Petikan dari kitab :
Taisir al-Fiqh fi Dhau' al-Quran dan al-Sunnah (Fiqh al-Siyam) : Cetakan ketiga Muassasah al-Risalah. m.s. 142 - 145.
Oleh : Prof Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
'Aasyura (عاشوراء) ialah hari yang kesepuluh dalam bulan Muharram (المحرم ). Manakala Taasuaa' (تاسوعاء) adalah hari yang kesembilan dari bulan yang sama. Zahir daripada himpunan khabar (hadith-hadith) bahawasanya puasa 'Asyura adalah sesuatu yang dikenali di sisi kaum Quraish (قريش) pada zaman Jahiliyyah, dan demikian juga dikenali (puasa 'Asyura) di sisi penganut Yahudi.
Kata 'A-isyah r.'anha :
"Hari 'Asyura adalah satu hari yang orang-orang Quraish berpuasa padanya ketika Jahiliyyah. Dan Rasulullah s.a.w. juga berpuasa pada hari tersebut. Ketika sampai di Madinah Nabi s.a.w. berpuasa pada hari 'Asyura dan baginda menyuruh Umat Islam berpuasa pada hari tersebut. Namun apabila difardhukan puasa Ramadhan, Nabi s.a.w. bersabda :
مَنْ شَاءَ صَامَهُ، وَمَنْ شَاءَ تَرَكَهُ
Maksudnya : "Sesiapa yang hendak, maka berpuasalah ia (pada hari 'Asyura), dan sesiapa yang tidak mahu tinggallah ia (puasa 'Asyura)" (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata Ibn 'Abbas r.a. : "Ketika Nabi s.a.w. sampai ke madinah, baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari 'Asyura. Lalu Baginda bersabda :
ما هذا ؟ قالوا: هذا يوم صالح، نجّى الله فيه موسى وبني إسرائيل من عدوهم، فصامه موسى، فقال: "أنا أحق بموسى منكم" فصامه وأمر بصيامه
Maksudnya : "Hari apakah ini (di sisi kamu) ?" Orang-orang Yahudi menjawab : "Hari ini adalah hari yang baik. ALLAH telah memenangkan padanya Musa dan Bani Isra-il daripada musuh mereka (Fir'aun dan kaumnya). Lalu Musa berpuasa pada hari ini ('Asyura)." Sabda Nabi s.a.w. : "Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu semua (orang-orang Yahudi)." Lalu baginda berpuasa pada hari tersebut ('Asyura) dan mengarahkan (para Sahabat) berpuasa padanya." (Hadith riwayat al- al-Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah memfardhukan (mewajibkan) puasa pada hari 'Asyura diperingkat awal, sehingga baginda mengutus seorang utusan untuk memberitahu kepada manusia lain untuk berpuasa pada siang hari 'Asyura sekalipun mereka telah makan (sebelumnya). Apabila difardhukan puasa Ramadhan, maka dihapuskan kefardhuannya (dihapus kefardhuan puasa 'Asyura). Maka jadilah puasa 'Asyura sebagai sunat sahaja.
Dari Abi Qatadah r.a. sabda Nabi s.a.w. :
صوم يوم عرفة يُكفِّر سنتين: ماضية ومستقبلة، وصوم يوم عاشوراء يكفر سنة ماضية
Maksudnya : " Puasa hari 'Arafah menghapuskan (dosa) dua tahun : Tahun yang lalu dan yang akan datang. Sedang puasa hari 'Asyura menghapuskan (dosa) setahun yang lalu." (Hadith riwayat al-Jama'ah, kecuali al-Bukhari dan al-Tirmizi – al-Muntaqa bersama Nail al-Author, 4/323)
Nabi s.a.w. benar-benar mahu membezakan syakhsiah Islamiah (dari yang lain) dalam setiap perkara. Supaya Umat Islam merdeka / berbeza dari penganut yang lain, lalu baginda menganjurkan puasa pada hari kesembilan (dalam bulan Muharram) bersama dengan puasa pada hari kesepuluh (dalam bulan Muharram), supaya dapat dibezakan antara puasa Umat Islam dengan puasa Ahli Kitab.
