Thursday, January 18, 2007

Khutbah Jumaat: Di Antara Mengejar Upah, Menidurkan pendengar dan Peringatan Bagi Ummat

Saya tidak tahu berapa ramai orang yang apabila datang bersolat Juma'at setiap minggu meletakkan harapan yang tinggi agar dapatmembawa pulang pelajaran-pelajaran dan mutiara-mutiara berharga setelah mendengar khutbah Jumaat.

Tidak dapat juga saya pastikan berapa ramai orang yang apabila pergi ke masjid pada hari Jumaat meletakkan hasrat agar apabila pulang ke rumah maka keimanan, ilmu dan penghayatan agamanya semakin bertambah. Namun yang pasti pada peringkat individu saya meletakkan azam yang begitu menggunung agar diri ini menjadi lebih berilmu, bertaqwa dan iltizam kepada Islam bertambah mantap sekembalinya dari mendengar khutbah Jumaat.

Walaupun harapan yang diletakkan begitu menggunung namun minggu demi minggu, bulan demi bulan dan tahun demi tahun harapan itu semakin lama semakin luluh dan terhakis setiap kali bila mendengar khatib membuka mulutnya untuk membaca khutbah.

Kebanyakan khatib yang membaca khutbah adalah dari kalangan manusia-manusia yang kurang dari segi ilmu dunia mahupun akhirat. Mereka tidak boleh membaca bahasa Melayu mahupun bahasa Arab dengan baik. Apabila mereka membaca ayat-ayat Al Qur'aan mahupun hadith-hadith Nabi saw nescaya mereka akan membacanya secara tunggang-langgang. Ayat-ayat Al Qur'an sering bertukar makna apabila dibaca oleh mereka. Kalau tidak pandai membaca Al Qur'an mungkin kerana mereka orang Melayu sedangkan Al Qur'an dalam bahasa Arab tetapi apakah alasan mereka untuk buta Jawi ? Mengapakah `bayi-bayi dalam kandungan' dibaca sebagai babi-babi dalam kandang ?

Fenomena khatib-khatib ini yang memberikan khutbah berkualiti sangat rendah semakin menjadi-jadi walaupun masjid tersebut begitu baru, indah dan tersergam. Puncanya mungkin kerana beberapa faktor.

Pertamanya ialah kerana sikap khatib tersebut yang malas, tidak mahu berubah dan tidak memandang serius kerja memberi khutbah. Menyampaikan khutbah dilakukan bagai melepaskan batuk di tangga. Tiada persediaan langsung dilakukan untuk membaca khutbah walaupun teks telah diterima beberapa minggu sebelum tarikh penyampaian.

Bacaan khutbah dilakukan secara merangkak bagaikan budak baru belajar mengeja yang belum masuk jawi lagi. Walaupun sudah 20 tahun menyampaikan khutbah si khatib masih terbata-bata pada ayat Al Qur'an yang sama setiap minggu tanpa perubahan.

Ramai yang membaca khutbah juga secara tidak ikhlas untuk mendapatkan ganjaran Allah. Hanya kerana mengejar duit RM 10 terkadang mereka sanggup bertikam-lidah dan bermasam muka untuk mendapat bayaran kerana membaca khutbah. Tidakkah mereka malu dengan tindakan mereka ini ? Tidakkah mereka malu dengan begitu ramai ahli perniagaan, professional dan pegawai kerajaan yang duduk di hadapan mereka?

Mengapakah mereka langsung tidak peduli untuk membaca sekali-lalu khutbah tersebut sebelum membacanya di khalayak ramai? Adakah setiap minggu ribuan jama'ah yang datang mendengar khutbah hanyalah untuk dibazirkan masa mereka untuk mendengar seorang yang tidak kompeten langsung bercakap tentang agama tanpa ilmu mahupun persediaan.

Bagaimanakah golongan jahil murakkab ini boleh diizinkan menaiki minbar-minbar masjid untuk berkhutbah ?

