah menceritakan mengenai dosa-dosa besar. Baginda bersabda: Menyekutukan Allah, menderhaka kepada kedua ibu bapa, membunuh (manusia) dan berkata dengan kata-kata palsu.” (Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Penyaksian, hadis 2459)

Selain itu, diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud katanya: “Aku bertanya Rasulullah SAW: Apakah dosa yang paling besar di sisi Allah? Rasulullah SAW bersabda: Engkau menjadikan iaitu menganggap ada yang sebanding dengan Allah sedangkan Dialah yang menciptakanmu. Aku berkata: Sesungguhnya dosa demikian memang besar. Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Kemudian engkau membunuh anakmu kerana bimbang dia makan bersamamu iaitu makananmu. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Rasulullah SAW bersabda: Jika engkau berzina dengan isteri jiranmu.” (Riwayat Muslim di dalam Kitab Iman, hadis 124)

Sesungguhnya Allah SWT menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Manusia dikurniakan akal dan fikiran supaya dapat menjalani kehidupan di dunia dengan sempurna serta teratur.

Tetapi agak mendukacitakan, apabila terdapat segelintir manusia bertindak di luar batas kemanusiaan sehingga sanggup melakukan perbuatan terkutuk dan berlaku kejam dengan membuang bayi yang dilahirkannya sendiri.

Bayangkanlah, binatang pun tidak melakukan perbuatan sedemikian, inikan pula manusia yang dianugerahkan akal fikiran yang sempurna. Mereka yang melakukan perbuatan itu sebenarnya telah merendahkan dan menjatuhkan martabatnya sebagai manusia yang diberi kelebihan berbanding binatang.

Selain itu, perbuatan membuang bayi juga berlaku disebabkan perlakuan sumbang mahram. Isu sumbang mahram semakin meningkat di kalangan umat Islam di seluruh dunia. Gejala itu tidak terkecuali di negara kita.

Sumbang mahram adalah perhubungan jenis secara haram antara mereka yang mempunyai pertalian darah dan tidak sah nikah (mahram), contohnya antara ayah dengan anak, abang dengan adik dan datuk dengan cucu.

Seseorang ayah atau ahli keluarga yang melakukan sumbang mahram terhadap anak atau keluarga yang tidak dihalalkan nikah itu boleh diumpamakan sebagai perlakuan haiwan. Kenapakah manusia yang dikurniakan akal fikiran sanggup bertindak seperti haiwan?

Ketahuilah bahawa anak adalah anugerah dan amanah daripada Allah SWT. Ibu bapa hanya dipertanggungjawabkan untuk menjaga, mendidik dan menyayangi, bukan untuk diabaikan atau diperlakukan mengikut sesuka hati.

Jika diamati dengan teliti, perbuatan membuang bayi banyak berpunca daripada gejala sosial iaitu pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan tanpa ikatan sah.

Adapun cara untuk mengatasi semua ini ialah dengan kembali kepada ajaran Islam. Jika seseorang itu berpegang teguh kepada ajaran Islam, pasti semua gejala akan dapat diatasi.

Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan besar dalam memberikan didikan agama kepada anak-anak. Ibu bapa perlu menguasai dan mengawasi semua perkara dilakukan anak mereka termasuk pergaulan supaya tidak terjerumus dalam gejala sosial.

Oleh yang demikian, setiap individu dan masyarakat hendaklah sama-sama membanteras perbuatan zina, sumbang mahram, membuang atau membunuh bayi demi mencapai keharmonian dan kesejahteraan hidup supaya terhindar daripada bala bencana.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh diri seorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau-lampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum syarak).” (Surah al-Israk, ayat 33)

Friday, May 04, 2007

Jendela Hikmah: Lelaki abai tugas pelindung tanda akhir zaman

Oleh Maszlee Malik


DIRIWAYATKAN oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Antara tanda hari kiamat ialah ilmu semakin sedikit dan kejahilan semakin banyak, zina akan menjadi berleluasa, wanita semakin ramai dan lelaki semakin kurang sehinggakan 50 wanita hanya dilindungi oleh seorang lelaki.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Masalah sosial dan keluarga yang kian meruncing adalah disebabkan ramai lelaki yang tidak lagi berperanan sebagai lelaki dan hilang semangat kelelakiannya.

Mungkin ramai yang akan menduga hilang semangat kelelakian membawa maksud bertambahnya lelaki lembut seperti yang pernah diperbincangkan dalam akhbar harian tempatan suatu waktu dulu.

Ada juga menyangkakan yang dimaksudkan dengan semakin kurangnya bilangan lelaki, tetapi sebenarnya bukan demikian. Bilangan lelaki ramai, jika tidak lebih atau sama dengan bilangan wanita pun sekurang-kurangnya tidaklah terlalu jauh nisbahnya.

Yang dimaksudkan di sini ialah kurangnya lelaki yang menjalankan peranannya sebagai lelaki seperti disebutkan oleh al-Quran: “Para lelaki adalah qawwamun (pelindung) kepada wanita.” (Surah al-Nisa, ayat 24)

Hipotesis itu sebenarnya ada kebenarannya, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bertepatan dengan hadis di atas. Hadis itu menyebut bahawa antara tanda akhir zaman ialah lelaki semakin kurang daripada wanita, dan yang lebih parah lagi, 50 wanita hanya dijaga seorang lelaki.