Dari Ibn 'Abbas r.a. katanya :
لما صام رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم عاشوراء, وأمر بصيامه, قالوا: يا رسول الله، إنه يوم تعظمه اليهود والنصارى! فقال: "فإذا كان العام المقبل إن شاء الله صمنا اليوم
التاسع" قال: فلم يأت العام المقبل حتى توفي رسول الله صلى الله عليه وسلم
Maksudnya : "Ketika Nabi s.a.w. berpuasa pada hari 'Asyura, dan baginda menyuruh para sahabat berpuasa padanya."Para Sahabat berkata : "Wahai Rasulullah, sesungguhnya hari itu hari yang dibesarkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasara." Lalu Sabda Nabi s.a.w. : "Maka pada tahun hadapan insyaALLAH kita akan berpuasa (bermula) pada hari kesembilan." Lalu Ibn 'Abbas menceritakan : "Tidak sempat datang tahun hadapan, Nabi s.a.w. diwafatkan (oleh ALLAH s.w.t.)." (Hadith riwayat Muslim dan Abu Daud)
Tidak didapati sesuatu yang lain sempena 'Asyura selain puasa. Adapun perkara yang diada-adakan oleh sebahagian manusia seperti berhias, mandi, bercelak, dan meluaskan berbelanja ahli keluarga pada hari itu, atau menjadikan hari tersebut sebagai perayaan yang disembelih padanya binatang sembelihan, dan meluaskan / perbanyakkan sesuatu amalan padanya- Semua ini daripada sesuatu yang tidak ada asalnya dari agama ALLAH, dan tidak ada dalil atasnya sesuatu dalil yang sahih.
Zahirnya perkara-perkara ini dilakukan sebagai membantah perbuatan Syiah yang menjadikan hari 'Asyura sebagai hari kesedihan dan tahun kemurungan (seperti apa yang dilakukan wanita yang kematian suami), memukul dada, menampar pipi, dan mengoyak pakaian sebagai mengingati musibah yang berlaku kepada al-Syahid yang dizalimi al-Husain bin 'Ali r.'anhuma.
Semua dua golongan ini berada dalam kesalahan. Tidak boleh mengubah Bid'ah dengan Bid'ah, tidak boleh membaiki sesuatu yang diubah (dalam ugama) dengan sesuatu lain yang diubah juga. Sebaliknya rujukan dalam semua hal adalah apa yang disyariatkan oleh ALLAH dan RasulNYA. Al-Imam Ibn-Qayyim berkata :
Maksudnya : "Hadith-hadith tentang bercelak pada hari 'Asyura, berhias, memluaskan sesuatu perkara, solat khusus pada hari 'Asyura dan selainnya dari perkara-perkara kelebihan tidak ada yang sahih sesuatupun, demikian juga tidak ada satu hadith, tidak ada yang thabit dari Nabi s.a.w. sesuatupun selain dari hadith-hadith tentang puasa. Dan apa yang lain dari puasa adalah Batil. Contoh dalam perkara ini ialah (hadith rekaan) :
من وسع على عياله يوم عاشوراء, وسع الله عليه سائر السنته.
"Sesiapa yang meluaskan memberi makan keluarganya pada hari 'Asyura, ALLAH akan meluaskan untuknya sepanjang tahun."
Imam Ahmad berkata : "Hadith ini tidak Sahih."
Adapun hadith tentang bercelak, memakai minyak dan wangian adalah dari pemalsuan para pendusta, mereka (mengada-adakan semua ini untuk) membantah golongan lain yang menjadikan hari 'Asyura sebagai hari kesedihan. Kedua-dua golongan ini adalah dari puak-puak Bid'ah yang terkeluar dari Sunnah Nabi s.a.w. Sedangkan Ahl al-Sunnah pada hari 'Asyura melakukan ibadat puasa seperti apa yang disuruh oleh Nabi s.a.w. dan mereka menjauhi apa-apa yang disuruh oleh Syaitan dari perkara-perkara Bid'ah." (al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dhaief)
Telah ditanya kepada Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah tentang apa yang dilakukan oleh manusia pada hari 'Asyura seperti bercelak, mandi (hari 'Asyura), mewarnakan rambut, bersalaman, memasak biji-bijian, menzahirkan keseronokan dan lain-lain. Apakah ada tentang perkara ini dari Nabi s.a.w. satu hadith yang sahih atau tidak ada ? Jika tidak ada hadith yang Sahih tentang perkara itu, apakah ianya termasuk di dalam Bid'ah ataupun tidak ? Dan bagaimana pula perbuatan satu golongan lain yang menzahirkan kesedihan, berdahaga dan selainnya seperti ratapan, mengoyak bayu. Apakah perkara ini ada asal (dalam agama) atau tidak ?
