Monday, February 27, 2006

SOLAT 'KHAS' UNTUK MEMOHON HAJAT

apakah ada solat yang khas untuk memohon hajat yang selain dari memohon diturunkan hujan?
Sebenarnya tidak perlu solat yang khusus untuk hal tersebut kerana kita boleh memohon apa sahaja hajat kita ketika mengerjakan solat-solat yang fardhu mahupun sunat. Hadis-hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam telah menunjukkan bahawa antara tempat yang paling mustajab untuk berdoa adalah ketika sujud dan setelah membaca tasyahhud akhir sebelum memberi salam. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ.

Saat yang paling dekat bagi seorang hamba untuk berada di samping Tuhannya, ialah ketika dia sujud. Dari itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa ketika sujud itu.
(Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahih Muslim, hadis no: 482)

أَلاَ وَإِنِّي نُهِيتُ أَنْ أَقْرَأَ الْقُرْآنَ رَاكِعًا أَوْ سَاجِدًا فَأَمَّا الرُّكُوعُ فَعَظِّمُوا فِيهِ
الرَّبَّ عَزَّ وَجَلَّ وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا فِي الدُّعَاءِ فَقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ.

Ketahuilah bahawa saya dilarang membaca al-Qur'an di waktu rukuk mahupun sujud. Maka sewaktu rukuk hendaklah kamu membesarkan Tuhan, sedang di waktu sujud usahakanlah padanya berdoa dengan sungguh-sungguh, kerana besar kemungkinan (doa itu –pen) akan dikabulkan Tuhan.
(Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahih Muslim,hadis no: 479)

أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ
فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَعَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ
وَمِنْ شَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ ثُمَّ يَدْعُو لِنَفْسِهِ بِمَا بَدَا لَهُ."

Abu Hurairah berkata: Sabda Rasulullah shalallahu `alaihi wasallam: "Bila seseorang selesai membaca tasyahhud (akhir), hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah empat perkara, iaitu (Ya Allah aku berlindung kepada mu) dari siksa neraka jahannam, dari siksa kubur, dari fitnah hidup dan mati, dan dari (fitnah) Dajjal. Selanjutnya, hendaklah ia berdoa memohon kebaikkan untuk dirinya sesuai kehendaknya."
(Hadis riwayat Imam al-Nasa'i dalam Sunan al-Nasa'i, hadis no: 1293)

Adalah lebih baik sekiranya kita memperbanyakkan doa ketika mengerjakan solat Tahajjud kerana sepertiga malam yang akhir merupakan antara waktu yang amat afdhal untuk doa kita diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: "يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ
إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: "مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ
مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ."

Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Rabb kita Tabaraka wa Ta'ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam yang akhir. Allah berfirman:"Siapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya aku akan mengabulkannya; siapa yang meminta kepada-Ku, nescaya Aku akan memberinya; siapa yang memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampunnya."
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam kitab Shahih al-Bukhari, hadis no: 1145)

WAllahu'alam