Menariknya, dalam hadis itu Rasulullah SAW menggunakan perkataan ‘qawwam’ yang bermaksud pelindung untuk 50 wanita dan tidak menggunakan perkataan ‘rijal’ yang membawa maksud lelaki.

Maksudnya, orang lelaki yang menjaga wanita semakin sedikit bilangannya. Yang ramai ialah lelaki yang tidak menjadi penjaga wanita, sama ada tidak bertanggungjawab menjaga keluarga, tidak berperanan sebagai ketua keluarga ataupun memperlakukan wanita dengan perlakuan memudaratkan mereka, seperti mengeksploit, merogol, menjadikan wanita alat pemuas nafsu dan sebagainya.

Lihat apa yang berlaku di dalam masyarakat kita yang semakin hari semakin hancur moralnya. Berita kejadian rogol bagaikan sama wajibnya dengan ruangan siaran televisyen di dada akhbar.

Sumbang mahram, bunuh, samun, ragut, dera isteri, anak, pembantu rumah dan 1001 kejadian dan peristiwa yang jelas menunjukkan hilangnya kelelakian ramai lelaki di Malaysia ini.

Bukannya hilangnya sifat kelelakian kerana mereka bertukar jantina, tetapi kerana mereka tidak menjalankan tugas mereka sebagai lelaki yang sebenarnya iaitu ‘pelindung’ bagi wanita.

Apakah rasionalnya teori itu? Jika lelaki mempunyai kelelakian dan menjadi pelindung, dia akan melihat wanita golongan yang memerlukan perlindungan, dihormati, dijaga kehormatan, tidak boleh dikasari, tidak dieksploitasi apa lagi diperlakukan sesuka hati seumpama barang.

Lelaki yang mempunyai sifat pelindung tidak akan berzina dengan wanita yang haram baginya kerana menyedari dia wajib melindungi maruah wanita itu. Lelaki pelindung tidak akan merogol wanita, kerana beliau menyedari beliaulah yang patut melindungi wanita daripada dikasari dan dizalimi, apatah lagi terhadap anak, cucu dan kerabat mereka sendiri.

Seorang lelaki pelindung juga tidak sekali-kali akan menyamun, mencuri, meragut dan membunuh wanita kerana merekalah yang sepatutnya melindungi wanita daripada sebarang mudarat dan musibah. Pendek kata, jika masyarakat mempunyai ramai lelaki pelindung, kuranglah masalah kekeluargaan dan sosial.

Keluarga memerlukan lelaki pelindung yang tidak akan bermalasan di rumah membiarkan isteri dan anak saja membanting tulang. Lelaki pelindung juga tidak akan memukul dan mendera sama ada isteri mahupun anaknya.

Lelaki pelindung juga tidak akan menengking, mengherdik, memaki, mencaci dan mencarut wanita dan ahli keluarganya, tidak akan menggadai maruah anak isteri walau sesulit mana pun masalah yang dihadapi. Sayangnya lelaki pelindung semakin pupus di dalam masyarakat Melayu Muslim di Malaysia pada hari ini.

Ironiknya dalam sesetengah keadaan, wanita turut menyumbang kepada pelupusan sifat pelindung lelaki. Kedengaran suara sumbang aktivis wanita yang ingin mendapat taraf sama dengan lelaki tanpa menyedari risikonya.

Mereka juga galak menyeru kepada usaha dominasi wanita terhadap tugas yang selama ini di dominasi lelaki. Di satu sudut, muncul bagai cendawan lepas hujan wanita yang rela diri dieksploitasi lelaki yang mementingkan nafsu dan keuntungan material semata-mata daripada etika dan maruah.

Bagaikan sesuatu yang biasa, kewujudan GRO, pelacuran sama ada yang terhormat ataupun tidak berlesen. Media berlumba-lumba mempergunakan wanita untuk melariskan produk mereka.

Bagaimana menyedarkan lelaki mengenai tugas mereka sebagai pelindung? Proses yang bagaimana perlu diaplikasikan terhadap semua lelaki di Malaysia supaya sedar mereka adalah lelaki dan perlu menjadi pelindung bagi wanita?

Dalam hal ini, lelaki terutama Muslim perlu menyedari kedudukan mereka di hadapan Allah dan perlunya mereka kembali kepada Islam yang mengangkat martabat wanita dan menjadikan lelaki sebagai pelindung martabat iu.

Jika seseorang Muslim sedar bahawa dia adalah hamba Allah, maka dia wajib mengikuti perintah Allah, mengikut ajaran al-Quran yang menyuruh lelaki melindungi wanita mencontohi Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW tidak pernah menyakiti apatah lagi menganiaya dan menzalimi wanita. Baginda mengajar kita bagaimana melindungi wanita sebahagian daripada unsur utama masyarakat Islam. Dengan mengikuti sunnah, lelaki akan sentiasa menjadi pelindung bagi wanita.

Penulis ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)