Jawab Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah : "Alhamdulillahi rabb al-'Alamien, tidak ada satupun dalam perkara itu hadith yang sahih dari Nabi s.a.w. Tidak juga dari para sahabat baginda. Dan tidak ada seorangpun dari kalangan para Imam orang Islam menganggap ianya sunat, tidak di kalangan para Imam (mazhab) yang empat, tidak juga selain mereka. Ulama hadith yang menulis kitab-kitab yang menjadi rujukan tidak meriwayatkan tentang perkara itu. Tidak dari Nabi s.a.w. tidak juga dari para sahabat baginda, tidak juga dari Tabi'ien. Tidak (diambil perkara itu) dari yang Sahih mahupun yang Do'ief. Tidak ada di dalam kitab yang yang Sahih, tidak ada di dalam kitab-kitan Sunan, tidak ada juga di dalam kitab-kitab Masanid. Tidak dikenali sesuatupun dari hadith-hadith ini pada zaman yang utama (Zaman Nabi dan para sahabat, Tabi'ien dan tabi' al-Tabi'ien). Akan tetapi sebahagian generasi kemudian meriwayatkan hadith-hadith dalam perkara tersebut seperti apa yang diriwayatkan mereka :
من اكتحل يوم عاشوراء لم يرمد من ذلك العام، ومن اغتسل يوم عاشوراء لم يمرض ذلك العام
Maksudnya : [/i]"Sesiapa yang bercelak pada hari 'Asyura, dia tidak akan terkena penyakit mata pada tahun itu. Sesiapa yang mandi pada hari 'Asyura, dia tidak akan sakit pada tahun itu." Dan contoh-contoh yang lain.[/i]
Demikian juga mereka meriwayatkan tentang kelebihan solat hari 'Asyura, mereka meriwayatkan juga bahawasanya pada hari 'Asyura bertaubatnya Nabi Adam, berlabuhnya bahtera (Nabi Nuh) atas (Bukit) Judi (الجودي), bertemunya Nabi Yusuf dengan Nabi Ya'kub, terselamatnya Nabi Ibrahim dari api, digantikan Nabi Ismail dengan Kibas dan seumpama dengannya.
Mereka telah meriwayatkan satu hadith yang palsu, pembohongan atas Nabi s.a.w. :
أنه من وسع على أهل يوم عاشوراء وسع الله عليه سائر السنة
Maksudnya : "Sesiapa yang meluaskan memberi makan keluarganya pada hari 'Asyura, ALLAH akan meluaskan untuknya sepanjang tahun." Riwayat seperti ini semuanya pendustaan atas Nabi s.a.w.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebut : "bahawasanya al-Husain r.a. apabila dibunuh syahid secara zalim, ALLAH memuliakannya sehingga ia sempat bersama keluarganya yang suci dan ALLAH menghinakan sesiapa yang menzaliminya dan memusuhinya. Perkara itu menjadi sebab kejahatan di kalangan manusia. Maka wujudlah golongan yang jahil dan zalim, samaada golongan Mulhid yang hipokrit, atau golongan sesat yang ingin menzahirkan rasa kecinta mereka kepada Ahl al-Bait. Mereka menjadikan hari 'Asyura sebagai hari bersedih dan hari ratapan. Mereka menzahirkan padanya syiar-syiar Jahiliyyah seperti menampar pipi, mengoyak pakaian dan memberi ucap takziah secara jahiliyyah.
Maka satu golongan lain menentang golongan ini, samaada golongan itu dari kalangan al-Nawasib (النواصب) ) yang ta'asub dengan al-Husain dan ahli keluarganya. Ataupun dari golongan jahil yang ingin menghadapi kejahatan dengan kejahatan, menghadapi pembohongan dengan pembohongan, keburukan dengan keburukan, menghadapi bid'ah dengan bid'ah. Maka mereka memalsukan athar-athar untuk menzahirkan syiar-syiar keseronokan pada hari 'Asyura seperti bercelak, mewarnakan janggut, meluaskan nafakah kepada ahli keluarga, memasak makanan yang diluar daripada adapt kebiasaan dan seumpamanya sama seperti yang dilakukan pada hari raya dan sesuatu musim keseronokan. Maka jadilah golongan ini menjadikan hari 'Asyura sebagai satu musim seperti hari raya dan hari kegembiraan. Sedangkan satu golongan lagi menjadikan hari 'Asyura sebagai hari bersedih, yang mereka menzahirkan padanya kesedihan. Kedua-dua golongan ini adalah golongan yang salah yang terkeluar dari Sunnah Nabi s.a.w." (Majmu' Fatawa Ibn Taimiyyah : 307 – 310)
Terjemahan oleh : Mohamad Abdul Kadir Sahak