Khadim Al-Haramain Asy-Syarifain Al-Malik Abdullah Ibn Abdul Aziz Al Sa'ud melarang rakyat daripada mencium tangan baginda ketika upacara mengangkat bai'ah dengan alasan menyalahi Ajaran Islam.
Sebenarnya jika disemak dalam sejarah,Malik Abdullah bukanlah pemerintah Islam pertama mengeluarkan kenyataan seperti itu tetapi pernah dikeluarkan juga oleh Amirul Mukminin Hisyam bin Abdul Malik Al-Umawiyy dan Amirul Mukminin Al-Makmun Ibn Ar-Rasyid Al-'Abbasi.
Namun apakah pula hukumnya pada pandangan ulama'?
Jika kita membuka Kitab Sunan Abi Daud,Kitab Al-Adab,Bab Mencium Tangan,ada hadith daripada Ibn Umar menyatakan:"...maka kami mendekati baginda s.a.w. dan mencium tangan baginda".
Dalam Sunan Tarmizi ada hadith menceritakan dua orang yahudi mencium tangan dan kaki baginda-Abwabul Isti'zan wal adab 'an Rasulillah,
Bab Mencium Tangan dan Kaki-dan berkata Syeikh Al-Mubarakfuri:"dan Hadith ini menunjukkan harusnya mencium tangan dan kaki".
Dalam Al-Fath pula Ibn Hajar membawa beberapa dalil akan harusnya mencium tangan antaranya:
1)Riwayat daripada Az-Zari' Al-'Abdi dan dia adalah antara rombongan Bani Abd Qais:"Maka kami berlumba-lumba lari daripada tunggangan kami(menuju Rasulullah s.a.w.)maka kami mencium tangan baginda dan kaki baginda".
2)Hadith Usamah bin Syuraik berkata:"Kami berdiri pada Nabi s.a.w. lalu mencium tangan baginda".Sanadnya kuat.
-Fathul Bari Kitab Al-Isti'zan,Bab Mengambil Tangan.-
Imam Malik diriwayatkan melarang perbuatan ini dan mengingkari khabar akan wujudnya perlakuan ini namun riwayat ini semuanya sahih dan saling kukuh mengukuhkan.Ibn Batthal menyatakan Imam Malik hanya melarang jika dilakukan dengan tujuan riya',Takabbur atau maksud duniawi seperti mengampu pemimpin dan sebagainya..
Adapun kerana memuliakan ulama' dan Ahli Zuhud maka adalah harus.
Syeikh Asy-Syurbashi dalam fatwanya menyatakan hukum mencium tangan ini melihat kepada waqi' iaitu sama ada untuk hormat atau takabbur dan riya'.Jika untuk yang pertama maka harus tetapi untuk tujuan kedua tidak diragukan lagi larangannya-islamonline.net-
Dalam Al-Adab Asy-Syar'iyyah disebutkan:"dan diharuskan berpelukan dan mencium tangan dan kepala dengan tujuan agama dan ikram dan hormat beserta aman fitnah dan zahir daripada ini tidak harus untuk tujuan duniawi".
"...dan telah mencium Sufyan bin 'Uyainah dan Al-Fudhail bin 'Iyadh salah seorangnya akan tangan Husin bin Ali Al-Ja'fi dan seorang lagi kakinya"-Al-Adab Asy-Syar'iyyah-.
Begitu juga dalam Al-Fatwa Al-Fiqhiyyah Al-Kubra dinyatakan harusnya mencium tangan,kaki dan kepala kepada orang alim,soleh dan mulia.
Namun dalam waqi' sekarang jika seseorang mencium kaki sudah tentu fitnah tidak akan aman daripadanya ‘maka’ janganlah dilakukan.
Adapun mencium ini antara lelaki dengan perempuan bukan mahramnya maka telah zahir akan haramnya dan tiada lagi dolak-daliknya.
Wallahua'lam.
Rujukan
-Fathul Bari Syarah Sahih Al-Bukahri
-Aunul MA'bud Syarah Sunan Abi Daud
-Tuhfatul Ahwazi Syarah Jami' Turmizi
-Al-Adab Asy-Syar'iyyah
-Al-Fatwa Al-Fiqhiyyah Al-Kubra
-Islamonline.net(Arabic site,Bankul Fatawa)
-Islamweb.net(MArkazul Fatawa)