Tanpa syak bahawsanya wuquf adalah satu hari yang memiliki kelebihan yang besar. Ia lebih utama daripada hari-hari yang lain dalam setahun. Namun kelebihan-kelebihan ini perlulah dibina di atas hadith-hadith yang thabit dari Nabi saw. Umat islam perlu menjauhi kelebihan-kelebihan yang direka-reka. Termasuk dalam kelebihan yang direka dalam ibadat haji ialah, kononnya apabila hari wuquf bersamaan dengan hari Jumaat, maka siapa yang menunaikan haji pada hari itu menyamai dengan 70 atau 72 haji.
Sebenarnya kelebihan ini dibina di atas hadith-hadith yang tidak sahih, sepertimana yang disebut oleh para ulama hadith. Hadith tersebut ialah :
أفضل الأيام يوم عرفة إذا وافق يوم الجمعة ، وهو أفضل من سبعين حجة في غير جمعة
Maksudnya : "Seutama-utama hari-hari 'Arafah, apabila ia bersamaan dengan hari Jumaat. Ia lebih utama daripada 70 haji yang bukan (wuquf) pada hari Jumaat."
Beberapa para ulama telah menghukumkan hadith ini sebagai tidak sahih, antaranya mereka ialah :
1- al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zaad al-Maad berkata : "Adapun apa-apa yang diperkatakan oleh lidah-lidah orang awam bahawasanya ianya (wuquf pada hari Jumaat) menyamai 72 haji : adalah hadith yang batil, tidak ada asal baginya dari Rasul saw, tidak juga dari salah seorang sahabat baginda dan tabi'ien, wallahu a'lam." (Zaad al-Maad : 1/65)
2- Syeikh Nasiruddin al-Albani berkata di dalam al-Silsilah al-Dhoiefah (207) selepas beliau menghukumkan hadith di atas sebagai BATIL yang tidak ada asal baginya :
:"Adapun perkataan al-Zaila'ie berdasarkan Hasyiah Ibn 'Abidin (2/348) yang diriwayatkan oleh Razien Ibn Mu'awiyah di dalam Tajrid al-Sihah; Maka ketahuilah bahawasanya kitab Razien ini (Tajrid al-Sihah), dia kumpulkan di dalamnya hadith-hadith 6 kitab sunan : (iaitulah) dua kitab sahih al-Bukhari dan Muslim, Muwatto' Malik, Sunan Abi Daud, al-Nasa-ie dan al-Tirmizi. Kitab ini seumpama dengan kitab Ibn Athir yang dinamakan sebagai Jami' al-Usul min Ahadith al-Rasul, melainkan di dalam kitab al-Tajrid ini banyak hadith-hadith yang tidak ada asal baginya dari kitab-kitab sunan (6 kitab sunan), tidak juga dari kitab-kitab hadith selainnya yang diketahui..."
3- al-Sakhawi di dalam al-Fatawa al-Hadithiah berkata : "Razien menyebutnya (hadith di atas) di dalam (kitab) Jami'nya, secara marfu' kepada Nabi saw, akan tetapi beliau tidak sebutkan nama sahabat yang meriwayatkannya, dan beliau tidak juga menyebut siapa yang mengeluarkannya."
4- al-Hafidz Ibn Nasiruddin al-Dimasqi berkata : "Hadith yang (menyebut); bertepatannya hari Jumaat dengan hari Arafah, ianya menyamai 72 haji adalah hadith yang BATIL, TIDAK SAHIH. Demikian juga tidak thabit apa yang diriwayatkan daripada Zurr bin Hubaysh : bahawasanya ia lebih utama dari 70 haji pada selain hari Jumaat"
5- al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin ketika ditanya tentang haji pada hari Jumaat menjawab :
"Tidak warid dari Nabi saw tentang kelebihan hari Jumaat apabila bertepatan dengan hari 'Arafah. Cumanya para ulama berkata : Sesungguhnya samanya hari Arafah dengan hari jumaat ada padanya kebaikan :
Pertama: disebabkan haji tersebut sama seperti berlakunya haji Nabi saw. Kerana Rasul saw bertepatan hari wuquf baginda di Arafah pada hari Jumaat.
Kedua :disebabkan pada hari Jumaat adanya satu ketika yang apabila bertepatan dengannya, seorang muslim yang bangun solat dan berdoa kepada Allah swt untuk sesuatu, melainkan Allah akan menunaikannya.
Maka jadilah hari tersebut lebih hampir untuk diperkenankan permohonan. Ketiga disebabkan hari arafah adalah hari 'Ied dan hari jumaat juga adalah hari 'Ied, maka jika bertembung dua hari 'ied, padanya ada kebaikan. Adapun apa yang telah tersebar, kononnya haji (wuquf) pada hari Jumaat menyamai 70 haji, INI ADALAH TIDAK SAHIH." (Ilqa' al-Sahri : 34/soalan no 18)
6- Ulama al-Lujnah al-Da-imah pula apabila ditanya : Sebahagian manusia berkata : Apabila hari Arafah bersamaan dengan hari Jumaat pada tahun itu, maka siapa yang melakukan haji, bersamaan dengan 7 kali haji, apakah ada dalil dari sunnah dalam perkara ini.?"
al-Lujnah al-Daimah menjawab : "Tidak ada dalam perkara itu dalil yang sahih, Sebahagian manusia menyangka ia menyamai 70 haji atai 72 haji, ini juga tidak sahih." (Fatawa al-Lujnah al-Daimah : 11/210,211)
http://www.islam-qa.com/index.php?pg=print&ref=95283&ln=ara