Golongan agama yang berkelulusan ijazah sarjana muda beribu jumlahnya. Mengapakah mereka ini tidak diberi kesempatan untuk menyampaikan khutbah Jumaat? Kenapakah begitu ramai di kalangan golongan yang sangat buruk kualiti bacaan Al Qur'an diberi tanggungjawab menyampaikan khutbah ? Bukankah khutbah Juma'at merupakan medium yang begitu baik untuk mendidik ummat serta menambahkan taqwa dan amalan mereka? Mengapakah ia dipersia-siakan begitu sahaja setiap minggu ? Pada zaman Nabi saw dahulu Nabi saw menjadi khatib setiap minggu. Begitu juga pada zaman sahabat di mana orang-orang yang terbaik diberi tugas menyampaikan khutbah Jumaat. Malang sekali di masjid-masjid serata negara kita golongan yang berilmu hanyalah menjadi pendengar bacaan khatib yang begitu rendah mutu penyampaian khutbahnya.

Kalaulah faktor gaji menyebabkan orang-orang yang berpendidikan formal dalam bidang agama tidak berkhutbah tidak bolehkah Jabatan agama menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan dan sebagainya agar para ustaz-ustaz di sekolah-sekolah diberi tugas menyampaikan khutbah ? Ini jauh lebih penting dan lebih wajar daripada tugas melatih pelajar untuk pertandingan pantun, nasyid dan sebagainya yang begitu minimal faedahnya kepada masyarakat.

Apakah Jabatan-jabatan agama, Majlis-majlis agama mahupun pejabat-pejabat mufti tidak mempunyai panduan dalam memilih imam dan khatib di masjid-masjid ? Pegawai-pegawai yang menyibukkan diri mereka menangkap orang-orang berkhalwat patut mengambil tanggungjawab ini !

Janganlah sibuk mencari kesalahan orang-orang lain tetapi cuai dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah dalam bidang kuasa sendiri! Kemungkaran tersembunyi dalam bilik hotel dicari-cari tetapi kemungkaran bacaan Al Qur'an imam yang mengubah makna ayat-ayat Al Qur'an secara terang-terang tidak langsung diambil tindakan! Hampir

setiap minggu saya menegur imam-imam sebegini namun sampai bila mahu menegur imam-imam dan khatib-khatib tegar yang tidak boleh berubah ? Di mana peranan Jabatan agama ?

Bukankah Nabi saw menyuruh agar orang yang paling menguasai Al Qur'an dilantik menjadi imam? Orang yang paling banyak hafal Al Qur'an, paling baik bacaannya dan paling berilmu tentang Al Qur'an yang sepatutnya menjadi imam serta khatib dan bukannya lebai kampung yang tidak tahu membaca Al Fatihah dengan lancar walaupun usianya sudah lanjut.

Jika kita pergi ke gereja-gereja di Malaysia ini nescaya kita akan lihat betapa lancar, fasih dan menarik ceramah yang disampaikan dalam majlis-majlis di gereja Kristian pada hari Ahad. Tidak cukup dengan itu mereka akan mengadakan majlis dalam pelbagai bahasa untuk menarik pelbagai kaum di Malaysia datang ke gereja-gereja mereka. Bukannya

seperti khutbah-khutbah Jumaat yang disampaikan dalam keadaan makmum melelehkan air-liur ke baju-baju mereka akibat tidur dalam keadaan terlalu bosan.

Di manakah pegawai-pegawai di Jabatan-jabatan agama ? Sampai bila mahu bersenang-lenang di kerusi empuk dalam bilik-bilik berhawa-dingin ? Tidak perlu bercakap tentang gejala sosial, mat rempit, kebejatan aqidah, sumbang mahram dan remaja tidak mahu solat Juma'at. Turunlah padang melihat masjid-masjid di dalam pentadbiran anda! Apa yang telah dilakukan untuk menjadikan pentadbiran masjid secara sistematik,

professional dan bukan ala kampung? Sampai bila imam-imam dan khatib-khatib yang tidak mempunyai kesungguhan langsung dalam menunaikan tanggungjawab mereka dibiarkan menjadi imam dan khatib ?

Mengapakah agama ini dipersembahkan kepada masyarakat dalam keadaan yang begitu hambar, mual dan membosankan? Kalau para imam dan khatib membaca Al Qur'an dalam keadaan gagap bagaimanakah generasi muda akan boleh menguasai Al Qur'an? Janganlah tunggu sehingga masjid diubah-suai menjadi disko, pusat snuker dan pub baru mahu menyesal! Kalau bukan jabatan dan majlis agama yang menjana perubahan maka siapa lagi ? Takkanlah para penghuni pusat serenti dan pemulihan akhlak yang diharapkan menegur dan membetulkan imam-imam ini?

_artikel ini diambil daripada muhammad" im3132002@yahoo.com