Ibadah yang diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah ibadah yang dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala dan ianya mengikuti (ittiba') sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang thabithah. Oleh itu sebelum sesuatu amal ibadah itu dikerjakan termasuk juga solat sunat Hajat ini, sewajarnya kita menyelidik terlebih dahulu adakah benar ianya telah diperintahkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Lazimnya dalil yang dipergunakan untuk mengsyari'atkan solat sunat hajat ini adalah hadis-hadis yang berikut:
عَنْ فَائِدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أَوْفَى قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "مَنْ كَانَتْ لَهُ إِلَى اللَّهِ حَاجَةٌ أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ بَنِي آدَمَ
فَلْيَتَوَضَّأْ فَلْيُحْسِنْ الْوُضُوءَ ثُمَّ لِيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ لِيُثْنِ عَلَى اللَّهِ وَلْيُصَلِّ عَلَى
النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ لِيَقُلْ... قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ وَفِي
إِسْنَادِهِ مَقَالٌ فَائِدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ يُضَعَّفُ فِي الْحَدِيثِ وَفَائِدٌ هُوَ أَبُو الْوَرْقَاءِ
Dari Faaid bin `Abdurrahman dari `Abdullah bin Abi Aufa, dia berkata telah bersabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: "Barangsiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada salah seorang bani Adam (manusia) hendaklah dia berwuduk serta membaguskan wuduknya kemudian solat dua rakaat. Terus (setelah selesai solat) hendaklah dia menyanjung Allah dan berselawat kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, kemudian dia mengucapkan doa… Menurut Abu `Isa ini adalah hadis Gharib dan dalam sanadnya terdapat Faaid bin `Abdurrahman yang dha'if (lemah) dalam hadis dan Faaid dia adalah Abu al-Waruqa'. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi dalam Sunan al-Tirmidhi, hadis no: 441) dan juga Imam Ibnu Majah dalam Sunan Ibnu Majah, hadis no: 1374).
Hadis di atas ini berstatus dha'if jiddan (sangat lemah) kerana dalam sanadnya terdapat Faaid bin `Abdurrahman Abu al-Waruqa' dan beliau telah dilemahkan oleh ulama' hadis seperti Imam al-Tirmidhi, Imam `Abdullah bin Ahmad, Imam Ibnu Ma'in, Imam Abu Dawud, Imam al-Nasa'i, Imam Abu Hatim, Imam al-Hakim, Imam Ibnu Hibban dan Imam al-Bukhari rahimahumullah. Oleh itu hadis di atas tidak boleh dijadikan dalil untuk mengsyari'atkan solat Hajat.
Sebuah hadis berkaitan dengan solat hajat juga telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Maimun Abu Muhammad al-Mura'i al-Tamimi dia berkata telah menceritakan Yahya bin Abi Kathir dari Yusuf bin `Abdullah bin Salam dari Abu Darda' dia berkata: "Wahai sekalian manusia, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
مَنْ تَوَضَّأَ فَأَسْبَغَ الْوُضُوءَ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ يُتِمُّهُمَا أَعْطَاهُ اللَّهُ مَا سَأَلَ مُعَجِّلاً أَوْ
مُؤَخِّرًا.
Barangsiapa berwuduk dan menyempurnakannya, kemudian bersembahyang dua rakaat dengan sempurna, maka dia diberi Allah apa sahaja yang diminta baik cepat ataupun lambat. (Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, hadis no: 26225)
Hadis ini juga adalah tidak sahih kerana dalam sanadnya terdapat Maimun Abu Muhammad al-Mura'i seorang yang majhul (tidak dikenali keadaannya)sebagaimana yang telah ditetapkan oleh ulama' hadis seperti Imam Ibnu Ma'in, Imam Ibnu `Adiy, Imam al-Dzahabi dan Syaikh Nashiruddeen al-Albani rahimahumullah. Sanad hadis ini juga munqati'(terputus) kerana Yahya bin Abi Kathir seorang Tabi' al-Tabi'in telah meriwayatkan secara terus dari Yusuf bin `Abdullah bin Salam seorang sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.
Dengan penjelasan ini maka dapatlah kita fahami bahawa hadis-hadis tentang solat sunat Hajat ini kesemuanya lemah. Oleh itu mengerjakan solat sunat Hajat bukanlah merupakan amalan yang sahih dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.
wallahua'lam